Teman-teman

Monday, April 14, 2014

Lain Yang Di Cari. Lain Yang Dapat

Aku mengajak kedua-dua anakku ke kedai perabut mencari almari untuk meletak tv. Almari di rumah sudah kelihatan uzur dan terpaksa di ganti dengan yang baru. Kami memasuki kedai satu persatu namun tidak ada yang berkenan di hati. Sudah la tidak cantik malah mahal pula tu. Kami mengambil keputusan untuk pergi di sebuah kedai lagi. Bila memasuki kedai tersebut perabut yang dijual begitu mahal. Terus batal segala rancangan.

Ketika keluar aku melihat kedai basikal disebelah kedai perabut. Terus aku melangkah masuk kedalam. Tauke kedai menyambut kami dengan senyuman. Memang la aku mempunyai keinginan untuk memilki basikal tapi bukan dalam masa yang terdekat. Sudah lama aku inginkan sebuah basikal untuk memudahkan aku mengeluarkan peluh tapi wanglah yang menjadi penghalangnya.


Entah macam mana aku tertarik dengan sebuah basikal. Terus aku bertanya tauke kedai. Dengan panjang lebar tauke kedai menerangkan keistimewaan basikal tersebuat dan apa hadiah yang akan aku dapat jika aku membelinya. Akhirnya terus aku terpikat dengan basikal tersebut
" Hai...asal nak tengok almari. Macam mana boleh bertukar beli basikal pula ". Perli anak gadisku
" Tak pa nanti kita tengok di kedai lain ". Kataku kepada anak gadisku.
Akhirnya aku beli juga basikal yang aku idamkan selama ini. Jika ada masa terluang aku menghabiskan waktu dengan mengayuhnya. Kalau aku bertugas petang aku akan mengayuh waktu pagi. Jika bertugas pagi atau malam aku mengayuh di sebelah petang.

Alhamdulillah semenjak aku menggunakan basikal aku berjaya menurunkan berat badanku walaupun baru sedikit tapi insyaallah aku akan istiqamah dengannya. Semenjak aku kehilangan kamera DSLR inilah pula hobi baruku iaitu kearah menyihatkan badan. Moga ianya berterusan.

Thursday, April 10, 2014

Apa Itu Wasap

Aku telah di arahkan oleh pihak majikan untuk menjalani kursus Akta Bekalan Elektrik di KL South pada 8 - 11 April 2014. Ini disebabkan ia berhubung kait dengan kenaikan pangkatku baru- baru ini dan telah di tukar kembali aku bertugas di Pulau Pinang dan bukan lagi di Bukit Mertajam yang hampir setiap hari aku pasti menyeberangi jambatan Pulau Pinang.

Yang datang kursus ada yang baru bertugas dengan TNB. Ada yang agak lama macam aku sendiri yang sudah 30 tahun bersama TNB. Ada seorang pekerja yang lagi 3 bulan akan menamatkan pekerjaannya iaitu dia akan pencen. Dia turut di senaraikan sebagai peserta kursus. Riuh juga kursus kali ini. Fasilitator seorang lelaki cina sungguh ceria. Dia suka ketawa setelah bergurau akan sesuatu perkara yang melucukan. Kira terhibur juga kami di dalam kelas dengan kerektor masing- masing.

Macam- macam akta di ajar kepada kami. Apa yang tidak boleh dan apa yang di bolehkan untuk seseorang itu menggunskan akta yang telah di tetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga. Kami semua tidak dapat menahan kelucuan seorang peserta yang akan pencen tidak lama. Fasi bertanya akan akta
" Ok En Ahmad ( bukan nama sebenar ). Tolong beritahu kepada saya apa itu WASAP ". Bagi aku, aku sudah dapat menangkap maksud perkataan tadi sebab ianya baru saja diterangkan oleh fasi. Terpinga- pinga En Ahmad yang tertidur di dalam kelas. Fasi bukan nak memalukan lelaki itu tetapi bergurau dan kami semua memahaminya.

" WASAP...Yang saya tahu maksudnya ialah baru- baru ni cucu saya telah installah wasap ke talipon bimbit saya. Itulah WASAP ". Kami semua tertawa gelihati termasuk fasi.
"  Aiya....Orang lama sekarang sudah pandai maa main wasap. Tapi itu bukan maksud wasap yang sebenarnya. En Ahmad boleh duduk ". Tertawa kecil En Ahmad bila dia tersilap jawab. Kami semua pun tidak pernah merendahkan sesiapa yang tidak tahu akan sebarang jawapan. Cuma kadang- kadang ada juga jawapan yang melucukan.

" Erti WASAP yang sebenarnya ialah Asap, Wap atau Gas yang kuat baunya ". Terang fasi yang membuatkan kami tertawa sekali lagi kepada En Ahmad. Dia juga turut tertawa gelihati. Esok merupakan hari terakhir kami berada di sini. Selepas peperiksaan tamat masing- masing akan pulang ke destinasi masing- masing

Friday, April 04, 2014

Allah Yang Beri Sihat

Selesai menunaikan solat fardhu Jumaat aku keluar untuk pulang kerumah. Aku bertemu dengan rakanku. Bila dia melihat aku terus di berhentinya motosikal. Kami bersalaman. Sayu nampak wajah rakanku
" Apa kabar sekarang ". Aku bertanya rakanku
" Aku sekarang ni dah berjalan macam hang. Sembahyang pun tadi duduk di saf belakang. Aku rasa malu ". Sebab dia dan mengalir airmata
" Buat apa la nak malu dengan manusia Bukan manusia yang menilai kita tetapi Allah. Kita patut bersyukur walaupun kita dalam keadaan begini yang pada sesetengah orang kita tak seperti manusia biasa tetapi alhamdulillah. Kita masih mampu melakukan solat Jumaat. Setengah orang Allah berikan kesihatan yang baik tapi tidak pernah tunduk dan patuh kepada Allah ". Panjang lebar aku nasihat.

" Aku sedih la sebab dulu badan aku kuat. Aku dapat melakukan ibadah dengan sempurna. Kini bila usia meningkat badan jadi sakit dan aku terpaksa solat sambil duduk atas bangku ". Katanya sambil mengesat airmatanya. Aku amat faham apa yang di rasai oleh rakanku itu Akupun sepertinya suatu ketika dahulu. Ketika aku muda belia solatku begitu sempurna sekali. Bila aku berkahwin dengan arwah Siti Aishah Allah menguji aku dengan kesihatan. Aku mendapat penyakit gout. Kandungan asid urik dalam tubuhku terlalu tinggi. Kerap aku mengalami sakit kaki sehinggakan aku menangis dek tidak tahan menanggung kesakitan. Aku gterpaksa menelan pain killer untuk meredakan kesakitan tetapi ia hanya bersifat semntara. Sakit kakiku menterang kembali. Arwah Siti Aishah terpaksa memapah aku jikalau aku nak ke tandas.
" Siti..... abang tak tahan sakit. Teruknya Allah uji abang ". Keluhku pada arwah
" Allah bagi sakit sebab Allah sayang abang. Insyaallah bang nanti adalah penawarnya ". Kata isteriku memujuk.

Lega buat sementara aku mendengar pujukan isteriku. Kadang-kadang sakit pada kaki melarat hingga ke lutut. Akibatnya aku tidak boleh bengkokkan kaki. Aku terpaksa duduk di atas bangku untuk mengerjakan solat. Bila kakiku pulih lututku masih tidak boleh dibengkokkan. Dengan kepakaran isteriku mengurut akhirnya lututku dapat diluruskan dan akhirnya aku dapat beribadah dengan sempurna. Begitulah yang berlaku setiap kali  terhadapku. Isteriku sentiasa berada di sampingku. Sudah berapa kali kaki aku lutut aku tidak boleh di bengkokkan namun isteriku bertungkus lumus mengurut lututku agar ia kembali lembut dan dapat di bengkokkan. Aku masih akan kata-kata isteriku....
" Abang ucapkan terima kasih pada Siti kerana jaga abang ". Kataku sayu kepada isteriku
" Sama-sama bang.. Siti sakit tak apa asalkan abang sihat ". Kata-kata itu membuat aku begitu sebak. Aku masih ingat pernah aku terlalu sakit kaki diwaktu malam. Ubat sudah kehabisan. Isteriku tidak tahu lagi berbuat apa-apa bila melihat aku menangis kesakitan. Dia mengurut perlahan-lahan sambil membaca ayat-ayat suci Al Quran.

Bila aku terjaga dari tidurku aku melihat dia tertidur dihujung kakiku. Terlalu besar pengorban isteriku. Ketika isteriku sakit aku juga turut kesakitan. Kakiku terasa begitu sakit. Dalam keadaan batuk isteriku masih ingin membantuku. Aku berkata kepadanya
" Sudah lama Siti menjaga abang. Kini Siti sedang sakit jadi biarlah abang pula yang menjaga Siti. Abang minta Siti tolong doakan moga kaki abang tidak sakit ". Isteriku menangis mendengar kata-kataku. Terus dia berdoa moga Allah sembuhkan kakiku. Alhamdulillah sepanjang aku membantunya sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir kakiku tidak lagi merasa sakit seperti dahulu. Sakit kakiku ibarat dibawa bersama oleh isteriku.

Kini setelah aku berkahwin dengan isteriku yang baru alhamdulillah aku tidak lagi merasa kesakitan pada kakiku. Cuma lututku tidak boleh dilipat seperti dahulu. Namun aku tetap bersyukur kepada Allah yang aku masih dapat lagi hidup seperti manusia yang lain. Kesihatanku baik. Aku sedar bahawa Allah yang memberi ujian kesedihan dan Allah juga yang memberi kegembiraan kepadaku dengan menghilangkan sakit kakiku. Kini aku tidak pernah mengeluh apa yang ada padaku. Aku juga tidak pernah marah kalau ada insan-insan yang mengajuk cara aku berjalan. Aku bersyukur kepada Allah berkat doa arwah Siti Aishah penderitaanku selama ini telah hilang. Allah mengambil sesuatu dan Allah juga yang memberi sesuatu. Aku harus meneruskan kehidupanku walaupun pada mata orang aku bukanlah seorang yang sempurna namun aku tetap bersyukur sebab allah tidak menarik kembali hidayah yang diberikan kepadaku.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...