Teman-teman

Monday, January 31, 2011

Pisang Subsidi

Petang tadi aku jalan-jalan dipekan. Agak lama tak ke pekan. Entah kenapa rasa teringin benar nak makan goreng pisang panas. Perut pula meragan kelaparan. Aku mencari sepupu yang meniaga goreng pisang. Pisangnya rangup dan wangi. Alhamdulillah sepupuku masih menjual goreng pisang. Aku berhenti didepan gerainya lalu meminta RM1. Cukuplah nanti bila isteriku pulang dari berniaga dia akan masak nasi pula. Dapat 5 biji pisang pun jadi untuk nilai RM1. Sambil membungkus goreng pisang sempat juga dia bertanya. " Abang single lagi ke ". Sangkaanku dia bertanya adakah aku datang keseorangan lalu mengiakan saja. Terus dia berkata, " Ingatkan abang dan kahwin lain ". Aku hanya mendiamkan diri. Malas aku nak menjawab sebab akan panjang ceritanya lagi. Dengan siapa, orang mana dan kenapa dia tak dijemput. Aku melihat dia meletakkan pisang sudah 10 biji. " Abang minta RM1 saja ". Aku berkata mungkin dia sangka aku beli RM2 seperti selalunya.

" Tak pa abang saja saya nak beri kepada abang. Kesian abang keseorangan dirumah ". Ditambahnya lagi 5 biji menjadikan ia 15 biji. Aku mengucapkan ribuan terima kasih. kenapa lidahku kelu untuk berkata yang aku sudah berkahwin. Pulang kerumah aku cerita kepada isteri. " Kenapa abang tak cakap terus terang yang abang dah kahwin. Ni kira pisang subsidi la '. Sambil tertawa sempat juga isteriku perli. " Tak apa esok bila abang beli pisang lagi akan abang beritahu kisah yang sebenar. Mungkin dia tambah lagi sebagai hadiah ". Selalunya kalau aku beli pisang darinya sudah pasti bermacam - macam hadiah kuih muih yang aku dapat. Kalau hari-hari begini kesian juga dekat dia.

Friday, January 28, 2011

Isteriku Gembira Tapi Aku Resah

Anak saudaraku yang berada di Kelantan akan menamatkan zaman bujangnya. Pada 5 Februari aku serta isteri telah dijemput oleh kakak sulong agar dapat bersama-sama meraikan majlis perkahwinan anak mereka. Namun aku membisukan diriku. Dalam hati aku terus reject untuk ke Kelantan. Isteriku Rosnah sudah mengetahui akan kisah yang terjadi di Kelantan. " Jangan lupa bawa isteri hang mai Kelantan. Semenjak hangpa kahwin dia tak pernah sampai Kelantan ". Pujuk kakakku agar aku dapat menukar fikiran. Isteriku Rosnah hanya tersenyum mendengar permintaan kakakku. Berkali-kali keluargaku menasihat agar melupakan peristiwa lalu dan buka lembaran yang baru. Memang betul kata mereka cuma aku tidak mampu melupakan peristiwa terakhir aku melihat senyum, tawa dan tangis dari arwah Siti Aishah.

" Rosnah tak teringin ka ke Kelantan ". Tanya kakakku yang sulong. " Abang tak mahu bawa macam mana nak pergi ". Kata isteriku sambil mengerling kearahku namun aku buat endah tak endah saja. " Bang nanti kalau ada siapa yang akan ke Kelantan tolong kirim beli baju kelawar. Baju sana cantik ". Kata isteri kepadaku. Aku hanya diam saja tanpa berkata apa. " Ayah..bawalah mak Rosnah ke Kelantan. Kesian mak pun nak melihat Kelantan juga ". Kata anak gadisku. Semasa aku berada ditempat kerja aku menerima panggilan dari kakak sulongku. " Budiman mai la Kelantan. Bawalah Rosnah sama. Kesian dekat dia ".

Semasa berada diatas motosikal fikiranku ligat memikirkan akan permintaan kakakku. Sebenarnya aku takut menghadapi kenyataan yang memoriku akan berputar kembali tapi sampai bila harus aku menanggung semua ini. Aku sampai dirumah dan memberi salam kepada isteriku. Aku memandang wajahnya. " Nah jom kita pergi Kelantan 3 Februari ni. Kesian dekat Nah tak berjalan mana ". Terkejut dia bila aku mengajaknya ke Kelantan. " Alhamdulillah dan terima kasih bang kerana nak bawa Nah ". Senyum dia bila aku ajak dia. Aku dah buat planning untuk membuat dia lebih teruja bila kesana. Aku berjanji nak bawa tempat yang pasti dia minat iaitu kain baju. Baju hantaran perkahwinan kami pun aku beli dari Kelantan. Arwah kakak aku yang baru meninggal merupakan orang yang memilih baju kain hantaran untuk isteriku.

Nampak isteriku begitu gembira dan aku pula semakin resah. Tapi aku pasti cuba mengawal memoriku agar tidak lagi merasa sedih. Kini aku bersama Rosnah yang menemaniku. Walaupun resah aku tetap gembira yang kami anak beranak akan sekali lagi memijak bumi Kelantan bersama harapan baru. Kali ini biarlah aku membawa pulang kenangan indah bersama isteriku Rosnah.

Tuesday, January 25, 2011

Allah Jua Mengetahui Isi Hati Hambanya

Pernah tulisanku dalam cerita Catatan Umrah untuk Siti Aishah aku menceritakan tentang niat lain sewaktu mengerjakan umrah. Aku juga telah berjanji yang aku tidak akan meminta lagi kepada Allah agar mimpikan Aishah. Namun didalam hatiku masih lagi terpahat kerinduan ingin melihat Siti Aishah tetapi aku tidak berani lagi berdoa kepada Allah agar aku mimpikan Aishah sebab aku telah berjanji didepan kaabah. Namun pada malam Jumaat lepas terongkai segala kerinduanku.
Dalam mimpiku, aku berada dirumah baruku. Aku sedang bermain laptop. Tiba-tiba aku terdengar suara wanita batuk didalam bilikku. Mustahil isteriku yang batuk sebab dia masih lagi berada digerai. Mendengar kepada bunyi batuk tersebut aku dapat merasai yang itu batuk dari arwah Siti Aishah. Aku bangun dan terus kebilikku. Menyirap darahku bila melihat Siti Aishah sedang solat. Selepas dia memberi salam dan bila dia melihat aku terus dia bangun tanpa berdoa menerpa kearahku. " Abang..Siti rindu dekat abang ". Esak tangisnya begitu kuat sambil memeluk aku. " Abang juga rindu dekat Siti. Kemana Siti pergi selama ini '. Aku juga menangis teresak sambil memeluk erat akan Siti Aishah. Aku tidak mahu lagi melepaskannya.

Sedang kami berpelukan melepaskan kerinduan tiba-tiba isteriku Rosnah pulang dari berniaga. Terus dia menerpa kedalam bilik. Terkejut kami berdua dan terpaksa meleraikan pelukan. Aku menjadi serba salah ketika itu sebab kedua-duanya adalah isteriku. Akhirnya isteriku Rosnah hanya tersenyum dan terus keluar dari bilik seolah-olahnya merestui pertemuan kami. Disitulah kami berbual-bual dan bergurau senda seperti selalunya. Aku dapat merasakan seperti Siti Aishah masih lagi hidup. Aku cukup gembira bila bersama dengannya. Agak lama kami bersama ketika itu.

Akhirnya setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Siti Aishah meminta diri untuk keluar dari rumah. Aku bertanya arwah isteriku kemana yang dia hendak pergi. Dia hanya tersenyum sambil memberi salam dan terus hilang. Aku menangis memintanya agar tidak lagi meninggalkan aku. Tapi akhirnya aku sendiri menyedari yang aku sedang menangis seorang diri diatas katil. Nasib baik isteriku Rosnah sedang memasak ketika itu untuk berniaga. Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Aku mengambil kesempatan ini untuk bertahajud dan berdoa agar ruh Siti Aishah diberkati Allah. Terima kasih kepadaMu Ya Allah kerana memberiku nikmat pertemuan walaupun hanya mainan tidur dan itu sudah cukup memadai buatku. Syukur.....

Saturday, January 22, 2011

Bangang !!!!!!!

Aku mengajak isteriku kebandar kebetulan dia tak berniaga jadi akulah insan yang cukup gembira. " Nah jom kita ke Tanjung cari lampu hiasan. lepas tu kita ke lorong Kulit ". Isteriku hanya tersenyum bila aku mengajaknya kebandar. Jam 9 lagi kami dah keluar. kami mencari gerai berdekatan hospital untuk makan pagi. Aku merasakan amat gembira sebab bukan senang aku dan isteriku dapat bersantai begini sambil makan dan bersembang. Bila orang dah famous kemana saja pergi pasti ada yang kenal. " Kak tak berniaga ka pagi ". Tegur seorang customer. " Leceh la Nah abang dapat isteri yang famous. Pergi mana pun orang kenal ". Isteriku hanya tersenyum mendengar akan kata-kataku. Itulah sifatnya. Banyak senyum dari kata-kata.

Selepas makan kami ke Lorong Kulit. Orang sudah memenuhi tempat itu. Kami berlegar-legar tanpa arah tujuan. Aku terpandang penjual sedang asyik mempromosikan digital urutan reflexsoloji. Pantang sungguh aku. " Abang mari cuba digital urut. Mudah dibawa kemana-mana ". kata penjual. Melihat ia seperti remote control aku terus mencuba. Disambungnya wayar kekakiku. Sebentar saja terasa bergetar kakiku. Memang sedap. " Berapa harga mesin urut ni ". Aku bertanya setelah merasanya. Minatku ingin memiliki sudah sampai. Lupa akan perkara utama iaitu ingin mencari lampu perhiasan. " Hari ini kami promosi dengan harga RM250 ". Isteriku memandang aku. Mungkin dalam hatinya berfikir aku jadi ke beli mesin ini. Perangai aku sudah dia tahu kalau ke lorong Kulit ada saja benda yang aku bawa pulang kerumah. Akhirnya aku mengalah dengan harganya. " Tak apa lain kali saja. Duit tak cukup lagi ".

Setelah membeli buah-buahan kami bergerak kebandar mencari lampu hiasan. Memang cantik tapi melihat pula pada harganya terus kami keluar. Apa taknya harga sekitar RM7000 - RM19000 untuk rumah kampong saja. " Tak payah lampu hiasan la bang. Kita pasang lampu biasa sudah '. Isteriku berkata. Akhirnya kami sepakat untuk pulang saja kerumah. Kami berhenti di traffic light. Jam menunjukkan pukul 12.30 t/hari. Memang panas terik. Seorang polis trafik sedang mengawal lalu lintas. Sebuah kereta kancil dipandu oleh seorang wanita teragak-agak samada nak jalan atau tidak sebab lampu menunjukkan merah. Akhirnya pegawai trafik pun dah meradang. " Bangang...jalan la dok tunggu apa ". Tempik sambil menarik muka yang masam. Aku rasa semua yang berhenti mendengar akan tempikan itu. Aku mendengar sebelahku berkata. " Waduh pak. Kalau enggak mau kerja pulang saja. Panas begini pun enggak boleh tahan. Mahu diamarahi saja. Ini kami kerja berat pun panas juga tapi kami saber ". Memang betul kata-kata pemuda yang mungkin dari Indonesia mendengar dari loghatnya.

Aku masih ingat ketika habis mengambil SPM aku dan rakan-rakan ingin mencari duit poket. Kalau mengharapkan emak atau ayah berapa sen sangat yang boleh dapat. Aku berhasrat ingin memiliki raket badminton jenama Yonex. Rakan-rakan yang sudah bekerja berkata reket itu dalam sekitar RM80. Disaat itu terliur bila melihat mereka memakainya. Akhirnya aku mengambil keputusan kerja kontrak di Padang Golf Bukit Jambul. Tugas kami ialah memanam rumput hijau diatas green. Tatkala tengahari memang cukup terasa bahang dan keletihan. " Budiman boleh kerja ka kontrak ni. Mak tengok muka pun dah tukar gelap ". Kesian siemak melihat wajah anaknya bertukar kehitaman akibat pancaran matahari. Namun aku cukup gembira bekerja dengan rakan-rakan yang lain. Akhirnya tercapai juga impianku memiliki reket badminton yang berjenama. Dengan reket itulah aku memasuki pertandingan badminton. Terbuka Pulau Pinang. Terbuka kampong semuanya aku tak miss. Trofi sudah memenuhi almari.

Setelah aku bekerja kontrak selama 1 tahun akhirnya sampailah surat temuduga untuk menjawat jawatan kosong di TNB. Aku bersama rakanku seramai 6 orang ditemuduga dan akhirnya jawatan itu menjadi rezekiku. Hanya aku seorang terlantik. Hampa rakanku yang lain. Kini aku boleh bersyukur sebab aku telah merasai perihnya bekerja di dalam panas mentari. Bila datang bulan Ramadhan aku tak pernah tinggal puasa walaupun rakan-rakan yang lain tak tahan. Imanku ketika itu cukup kental. Aku mampu bertahan tak makan dan minum. Bila azan berbunyi makan 3 bungkus air masih lagi tidak mencukupi. ibu dan ayahku tertawa melihat gelojohnya aku ketika berbuka.

Kini tempat kerjaku bagaikan rumah keduaku. Semuanya lengkap. Aku tidak bimbang kalau ada apa rancangan menarik di TV. Semua ini berkat kesabaranku menongkah arus demi mencari sesuap nasi untuk membesarkan anak-anaku dan kini alhamdulillah mereka berjaya mengharungi kehidupan mereka sendiri.


Syukur mendapat tempat kerja yang sebegini aman

Tuesday, January 18, 2011

Nyaris Kena Saman

Badan yang keletihan setelah beberapa jam berkawad di program masjid membuatkan aku begitu cepat tertidur. Namun masih terasa sakit dikakiku akibat kekejangan otot. Keesokan harinya pula aku perlu ketempat kerja lebih awal sebab telah berjanji dengan rakan sekerjaku yang mempunyai program. Jadi dalam jam 7 pagi aku perlu menggantikan tempatnya. Itulah kelebihannya kerja secara berpasukan. Kalau rakan lain ada masalah sama-sama kami menolong apa yang perlu. Pada tahun 2008 semasa aku mengalami masalah keluarga dimana isteriku perlu penjagaan rapi, merekalah yang banyak membantu tanpa mengira waktu. Cuti telah habis aku ambil. Kini kalau mereka ada masalah aku perlu membantu pula mereka. Sedar-sedar sudah kedengaran azan subuh di surau berdekatan. Walaupun badan masih terasa letih, solat tetap perlu ditunaikan.

Setelah memakai uniform aku terus memecut motosikal ketempat kerja. Jam di tangan menunjukkan pukul 6.30 pagi. Suasana masih sunyi sebab hari minggu. Tidak ada banyak kereta. Jalan raya turut sepi. Aku sampai disatu traffic light. Selalunya bila lampu merah aku pasti berhenti menanti lampu hijau. Tapi entah kenapa pagi ini aku seperti terpukau dan terus memecut melepasi lampu yang masih lagi merah. Nasib baik tidak ada kenderaan lain. Aku terkejut bila dihadapan ada lagi satu traffic light yang menunjukkan merah. Terus aku brek. Tiba -tiba aku terdengar bunyi hon dibelakang. " Aishh.. tak kanlah kawan-kawan ada dibelakang ". Bisik hati kecilku. Sangkaanku meleset. 3 buah motosikal polis trafik telah berada dibelakangku. " Encik sila berhenti ditepi ". Arah salah seorang polis trafik.

Apalagi aku dapat merasai bagaikan hendak pengsan bila menyedari yang aku telah melakukan kesilapan besar. " Habis abang Nah kali ini kena saman maksimum. Apa aku nak buat ni ". Aku bercakap seorang diri didalam hatiku. Gelabah usah diceritalah. " Abang langgar lampu merah tadi sedar ke tidak ". Tanya polis trafik. " Maaf encik saya tak perasan tadi. Saya kelam kabut tadi. Saya pekerja TNB dan ada breakdown. Sebab itu saya tak perasan langsung ". Aku cuba meraih simpati. Mudah-mudahan mereka terima alasanku. " Kalau abang pekerja TNB sekali pun tak kanlah abang boleh langgar lampu merah dihadapan kami dan orang ramai pula nampak. Kalau saya tak tahan dan saman abang nampak sangatlah kami ni tak betul ". Serius polis trafik memegang buku saman. " Habislah aku kali ni. Ya Allah permudahkanlah ". Tak habis-habis aku berdoa kepada Allah didalam hati.

" Abang tolong beri lesen memandu dan pamerkan roadtax ". Minta pegawai polis tersebut. Aku mencari-cari lesen didalam beg duit. " Aishh...dimana pula lesen ni. Time ni la cari tak jumpa ". Merungut aku didalam hati. Akhirnya terjumpa juga lesen lalu aku hulurkan kepada pegawai polis tersebut. " Saya minta maaf banyak-banyak encik. Bos saya call tadi dan mengarahkan saya cepat-cepat ketempat kerja dengan segera. Kalau tidak satu Penang akan blackout ". Entah kenapa aku terkeluar ayat-ayat ini dan ini mungkin yang terakhir memohon simpati agar tidak disaman. Polis tarfik membelek-belek lesen memandu aku dan terdiam.

" Nasib baik abang pekerja TNB. Kalau tidak tentu saya saman maksimum. Lain kali jangan buat dah ". Sambil menghulur lesen kepadaku dan aku pula tidak putus-putus mengucapkan ribuan terima kasih dan berjanji agar lain kali aku lebih berhati-hati. Terus dia pergi. Berhenti pula polis trafik seorang lagi. " Ingat lain kali jangan main redah saja lampu merah ". Terus dia pergi. Berhenti pula lagi seorang. " Ingat lain kali kalau abang buat lagi macam ini saya bagi saman maksimum dan tiada lagi maaf ". Terus dia pergi. Fuhh...lega rasanya. Nasib baik mood polis trafik baik. Kalau tidak tentu aku kena maksimum. Sampai ditempat kerja dan sesudah rakanku pulang aku terus mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat zhuha.

Entah kenapa sewaktu bertafakur sejenak airmataku mengalir laju mengenangkan insiden tadi.
Bagaimana bila Mungkar dan Nakir bertanya kepadaku soalan yang sama mengapa aku melanggar perintah Allah. Apa yang aku akan jawab. Apakah alasan aku dan apakah mungkin mereka akan memaafkan segala kesilapan yang telah aku lakukan. Kalau didunia aku begitu fasih memberi alasan memohon simpati tetapi kini bila aku keseorangan didalam kubur bagaimana pula lidahku. Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku. Ditempat kerja aku banyak mengelamun tentang peristiwa yang baru berlaku.

Sedar-sedar jam 4 petang dan aku akan menghabiskan tugasku. Sewaktu melangkah keluar dari tempat kerja aku memohon kepada Allah agar Allah jauhkan aku dari melakukan perkara yang tidak baik. Motosikal terus membelah lebuhraya memasuki jambatan Pulau Pinang. Selepas membayar tol aku terkejut sebab dihadapan JPJ pula membuat roadblock. " Ahh..sudah. Apa pula kali ini ". Gerutu hatiku. Aku mengikut giliran sebab semua motosikal diperiksa. Sampai giliran aku pegawai JPJ memerhatiku. Kemudian dia memanggil rakannya. Rakannya datang dan terus ditunjukkan aku kepadanya. " Ya Allah apa pula kesalahanku kali ini ". Hati aku ketika itu amat gelabah. Hanya zikir-zikir pendek bermain dihatiku.

" Encik... saya nak minta izin guna nama Ariff Budiman untuk anak kecil saya yang baru lahir boleh ka '. Aku tergamam mendengar kata-kata itu. " Tak ada masalah. Apa ada pada nama. Saya izinkan ". Kataku. " Saya mengharapkan agar anak saya kelak menjadi insan yang berguna seperti nama tersebut. Ariff, bijaksana dan Budiman, baik hati ". Kata pegawai JPJ. Setelah mengizinkan aku pergi aku terus mengelamun diatas motor apakah akhlakku sama seperti nama yang diberi. Aku masih ingat lagi ayat dari seorang rakanku tatkala tragedi yang berlaku kepada isteriku. " Hang ni baik sangat.Hang ni dayus tau. Kalau aku la, aku balas balik 3 kali ganda kepada orang yang buat bini aku sampai mati ". Ayat inilah yang kerap menghantui aku. Apakah aku telah menjadi terlalu dayus sehingga membiarkan orang yang menyihir isteriku bebas sebebasnya. Apakah aku tidak sayang akan isteriku sehingga membiarkan sahaja perkara itu.

Memang benar seperti kata mereka. Kalau aku ikutkan pepatah melayu yang berbunyi Tepuk Dada Tanya Selera memang seleraku ingin membalas kembali segala perbuatan yang telah mereka lakukan kepada isteriku tetapi apa yang aku pelajari dalam hukum agama berbunyi begini Tepuk Dada Tanya Iman dan imanku berkata kalau dibalas kembali aku sama seperti mereka. Itulah yang memisahkan aku dan mereka. Biarlah Allah yang membalas segala kejahatan yang mereka lakukan dan aku begitu yakin kini mereka telah melalui hari mereka. "Wama karu wamakarallah. Wallahu khairul makirin. Mereka merancang dan Allah juga merancang namun Allah sebaik-baik perancang ". Amin Ya Rabbal Alamin

Monday, January 17, 2011

Walaupun Letih tetapi Mendamaikan Jiwa

Aku telah dilantik menjadi AJK untuk program Karnival Mesra Kariah pada 15 Januari 2011. Tugasan utamaku ialah mengendalikan slot persembahan silat dan pertandingan nasyid. Aku juga diberi tanggung jawab sebagai pengerusi majlis. " Budiman ini dia aturcara majlis. Ini untuk nama pemenang pertandingan nasyid. Ini pula senarai nama permainan untuk sukaneka ". Pening juga menerima bermacam-macam tugasan dari setiausaha. " Budiman nanti bila masa persembahan silat tolong pasang cd ini ". Aku menerima cd dari gang silat. Penuh ditanganku. Akhirnya masa persembahan silat diadakan. Aku tercari-cari diamana cd yang telah diberikan kepadaku. Berpeluh aku mencarinya dimana ia tercicir. Nasib baik dj yang bertuga ada broadband. Search saja di You Tube dan akhirnya berjumpa lagu silat. Lega rasanya.

Daftar untuk bertanding semasa hari pertandingan

Selesai upacara perasmian aku menolong pula acara sukaneka untuk kanak-kanak. Riuh suara kanak-kanak dan ibubapa bila diadakan permainan berebut kerusi. Berpeluh aku dibuatnya ditengah pancaran matahari namun aku cukup gembira dapat bersama rakan-rakan yang lain. Bila tiba selepas zohor aku mengendali pula slot pertandingan nasyid. Hati aku cukup terhibur dengan persembahan dari anak didikku. Walaupun setiap pertandingan itu sudah pasti ada menang dan kalah tapi itu bukan matlamatku. Biar kesemua peserta nasyid berani bila berada diatas pentas. Pernah dalam sekitar tahun 90an aku bersama blogger Insan Marhein dan Jendela Hatiku berada diatas pentas mempersembahkan nasyid kepada hadirin. Kini aku berada diatas pentas mengendali nasyid untuk anak-anak kariah. Betapa cepatnya masa berlalu. " Pakcik Budi. Tolong baca doa dan hembus dekat kami. Kami takut naik atas pentas ". Aku tersenyum mendengar anak didikku ketakutan. Tok guru mereka pun terasa geli perut bila nak persembahkan nasyid suatu ketika dahulu.

Sepak raga tuju

Saat yang tidak dapat aku lupakan ialah apabila berada diatas pentas. Sudah tentu bayangan arwah isteriku sentiasa bermain dimataku. Terbayang akan kelibatnya kesana-kesini sibuk dengan aktiviti pertandingan. Betapa aku merindui akan saat-saat itu. Kini aku datang dan pulang keseorangan. Tapi tak apa biarlah kenangan itu terus berkekalan sehingga akhir hayatku. Mengendali slot nasyid amat menggembirakan hatiku sebab ia bertepatan dengan naluriku. Kanak-kanak begitu semangat. Ada yang datang last minit bertemu aku. " Pakcik Budiman boleh tak kami nak masuk bertanding nasyid hari ini ". Tanya anak gadis dari sekolah rendah. Melihat akan kesungguhan dan keberanian mereka aku bersetuju menerima mereka sebagai peserta. Dengan pakaian berwarna merah mereka menyanyi lagu Sepohon Kayu. Ibubapa yang menyaksikan persembahan mereka merasa cukup terhibur.

Anak didikuu bergambar bersama keluarga mereka

Sebelum pulang kerumah aku sempat menziarahi pusara isteriku yang berada dibelakang masjid. Hanya doa yang dapat aku kirimkan untuknya. Begitu mudah airmataku mengalir tatkala doa dibacakan. Semoga ruhmu tenang disana. Ketika aku pulang kerumah isteriku menyambutku dengan senyuman sambil menanti cerita-cerita menarik. Walaupun dia tidak sama dengan arwah isteriku aku cukup gembira bila dia bertanya kabar tentang Karnival tersebut. Sudah cukup bagiku. Malamnya aku dapat merasai ketulan-ketulan yang bergerak dikakiku. Aku menjerit memanggil isteriku. Rupanya aku mengalami kekejangan otot. Setelah menerima urutan dari isteriku barulah aku dapat melelapkan mata sebab esok harinya aku akan mula bertugas untuk rumah tanggaku pula. Moga amal-amal kecilku akan diterima oleh Allah bila berhadapan dengan yang maha esa. Apakah ia sudah memadai buat diriku. Yang nyata ialah hidupku perlu diteruskan tanpa insan tersayang.

Persembahan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia

Friday, January 14, 2011

Abang Memang Bertuah Le

Isteriku mengajak aku menemaninya ke Giant untuk mencari bekalan dapur yang telah berkurangan. Setelah selesai solat asar kami terus kesana. Kami ketempat minyak dulu sebab itu merupakan tempat utama. Hampeh minyak yang dikatakan mencukupi masih lagi tiada. Yang ada cuma yang mahal saja. Merungut isteriku sebab kalau tiada minyak masak alat tutup gerailah keesokannya. Setelah barang keperluan mncukupi kami ke kauter pembayaran. Selesai membayar kami telah ditahan oleh seorang wanita. " Abang belanja satu troli berhak mendapat cawan percuma. Sila kesana ". Sambil menunjuk tangan kearah meja sebelah.

Kami terus kesana untuk mendapatkan cawan percuma seperti yang dijanjikan. Terpampang jenama Roset di kaunter mereka. Seorang lelaki menyuruh aku menanti sebab masih mencari cawan. Wanita tersebut menghulurkan aku borang. " Abang tulis maklumat di borang ini sebagai tanda saya buat kerja ". Kata wanita tersebut dan aku mengikut saja namun maklumat peribadiku aku tembak saja sebab aku sudah mula menghidu sesuatu. " Abang... ini ada vaocher untuk abang. Kalau abang membeli produk kami abang layak mendapat diskaun RM100. Abang kena tandatangan dulu ". Kata wanita tersebut sambil menghulur voucher untuk ditandatangani.

" Cawan tak jumpa lagi ke. Kata nak bagi cawan percuma ". Aku sengaja merungut untuk melihat reaksi mereka. Maka terdengarlah bunyi bising seperti mencari sesuatu manakala wanita tadi terus memainkan peranan penipunya. " La abang sign salah tempat ni. Abang tengok borang lain semua sign disini ". Wanita tersebut buat-buat marah sebab aku sign salah tempat dan aku pasti voucher yang aku dapat berlainan dengan voucher yang ditunjukkan. " Cik yang suruh saya sign disini ". Aku berkata dan mula aku dah rasa geram dengan penipuan aku. Isteriku gelisah sebab aku masih lagi melayan mereka.

" Betul ke abang, saya beri voucher ini. Abang memang bertuah sebab orang lain semua dapat voucher lain ". Wanita tersebut buat-buat tergamam dan kawan-kawannya pun turut sama berbuat demikian. Ala macam taktik gores dan menang la. Memandang maghrib semakin dekat aku membuat keputusan menegur mereka. " Berapa gaji adik dapat untuk menipu pelanggan. Janji dapat cawan percuma. Ni bayang cawan pun tak nampak. Hangpa tutup kedai dan pergi sembahyang lebih baik dari dok menipu orang. Duit yang hangpa dapat pula mungkin hangpa bagi dekat mak bapak hangpa hasil dari menipu ". Begitu lancar aku bercakap sehingga terkunci mulut mereka semua. Aku baling voucher kembali kearah mereka. " Tak apa la adik cawan tu abang sedekah dekat hangpa. Pi la jual cawan tu dan duit ambil buat belanja ". Aku memperli mereka sambil berjalan pulang. Aku hairan dengan Giant yang boleh terima syarikat penipu masuk kedalam gedung mereka. Ingat pembaca di Penang kalau masuk kedalam Giant cuba cari jenama Roset warna merah. Itulah syarikat penipu ala gores dan menang.

Monday, January 10, 2011

Peminat Maher Zain Rupanya

Sudah hampir setahun lebih aku mencukur dan mentahnik anak kecil ini. Dulu semasa di kampung sebelum pindah anak kecil ini di hantar kepadaku. Kini setelah kami pindah emaknya datang membawa anaknya untuk menziarah rumah baru. Kata emaknya anaknya kalau dengar lagu lain akan menangis sekuat-kuatnya. Akhirnya bila di pasang nasyid dia pasti diam dan terlena. Kini anak kecil ini meminati Maher Zain. ' " Barakallah hulakuma wabaraka alai kumma ". Inilah lagu yang paling diminatinya. Tersenyum isteriku mendengar cerita jiran kami dahulu. " Ni dia ikut Tok cukur la yang minat nasyid ". kata isteriku. Aku hanya tersenyum mendengarnya. Tak sangka juga ada waris aku. kalau Tok cukur kaki mengata entah apa akan jadi kepada anak kecil ini bila meningkat dewasa. Rata-rata yang pernah aku jumpa pun berkata begitu, " Sebiji ikut Budiman suka dengar lagu nasyid ". Alhamdulillah benda yang baik ya tak.

Saturday, January 08, 2011

Semua Orang Pasti Akan Merasai Mati

Selesai menunaikan solat jumaat, aku mendapat panggilan talipon dari isteriku yang mengatakan bahawa abang ipar kami yang pernah aku tulis dalam blog ini telah meninggal. Bergegas kami ke Taiping kerana dapat maklumat jenazah akan disemadikan selepas solat asar. Aku masih keletihan sebab belum lagi tidur setelah bertugas malam manakala isteriku juga keletihan setelah pulang dari berniaga. " Abang Nah tidur dulu dalam kereta. Nanti bila pulang nanti Nah pula yang drive dan abang pula tidur dalam kereta ". Aku akur dengan isteriku. Biarlah dia tidur memandangkan jam 4 pagi sudah bangun. Aku masih lagi boleh control mengantukku. Sekejap saja isteriku dah tak sedar. Berbekalkan goreng pisang dan goreng ubi aku memandu membelah hujan lebat disepanjang lebuhraya.

Bagaikan berada di taman - taman syurga. Indah sungguh kawasan perkuburan

Bila isteriku tersedar terkejut dia sebab aku dan memasuki tol Taiping. " Abang bawa berapa ". Ringkas pertanyaannya. " 130 - 140 km/j ". Ringkas pula aku menjawab sambil tersenyum. Namun kami masih juga terlewat sebab mayat telah dibawa ke masjid. Bila sampai saja disana mayat baru disemadikan menanti bacaan talkin oleh tuan imam selepas solat asar. Aku tergamam memasuki kawasan perkuburan di Masjid Al Hidayah Taiping. Kawasan perkuburan dijaga begitu rapi sekali dan aku merasai seperti berjalan di taman-taman syurga. Selepas menunaikan solat asar aku terus ke kubur untuk upacara bacaan talkin. Tuan imam berada dihadapan kubur sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Aku dan isteri menunduk sambil mendengar akan bacaan talkin yang disampaikan oleh imam masjid al Hidayah.

" Bismillah Hirrahma Nirrahhim. Maha suci tuhan yang engkau bersifat dengan baqa dan qidam. Tuhan yang berkuasa mematikan sekelian yang bernyawa. Mahasuci tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Mahasuci tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai dan sebesar-besar amaran kepada orang yang hidup. ingatlah !! bahawa sekelian manusia akan jahanam dan binasa melainakan zat Allah taala '.

" Wahai Sharif bin Aminah, Wahai Sharif bin Aminah, Wahai Sharif bin Aminah. Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada membawanya dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri akhirat. kamu telah mengaku bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan bahasanya nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ingatlah Sharif bin Aminah apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir maka janganlah berasa gentar dan takut. Janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah hati dan terkejut. Ketahulah wahai Sharif bin Aminah bahawasanya Mungkar dan nakir itu adalah hamba Allah taala sebagaimana kamu juga hamba Allah taala ".

" Apabila mereka menyuruh kamu duduk dan akan menyoal kamu. Mereka berkata,
Siapa tuhan kamu ?
Siapa nabi kamu ?
Apakah agama kamu ?
Apakah kiblat kamu ?
Siapakah saudara kamu
Apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu ?

' Dimasa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh gapah. Biarlah tenang dan berhati-hati.
Allah taala tuhanku
Muhammad nabiku
Islam agamaku
Kitab suci al Quran ikutanku
Baitullah itu kiblatku dan kalaimah yang aku bawa ialah La ila ha illallah. Muhammadur Rasulullah.

Imam terus membaca talkinnya. Aku melihat isteriku tidak putus-putus mengasat airmatanya. Sekejap dia memerhati akan aku yang juga turut berlinangan airmata. Konsentrasiku terkeluar bila aku mula terngiang-ngiang bacaan talkin terhadap arwah isteriku. kini mereka semua telah mengadap ilahi membawa bekalan masing-masing. Aku yang hidup sudah pasti berhadapan dengan ujian demi ujian. Mendengar bacaan talkin membuatkan hatiku berdebar-debar. Apakah cukup amalan yang aku akan bawa kelak. Bolehkah aku menjawab soalan-soalan yang sudah bocor ini. Tidak...hanya amalan saja yang mampu menjawab kesemua soalan itu. kalau hidup dipenuhi dengan kemaksiatan usah dimimpi syurga Jannatul Naim....

Kini giliran aku pula tidur dalam kereta. Mata yang mengantuk membuatkan aku begitu mudah terlena. Sedar-sedar isteriku telah mengejutkan aku. Kami sampai di tol jambatan Pulau Pinang. ' Berapa Nah bawa ". Tanyaku ringkas dan jawapannya juga ringkas sambil tersenyum. " 120 km/j ". Astaghfirullah hal azim serupa kami berdua.

Wednesday, January 05, 2011

Jom Makan Mee Udang

Pernah aku menyuara hasratku ingin berniaga mee udang ketika lapang kepada arwah Siti Aishah. Memandang dia memang pandai masak jadi aku tidak teragak-agak mengajaknya. Aku mendapat respon positif darinya yang juga begitu semangat untuk berniaga. " Siti kalau Allah beri rezeki lebih kepada kita melalui bisnes ini, abang ingat nak beli rumah yang selesa sikit untuk kita ". Aku berkata kepada isteri. Tersenyum dia mendengar angan-anganku. " Insyaallah bang janji kita rajin. Allah tak akan bantu kita kalau kita tidak membantu diri kita sendiri ". Aku membenarkan akan kata-katanya. Selang beberapa minggu isteriku telah berubah. Dia mengalami demam panas dan batuk serta muntah-muntah darah. Akhirnya hajat kami tidak kesampaian apabila Siti Aishah telah pergi buat selama-lamanya. Terus berkubur angan-anganku ingin membuka warung mee udang. Kini hasrat aku dahulu telah dipenuhi oleh anak saudara Siti Aishah sambil dibantu oleh anakku Siti Zinnirah. Setelah pulang dari bertugas dia akan terus ke warung untuk menolong sepupunya. Rindu aku terhadap masakan Siti Aishah terubat bilamana anakku mewarisi ilmu memasak. Rasanya tak tumpah seperti emaknya.

Isteriku Rosnah turut memuji akan kesedapan mee udang yang dimasak oleh anakku. Warung dibuka bersebelahan rumah ibu mertuaku. Setelah aku berpindah kerumah baru, jarak antara rumahku dan ibu mertuaku hanyalah 1 kilometer sahaja. jadi keraplah juga aku melepak sambil melepaskan kerinduan kepada anakku. Kepada pembaca yang tinggal berdekatan silalah datang untuk merasa mee udang di kampung Sungai Tiram. Sepinggan hanyalah RM3.50 tumpang minyak tak naik harga lagi. Selamat datang semua.

Monday, January 03, 2011

Macam Mana Encik Buat ....

Hari ini aku ke hospital untuk membuat checkup. Setiap 3 bulan aku pasti buat supaya lebih mudah dipantau kesihatan aku. " Encik Ariff mari kita timbang dulu ". kata jururawat sebelum mengambil darah untuk di uji. Dibukanya fail yang sebelumnya. " Encik Ariff turun banyak berat badan. Sebanyak 6 kilo turun ". Aku bagaikan tidak percaya lalu meminta agar jururawat menimbang semula. Serupa juga bacaannya. Jadi sahlah berat badan aku turun sebanyak 6 kilo. " Macam mana en Ariff buat sampai turun banyak itu dalam masa 2 bulan ". Tanya jururawat yang membuatkan aku sedikit kembang kerana berjaya menurunkan berat badan. Itupun sebab Dr dah bagi warning. " Saya amalkan makan nasi sehari sekali. Itupun hanya semangkuk kecil saja dan tak pernah tambah. kena rajin joging. Banyak naik tangga dan tak guna lif ". Aku bercakap macam aku ini pakar pemakanan. Riug juga di hospital sebab jururawat sudah mengenaliku dan membuat mereka tidak segan silu lagi.

Aku pulang kerumah dengan senang hati. Isteriku tak berniaga hari ini sebab masih lagi keletihan setelah berpindah rumah. Aku cerita tentang hal berat badan rurun. Tersenyum dia dengan penurunan verat badanku. Rasa badan pun ringan sedikit. Kepada pembaca semua marilah kita amalkan gaya hidup sihat.....

Sunday, January 02, 2011

Pindah Rumah

Alhamdulillah pada tanggal 1 Jan 2011 aku dan isteri telah mula berpindah memasuki rumah baru kami. Badan begitu meletihkan ketika mengangkat barang. Nasib baik anak aku dan anak tiriku ada. Merekalah yang banyak memainkan peranan. Aku menjadi seperti mandor mengarah itu dan ini. Semasa aku seusia mereka, akulah menjadi harapan keluarga untuk membantu apa yang patut. Abangku ketika itu berada di Mesir mendalami ilmu perubatan. Terasa benar juga dalam usia begini juga seperti insan marhen dan jendela hati sisa-sisa tenaga ini telah berkurangan. Sepanjang perjalanan kerumah baruku aku perasan yang isteriku terlalu sebak meninggalkan rumah yang didiami selama 17 tahun. Banyak suka dan duka terpahat dirumah itu. Itulah yang aku rasa tatkala keluar dari rumahku setelah berkahwin dengan isteriku Rosnah. Meninggalkan 2 anak hasil perkongsian hidup dengan arwah Siti Aishah. Walaupun mereka sudah besar dan meredhoi apa yang telah tersirat namun sebagai seorang ayah yang tidak pernah renggang selama 23 tahun aku terlalu sedih tetapi dalam masa yang sama terpaksa berkorban kasih sayang.

Siang dan malam aku merindui anak-anakku. Mereka terpaksa berjauhan dengan ayah mereka. Itulah pengorbanan yang cukup besar untukku. Sudah hampir 2 tahun aku terpaksa memendam perasaan. Biarlah kami berkorban asalkan di akhirat kami dapat bertemu jua insyaallah. Selepas solat maghrib aku menghampiri isteriku yang masih lagi bersedih walaupun tidak ditunjukkan kesedihannya kepadaku. Namun riak muka sudah menggambarkan sesuatu yang dipendamkan. Aku berpaling kearahnya dan berkata, " Nah kehidupan kita berdua ibarat sebuah drama dimana pengarahnya ialah Allah. Dalam episod pertama dipertonton perjalanan kisah Nah dan keluarga manakala episod seterusnya ditayang episod abang dan keluarga abang. Saat itu kita merupakan keluarga bahagia '. Isteriku kehairanan apa yang hendak aku sampaikan dan aku sendiri pun tidak mengerti apa yang hendak aku sampaikan ".


" Tanpa sesiapa duga Allah telah menguji Nah dengan kematian suami. Ketika itu amat berat Nah memikul segala tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada anak-anak. Alhamdulillah Nah berjaya mengharungi dugaan berat ini sehingga anak-anak meningkat dewasa. Tiba-tiba di episod lain ditunjukkan pula bagaimana Allah menduga abang dengan kematian Aishah. Bagi sesiapa yang tiada iman tentu telah menyalahkan Allah. Mengapa kita yang diduga tetapi tidak orang lain. Seperti juga Nah dengan dugaan Nah manakala abang dengan dugaan abang. Kita merasakan amat berat dugaan ini ".

" Siapa sangka rupanya pengarahnya iaitu Allah telah menggarap agar kita berdua dipertemukan walhal sebelumnya tidak terlintas dihati kita bahawa perkara ini akan berlaku. Setelah kita diijabkabulkan abang terpaksa berkorban dengan meninggalkan anak-anak abang dirumah. Memang mereka telah pun dididik dengan ilmu agama agar dapat menerima dugaan ini tetapi siapalah tahu didalam hati mereka terpaksa berpisah dengan ibu mereka selama-lamanya dan kini berjauhan pula dengan ayah mereka ". Disaat ini aku terlalu sebak bila bercakap soal anak-anak. " Cerita kita tidak berakhir begitu saja. Pengarah menggarap pula agar endingnya adalah ending gembira. Akhirnya Nah segalanya Allah atur dengan begitu rapi sekali. Kita telah dapat membeli rumah baru agar segala memori dan kenangan silam berkurangan ".

" Kini biarlah kita melangkah dengan penuh kesyukuran sambil membawa kenangan silam yang tidak dapat kita padam. Kalau kita fikirkan kembali kisah lalu tentu kita bersyukur kepada Allah kerana perancangannya yang begitu rapi terhadap kita ". laju air mata isteriku ketika ini. Aku mengharap agar Allah permudahkan segala urusan kami dirumah baru kami dan Allah tiupkan iman agar kami tidak lalai dan leka dengan nikmat sementara yang diberikan. Sebenarnya aku amat berterima kasih kepada kedua-dua anakku. Pengorbanan yang mereka lakukan tidak pernah aku lupakan. Mereka terpaksa mengorbankan kasih sayang yang setiap anak-anak perlukan. Ya Allah kau berikan kejayaan dunia dan juga akhirat kepada kedua-dua anakku Siti Zinnirah dan juga Hermawan. Aku gembira hasil pengorbanan besar mereka. Amin....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...