Kami bertolak dari Penang jam 10 pagi menuju ke Shah Alam. Sepanjang perjalanan kami, hujan turun dengan lebatnya. Aku terpaksa memperlahankan kereta memandangkan bahaya yang menanti jikalau memandu laju dalam keadaan hujan yang lebat. kami berhenti di R n R Gunung Semanggul untuk menikmati sarapan pagi. Anak aku Hermawan ternyata mengikut perangai aku. Pantang nampak ikan sembilang pasti tak nak dilepaskan. Aku hanya menjamah bihun goreng manakala isteriku hanya dengan roti sandwich. Kami meneruskan perjalanan dan alhamdulillah bila masuk Tanjung Malim tidak ada tanda-tanda yang hujan turun.
Anak aku mula setkan GPS yang terdapat di dalam talipon bimbitku. Nasib baik aku install software. Malang GPS tak dapat detect nama hotel memandangkan hotel ini baru dibina. Akhirnya anak gadis yang telah sampai sehari sebelum kami telah memberi koordinat ke hotel dan akhirnya perjalanan kami bertambah lancar. GPS aku asyik berkata,
" Go straight and turn left. Round about take 1st exit and turn right ". Akhirnya kami selamat tiba di Shah Alam pada jam 4 petang. Hotel ini adalah milik penuh orang islam. Setelah memilih hotel aku mengambil satu bilik untuk anakku dan satu bilik untuk kami berdua. Harga ialah RM125 sehari. Kira ok lah tu. Hotel bajet katakan. Setelah melakukan solat jamak kami merehatkan badan serta minda. Selepas maghrib kami akan ke I - City untuk menikmati cahaya lampu yang amat unik.
Selepas maghrib seperti yang telah dijanjikan aku, isteri, anakku dan kawan-kawanya menuju ke I-City. Sekali lagi anak aku setkan GPS ke I-City. Perjalanan bertambah mudah dengan adanya teknologi canggih ini. Setelah membayar parkir sebanyak RM10 kami terus masuk kedalam. Cantik sungguh lampu warna warni led yang di pasang. Orang tidaklah begitu sesak. Tempatnya amatlah luas. Lututku sudah mula terasa. Lutut tualah katakan. Nampak cantik saja aku ajak isteriku bergambar. Jadilah berbekalkan kamera handset dapat juga aku merakamkan detik istimewa bersama isteri. Inilah pertama kali kami ke sini. Aku dan isteri seperti pasangan kekasih. Kami berjalan berpegangan tangan dan aku dapat merasakan keintiman itu.
Semasa berjalan, terdengar keriuhan bunyi lagu dan jeritan orang ramai. Rupanya di stage ada pertandingan menari untuk anak muda. Ramai yang mengambil bahagian. Anak-anak orang islam yang bertudung terkinja-kinja diatas pentas sambil para hadirin menyorak keriangan. Inilah hiburan yang telah menyesatkan anak-anak muda. Tak sanggup aku melihat anak-anak kita yang bertudung turut menari dengan iringan lagu yang rancak di atas pentas.
Aku dan isteri begitu sibuk dengan bergambar. Sekejap ada di depan. Sekejap di belakang. Pantang melihat pemandangan lampu yang menarik sudah pasti kamera yang menjadi tempat melepaskan ingatan kami. Aku dan isteri ternyata amat gembira sekali. Tapi isteriku lebih banyak senyum dari berkata-kata. Akulah yang banyak cakapnya. Dia dan arwah Siti Aishah mempunyai perwatakan yang sama. Banyak senyum dari bercakap. Walaupun begitu sikapnya, aku tahu isteriku Rosnah amat gembira sekali dapat berjalan bersama denganku.
Sudah terlalu lama kami berada didalam. Perut pula terasa lapar. Di Shah Alam tempat makanan tidak perlu dirisaukan. Banyak sungguh restoran sehingga tidak tahu mana satu yang hendak di pilih. Satu restoran tu aku lihat customernya begitu ramai. Rupa-rupanya ramai yang menonton Maharaja lawak. Terdengar keriuhan ketawa dari customer. Aku kalau program Maharaja lawak memang minat sangat. Kadang-kadang aku merasa kagum dengan peserta lawak, bagaimana idea spontan mereka datang begitu saja. Bukan senang untuk buat orang ketawa. Aku kerap juga berada di atas pentas sebagai pengerusi majlis. Itupun sudah terketar-ketar. Setelah program maharaja lawak telah diubah ke siaran warna ini bermakna customer kena keluarkan wang lebih untuk melanggan astro warna. Memang buat duit astro ni. Dia orang ingat yang melihat di astro prima tidak membayar duit ke. Tengok free ke. Aish...melalut aku ke astro pula. Setelah kami makan nasi goreng kami pulang ke hotel. Esok ibu bapa harus berada di dalam dewan sebelum jam 8. Bermakna kami kena bangun awal ler. Sampai di hotel sudah jam 11.30 malam dan kami pun gedebum.....tidur tidak sedar diri.
Sedang asyik lena, aku dikejutkan oleh isteriku. katanya kenapa aku menjerit seperti orang sedang bergaduh. Aku tertawa sendirian. Apa tidaknya. Aku bermimpi ada seorang lelaki mengatakan yang Rosnah itu kekasihnya. Aku pula berkata yang aku ini suaminya. Apalagi berlakulah pertengkaran untuk merebut hati seorang wanita. Tersenyum isteriku mendengar cerita akan mimpiku. " Habis siapa menang bang ". Tanya isteriku. " Nah ler yang menang. Kami tak habis bertengkar lagi Nah kata sudah-sudah jangan bergaduh lagi sambil menggoncang badan abang. Abang sanggup buat apa saja demi Nah tercinta ". Tertawa kecil isteriku bila mendengar kata-kataku. Memang benar kata-kataku. Aku tidak sanggup kehilangan insan tersayang untuk kali yang kedua. Jam 3 pagi kami masih lagi boleh tertawa mengenai mimpiku. Setelah kami tertidur kembali terdengar bunyi jam gerak di talipon bimbitku. Sudah pukul 6 pagi rupanya. Kami bergegas bersiap sehingga tidak sempat bersarapan pagi akibat takut terlewat masuk ke dalam dewan.
Ketika kami sampai di MSU ( Management and Science Univercity ) kelihatan kereta sudah memenuhi tempat parkir. Akhirnya kami parkir di luar saja dan masuk kedalam. Aku di beri 2 kupon. Ini bermakna hanya aku dan isteriku sahaja dibenarkan masuk. Anakku Hermawan kembali semula ke hotel untuk menyambung kembali tidurnya. Perut sudah mula berkeroncong. Selalunya pukul 7 pagi aku sudah bersarapan. Sebab itulah mudah sangat berkeroncong perut aku. Aku ingat aku seorang sahaja begitu rupa-rupanya isteriku pun begitu. Jam 9 pagi bermula upacara dengan perarakan masuk graduan dan serta pihak atasan MSU. Entah kenapa bila berada didalam hati aku amat tersentuh sekali. Terasa yang amat sangat akan kehilangan isteriku tercinta. Sepatutnya pada hari ini dialah yang insan istimewa yang harus diberi penghargaan. Secara tidak sedar aku mengalir airmata bila seorang wakil pelajar membuat ucapan. Katanya tanpa pengorbanan insan tersayang iaitu ayah dan ibu para graduan tidak akan berada disitu pada hari tersebut.
Dari atas aku melihat anak gadisku menyapu airmatanya. Aku juga begitu. Isteriku akhirnya memberiku tisu. Malu juga rasanya mengalir airmata disebelahnya. Bukan aku sengaja begitu. Aku begitu sedih bila terkenangkan kembali setiap kali kedua-dua anakku mengambil peperiksaan isteriku tidak pernah jemu untuk bangun malam berdoa untuk kejayaan anak-anaknya. Ketika aku menolak isteriku kedalam hospital sempat juga dia menalipon anaknya,. Katanya, " Kakak jangan risau. Emak cuma batuk saja. Kakak tumpukan pada pelajaran kakak. Tentang kesihatan mak Kakak jangan risau, Allah akan bersama emak dan ayah pula akan menjaga emak ". Itulah kata-kata terakhir yang keluar dari mulut seorang ibu kepada anak gadisnya. Selepas itu ibunya terus koma dan akhirnya pergi buat selama-lamanya. Siapa yang tidak terkesan sebab dalam sekelip mata saja dia sudah hilang buat selama-lamanya.
Ketika jenazahnya berada didalam dewan aku tidak putus-putus membaca ayat-ayat suci al-quran dan kemudian menciumnya dan berdoa agar Allah tempatkannya bersama para solihin. Padaku ketika itu isteriku seolah-olahnya sedang tidur. Esok aku akan kehilangannya buat selama-lamanya. Khayalanku terganggu ketika presiden MSU memberi ucapan dan kata-katanya hampir serupa dengan kata-kata wakil pelajar.
" Ibu bapalah yang perlu diberi penghargaan ini. Sakit demam tidak dihiraukan asalkan anak-anaknya berjaya ". Aku kembali mengalir airmata. Isteriku Rosnah hanya mampu menggosok pahaku agar aku dapat mententeramkan hatiku. Entah kenapa bila berada di dalam hati aku amat terasa pilu. Aku banyak mengelamun terkenangkan kisah silamku.
Akhirnya selesai juga konvo anakku. Aku memberinya bunga sebagai ucapan tahniah dari seorang ayah. Nampak sedih juga anak gadisku dan aku tahu kenapa dan biarlah ia berlalu menjadi nostalgia buat kami. Anakku memcium dan memeluk ibu tirinya. Inilah insan yang sudi bersama ayah ketika ayah berada didalam kekusutan. Jiwa ayah amat terganggu ketika itu. Insan inilah yang telah mengembalikan sinar bahagia dalam hidup ayah. Aku masih ingat akan kata-kata sahabat karib arwah Siti Aishah,
" Budiman perlu bahagia dan kami akan cari orang yang terbaik untuk Budiman seperti mana Budiman melakukan yang terbaik untuk Siti Aishah ". Kata-kata itu akhirnya menjadi kenyataan bila aku berkahwin dengan Rosnah hasil recommendation mereka dan alhamdulillah hidup aku kini bahagia dan tenteram walaupun kesan-kesan calar masih berada didalam.
Setelah selesai sesi bergambar aku meminta diri dari anakku untuk pulang ke Penang sebab malamnya aku harus bekerja. Perut terasa amat lapar sekali. Isteriku asyik menekan perutnya. Dekat dengan hotel kami terdapat banyak juga restoran. Kami memasuki restoran dari negeri Pahang. Aku begitu terliur melihat ikan patin masak cili padi. Harga sebelah ialah RM18. Namun isteriku tidak suka dengan masak lemak cili padi. Katanya, " Abang makanlah dulu. Nanti kita singgah dimana-mana pula ". Aku tidak sanggup mementingkan diri hanya kerana teringin ikan patin dan akhirnya kami ke restoran masakan Thai. Biarlah kami makan bersama-sama. Senyum isteriku bila aku berkata,
" Abang tak sanggup biar Nah melihat abang dan anak abang makan. Biarlah kita makan bersama kan seronok ". Akhirnya kami memilih untuk makan nasi goreng ikan masin. Sepakat kedua-dua kami amat suka nasi ini.
Setelah kenyang dan solat jamak. Kami check out dari hotel jam 2 petang dan terus pulang ke Penang tanpa berhenti. Aku cuma berhenti mengisi minyak di Simpang Pulai dan terus memecut pulang. Jam 7 petang kami sudah sampai di Penang. Syukur alhamdulillah. Aku melihat isteriku menunjuk gambar kami semasa di I-City kepada anak-anaknya. Aku tahu dia cukup gembira dan akulah insan yang paling gembira bila melihat isteriku gembira. Terima kasih kepada pembaca kerana sudi membaca coretanku ini.