Teman-teman

Thursday, June 30, 2011

Nak Memancing Di Pulau Jerjak

Aku, anak-anak serta anak saudara sudah membuat perjanjian iaitu pada hari Ahad 3 Julai 2011, kami akan menaiki bot menuju ke Pulau Jerjak untuk aktiviti memancing. Segala kelengkapan telah di beli. Begitu bersemangatnya kami. Aku mengajak isteriku agat dapat bersama. Dia nampak seperti ingin turut serta. namun setelah berfikir panjang dimana bertolak jam 7 pagi dan pulang jam 5 petang, dia membatalkan terus hajatnya. Rasa seronok juga kalau isteriku dapat mengikuti. Awal-awal lagi aku sudah mintanya buatkan nasi lemak untuk santapan kami semasa berada di pulau. Belum sampai hari Ahad dah fikir nak makan apa. Sengaja aku usik isteriku nak masak apa kalau dapat ikan siakap manalah tahu dia mengubah fikiran. Namun dia still menolak. Rasa tidak sabar setelah hampir 2 tahun aku kehilangan teman ketika memancing dan menjala. Aku masih ingat ketika aku dan rakan-rakan memancing di tepi pantai. Tiba-tiba rod aku terasa seperti terlekat sesuatu. Apalagi aku pun mula memanggil kawan-kawan. " Woi....mai tolong aku. Ikan besar ni ". Sambil menggulung tali pancing. Apalagi bila kawan-kawan mendengar terus mereka menyerbu untuk membantu aku. Akhirnya bukan ikan besar yang aku dapat tapi entah tuala wanita mana yang tersangkut. " Aku begitu geram sekali. " Soi betou hari ini '. Diikuti gelak ketawa dari rakan-rakan. Bermula saat itu aku sering di usik sesiapa yang memancing bersama aku akan mendapat ikan besar. Merah padam muka aku menahan usikan kawan-kawan. Jadi Ahad ini aku mengharapkan agar sejarah lalu tidak berulang kembali. Jom memancing semua......

Wednesday, June 29, 2011

Dekat Orang Pandai Nasihat. Sendiri Kena.....

Masih aku ingat bulan yang lepas. Isteriku mengadu sakit gigi. Aku mengajaknya ke klinik gigi untuk di periksa. Takut katanya. Akhirnya bila tiba malam sakit menyerang isteriku. Aku merupakan seorang suami yang cukup penyabar. Begitu indah aku dibuai mimpi. Sedar-sedar kelihatan isteriku sedang menekan giginya. Katanya semalaman dia tidak dapat tidur. Rasa bersalah mula menyerang aku. Aku lena sehingga tidak menyedari isteriku sakit gigi. Jam 9 pagi aku membawanya ke klinik. " Ala tok sah takut. Bukannya sakit bila di cabut. Injection dia macam semut gigit saja ". Disebabkan tazkirah aku umpama seorang doktor kauseling, isteriku menjadi berani. Melangkah dia masuk kedalam bilik operation. Aku mendengar bunyi seperti di gerudi gigi. Rasa seriau pun ada juga. Sebentar kemudian aku melihat isteriku keluar sambil memegang giginya. Apa sudah jadi ni. " Doktor kata gigi Nah rosak teruk. Sakit pipi Nah doktor tekan ". kata isteriku. Kami terus keluar namun jururawat mengejar kami. " Kak..kak...Kakak terlupa buka apron yang tergantung ". Masyaallah sampai terlupa nak buka apron akibat bukannya sakit gigi lagi tapi sakit pipi akibat ditekan doktor. " Ganas sungguh doktor tu ". Kata isteriku.

Keesokan harinya lebam hitam sudah kelihatan. Mukanya yang putih lebih ketara nampak tompok hitam. Seminggu baru hilang kesan hitam. Dua hari lepas anak lelaki mengadu sakit gigi. Semalaman juga tak boleh tidur. Keesokkan harinya aku membawa ke klinik yang sama. Aku menasihati agar tidak takut untuk mencabut gigi. Nampak pucat juga anak aku. Terdengar bunyi gigi di drill. Aku begitu seriau. Anakku keluar. Katanya doktor tu ganas sungguh. Sudah 2 orang mengatakan doktor ganas. " Ala biasa la. Dah gigi rosak teruk. Doktor kena kuat sikit guna tenaganya ". Fulamak macam pakar kaunseling. Diam anakku sambil tersenyum mendengar tazkirah dari ayahnya.

Semalam aku pulang dari kerja terasa berdenyut gigi. Biar betul ni. Jangan buat hal malam-malam buta nanti. Namun gigi aku tak mendengar cakap. Malam-malam terasa sakit yang begitu amat sekali. " Nah..abang sakit gigi. Nak buat macam mana ni ". Aku mengejutkan isteriku. Pandai pula aku. Time aku sakit pandai cari orang sebelah. " Cuba abang try kumur dengan air garam ". Kata isteriku dalam keadaan lali. Aku terus bangun lalu aku buka peti sejuk. Aku tuang air kedalam cawan lalu aku kumur. " Ya Allah Nah sakitnya gigi abang ". Menjerit aku kesakitan akibat kesejukan air dalam peti sejuk terasa macam arus letrik mengalir di gigiku. " Nah suruh abang kumur dengan air garam. Yang abang kumur dengan air sejuk buat apa ". Tertawa isteriku melihat bagaimana keadaan aku ketika di lamun sakit gigi.

Nasib baik keadaan gelap. Kalau tidak sudah tentu dia nampak wajah aku bertukar. Malu, nak tertawa diri sendiri pun ada. Baru kena betoi kali ini dengan aku. Pagi aku talipon anakku mengajak dia menemani aku mencabut gigi. " Ayah tok sah takut. Bukan sakit dia cabut gigi ". Anakku memberi tazkirah sambil tersenyum. Heee....geramnya aku. Dia perli aku. " Ala bang dia inject macam semut saja ". Kata-kata isteriku membuatkan aku ketawa besar. Dia sudah pulang paku buah keras. Bila nama aku dipanggil nurse terasa jantung begitu cepat. " Encik Ariff. Gigi sudah rosak teruk. Kena buat penbedahan ". Kata doktor wanita berbangsa benggali.

Dengar perkataan operation saja aku sudah seriau. " Tak operate tak boleh ka doktor ". Kataku.
" En Ariff jangan takut. Tak ada sakit. Saya inject ubat kebas ". Terasa senak perut bila mendengar kata-kata doktor. Akhirnya setelah terasa kebas doktor memulakan proses. Akhirnya disebabkan kuatnya gigi aku terpaksa doktor merapatkan badannya kemuka aku. Ni 18 sx sikit. Kepala aku teruk melekat dibadannya. Ya Allah pembaca boleh bayangkan. Macam nak lemas aku dibuatnya. Akhirnya selesai juga gigi aku dicabut. Aku keluar lalu aku cerita pada anak aku. " Doktor tu ganas sungguh. Dia tembab badan dia di muka ayah. Terus ayah tak boleh bernyawa ". Tertawa anakku mendengar cerita aku. Sambil menuruni anak tangga kami anak beranak tidak habis-habis tertawa bila memikir kisah aku.

Aku cerita kepada isteriku bagaimana ganasnya doktor menembab badannya kemuka aku. Ketawa isteriku mendengar cerita aku. " Kira abang satu-satunya pesakit yang bertuah la " Kata isteriku. " Bertuah apa. Bau badan doktor punya hangit ". Ketawa kuat isteriku mendengar kata-kataku. " Baru abang tau macam mana rasa nak cabut gigi ". Aku tersenyum sumbing bila isteriku berkata demikian. Janganlah sakit gigi lagi. Tak sanggup aku..........

Kerana Wang Manusia Menghalalkan Cara

Baru-baru ini aku berkesempatan mengikuti kuliah maghrib. Program yang semacam inilah menjadikan ruh dan jasad kita tenang. Para malaikat mengembangkan sayapnya sambil berdoa agar mereka yang mengikuti kelas ilmu diberkati kehidupannya. Ustaz yang begitu terkenal di Pulau Pinang iaitu Ustaz Shamsuri. Begitu ramai jemaah yang hadir. Ustaz menceritakan kisah kita yang hidup dizaman yang mementingkan wang. Manusia sanggup menghalalkan cara untuk wang.

Kisah mengenai seorang lelaki yang ingin membuat aqiqah anaknya. Dia mencari seekor kambing dan akhirnya berjumpa dengan mereka yang menjual kambing. Dibelinya seekor kambing tetapi merasa hairan kenapa kambing ini ekornya panjang. Selalunya ekor kambing pendek. Bila ditanya kepada penjual, dikatakan bahawa kambing ini jenis baka yang baik. Berpuashati dengan kambing tersebut lelaki yang membeli pun membawa pulang untuk di buat aqiqah

Sewaktu melakukan penyembelihan bilamana pisau berada ditengkok kambing untuk disembelih, tiba-tiba kambing tersebut menyalak. terkejut lelaki yang membeli dan tidak jadi menyembelih kambing tersebut. Beliau pergi berjumpa dengan penjual kambing. Akhirnya penjual kambing mengaku bahawa kambing itu adalah kacukan dengan anjing. Istifar panjang lelaki tersebut. Ini bermakna kambing itu haram dimakan sebab telah bercampur dengan benda yang haram.

Terfikir juga aku akan kebenaran kuliah ustaz. Kita kini berada dizaman dimana manusia tidak lagi mementingkan agama. Mereka sanggup melakukan apa saja demi wang dan hawa nafsu mereka. Dapat juga ilmu untuk aku sampaikan kepada isteriku.

Tuesday, June 28, 2011

Masa Menentu Segalanya

Aku masih ingat lagi pada tahun 2000. Umat islam berada dalam bulan Ramadhan. Isteriku Siti Aishah begitu tekun menjahit tempahan baju raya. Katanya ada sebanyak 25 pasang. 10 hari sebelum umat islam menyambut Syawal isteriku sudah menjahit sebanyak 15 pasang. Ini bermakna lagi hanya tinggal 10 helai lagi yang perlu disiapkan. Radio sudah memutarlah lagu-lagu raya.

Kini tiba masanya berhari raya
Muslimin dan muslimat sembahyang bersama
Menyembahkan diri pada yang kuasa
Bermaaf dan maafan di antara kita

Itulah lagu Aidil Fitri nyanyian Sanisah Huri. " Abang nak raya dah. Siti kena habiskan baju. Siti minta maaf sebab tak boleh nak masak ". Nampak sangat isteriku sudah mula tension. Akhirnya aku menenangkannya. " Tak apa. Siti buat kerja Siti. Abang masaklah apa yang abang pandai ". kataku kepada isteriku. Tapi apa yang aku pandai. Tak lain dan tak bukan ialah sambal tumis Jawa. kadang-kadang aku menenaminya sampai ke sahur dan selepas itu kami baru tidur. Alhamdulillah sebelum 5 hari nak masuk Syawal kesemua baju telah dapat di siapkan dan isteriku begitu gembira mendapat upahnya.

" Bang jom kita pergi BJ Shoping Complex. Ada benda Siti nak beli ". Aku mengikut saja isteriku. Akhirnya kami memasuki kedai jam tangan. " Abang pilihlah jam mana yang abang berkenan. Siti nak hadiah dekat abang ". Aku memerhati jam yang aku berkenan. Harganya ratusan ringgit. Akhirnya aku meminta dia sendiri memilih untuk aku. " Siti berkenan yang ini. Siti beli ini untuk abang sebagai ucapan terima kasih kerana menemani Siti menja hit pakaian ". Jam Casio yang berharga RM150 ketika itu. Aku tidak pernah lekang memakai jam hasil hadiah isteriku. Kalau aku tidak memakainya terasa amat janggal sekali.

Pada tahun 2008 ketika isteriku sakit. " Ya Allah bang sakitnya perut Siti. Tolong hembuskan ayat quran bang ". Aku menurut kemahuannya. Terbaring dia diatas katil dirumah ibunya. Aku membaca ayat-ayat suci Al-Quran lalu aku hembuskan dibadannya. Akhirnya aku menanggalkan jam tangan untuk mengambil air sembahyang. Aku ingin bersolat hajat bermohon kepada Allah agar isteriku pulih seperti sediakala. Tidak sanggup aku melihat penderitaannya. Bab jam tangan tidak aku hiraukan lagi.

Akhirnya pada 18 Disember 2008 isteriku Siti Aishah telah pergi buat selama-lamanya. Bermula saat itulah jam tangan hadiah dari isteriku tidak kelihatan lagi. Entah dimana tercicir jam itu pada sangkaanku. Aku tidak lagi memakai jam tangan saat itu. Jikalau aku membeli jam tangan di pasar malam akan aku tanggalkan sebab aku sendiri pun tidak mengerti. Baru-baru ini tatkala aku solat di rumah mertuaku sempat juga aku melihat katil dimana terlantar isteriku ketika dia sakit. Baju-bajuya masih tergantung kemas. Aku terkenangkan kembali kisah lalu dan entah kenapa aku mengingati kembali ketika aku menanggalkan jam tangan untuk mengambil air sembahyang, aku letakkan diatas katil. Mungkin ia terjatuh di celah katil.

Benar sangkaanku. Jam itu berada di bawah tilam dan baterinya sudah lemah. Semalam aku dan isteriku Rosnah ke Tesco. Aku bawa sekali jam tangan untuk diperiksa. " Tauke ini jam manyak lama. Tak ada losak lagi. Cuma tukar bateri saja. Ini jam sudah 10 tahun umur dia ". Kata tauke yang tahu akan lamanya jam.
" Lu tukar jam baru la. Ini jam lu simpan ". Kata tauke jam
" Betoi bang. Abang belilah jam lain. Nah belanja ". Kata pula isteriku.
" Tak apalah Nah, Membazir saja kita buangkan duit sedangkan jam ini masih baik lagi ". Kataku pula. " Siapa beli jam ini. Abang ka ". Tanya pula isteriku. Tak kan aku nak kata Siti Aishah yang belikan. Sudah tentu dia cemburu.

Akhirnya isteriku mengalah juga. Dia berjanji nak hadiahkan aku sehelai baju menjelang raya. Katanya dia sendiri yang memilih jenis dan warna baju. " Abang nak pakai tak kalau Nah beli ". Tanya isteriku. " Terima kasih. Insyaallah kalau isteri abang beli abang akan pakai setiap hari". Tersenyum dia bila aku menerima hadiahnya dengan senang hati. Siapa yang tak sayang bini oiii....

Saturday, June 25, 2011

Ke Pasar Petang

Setelah isteriku pulang dari gerai, dia mengajak aku ke pasar petang. Pasar ini lebih dikenali dengan nama pasar orang kaya. Terletak di Batu Lancang. Harganya tidaklah mahal sangat. Bagi mereka yang bekerja waktu pagi inilah pasar yang membolehkan mereka membeli bila pulang dari kerja. Aku dan isteri kerap kesini untuk mencari bekalan perniagaan isteriku. katanya disini harganya murah. Banyak juga ikan dijual disini. jenuh memilih. Disitulah ada ikan, sayur, buah-buahan, dan perkakas dapur. Kalau datang sini tak payah ketempat lain. Semua ada disini.

Terlihat telur ikan, teringat pada anak gadisku. Dia cukup suka dengan telur ikan ini. Masa arwah emaknya ada kerap juga emaknya memasak sambal tumis telur ikan. Kalau tidak pandai masak, telur ini akan pecah. Entahlah bagaimana arwah isteriku lakukan. Sambal tumis yang dibuat dimana telurnya tidak pecah. Berselera kami makan. Aku beli dengan harga RM8. Sekilo dijual dengan harga RM24

Sotong kurita atau sotong kereta kata orang Penang. Memang kesukaan aku. Dicicah dengan air asam atau jikalau malas hanya dicicah dengan sos cili. Memang enak sekali. Aku beli dengan harga RM4.

Siput Belitong atau siput sedut. Sungguh enak dibuat masak lemak pedas. Pastikan dibawahnya di potong. Kalau tidak jenuh menyedutlah. Tak akan keluar hasilnya. Aku beli juga sebanyak RM5. Hari minggu iaitu esok, aku nak makan puas-puas .

Berjenis-jenis siput. Jenis begini elok dibuat masak pedas beserta serai dan cili padi. Tapi aku tidak membelinya. Terlalu banyak makanan. Takut tak habis. Bila air surut teringin pula nak mengorek siput.

Ikan Sembilang. Ini aku tak boleh miss. Terketar-ketar tangan bila melihat ikan ini. Masak kari ikan Sembilang. Teringat tempat aku bekerja di Juru. Memang terkenal dengan kari ikan sembilang. Sehingga menjilat jari. Aku beli 2 ekor dengan harga RM4. Boleh simpan untuk hari isnin.

Buah laici. Buah ini juga aku tak boleh pandang. Sempat juga aku beli setangkai dengan harga RM3.50. Tak banyak sangat buahnya. Cukuplah kalau teringin sangat.

Waa....Buah durian Balik Pulau. Satu foam beharga RM10. Saja aku ambil gambar. Kalau aku beli di pekan 2 foam boleh dapat RM15. Ini dikatakan durian yang berkasta. Ada kelasnya yang tersendiri. Nama yang cukup sinonim dengan masyarakat Pulau Pinang. Ang Hae. Hor Loh, Khoon Poh, Seow Hon dan banyak lagi. Namanya tidak menjadi masalah tetapi nama itulah yang membuat durian Balik Pulau terkenal. Tak percaya. Mai la penang....

Friday, June 24, 2011

Tewas Juga Dia

Aku masih lagi menceritakan kisah buah. Hampir setiap hari aku membawa pulang buah durian. Aku belah lalu aku simpan didalam peti sejuk. Yang menghabiskannya ialah isteriku. Walaupun isinya putih tapi rasanya cukup lemak berkrim. Akhirnya batuk telah menyerang isteriku. Baki durian yang berada di dalam peti sejuk dihabiskannya. Katanya sebelum melarat. Aku kalau mengalami batuk sudah pasti satu rumah bagaikan gempa bumi. Aku tidak berani lagi makan makanan yang menyebabkan batukku melarat. Selalunya 2 minggu baru pulih batukku sepenuhnya. Isteriku relax saja batuknya. Aku dengar sekali sekala. Namun sebotol ubat batuk wood hampir habis. Apa tidaknya. Makan 3 ulas durian kemudian minum ubat batuk. Akibat tidak tahan dengan batuknya, isteriku akhirnya mengalah dengan buah durian. Itupun tinggal 3 ulas dalam peti sejuk. Sebelum ketempat kerja aku beritahu isteri yang aku akan beli buah durian isi merah seperti yang aku ceritakan tempuh hari. " Abang beli sebiji sudah buah untuk abang. Nah tak mau dah. Ni dah batuk ". Aku mengiakan saja kata-katanya.

Ketika membeli makan tengahari aku terjumpa lelaki yang menjual buah durian isi merah. Aku beli sebiji buah yang sedang. Harganya RM8. Ok lah tu. Aku mintanya belah dan diletakkan kedalam foam. Mudah sebab bila pulang kerumah cuma ngap saja. Dia membelah buah durian. Huih...isinya merah. " Abang rasa dulu isi dia. Manis atau tawar ". No problem kalau bab rasa. Aku ambil seulas. Isinya memang lembut tapi tawar sedikit. Aku beritahu lelaki tersebut akan tawarnya isi. Terus diambilnya buah lalu di baling kedalam bakul sampah. Sayang aku melihat buah yang elok. Cuma tawar saja. Kalau dibuat kuah cukup elok. Panas baran juga lelaki ini.
" Encik hantar balik dekat tuan dia ke ". Tanya aku kepada lelaki tersebut.
" Itu pokok saya. Tak payah hantar. Saya ni stail kalau tak elok saya tak jual dekat orang ". katanya. " Sayang encik. kalau di buat kuah elok. Kalau saya tau encik nak buang lebih baik saya beli saja tadi. Sayang rezeki ". Terdiam lelaki tersebut. Mungkin baru menyedari akan kesilapannya. Tapi buah sudah dimasukkan kedalam tong sampah.

Dibelahnya buah lagi satu. Isinya manis dan berlemak. Sebelum pulang aku snap dulu gambar lalu aku hantar kepada isteriku. Aku nak lihat reaksi dia dengan buah isi merah. Tepat sangkaanku. Isteriku menalipon. " Merahnya buah. Abang tolong beli ubat batuk ". Aku tertawa gelihati sebab aku sudah tahu helahnya. Bila sampai terus dia menyerbu dan tersenyum melihat buah durian. Apalagi benda sudah dikopek. 2 ulas ghaib juga akhirnya dan disulami dengan meneguk ubat batuk. Hairan juga aku tak dengar dah isteriku batuk. Cepat sungguh dia sembuh. Sempat juga aku merasa seulas. Yang bakinya aku sudah tahu apa akan terjadi. Memang hantu buah isteriku.....

Wednesday, June 22, 2011

Tukang Gunting Yang Lalok

Aku memerhati rambutku di cermin. " Nah..abang ingat hari ini nak gunting rambut. Rimaslah rambut panjang begini ". Kataku kepada isteri sebelum dia ke gerai . Namun isteriku menyangkal sebab padanya rambutku masih lagi pendek kalau dibandingkan dengan orang lain. Bagiku pula kalau ia sudah mencecah telinga sudah kukira panjang. Jam 10 pagi aku keluar untuk menggunting rambutku. Kedai telah dibuka. Beberapa orang pelanggan telah berada didalam kedai. Aku giliran yang ke tiga. Sambil menggunting pemuda tersebut menghisap rokok daun. Wangi baunya. kalau tidak silap aku itu seperti bau wangian ganja. Matanya pula kemerahan. Sahlah pemuda ini hisap benda yang terlarang. Percakapannya pula melalut. Sekejap dia berhenti menggunting sebab terlelap sambil berdiri. Sampai macam tu sekali

Hari ini si abang yang selalu menggunting rambut aku belum datang lagi agaknya. Si adik yang memulakan tugas dahulu. Setelah selesai gliran yang lain, aku pula duduk di atas kerusi.
" Abang nak rambut macam mana ". Tanya pemuda tersebut.
" Jangan pendek dan panjang sangat ". Kataku simple.
" Line clear bang. Saya faham ". Kata pemuda tersebut dengan suara stimnya.

Chap chap bunyi rambut aku dipotong olehnya. Disemburnya air yang membuatkan kesegaran dikepalaku. Setelah selesai mencukur aku terus bangun untuk melihat bagaimana keadaan rambutku. Ya Allah kenapa berpetak petak. Aku bertanya kepada pemuda tersebut adakah dia tidur sambil menggunting rambutku. Geram aku dibuatnya. Rambut yang cantik telah rosak akibat benda haram tu. " Cantik apa bang rambut tu ". kata pemuda tersebut dengan suara stimnya. " Cantik kepala otak hang ". Geramnya aku. Terus aku keluar ke gerai isteriku.

" Ya Allah bang. Pasai apa rambut jadi macam tu ". Terkejut isteriku bila melihat rambutku yang tidak sempurna bila di gunting. Aku cerita kepadanya apa yang berlaku.
" Tak boleh jadi ni Nah.. Abang kena bagi pendek terus rambut abang ". Kataku kepada isteri sambil berlalu pergi mencari kedai gunting rambut yang lain. Aku singgah kedai yang lain di pekanku.
" Bagi pendek rambut. Pakai mata no. 4 ". kataku kepada tukang gunting. Akhirnya zroop zroop rambutku di sagat oleh mesin. Sekejap saja sudah selesai. Bila aku lihat di cermin kulit kepala kelihatan. Namun aku senang hati sebab inilah rambut idamanku. Isteriku tidak mengizinkan aku membotakkan kepala. Katanya macam orang tua yang sakit. Aku terus ke gerai isteriku.

Bila sampai bertambah terkejut isteriku bila melihat kepalaku sudah hampir botak.
" Ya Allah bang. Rambut abang pendeknya. Sampai nampak kulit kepala. Hilang handsome terus ". Sambil tersenyum mengusik aku. Namun ini saja yang mampu aku buat. Seminggu lagi panjanglah ia kembali. Suatu perkara yang aku seronok ialah bila terkena air. Terasa segar hingga memasuki otak. Kepala jadi ringan. Berkali-kali isteriku menggelengkan kepala.
" Tak handsome dah...abang ". Sambil tersenyum bila melihat aku menyikat rambut yang tidak bergerak langsung.

Tuesday, June 21, 2011

Tak Tergamak Pula

Jam menunjukkan pukul 12 tengahri. Rupanya waktu makan tengahari. Setelah pekerja kontrak berehat aku keluar untuk membeli nasi. Banyak pilihan kalau kerja di bandar. Sedap atau tidak saja. Padaku sedap tak menjadi hal asalkan kenyang sudah. Akhirnya aku mengambil kentang goreng masak dengan bawang, ayam masak kicap dan kerabu daun. Harganya RM6. Bolehlah tu. Pagi tadi aku makan mee goreng kicap. Isteri aku sudah tahu kalau aku bekerja di tempat sekarang sudah pasti mee goreng tidak akan terlepas. Namun dia juga berpesan agar dicampur dengan yang lain dan tidak semata-mata mee. Ya lah tu. Selepas membayar tiba-tiba seorang wanita berkata yang durian dihujung di jual dengan harga murah. Isinya elok belaka. Tiba-tiba rasa teringin pula dengan buah durian. Aku kesana. kata penjual, buah yang dijual adalah dari Balik Pulau. Aku melihat dulu orang lain membeli. Dibelahnya buah lalu dimakan disitu juga. Memang isinya merah. Harganya pun mahal dari buah biasa tapi taklah terlalu mahal. " Bang yang ini buah Ang Hae ( Udang merah ) ". Kata penjual. Aku ibarat orang yang sedang mengandung. Teringin sangat-sangat akan buah isi merah ni.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidak membelinya. Tidak sanggup aku makan seorang diri ditempat kerja manakala isteriku di rumah hanya kuberikan durian biasa saja. Ini tidak adillah. Sengaja aku menalipon isteriku menceritakan kisah teringinnya aku hendak makan buah durian isi merah. Isteriku menasihat agar aku beli saja kalau sudah teringin. katanya dia tidak minat sangat dengan durian tapi kalau aku beli dialah yang akan menyerbu dan akhirnya 5 atau 6 ulas pasti clear. Aku tahu sengaja dia berkata begitu agar aku tidak terasa terlalu bersalah makan durian sedap seorang diri.

Akhirnya aku menalipon kepadanya mengatakan yang aku tidak jadi membelinya kerana tidak sanggup makan seorang diri. Hanya ayat ini yang keluar dari mulutnya, " Ugh..ugh.....abang ni ". Entah apa maksudnya dan anggapannya mempunyai suami sepertiku. Mungkin kurang waras agaknya.........

Persis Dirinya

Aku bertugas petang. Sebelum ketempat kerja aku akan singgah dulu di kedai kopi untuk membeli minuman. Ketika menunggu air siap aku sempat membelek cebisan akhbar.
" Assalamaualaikum abang. Tumpang lalu sikit ". Kata seorang wanita. Lembut suaranya.
Aku memberi laluan kepadanya sambil memandang wanita tersebut. Menyirap darah aku bila wajah wanita itu persis seperti kembar Siti Aishah. Tersenyum dia melihat aku. Aku tergamam sehinggakan anak mata aku seakan tidak bergerak memandang wajah wanita. Sudah hampir 3 tahun aku tidak melihat wajah ini.

Cara berpakainan dengan tudung labuhnya bewarna putih. Badannya persis seperti arwah Siti Aishah. Kalaulah aku tiada iman mahu saja aku memeluk wanita tersebut. Cepat-cepat aku sedarkan diriku yang wanita itu bukanlah Siti Aishah tapi ia iras kepadanya. Namun aku tidak mampu untuk pergi selagi kelibat wanita tersebut masih kelihatan. Aku ingin melihat wajah yang selama ini aku rindui. Tiba-tiba talipon berbunyi. Isteriku Rosnah entah kenapa tiba-tiba saja menalipon bertanyakan samada aku sampai atau belum. Aku bertanya apa tujuan dia menalipon. Manalah tahu kalau ada apa-apa masalah di rumah. Katanya saja tiba-tiba saja nak talipon. Selepas kami putuskan talian aku dapati wanita tersebut sudah tiada. Aku terus ketempat kerja. Selama 8 jam aku bertugas wajah wanita tadi masih bermain dimata. Rinduku tidak pernah padam akan wajah ini. Al-fatihah.

Sunday, June 19, 2011

Dimana Akhlak Mereka

18 Jun 2011 - Sabtu. Aku dan anak lelaki telah plan nak ke Lorong Kulit walaupun masih tidak terfikir apa yang nak beli. Sebelum kesana aku melencung dulu ke pekan. Ada jiran memesan buah durian murah. Bila sampai kelihatan buah sudah memenuhi gerai. Akhirnya aku beli buah sebanyak RM20 seperti yang dipesan. Dapatlah sebanyak 12 biji dan aku mendapat berita dari jiran yang memesannya bahawa kesemua buah yang dibeli isinya amat baik sekali. Yang seronoknya aku dapat 2 biji buah sebagai hadiah.

Penguatkuasa yang salah menggunakan kuasa

Selesai membeli buah kami terus ke Lorong Kulit. Jam sudah 10 pagi sudah tentu ramai yang mengunjungi kawasan sekitar. Sedang aku berjalan menuju kesana aku melihat seorang lelaki cina yang menjual buah durian begitu gopoh sekali memasuki buah kedalam bakul. Kemudian datang lori penguatkusa MPPP. Beberapa orang pekerja turun dari lori lalu menyerbu kearah cina yang menjual buah. Muda-muda lagi pekerja MPPP. Seorang demi seorang datang mengambil buah lalu dibawa naik ke atas lori sambil tertawa. Tidak sempat aku mengambil gambar kerakusan pekerja MPPP. Kasihan aku melihat lelaki cina tadi. Kelam kabut dia memasukkan buah kedalam bakul padahal kalaulah dia mengganggu jalan, pekerja MPPP boleh memberi warning kepadanya. Tak payah merampas buah seorang sebiji sebab ratusan mata yang melihat apa akan terjadi kepada buah tersebut.

Apek jual buah durian. Masih tersenyum walaupun baru kena rampas

Setelah lori pengutkuasa pergi, lelaki cina tersebut terus menukar tempat. Senyum saja lelaki tersebut walaupun buahnya telah dirampas. Kemudian lori penguatkusa membuat pusingan u. Kelihatan pekerja yang merampas buah tadi sedang menikmati buah diatas lori. Ramai yang melihat akan kejadian ini ternyata marah dengan akhlak pekerja MPPP yang rata-ratanya ialah orang islam. Mereka ini seperti kebuluran. Tak pernah makan buah. Mahu yang free saja. Seorang lelaki berjubah sempat mengeluarkan kata-kata ini, " Ya Allah buruknya akhlak depa. Biar jadi ulat dalam perut depa ". Kalaulah Allah makbulkan doa lelaki tadi maka meranalah pekerja yang merampas buah durian.

Sebelum ronda pekena char koay teow dulu. Tak pernah miss kalau kesini

Selesai menyaksikan insiden tadi kami masuk untuk mencari Char Koay Teow. Aku masih lagi meradang bila mengenangkan kerakusan penguatkuasa MPPP. Nak makan pun tak ada mood namun sedar-sedar bila masa char koy teow sudah clear. Setelah membayar barulah bermula penjelajahan kedalam.

Bunga dari gunung berapi. Sempat juga aku minum secawan

Aku singgah di gerai yang menjual bunga dari gunung berapi. Bersemangat penjual memberi penerangan tentang khasiat bunga tersebut. Aku ambil segelas lalu aku minum. Biasalah kalau aku jumpa. Nak rasa juga. Dah dijemput minum percuma. Dirumah ada juga aku simpan bunga ini. Dia harus dimasak dengan air yang mendidih. Baik untuk darah. Rasanya pun seperti air biasa. Bunganya tidak pernah rosak walaupun sudah 10 tahun aku simpan.

kreativiti sambil menjual sambil mempamirkan kemahiran

Aku kegerai lagi satu. Melihat kreativiti mereka yang menjual alatan sambil mengukir buah. Aku mengambil gambar. Tersenyum penjual mengizinkan gambarnya dirakam

Peminat no.1 dari isteri. Ubat lipas dan cicak

Gerai ini yang aku sedang cari. Isteri dah pesan kalau ke Lorong Kulit jangan lupa cari ubat cicak dan ubat lipas. Akhirnya dapat juga apa yang dihajati. Dirumah aku, cicak kira tak berani nak keluar kalau isteri aku ada. Lipas pun begitu. Kalaulah seekor terlepas masuk kedalam bilik makan siaplah lipas itu pasti diburu sehingga dapat.

Deretan buah-buahan. Kira murah ler jugak

Tak sah pula kalau kesana tidak membeli buah. Aku beli buah epal hijau dan oren untuk makanan malam. Isteriku mengesyurkan agar makan buah pada waktu malam. Aku mengikut saja. Alhamdulillah ada juga orang yang mengawal pemakanan aku. Tapi bila tiba waktu malam lain ceritanya pula. Aku minta isteriku buat kuah durian untuk di cicih dengan roti. Sebab roti akhirnya isteriku buat juga kuah durian. Akhirnya aku nak up dengan pulut. Isteriku menentang keras niat aku. Makan malamku akhirnya hanyalah roti dicicah dengan kuah durian. Itupun sebiji roti gardenia tinggal separuh saja bakinya.

Thursday, June 16, 2011

Nasib Orang Yang Melatah

Apa yang membuat aku suka sangat bertugas di tempat kerja sekarang ialah disebab environmentnya. Sungguh tenang dan mendamaikan. Makanan yang di jual terutamanya disebelah pagi boleh dikatakan agak murah kalau dibandingkan ditempat tinggal aku sekarang. Kuihnya dijual 3 biji kuih dengan harga RM1. Di tempat aku dijual dengan harga sebiji 40 sen. Kalau 3 dah RM1.20. Nasi lemaknya dijual dengan harga 70 sen. Ditempat aku dijual dengan harga RM1 atau RM1.20 sebungkus. Sebab itu aku jatuh cinta dengan tempatnya dan tidak orangnya.

Hari ini aku tugas malam. Jam 7 pagi aku keluar mencari kuih. Kelihatan ramai kaum ibu sedang membeli untuk anak-anak mereka. Aku ambil 2 kuih apom lenggang dan cucur badak. 3 dengan harga RM1. Kemudian aku terus mengeluarkan talipon bimbitku lalu aku snap gambar kuih. Maka cahaya flash membuatkan seorang wanita terus latah. " Oh kilat dah mai. Jom balik. Nak hujan ". Sambil tergaru-garu kepala. Rakan-rakan sebelahnya mulalah berperanan lalu dicucuknya pinggang wanita tersebut. " Aii...laki aku jatuh parit ". Apalgi gelak ketawa mereka bila wanita tersebut terlompat-lompat sambil latah.


" Pasai apa jatuh parit ". Cucuk lagi rakannya terhadap wanita tersebut.
" Terkejut dekat babi...aih..terkejut dekat babi ". Riuh bukan main pagi-pagi lagi. Ini sudah tentu isteri kepada pakcik yang jatuh parit baru-baru akibat terkejut dengan babi hutan. Setelah rakan-rakan tidak lagi mengusik, salah seorang dari mereka bertanya apa cerita sebenar.
" Abang aji demam lepas jatuh dalam parit. Kita dah nasihat dekat dia jangan keluar malam-malam. Abang aji dah rabun..aii...rabun ". Cerita wanita latah.
" Orang jantan ni kalau tak pergi kedai kopi tak boleh. Pukul 12 tengah malam bukannya ada orang. Dia kata dapat tengok kedai pun jadi. Last sekali bukan tengok kedai. Dapat tengok babi aii..babi ". Tergaru-garu ceritanya sambil melatah.

Tak jadi aku nak pulang ketempat kerja. Teringin juga nak dengar cerita versi isterinya. " Aku terkejut bila aku buka pintu abang aji tercegat depan pintu. Rupanya macam apa tah aii..macam apa ". Tergaru-garu sambil memikir perkataan apa yang sesuai.
" Macam apa kak oii..... ". Sergah rakannya.
" Macam zombi kampung pisang aiii macam zombi ". Di ikuti gelak ketawa dari rakan-rakan. Aku hanya tersenyum mendengar dan rasanya aku tak sanggup mendengar lagi gurauan mereka. Rasa kasihan juga dengan orang melatah ni. Silap haribulan mereka boleh menceritakan segala rahsia rumahtangga. Berpada-pada kalau mengusik orang yang melatah. Kalau kena pada kita macam mana perasaan.

Wednesday, June 15, 2011

Bila Ibu Rindukan Anak


Sudah seminggu lebih aku tidak kerumah emak disebabkan kerja yang terlalu sibuk atau buat-buat sibuk. Hanya talipon saja sebagai pengganti diri. " Bila Budiman nak mai rumah. Rindu dekat anak-anak ". kata emak kepadaku. Itu petandanya aku perlu melakukan sesuatu. Aku tidak suka emak ternanti - nanti akan kedatangan anak-anak sebab aku juga ada 2 orang anak dan aku tahu apa itu kerinduan bila anak-anak jauh dari mata.

Hari ini aku terpaksa mengambil cuti emergency sebab ingin berjumpa dengan emak. Kebetulan pula hari ini merupakan hari abangku menziarahi emak. Jam 7 pagi lagi aku kepasar membeli ikan sembilang dan telor ikan. Aku hantar kepada ibu mertuaku iaitu ibu kepada arwah Siti Aishah. " Emak Budiman nak minta tolong buat gulai sembilang dan sambal tumis telur ikan ". Ibu mertuaku mengambil sambil tersenyum membawa terus kedalam rumah untuk dimasak. Aku sekali lagi kepekan mencari buah durian. Kelihatan ramai yang menghantar buah. Aku meminta buah sebanyak 4 biji. Tauke kedai menebuk buah agar pelanggan berpuashati dengan isi di dalamnya. Akhirnya aku beli buah durian sebanyak 4 biji dengan harga RM12. Diberi sebiji hadiah kepadaku. Katanya buah tutup mulut. Maknanya kalau ada yang rosak sedikit makna yang sebiji percuma itu sebagai pengganti. Tapi kelima-lima biji isinya elok.

Setelah menghantar buah kerumah emak aku kerumah ibu mertuaku pula. Gulai dan sambal tumis sudah diletakkan dalam tuppaware. Aku menghulurkan RM50 kepada ibu mertuaku sebagai tanda terima kasih walaupun berkali-kali ibu mertuaku menolak. Akhirnya setelah aku berkata ini bukan upah masak tetapi sedekah dariku akhirnya ibu mertuaku menerima juga wang dariku. Tidak pernah aku melupakan ibu mertuaku walaupun isteriku telah pergi selama 2 tahun lebih. Kalau aku rindukan masakan Siti Aishah kepada ibu mertuakulah tempat aku meminta untuk dimasak. Tapi itu cuma sekali sekal saja sebab lebih baik isteriku Rosnah yang masak. Sedap atau tidak dialah yang bersamaku kini. Tapi isteriku Rosnah masak memang sedap.

Setelah menghantar makanan kerumah emak aku keluar pula mencari ais kacang. Duit aku keluarkan tidak mengapa asalkan emak gembira hari ini dengan kehadiran anak-anak. Emak melihat bungkusan yang aku bawa. " Apa dia yang Budiman bawa ". Tanya emak.
" Gulai ikan sembilang dengan sambal tumis telur ikan mak ". kataku kepada emak.
" Aishah masak ka ". Tanya emak. Aku terdiam tak tahu hendak menjawab.
" Rajin Aishah masak. lama mak tak jumpa Aishah. Aishah sihat ka ". Terdiam lagi aku. Sudah berapa kali aku beritahu emak yang Aishah sudah tiada. Kini emak lupa kembali.
" Balik nanti kirim salam dekat Aishah ". kata emak lagi.
" Mak Aishah dah lama meninggal. Budiman kahwin dengan Rosnah mak ". kataku kepada emak. Terdiam emak bila aku beritahu yang Aishah sudah tiada. Akhirnya mengalir airmata emak. " Emak minta maaf dekat hang. Emak asyik lupa saja. Rosnah sihat ka ". Tanya emak.
" Alhamdulillah dia sihat emak. Rosnah kirim salam dekat emak. Dia tak dapat datang sebab ada di gerai dan letih bila pulang dari gerai ".

Riuh rendah dengan gelak ketawa anak serta cucu. Emak ternyata amat gembira. Setiap kali emak mesti menyuruh kami makan walaupun kami baru selesai makan. Esoak emak akan tertanya-tanya lagi mengapa anak-anak tidak datang. Begitu cepat emak lupa. Namun solat emak tetap terpelihara. Emak tidak pernah lupa. Cukup waktu emak mesti solat dulu. Syukur kepada Allah. Aku meminta izin dari emak untuk pulang kerumah. " Esok mai pula no. jangan tak mai. mak tunggu ". Kta emak dan pastinya esok aku harus mengunjungi emak walau hanya sekketika. itulah tanggung jawabku sebagai anaknya.

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: "Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat kepada wajah ibu bapa, al-Quran dan kepada laut." - (Riwayat Abu Nuaim) dan ditambah dengan lafaz "Melihat kepada Kaabah adalah ibadah". - (Riwayat Abu Daud).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik mungkin? Rasulullah s.a.w bersabda: Ibumu.Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya:
Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ayahmu.

"Rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah :" Wahai, Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku di waktu aku kecil" (Al- Isra': Ayat 24)

Tuesday, June 14, 2011

Dilanda Musim Buah

Rasanya sudah dua hari aku asyik membeli buah durian. Penang kini dilanda musim buah. Aku beli buah durian sebanyak 3 biji dengan harga RM10. Isinya memang elok. Hari ini aku beli lagi. Mulanya niat nak singgah di pekan untuk melihat saja. Tetapi bila melihat isinya terus aku beli. Akhirnya isteriku menegur kerana asyik beli buah durian tapi makannya hanya 2 ulas saja.

" Bos. Isi baguih ni ". Kata rakanku yang menjual buah. Akhirnya aku beli untuk kuberikan kepada ibu mertuaku. Aku rasa di tempat lain dalam Penang memang terdapat durian yang banyak. Di pekan aku boleh dikatakan kelihatan motosikal yang turun dari bukit membawa buah durian. Ramai peraih yang menunggu untuk beli dan seterusnya menjual pula kepada orang lain.


Buah langsat juga banyak namun aku tidak berani nak makan sebab sekarang ni tengkok aku amat sakit. Entahlah tersalah urat agaknya. Aku berjalan bagaikan robot. Ramai yang menegurku kenapa berjalan macam robot. Kalau aku makan buah langsat ni sudah pasti tak boleh bergerak leherku.


Buah manggis tidaklah banyak lagi. Masih mahal harganya. Kena tunggu sehingga banyak yang masak baru turun harganya. Sebab itu harga durian murah sebab banyak tempat yang menjualnya.


Buah nenas biasa saja. tak payah tunggu musim buah sebab setiap hari pasti ada. Aku amat suka sekali dengan nenas bukit sebab rasanya amat manis. Selalunya aku beli sebiji lalu dipotong dan di simpan didalam peti sejik. kalau habis aku cari lagi. harganya pula murah. Sebiji RM2 saja.

Kadang-kadang nikmat yang Allah beri kepada kita tidak ternilai. Pernah kita mengsyukuri akan semua ini.
" Maka nikmat tuhan kamu yang manakah kamu dustakan ".

Monday, June 13, 2011

Selamat Ulang Tahun

Hari ini tanggal 13 Jun 2011 telah mencatatkan peristiwa dimana telah genap selama 2 tahun aku dan isteriku Rosnah bersama. Aku terkenang kembali saat-saat setelah seminggu aku berkahwin dengan isteriku, hati aku amat sayu bila mengenangkan betapa aku terpaksa menghadapi dugaan ini. Siang dan malam aku hanya termenung dan ini disedari oleh isteriku. Pada masa itu aku terlalu merindui arwah Siti Aishah. Walaupun ketika itu orang melihat aku tertawa tetapi jauh didalam sudut hatiku aku amat menderita sekali. Namun aku terpaksa memujuk hatiku agar dapat menerima takdirku ini. Aku rasa terlalu bersalah kepada Siti Aishah. Baru 5 bulan dia pergi aku sudah berkahwin lain. Rasa rindu kepada anak-anak yang terpaksa berjauhan dengan ayah. Ibu sudahlah tiada dan kini ayah pula sudah berpindah kerumah baru meninggalkan mereka berdua. Dalam hati, aku menangis ketika itu.

Hati aku ketika itu memberontak mengapa Siti Aishah pergi meninggalkan aku. Aku seolah-olah marah kepada Allah. Sebelumnya aku merupakan orang yang pandai dalam memberi tazkirah bila ada kaum keluarga rakanku meninggal. " Sabarlah. Ini semua ketentuan Allah. Ada hikmahnya ". Inilah ayat yang sering aku gunakan bila menziarahi mayat. Kini aku sendiri dapat merasai betapa siksanya bila dugaan datang. kemana perginya ayat-ayat yang aku gunakan. Manusia jenis apa aku ketika itu. Dekat orang pandai menasihati. Bila kena diri sendiri menjadi seolah-olah orang yang tiada iman. kini aku mengerti itulah hikmahnya bila Allah menduga seseorang.

Tapi alhamdulillah Allah kurniakan kesabaran dan sedikit pengetahuan agama yang kami terapkan membolehkan kedua-dua anakku berkorban demi melihat ayah mereka bahagia. Jauh disudut hati mereka juga merasa kehilangan 2 insan tersayang. kadang-kadang isteriku menegur aku bila melihat aku sering termenung ketika itu. Aku juga bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan kepadaku anugerah kedua dimana isteriku Rosnah begitu penyabar orangnya. Hari berganti hari. Minggu bertukar minggu. Bulan bertukar bulan dan tahun juga bertukar. Aku telah menampakkan sedikit perubahan. Aku sudah mula dapat menerima kenyataan sedikit demi sedikit bahawa Siti Aishah sudah tiada lagi di sisiku. Hanya nostalgia saja yang masih terpahat di hati.

Hari ini pagi-pagi lagi mengucapkan selamat ulang tahun kepada isteriku sebelum dia ke gerai. Aku ke pekan mencari bunga dari cameron Highland. kata tauke cina bunga akan datang esok.
" Tauke you tolong wrap bunga itu kasi cantik esok sebab wa mau kasi sama wa punya bini untuk Aniversary ". kataku kepada penjual bunga.
Walaupun aku tahu tiada apa pada bunga namun itu merupakan tanda kasihku pada isteriku Rosnah yang telah menceriakan kembali hidupku. Semoga jodoh kami berpanjangan. Ami Ya Allah. Terima kasih tidak terhingga kepada pembaca WN yang bergelar saing iaitu kawan yang telah mengucapkan kepadaku Happy Anniversary. Terima kasih juga kepada semua pembaca WN yang tidak putus-putus memberi nasihat sehingga ke hari ini aku masih lagi dapat bertahan menulis.... Terima kasih semua. I Love You All....Tidak aku lupa kepada isteriku yang tercinta Rosnah yang sudi menerimaku dan kedua-dua anak aku yang sanggup bekorban demi kebahgiaan ayah mereka.

Dalam video yang aku paparkan, pembaca boleh melihat tatkala kadi sedang megatakan sesuatu kepadaku, aku hanya tunduk sahaja. Perasaan aku ketika itu berkecamuk sekali. Dalam hati aku berkata betulkah tindakkan aku ini. Namun begitu alhamdulillah aku berjaya. Dengan sekali lafaz saja he he aku sudah sah bergelar seorang suami lagi...Kini aku bertekad aku tidak akan mensia-siakan pengorbanan mereka semua. Syukur Ya Allah. Aku dapat mempelajari sesuatu dengan dugaan ini.

Saturday, June 11, 2011

Akulah Puncanya

Isteriku mengejutkan aku pada jam 11 malam. Aku akan bertugas malam. Setelah bersiap-siap aku keluar dari rumah pada jam 11.30 malam menuju ke tempat kerja. Guruh berdentum kuat. Aku mengharapkan agar hujan tidak turun semasa aku dalam perjalanan ketempat kerja. Biarlah aku sampai dulu. Tapi bolehkah kita menolak ketentuan Allah. Dalam perjalanan aku ke tempat kerja hujan turun dengan lebatnya. Aku tetap melintasi jambatan yang begitu setia menanti semenjak ia didirikan. Mahasuci Allah bila sampai ke destinasi yang aku tujui tidak ada tanda-tanda hujan sudah turun. Itulah tanda-tanda kekuasaan Allah. Aku membelok masuk menuju ketempat aku bertugas. Cahaya lampu yang baru menerangi jalanraya yang belukar membuatkan penduduk kampung dan juga kepada aku sebagai seorang pekerja. Inilah hasilnya apabila kami membuat laporan tantang kesukaran penduduk kampong yang melalui jalanraya belukar dalam kegelapan dan akhirnya pihak management bersetuju memasang beberapa tiang lampu.

Di selekoh ini sekumpulan babi kelihatan

Dalam samar cahaya lampu itulah aku melihat sekumpulan binatang sedang berehat. Aku menyangkakan itu ialah anak-anak lembu. Apabila aku mendekati mereka rupa-rupanya ialah sekumpulan babi hutan yang sedang menikmati air di parit. Aku membunyikan hon motosikal beberapa kali walaupun aku tahu yang babi hutan tidak mengganggu perjalanan aku. Sengaja aku membunyikan terus hon motosikal. Akhirnya seekor babi hutan mungkin meradang bila hon kerap dibunyikan terus mengejar aku. Apalagi yang lain turut mengejar. Aku sempat mengira jumlah babi hutan. 5 ekor mengejar aku. Apalagi aku terkejut dan tidak menyangka yang babi hutan akan mengejar aku. Nasib baik motosikal aku baru saja di servis. Aku terus memecut motosikal. " Wee we ". Bunyi babi hutan ketika mengejar aku. Nasib baik motor aku 125 jadi begitu senang aku memecut. Tiba-tiba di selekoh sebuah motosikal muncul yang di tunggangi oleh seorang pakcik juga terkejut bila melihat babi hutan mengejar aku. Terus dia mengelak tapi malang sungguh nasibnya bila dia tidak dapat mengawal motorsikalnya dan terus menjunam kedalam parit. Aku hanya mendengar, " Allah Allah ". Bila aku toleh kebelakang kelibat motorsikal tadi sudah tiada.

Aku terus memasuki perkarangan tempat tugasku. Aku tak dapat menolong pakcik tersebut memandangkan aku perlu berada di tempat kerja. Memandang parit itu tidaklah dalam sangat dan beberap buah motosikal berada di belakang pakcik tersebut membuatkan aku tidak risau akan keselamatan pakcik tersebut. Keesokkan harinya sebelum aku pulang kerumah aku singgah di kedai kopi untuk mencari kuih. Agak riuh juga pagi itu. Rupanya-rupanya mereka sedang mendengar kisah bagaimana palcik itu terjatuh kedalam parit angkara seorang lelaki yang tidak dikenali dikejar oleh babi hutan.
" Hang pa tau dak. Aku keluar dari rumah punya segak. Aku pakai ketayap, teluk belanga dan kain. Tapi bila aku jatuh dalam parit kain aku hilang tercabut ". cerita pakcik tersebut diikuti gelak ketawa dari mereka yang mendengar. Aku turut tertawa tapi aku control.
" Tu la. Lain kali kalau bang aji pakai kain, yang dalamnya pakailah tracksuit. Kalau tercabut pun masih ada lagi. Ni tak bila kami jumpa apa pun tak ada dekat bang aji. Cuma baju saja ". Sampuk pula rakannya. Aku rasa akulah yang paling kuat ketawa bila kisah kain pak aji terlucut.

Disinilah pakcik dan motosikalnya terjatuh

Sambil menoleh kearahku, pak aji berpesan, " Encik kalau lalu jalan ni kena jaga-jaga sikit. Ada babi ". Aku diam saja mendengar pesanan dari pak aji tanpa mereka ketahui bahawa akulah punca segala apa yang terjadi. Moral cerita ini ialah kalau memakai kain pastikan didalamnya ada yang lain. Kalau tidak sudah pasti merana.

Thursday, June 09, 2011

Ketenangan Yang Ku Cari

Ini merupakan gambar dimana tempat aku bertugas. Memang mendamaikan jiwa. Sebab itu aku suka bertugas di sini walaupun setiap hari terpaksa merintasi jambatan Pulau Pinang walau ribut datang melanda. Janji tenang. Inilah dinamakan kuala. Kalau sebelah petang maka ramai yang datang menjala ikan di sini.



Ulang Tayang Kembali

Badan terlalu letih setelah bekerja sehingga 16 jam. Isteriku membeli Char Koay Teow untuk makan malamku. Akibat keletihan aku tiada selera untuk makan. Aku menjamah hanya satu camca saja.
" Abang tak lalu Nah nak makan. Nah tolong habiskan ". Kataku kepada isteri. Akhirnya aku meminta izin darinya untuk melelapkan mata sebentar sebelum aku bertugas malam. Terasa benar akan keletihan. " Kenapa Nah abang amat letih sangat malam ni. Tak pernah-pernah letih begini. Dulu kalau abang kerja selama 24 jam pun tak letih ". Kataku kepada isteri.
" Dulu lain bang. Itu tanda kita semakin tua bang. Sebab itu kita kena banyakkan beribadat ". Kata pula isteriku dengan sedikit nasihat. Aku tersenyum mendengar nasihat darinya. Rupanya aku bukannya muda lagi. Kedua-dua anakku sudah meningkat dewasa.

Akhirnya aku terlelap juga. Aku dibawa semula ke tahun 2008 dimana saat dugaan beratku bermula. Aku berada di dalam dewan dimana ditempatkan mayat isteriku Siti Aishah. Aku melihat diriku sendiri sedang mencium isteriku. Aku mengalir airmata tanpa dapat bersuara. Tatkala isteriku hendak dikapankan aku melihat diriku sendiri memeluk dan mencium Siti Aishah. Aku menangis ingin mencium Siti Aishah. Terlalu rindu padanya. Ketika mayat isteriku dibawa pergi untuk disemadikan, aku melihat pula isteriku Rosnah datang untuk memberi penghormatan terakhir. Aku memanggil isteriku Rosnah namun dia tidak dapat mendengar. Aku semakin gelisah. Akhirnya aku mengumpul tenaga lalu berteriak dengan kuat.
" Nah..... ". Apalagi isteriku terus meluru masuk kedalam bilik.

" Kenapa abang panggil Nah. Ni tentu kes mimpi lagi ni. Apa yang abang mimpi ". Tanya isteriku. Aku terus menceritakan apa yang aku alami dalam mimpi sehingga berteriak memanggil namanya. Tersenyum isteriku mendengar ceritaku. Selepas solat isyak aku mencari kebali Char Koay Teow yang tak habis tadi.
" Abang cari apa ". Tanya isteriku.
" Char Koay Teow yang abang tak habis tadi ". Kataku yang membuatkan isteriku terdiam sebab dia telah menghabiskannya.
" Itulah lain kali bagitaulah suruh simpan dulu. Abang kata tak mau dan suruh Nah habiskan. Nah pun makan takut membazir pula ". Tersenyum dia sambil cerita.

Akhirnya aku hanya makan roti kering sebelum ketempat kerja.
" Nah tau dak dalam mimpi abang lagi, kaum wanita buat banner protes abang berkahwin terlalu cepat dengan Nah ". Tertawa isteriku mendengarnya. Aku pun masih lagi ingat akan kata-kata ini sewaktu aku dan isteriku Rosnah bertunang.
" Ala orang lelaki. Bila isteri mati, tangan sebelah tutup mata kiri tapi buka mata kanan ". Itulah yang aku terima sindiran akibat begitu cepat aku berkahwin bersama isteriku Rosnah setelah 6 bulan Siti Aishah meninggalkan aku. Benarkah aku begitu cepat melupakan Siti Aishah.

Kini hampir 2 tahun aku bersama isteriku Rosnah dan alhamdulillah aku cukup gembira diberi anugerah kali kedua dimana watak mereka berdua hampir sama. Namun setiap kali selepas solat aku bermohon kepada Allah agar tidak lagi di uji dengan dugaan yang amat berat ini. Kata ustaz sewaktu aku mengikuti program kuliah, " Setiap orang yang di uji adalah disebabkan Allah sayang akan kita dan akhirnya Allah akan beri anugerah kebaikan kepada mereka yang berjaya dengan ujian ini ". Tapi adakah aku telah berjaya dengan ujian ini. Yang aku tahu ialah aku hampir kecundang dengan ujian ini walaupun mulut aku berkata aku redho dengan ujian ini namun jauh disudut hati aku meratapi pemergian isteriku tercinta. Lemahnya iman aku.....

Tuesday, June 07, 2011

Nasi Goreng & Sambal Tumis Jawa

Hari ini merupakan hari off aku. Aku beritahu pada isteri yang hari ini aku nak buat sambal tumis. Tersenyum isteriku bila mendengar sambal tumis. Aku tahu selepas aku buat sambal dia akan modified masukkan ikan kurau masin kedalam sambal. Bertambah sedap lagi sambal tumis aku. Ini saja makanan kami tengahari ini. Baki dari kuah sambal tumis aku buat nasi goreng.

Pernah hari itu aku berjanji kepada pembaca semua yang aku nak bagi resepi sambal tumis jawa aku. Tak baik mungkir janji dok. Ok hari ini aku perturunkan ilmu aku kepada semua. Selamat mencubanya. Jadi atau tidak, pembaca kena makan juga.

Bahan-bahan
  1. Udang kering / ikan bilis pembaca boleh pilih. Sebanyak RM2 untuk 4 orang makan.
  2. Asam jawa. Sebesar ibu jari kaki. He he ukur sendiri ibu jari kaki besor mane.
  3. 5 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih. Di tumbuk sehingga lumat.
  4. Cili bo 2 bungkus yang sedang. Ikut rasalah
Cara membuatnya
  1. Rendam udang kering sehingga lembut dalam air panas. Airnya disejat dan jangan dibuang.
  2. Tumbuk udang kering sehingga lumat
  3. Goreng udang kering yang ditumbuk tadi sehingga wangi.
  4. Masukkan 2 bungkus cili bo kedalam udang yang di goreng.
  5. Air udang yang disejat digaul dengan asam jawa yang sebesar ibu jari kaki. Ikut rasanya.
  6. Masukkan bawang merah dan putih yang telah di tumbuk halus.
  7. Kini semuanya telah dimasukkan. Tunggu sehingga airnya kering dan minyaknya pecah.
  8. Pembaca boleh rasa. Kalau nak sedap lagi masukkan perencah udang atau ikan bilis seri aji kedalam. Jangan masuk semua. Rasa dulu. Takut masin.
  9. Bila dah siap, sambal tumis berbaki janganlah dibuang terus. Boleh digoreng dengan nasi. Sedap woo...
  10. Kalau nak masukkan ikan talang masin atau ikan kurau masin kedalam sambal tumis. pastikan direndam dahulu sebab nanti terlalu masin. Kemudian goreng dan masukkan kedalam sambal tumis jawa.
Itu saja. Cukup mudah saja kan. Selamat mencuba sambal tumis jawa......

Sandiwara Dunia

Setiap kali bila aku pulang dari kerja setelah bertugas di bandar aku akan melihat seorang pemuda india menghulurkan tempurung sambil jalan terketar-ketar. Bila lampu trafik berhenti maka mulalah dia berjalan mendekati kereta sambil menghulur tempurung dengan keadaan dirinya yang terketar-ketar menagih simpati dari orang ramai. Bila dia menghampiri aku rasa kasihan melihat dirinya yang tidak terurus. Aku menyeluk poket dan adalah sebanyak 60 sen lalu aku berikan kepada pemuda tersebut. Mulutnya yang herot tidak membolehkan dia mengucapkan terima kasih dengan sempurna. Hanya isyarat tunduk sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang menghulurkan wang.

Semalam jam 12 tengahmalam ketika aku pulang dari tugas, aku berhenti di lampu trafik. Pemuda itu datang menghampiri kereta dengan keadaan terketar-ketar seperti yang dibuatnya selalu. Entah kenapa keadaan menjadi kecuh seketika. Rupa-rupanya perbuatan pemuda itu telah lama di hidu oleh pihak polis atau orang ramai. Itu aku tidak pasti. Rupa-rupanya pemuda tersebut adalah penipu besar. Bila melihat dia dikejar oleh beberapa orang pemuda, apalagi terus dia cabut lari. Begitu laju sekali. Tidak lagi terketar-ketar seperti selalu. Hebuh juga diperhentian lampu trafik. Padaku itulah sandiwara dunia. Demi untuk mencapai impian seseorang sanggup berlakun dan pemuda itu merupakan pelakun yang hebat. Sehebat Rajnikanth pelakun filem tamil.

Aku tidak hairan dengan sandiwara ini sebab semasa aku mengerja umrah pada tahun 2010 sebelum memasuki Masjidil Haram terdapat pengemis warga Afrika dengan lakunan mereka seolah-olah tangan mereka kudung. Tapi entah kenapa orang ramai dapat melihat pengemis yang kudung tangan itu tergaru-garu dibelakang badan. Tanpa menghiraukan pengemis, orang ramai terus berjalan menuju ke Masjidil Haram. Di depan kaabah pun mereka boleh mencuri. Sedar-sedar beg sudah di toreh. Manusia sanggup melakukan apa saja demi tuntutan nafsu yang tidak pernah padam...

Sunday, June 05, 2011

Gedebum...Gelap Gulita

Sabtu 4 Jun. Pagi-pagi lagi setelah aku pulang dari tugas malam, kami ke Taiping untuk menghadiri kenduri perkahwinan di rumah kakak iparku. Sudah berapa kali aku mengantuk dan akhirnya isteriku yang terus memandu ke destinasinya. Sedar-sedar aku sudah berada di perkarangan rumah kenduri. Aku menjamah hanya sedikit saja nasi sebab mata aku terpandang akan rojak buah. Canggih kenduri rumah kakak ipar. Dia buat tambahan iaitu bubur pulut hitam dan rojak buah. kedua-duanya pula merupakan kegemaranku. Setelah merasakan perut aku kosong kembali maka tempat yang dituju ialah rojak buah dan bubur pulut hitam. Memang sedap.

Setelah berada disana sehingga maghrib, kami meminta diri untuk pulang ke Penang. Tak sah pula kalau tak singgah di satu restoran yang di kunjungi ramai orang. Aku memilih nasi goreng ikan masin seperti selalu. Bila ditanya itulah ayat yang akan keluar dari mulut aku sehingga isteriku pun hairan aku tidak jemu-jemu ke dengan nasi goreng ikan masin. Bila ditanya apa isteriku nak order jenuh juga dia dok memikiur. At last dia pilih, " Bagi saya nasi goreng USA ".
Lepas pelayan itu pergi tiba-tiba terdengar bunyi " Gedebum ". Di ikuti dengan gelap gelita pencawang. Riuh di luar berkata yang pencawang TNB meletup dan terbakar.

Apalagi isteriku pun terus mengajak aku keluar. " Cepat bang talipon dekat TNB ". Kata isteriku. Aku terus mengambil gambar. " Bang jangan pergi dekat-dekat nanti kena abang ". Isteriku terus menarik tanganku. Hanya inilah shot yang aku dapat dek kerana isteriku menarik tangaku mengajak aku pulang. Kelihatan penduduk kampung terutama sekali kanak-kanak berlari untuk melihat pencawang terbakar. Pekan Taiping menjadi riuh dan jalan mulai sesak. Akhirnya kami singgah di satu lagi restoran. Akhirnya terpaksa menunggu 45 minit untuk mendapat makanan. Itupun disebabkan aku nak batalkan pesanan dan akhirnya mereka goreng untuk kami dahulu. Ketika dalam kereta aku berkata pada isteriku,
" Nah kira abang orang TNB Penang yang pertama menyaksikan pencawang meletup dan terbakar ". Tersenyum isteriku membenarkan akan kata-kataku.

Thursday, June 02, 2011

Say Thank You

Selepas solat maghrib aku menemani isteriku ke Tesco untuk mencari barangan meniaganya yang kehabisan stok. Bila sampai perut pun terasa lapar bila melihat aneka jenis makanan yang dijual. Kebetulan kami belum lagi makan makan malam jadi malam itu aku memesan nasi goreng paprik manakala isteriku dengan nasi goreng daging merah. Kami order pula ais kacang. Fulamak begitu lazat sekali makan malam kami. Sambil makan sambil berborak menambahkan lagi kenikmatan bersama.

Selesai makan kami terus masuk kedalam. Aku begitu pantang melihat buah durian. Malam itu buah durian yang di kopek dan dimasukkan kedalam foam. Harga murah pula tu jadi isteriku ambil 2 foam. Isteriku mencari tepung untuk membuat roti canai. Ketika sedang melalui lorong ke tempat tepung aku berselisih dengan pasangan cina yang membawa anak kecil. Anak tersebut mungkin dalam lingkungan 7 tahun. Tiba-tiba anak cina itu sendawa dengan begitu kuat sekali dihadapan aku dan isteriku. Dengan secara outomatik mulut aku berkata
" Alhamdulillah ". Isteriku hanya tersenyum bila aku berkata demikian. Begitu juga ibu kepada anak kecil tersebut turut tersenyum sebab anaknya sendawa begitu kuat sekali.
" Say thank you to uncle ". kata si ibu kepada anaknya yang kehairanan mengapa di arah begitu. Usahkan anak kecil malah aku juga hairan mengapa si ibu meminta anaknya mengucapkan terima kasih kepadaku.

" Say thank you to uncle ". Ulang sekali lagi si ibu kepada anak.
" Why mom ". Tanya si anak. Ya lah aku pun tertanya-tanya juga kenapa.
" Just now you sound auk...so loud. Then uncle said alhamdulillah. It's mean thanks to Allah ". Berkata si ibu kepada anaknya.
" Uncle Toh Che ". kata anak kecil kepadaku dalam bahasa cina. Dia ingatkan aku ini orang cina. Ibunya tersenyum bila anak mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku melihat ibunya memakai kalung lambang salib dan ternyata mereka berugama kristian. Aku berkata di dalam hati alangkah baik bila setiap ibubapa menerangkan sebab-sebab mengapa kita berkata alhamdulillah setiap kali anak-anak kita sendawa. Biarlah dari kecil mereka di didik dengan cara islam. Janganlah bila besar kelak mereka didik dengan hiburan yang melekakan sehingga melupakan tentang pendididkan islam.

Wednesday, June 01, 2011

Kenapa Suka kenen-Kenen


Aku bertugas syif malam. Sebelum pulang kerumah aku pasti singgah membeli kuih muih untuk aku bawa pulang dan makan bersama isteriku di gerai. Bila sampai orang sudah ramai berada memilih kuih. Maklumlah jam sudah 8 pagi. Aku letakkan motosikal disebelah gerai. Semasa berjalan aku perasan yang beberapa orang sedang memerhati aku. Gelabah juga dibuatnya dan aku tahu apa sebabnya. Berita jam 8 malam mengatakan bahawa taarif letrik akan dinaikkan.

" Seronok la depa nanti dapat bonus tinggi ". Kata seorang pakcik yang berjanggut dan berkopiah diatas kepala disambut pula dengan ketawa dari yang membeli. Terasa tebal kulit muka aku dik sindiran pedas mereka. Tak apalah aku sabar saja. Inilah luahan rakyat.

" Minyak baru saja naik. Ni naik letrik pula. Kami yang teruk menanggung semua ni ". kata pakcik itu lagi. Aku sudah terasa panas. Kuih aku belum beli lagi. Asyik kena sindir saja. nasib tak baik sebab aku memakai uniform TNB.

" Pakcik dok sindir sapa ni. Saya ka TNB ". Aku sudah mula hilang sabar. Namun aku cakap sambil tersenyum walaupun senyumku sumbing. Diam saja pakcik tu sebab dia sudah terasa yang aku tidak suka dengan sindirannya.

" Hang kena penaik harga kuih Kiah oii. Depa tak apalah cukup bulan dapat gaji. Kita yang dok pergi kelaut yang menanggung ". Perli lagi pakcik tersebut. Aku pusing kebelakang mengadap pakcik tersebut.

" Pakcik.... kalau boleh saya nak bagi free letrik lebih-lebih dekat pakcik. Tapi saya hanya pekerja saja. Bil letrik pun saya kena bayar. Pakcik ingat saya pakai letrik free ka. Jangan dok kenen-kenen dekat saya. Pakcik cari orang yang buat pengumuman kan senang ". Walaupun aku cakap begitu berhemah namun nada geram ada juga. Tak mahu aku terus menghembur pakcik sebab uniform aku membatasi segalanya.

Setelah aku membeli kuih dan membayarnya aku terus berlalu dan berkata kepada pakcik,
" Terima kasih kerana memilih TNB ". Tersengih pakcik tersebut sambil berkata
" Dah terpaksa ". Aku ketawa dengan gelagat pakcik tersebut dan aku sedikitpun terasa hati walaupun ada sedikit kemarahan namun itulah luahan pelaut yang ibarat kais pagi makan pagi dan betul juga kata pakcik tersebut yang aku sebagai pekerja, apa yang perlu dirisaukan. Setiap bulan aku terima gaji.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...