Teman-teman

Wednesday, December 29, 2010

Jom Ke Pesta Pulau Pinang

Pesta Pulau Pinang telah menghampiri penghujngnya. Aku seperti selalu dimana dipenghujungnya aku pasti mencari benda yang di offer. kini kedua-dua anakku mengajak aku dan isteriku ke pesta. Kesian juga aku terhadap mereka. Dengan keadaan aku yang baru baik demam yang kedua kali aku gagahi melangkah walaupun kaki terasa masih lagi sakit. Niat dihati juga ingin mencari gambar kaabah dan ukiran khat Al-Quran untuk rumah baruku. Masa inilah ada offer. Sebelum membeli kami pasti ketempat permainan. Anakku membawa anak saudara sebelah arwah isteriku. Cukup seronok mereka bila melihat berbagai jenis permainan. Siap duit saja. Aku mengajak isteriku menaiki Euro Wheel. " Nah tak mau naik. Gayat sangat ". Itulah ayat power dia walaupun berkali-kali aku merayu. Akhinya aku pun turut tak naik sebab buat apa naik sorang-sorang kan.

Inilah saja yang aku paling minat naik.

Kami ke rumah Haunted Castle pula. Aku tercegat memerhati rumah tersebut. " Awat ayah. Ada ka hantu '. Tanya anakku bila melihat aku begitu asyik melihat. Memang benar nama pun rumah hantu sudah pastilah ada hantunya. Dia duduk didepan pintu masuk seperti mengalu-alukan kedatangan tetamu. Aku menunjuk kearah pintu tersebut. " Ayah jom kita masuk dalam scan ". Kata anak lelakiku. Setelah dipujuk, aku mengalah juga. Kami naik kereta berdua. Bila masuk kedalam tak sempat nak scan sebab bahayanya roller tersebut. Hampir tercabut keluar kami dari roller tersebut akibat corner maut. Kalau kanak-kanak tidak memegang kuat handle roller sudah pasti akan berlakunya kemalangan.

Patutla aku mendengar jeritan dari dalam. Ingatkan terserempak dengan hantu. Rupa-rupanya menjerit takutnya dengan corner maut roller tersebut. Aku masih ingat tahun lepas kedua-dua anakku mencabar aku menaiki Top Gun. ketika itu aku masih lagi terlalu bersedih diatas pemergian arwah isteriku. Aku tahu anak-anakku ingin melihat ayah mereka tertawa seperti selalu maka inilah caranya. Aku menerima cabaran itu demi menjaga hati mereka bahawa ayah mereka ok. Dalam hatiku tiada siapa tahu betapa aku terbayang saat-saat indah sewaktu kami anak beranak berada di permainan ini. Euro Wheel menjadi teman antara aku dan arwah Siti Aishah. Sambil menikmati panorama pesta dari atas kami berbual-bual kosong. Sebab itu aku mengajak isteriku sekarang untuk menaiki benda yang sama tapi tak dapat.

Hantu betul berada di pintu masuk seperti dalam gambar " DiSini ". Diperhatinya mereka yang masuk kedalam.

Kedua-dua anakku begitu gembira bila aku sudah berada diatas top gun bersama mereka. Makin lama makin laju dan akhirnya aku terpaksa menjerit kuat sebab rasa macam nak tercabut jantung aku. Tertawa mereka berdua bila melihat aku terketar-ketar berjalan setelah turun dari top gun. " Lain kali jangan cabar ayah. Ayah dah taubat nasuha ". Kini mereka cabar lagi sekali. Cepat-cepat aku surrender. " Ayah jom kita tangkap gambar dengan ular '. la tak dapat cabar aku naik top gun depa cabar aku bergambar sambil ular berada diatas tengkok. " Tangkap gambar dengan hantu tak apa lagi. Ular sorry la. Ayah tak mau ". Cakap biar teghang seperti kata P. Ramlee Dalam filem Ali Baba Dengan 40 Penyamun.

Akhirnya kami kegerai jualan. Aku membeli gambar kaabah dan khat Al-Quran. Harga untuk kedua-duanya sekali ialah sebanyak RM100. Memang cantik pemandangan kaabah kalau di suis ON lampu. Terasa sejuk mata memandang dan hati sekali lagi ingin kesana. " Ayah esok kita pergi jala ikan ". Tanya anak lelakiku. Sudah 2 tahun aku tidak memegang jala. Bukan tidak teringin tapi entah kenapa bila ada nait nak kepantai pasti ada saja halangannya. Dipantailah yang paling banyak kenangan aku bersama arwah. Aku menjala ikan manakala isteriku menemaniku sambil mengait baju diatas batu. Mungkin Allah tidak mengizinkan memori itu diulang tayang. Aku akur dengan harapan suatu hari aku dan isteriku Rosnah akan kesini untuk menjala. Bila...wallahualam.

Monday, December 27, 2010

Cita Rasa Tak Sama

Aku dalam fasa terakhir sebelum berpindah. Dijangkakan pada Ahad 2 jan 2011 kami akan berpindah kerumah baru. Sebelum itu kami sudah mula mengecat. " Abang nak cat warna apa di ruang tamu " Tanya isteriku. " Biru muda ". Jawab aku spontan. " Abang ni asyik dengan warna biru saja. Rumah abang yang lagi satu pun warna biru ". Kata isteriku. Aku hanya tersenyum. Akhirnya mengalah juga dia dengan citarasa aku. Seronok tak terkira bila warna kesukaan aku tidak dibantah. " Ruang atas Nah nak cat warna pink ". Tersenyum dia bila melihat aku pula tergaru-garu kepala. Memang isteriku peminat warna pink. Akhirnya rumah kami mempunyai dua warna hasil dari dua orang yang mempunyai citarasa yang berbeza.



Tersenyum puas hati isteriku bila ruang atas semuanya dicat dengan warna pink termasuk dengan tikar getah. Tak apalah akhirnya aku mengalah juga bila dapur pun dia nak warna pink. Aku dapat warna biru hanya di ruang tamu dan bilik tidur. Kakak ipar tertawa bila mendengar cerita kami. " Hang pa dua orang ni memang pelik. Tak pa janji hangpa bahagia sudah la ".

Friday, December 24, 2010

Gedebum Kereta Di Hentam

Sudah pasti ramai orang mengimpikan kehidupan tinggal di kampong. Suasananya yang sunyi dan aman membuatkan ada yang menyewa dan membeli rumah. Semenjak aku tinggal di kampong isteriku setahun lebih aku dapat merasakan suasana ini tidaklah aman sangat. Yang membuat aku tension ialah jika cuti sekolah. Kanak-kanak dengan kenakalan mereka dicampuri pula dengan sikap ibu bapa yang suka menengking anak serta mencarut terhadap anak mereka. Kini bila anak-anak bergaduh sesama mereka maka keluarlah perkataan lucah dari anak-anak tersebut. Ibu bapa yang mengajar anak-anak hanya memarahi anak-anak apabila terdengar padahal merekalah yang mengeluarkan perkataan itu.


Kadang-kadang bila aku pulang kerja shif malam, nak melelapkan mata pun susah sebab tempat permainan mereka berdekatan bilik aku. Silap sikit menangis dan menjerit dan akhirnya mencarutlah. Mau tak mau aku terpaksa tutup telinga dengan bantal. Aku rasa lebih enak tinggal dirumah sendiri walaupun rumah pangsa. Yang menjadi kemarahan orang kampong ialah suka race basikal macam litar sepang. Pernah aku terdengar orang-orang kampong merungut dan berkata, " Suatu hari pasti salah seorang dari mereka akan berlanggar dengan kereta ".

Selepas selesai solat zohor aku bercadang membeli perkakas letrik untuk rumah baruku. Heater, kipas angin dan banyak lagi barangan yang tidak boleh dimuat dengan motosikal. Terpaksa aku menggunakan kereta. Sewaktu menghampiri selekoh sebuah basikal yang dikayuh dengan lajunya melintas depan aku. Terkejut beruk budak tu bila melihat kereta aku datang terus masuk kedalam hutan berdekatan. Seorang lagi rakanya yang mengejar dari belakang akhirnya tidak dapat berbuat apa-apa lagi terus menghentam kereta aku. Akibat hentaman kuat dia melambung diatas bonet kereta aku. Tergamam aku dengan tiba-tiba saja basikal menghentam kereta aku.

Akibat ketakutan budak itu akhirnya bangun dan sambil terhincut-hincut mengheret basikalnya yang telah menjadi nombor 8. Aku keluar dan menggaru kepala bila melihat kereta yang baru dibeli setahun lebih telah kemek. Orang kampong berdekatan keluar apabila mendengar bunyi dentuman yang kuat. Aku terus memandu kereta dan merasa hairan kenapa lain macam saja keadaan kereta. Bergegar-gegar bila dipandu. Aku berhenti distesen minyak untuk melihat apa masalahnya. Terkejut aku dibuatnya bila melihat tayar belakang telah pecah dengan kesan tusukan yang kuat. Setelah menukar tayar spare aku terus kekedai untuk membeli perkakas elektrik dan pulang kerumah.

Termenung aku melihat kesan pada kereta baruku. Jenuh juga isteri memujuk agar lupakan saja peristiwa itu. " Tak pa bang kereta tu kita boleh buat balik. Janji abang selamat dan budak tu pun tak ada apa. Syukurlah bang ". Pujukan isteriku membuatkan aku terus lentur dan melupakan terus kisah hentaman. Sedang asyik makan kuih datang bapa budak tersebut. " Encik saya nak claim duit basikal dan ubat anak saya. Encik tak nampak ka anak saya tunggang basikal. Kenapa encik tak brek ". Kata-kata bapa budak tersebut membuatkan darah aku terus menyirap. Tangan aku sudah menggigil menggengam penumbuk. Cepat-cepat isteri aku menarik tangan aku.

" Hang tau anak hang naik macam hantu. kalau hantu lintas pun tak sempat elak ". Kata-kata aku membuatkan rakan sebaya anaknya yang bermain bersama ketawa. Yang aku pun macam mana boleh keluar ayat giller tu. " Hang tanya orang kampong macam mana anak hang naik. Depa buat macam litar sepang jalan ni ". Kata-kata aku disokong kuat oleh jaran sebelah yang menyaksikan peristiwa itu. " La ni aku nak claim dekat hang. Hang tengok tayar pecah. Kos dia RM150 sebiji. Ni kemek mau dekat RM400 untuk repair balik. Macam mana hang boleh bagi ka ". Tergaru-garu kepala bapa budak tersebut. " Bang saya minta maaf. Saya orang miskin. Duit tak ada. Kami pula baru masuk islam ". Memang aku tahu mereka sekeluarga telah memeluk islam. Sebab itu aku diamkan saja dan tak mahu memanjangkan perkara itu.

Bila aku terus disergah mulalah aku pun naik sheh. Akhirnya kami mengmbil keputusan menyelesaikan perkara itu tanpa ada apa-apa tuntutan. Aku terus kekedai untuk menukar tayar baru. Akhirnya aku kena charge sebanyak RM170. Itu baru tayar. Tak termasuk kemek di pintu kereta. Aku merungut pada isteri. " Tensionlah tinggal di kampong macam ni. Lagi boring kalau cuti sekolah. Anak-anak tak ada aktiviti maka inilah jadinya ". Diam isteriku. " Abang baru tinggal setahun lebih. Nah sudah disini selama 17 tahun lagi macam-macam masalah yang ada ". Betul juga kata isteriku.

Kini dirumah baruku sepanjang aku keluar masuk untuk membersih kawasan tak ada aku melihat kanak-kanak melintasi rumah kami. Mendengar suara kanak-kanak dari flat sebelah yang berpagar adalah. Mungkin apabila kami berpindah kerumah baru suasana keriuhan kanak-kanak pasti rindui. Nak marah kanak-kanak yang tidak mengerti akan budaya masyarakat tidak kena pada tempatnya. Aku melihat di kawasan kampong isteriku tidak ada orang yang mengambil inisiatif membuat satu program untuk kanak-kanak ketika cuti sekolah. Aku memang berhajat nak buat program kanak-kanak disitu tetapi aku sendiri tidak kenal dengan ketuanya. Aku akan memasuki mukim yang baru. Harapannya agar semuanya berjalan lancar.

Bergembiralah Wahai Wanita

Memandangkan hari ini hari Jumaat sebelum aku menulis cerita lain aku paparkan sedutan video yang agak menarik walaupun pendek tetapi sudah cukup menggambarkan bahawa betapa bertuahnya seseorang yang bergelar wanita. Tontonlah.....


Tuesday, December 21, 2010

Jangan Amalkan

Sudah beberapa hari aku mengalami sakit kepala. Sahlah rambut dah panjang. Semenjak dari kecil hinggalah dewasa, tidak pernah aku menyimpan rambut panjang. Kalau panjang maka sakit kepala dibuatnya. Pernah aku buat gila, aku suruh tukang gunting rambut potong sampai nampak kepala ala shaolin temple. Apalagi marah arwah isteriku bila melihat kepala aku yang shining. tapi bila kena air terasa begitu nyaman kepala. Idea ketika itu datang mencurah-curah. Lirik-lirik lagu serta ciptaan lagu begitu mudah dicipta. Itu dulu. Kini entah kenapa mood untuk mencipta lagu nasyid seperti hilang terus dariku. Aku sendiri tidak mengerti mengapa. Aku terus memecut motosikal untuk menggunting rambut. Tukang gunting pula tak boleh lihat aku. Maka bermula topik politik. " Abang malam ni Anwar datang ka bang ". Aku mengiakan saja pertanyaannya. " Petang ni Tian Chua ka ". Aku hanya diam membisu. " Bang kita di sini nak buka cawangan Keadilan. Kami sudah dapat orangnya ". Begitu bersemangat sambil gunting sambil bersembang.

Tiba-tiba pintu kedai dibuka. Langkah masuk seorang lelaki sambil tangannya dipimpin oleh anaknya. Aku hanya memerhati saja mereka. Sambil leka dengan tukang gunting, aku di tegur oleh lelaki tersebut yang dipimpin oleh anaknya. " Ini Ariff Budiman ka ". Suaranya berkulum mengatur ayat. Aku hanya tersenyum serta mengiakan saja. " Hang tak kenai aku ka. Ini Lan masa sekolah rendah dan menengah kita tak pernah berpisah ". Ya Allah aku tersentak bila menyedari bahawa dia merupakan rakan kelasku semenjak dari sekolah rendah hingga sekolah menengah. Masa sekolah menengah kalau sukan aku merupakan pelari jarak dekat iaitu 100m , 200m dan 4 x 100m manakala rakanku merupakan pelari jarak jauh iaitu 400m dan 800m.

" Sorry Lan aku tak kenai hang tadi. Hang tak sihat ka ". Aku sengaja bertanya walaupun dari pertuturan dan jalannya aku sudah mengagak yang dia mungkin diserang stroke. " Aku kena stroke Ariff. Semua disebabkan aku suka makan nasi kandar. Pagi nasi kandar dan teh tarik. Petang pun sama dan malam kadang-kadang bila berjumpa kawan kalau tak nasi kandar sudah pasti roti canai ". Aku memberi tumpuan sepenuhnya pada rakanku ini. " Kadang-kadang jam 2 pagi bila teringat nak makan nasi kandar terus aku pergi berseorangan. Akhirnya Ariff pada jam 4 pagi aku terus diserang stroke. Nasib baik ada isteri dan anak-anak dirumah. Ni kira boleh jalan sikit sebab dah mengurut ". Takut juga aku mendengar tentang penyakit segera dizaman ini.

Aku begitu terkesan bila melihat rakanku dan mendengar ceritanya. kini sudah 3 hari aku tidak menyentuh nasi. Pagi, tengahari serta malam aku hanya makan roti gandum cicah dengan kuah kari. Akibat rajin juga aku berjoging, dalam masa 3 hari saja sudah turun 1 kilo. isteriku pun sudah mengikut cara makan aku. Entah betul entah tidak cara pemakanan aku. Dia sudahlah kurus maka akan bertambah kuruslah lagi dia. " Nah macam ni pun sudah cantik. Tak gemuk dan kurus. kalau lagi kurus akibatnya abang tak pergi kerjalah '. Tersenyum dia menerima usikan dari aku. " Dah tua cantik apa " Kata isteriku. " Aishh...tua cara tua cantiknya. Muda cara muda cantiknya. Tapi Nah tak makan tua la. Masih lagi bergetah ". Pujiku. " Ala..bang tok sah pujilah. Nah tak makan dengan pujian ". Aku tertawa dengan kata-katanya. Memang seronok kalau aku dapat menyakat isteriku. Terhibur bangat. kepada pembaca yang baik hati. Tolong berikan tips-tip cara pemakanan yang baik. Boleh tak.

Monday, December 20, 2010

Menggeletar Pegang Wang

" Encik wang telah pun dimasukkan kedalam akaun ". Aku menerima panggilan talipon dari kerani bank Islam. Selepas tiga hari aku ke bank semula untuk mengeluarkan wang dan diserahkan kepada penjual rumah. Aku menalipon lawyer memberitahu yang aku akan menyerahkan wang sebanyak RM80,000 dan meminta agar lawyer turut berada didepan kami dan terus menandatangani perjanjian. " Banyak encik keluarkan wang ". Kerani wanita bertanya sambil meneliti borang pengeluaran. " Tak da la. Duit nak beli rumah ". Terangguk-angguk kepala kerani mendengar penjelasanku.

Selepas menunggu selama 20 minit akhirnya aku diminta mengambil wang didalam sebab ia melibat pengeluaran yang besar. Seramai 3 orang kerani berada disitu untuk menjadi saksi diikuti dengan pengawal keselamatan. " Hati-hatilah encik bila bawa keluar duit ni. Kami sendiri pun takut ". Kata kerani yang sedang mengira wang dimesin. Kata-kata itu membuatkan aku sedikit gusar dan risau. Aku memerhati disekeliling pejabat. Disebelah kami seorang kerani sedang menaip sms. Sekejap dia perhati dekat aku. Otak aku sudah menjadi jahat. " Jangan-jangan dia hantar sms dekat rakannya suruh sekat aku ". Bisik hati kecilku. Ya la siapa yang tidak risau dengan kejadian yang kerap menimpa ketika keluar dari bank.

" Ok encik semua cukup RM80.000. Hati-hati sikit. Encik nak minta pengawal keselamatan escort ka ". Tanya kerani bank. " Tak pa terima kasih banyak. Saya boleh handle sendiri ". Begitu yakin aku menjawab walaupun tanganku terketar-ketar memegang wang yang berjumlah puluhan ribu. Dalam hidup aku inilah pertama kalinya aku memegang wang sebanyak ini. Aku terus memasukkannya kedalam beg laptop aku. Aku start motosikal lalu beredar. Aku lalui berbagai-bagai lorong macam cerita spy yang membuat helah. Hujan pula turun begitu lebat. Aku singgah dulu dirumah lalu aku tunjuk wang kepada anak lelakiku. Terkejut dia melihat aku begitu berani membawa wang yang banyak.

Akhirnya dia tidak mengizinkan aku pergi keseorangan. Biarlah dia yang membawa kereta walaupun bahunya masih lagi kesakitan akibat kemalangan tempuh hari. Takut pula dia kalau terjadi apa-apa hal dengan ayahnya. Akhirnya kami sampai ketempat perjanjian. Setelah menandatangani perjanjian aku pulang kerumah dengan hati yang lega. Syukur tidak berlaku akan perkara yang tidak diingini. Aku cerita kepada isteri. Kena marah kali kedua sebab terlalu berani. Biarlah aku diam dari menjawab. Lagipun benda dah selesai. kini aku dalam proses mengangkut barang-barang. Jangka akan berpindah pada penghujung bulan ini. Semoga Allah permudahkan.

Sunday, December 19, 2010

Jemputan Dari Silent Reader

Tarikh 18 Bisember 2010 maka genaplah 2 tahun Siti Aishah pergi meninggalkan kenangan kepada kami. Memang benar seperti kata Bearcat, pada tahun ini juga dugaan bersilih ganti menimpa keluarga kami. Bagi yang mengerti akan dugaan ini sudah pasti mengambil sikap positif. Tidak ada yang merungut mengapa Allah memberi dugaan yang amat berat ini. Sudah pasti akan ada hikmah yang akan disedari kemudiannya. Pada tarikh ini aku, anak-anak serta keluarga mengambil keputusan untuk mengadakan kenduri doa selamat untuk mereka yang telah pergi mendahului kami.

Dalam kesibukan aku hendak menguruskan kenduri doa selamat, aku telah menerima email dari seorang silent reader Mohd Hazrin yang akan melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang sama. Begitu berharap dia agar aku dan isteri dapat hadir di majlis kenduri kahwinnya. Memandangkan tempatnya tidaklah begitu jauh iaitu di Komplek Sukan Balik Pulau maka aku dan isteri bersetuju untuk hadir

Setelah selesai kenduri unrtuk arwah isteriku kami bergegas pula ke Balik Pulau. Alhamdulillah akhirnya dapat bertemu dan berpelukan. Aku sempat mengucapkan tahniah diatas perkahwinannya. Begitu bersemangat Mohd Hazrin menceritakan kepada isteriku bagaimana dia mengenaliku melalui blog. Tersenyum isteriku mendengar. " Abang cerita apa dalam blog ". Tanya isteriku sebelum makan. " Tak adalah, abang ceritakan kisah hidup selepas kematian Aishah dan selepas perkahwinan kita berdua didalam blog". Diam isteriku mendengar penjelasan dariku.

Aku pulang dengan rasa syukur kerana dapat memenuhi permintaan dari silent reader yang baru membaca blog aku. Doaku kepada mereka semoga bahagia berkekalan dan be a good listener kepada pasangannya.

Wednesday, December 15, 2010

Maha Suci Allah

Aku menerima sekeping gambar dari seorang sahabat. Aku tak dapat berkata-kata apa lagi bila menatap gambar ini. Hanya perkataan subhanallah yang terkeluar dari mulutku. Apa tidaknya didalam gambar ada kedua-dua isteriku. Gambar ini dirakam sekitar tahun 2006 sewaktu aku dan isteri serta sahabat-sahabat lain dari NGO Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ( JIM ) telah mengadakan program sumbangan untuk ibu-ibu tunggal menjelang hari raya aidil Fitri. Dalam senarai peserta sumbangan nama isteriku Rosnah telah dimasukkan.



Tersenyum isteriku Rosnah ketika itu sewaktu bersalaman dengan arwah isteriku Siti Aishah. Kini siapa sangka Rosnah telah mengambil tugasan sebagai isteriku setelah ketiadaan Siti Aishah. Itu semua merupakan perancangan Allah. Pada masa itu tidak terlintas langsung dibenak hatiku ingin memperisterikan Rosnah. Biarlah Siti Aishah bersamaku sehingga di penghujung nyawa. Tapi kita sebagai manusia hanya layak berdoa dan penentunya ialah Allah. Pada 18 Disember 2010 merupakan tarikh keramat yang aku serta anak-anak tidak dapat melupakan. 18 Disember Siti Aishah meninggalkan kami semua buat selama-lamanya. Kini hanya kenangan indah masih terpahat didada ini betapa rindunya aku terhadap seorang wanita yang bergelar isteri bernama Siti Aishah. Semoga kita dapat bertemu diakhirat nanti. Al - Fatihah.....

Monday, December 13, 2010

Cepat Sebelum Terlambat

Anak saudaraku telah membuka warung roti canai. Anak gadisku tiba-tiba teringin nak makan roti pisang. Last sekali aku juga kena beli. Selesai pusing-pusing aku singgah di kedai menjual buah2an. " Tauke lu punya abang Ah Chan betoi ka sudah mati ". Itulah ayat pertama aku yang terkeluar dari mulut setelah berjumpa tauke kedai pisang. Aku bertanya adiknya sebab aku dengar yang abangnya penat disebelah pagi dan meninggal disebelah petang setelah baru dibawa ke hospital. Aku amat mengenali abangnya semenjak aku dari bangku sekolah rendah lagi. Aku kerap membeli ais ketul darinya. Bila datang hari raya tak menang tangannya dibuat dek serbuan warga Sungai Ara yang ketika itu susah membeli peti sejuk.

setelah aku dewasa, khidmatnya masih juga diperlukan. Kalau kenduri kendara di surau dialah yang dicari. Bila sampai sudah pasti mendapat free sebab dia nak sedekah kepada surau. katanya untuk dapat pahala. ' Betoi wa punya abang Ah Chan sudah mati. Baguih juga dia mati. Bukan wa busuk perut sama wa punya abang tapi kalau dia talak mati sapa mau jaga sama dia. Duit sulah tintu habih punya '. Begitu panjang lebar adiknya menjawab dan begitu jauh pandangannya mereka jikalau abangnya tidak mati. " Tapi lu punya abang banyak baik hati. Dia tak pernah angkat duit bila kami surau pesan sama dia ais. Dia cakap mau sedekah pada surau mau cari pahala ".

Bukan aku sengaja memuji abangnya tapi itulah kenyataannya. Abangnya cukup peramah dan tidak lokek. Kalau sifat ini ada pada orang islam alangkah indahnya bila tiba saat kematiannya. " Wa pun tak ada mau cakap apa-apa lagi pasai wa punya abang. Moga tuhan Ala terima dia dan kasi dia pahala ". Begitu tinggi pengharapan mereka. Mereka yang bukan islam pun mahu pahala dari tuhan Ala. Kita yang islam warisan masih lagi tercari-cari arah yang nak dituju. Diberi amanah. Kita pecahkannya kemudian berdoa mahu pahala. Diberi tanggungjawab. Diabaikannya. Bila diberi kuasa kita menyalahkan guna kuasa. Berani pula kita berdoa kepada Allah mahukan pahala dan syurga. Disuruh tunaikan tanggungjawab terhadap Allah. Tak buat. Berani pula berdoa agar diberi rezeki, pahala dan harapan mendapat syurga kelak. sungguh tidak malunya kita. Jadi jikalau anada atau anak-anak anda yang berumur 21 tahun segeralah mendaftar sebagai pengundi yang sah sebelum terlambat.

Saturday, December 11, 2010

Hanya Kerana kesilapan kecil

Selepas pulang dari solat Jumaat aku terus kedapur untuk makan. Ketika tangan baru nak menyuap nasi baru teringat nak belek handphone. Manalah tahu semasa aku tengah solat ada call masuk. Bila melihat saja di skrin aku tergamam sebab ada sebanyak 8 miss call. Aku terus menalipon anak gadisku. " Ayah adik accident. Dia mengadu sakit dada dan sukar bernafas ". Bagaikan terkena halilintar aku begitu terkejut dengan berita ini. Aku terus tinggalkan pinggan nasi dan menalipon isteriku memberitahu kejadian yang baru menimpa anakku.

Boleh lagi tersenyum walaupun sakit dada

Sampainya aku di rumah mertuaku, aku melihat anakku pucat mukanya dan pernafasannya amat susah. Aku dan anak gadisku terus membawanya ke hospital Pantai Mutiara memandangkan ia adalah panel kami. Setelah dimasukkan ke wad kecemasan Dr datang memeriksa. Sekejap bergegas untuk ujian xray. Setelah semuanya baik anakku dimasukkan kedalam wad. Doktor memberitahu yang tiada tulang yang patah dan hanya luka dibahu. Masalah sakit dada disebabkan dia terhempas kuat. Anakku Hermawan ketika pulang dari menunaikan solat Jumaat termasuk kedalam lopak yang berlubang. Disebabkan tak dapat mengawal motosikalnya maka dia terjatuh seorang diri. Besar juga luka dibahunya.

Melihat dirinya stabil aku dan anakku pulang kerumah untuk solat asar. Selesai aku solat aku menerima satu panggilan talipon yang membuatkan aku bagaikan terputus nyawa dibuatnya.
" Encik Ariff. Saya dari Hospital Pantai. Mengenai GL anak encik pihak TNB tak dapat keluarkan sebab nama anak encik tiada dalam senarai yang didaftarkan. So bagaimana encik. Adakah encik akan bayar cash money ". Setelah berdiam agak lama akibat terkejut akhirnya aku berkata yang aku akan dischage anakku hari itu juga. Kalau aku terus biarkan tentu melambung duit yang perlu aku bayar. Itu semua orang tahu kalau masuk Hospital Pantai.

Aku menalipon pejabat pula bertanyakan kenapa perkara ini boleh berlaku. Akhirnya pihak pejabat mengatakan yang anak aku tidak memberi surat pengesahan dari pihak kolej yang mengatakan dia belajar di kolej tersebut. Meluap-luap darah aku sebab kenapa aku tidak diberitahu untuk berbuat demikian tetapi untuk menuding jari siapa yang bersalah memang aku tidak gemar walaupun pada masa yang sama aku amat terkilan. Aku memberitahu pihak union agar mengambil serius kes aku. Jangan orang lain pula terkena. Aku mula mencongak berapa aku kena bayar. Setelah berjumpa consultant doktor dan mendapat berita bahawa anakku tiada masalah serius aku mengeluarkan anak aku dari hospital pantai.

Aku diarahkan kemeja pendaftaran untuk selesai dischage. " Ok encik kena bayar kami RM2000 sebab sekarang sudah lepas jam 5. Encik bayar deposit dulu nanti dia akan potong balik ". Bagaikan nak pengsan aku mendengar jumlah bayaran deposit. " Takkan duduk tak samapi satu hari saya kena bayar RM2000 ". Nada aku dah lain sedikit akibat menahan geram yang tak sudah-sudah. Dalam marah aku sempat zikir didalam agar marahku dapat dikawal.
" Tak ini prosedur kami. Encik kena bayar deposit dulu. Nanti kalau ada baki pihak kami akan bayar balik ". Terang kerani tersebut. " Saya tahu pantai memang baik hati untuk memulangkan kembali baki wang tapi mana saya cari wang sebanyak RM2000 sekarang ". Aku atur ayat lembut saja sambil mengawal perasaan marahku. " Ok jadi encik nak bayar berapa dulu ". Kata kerani tersebut. " Kalau you tanya dari awl lagi macam ini kan senang. Ok saya bayar RM 300 dulu ". Aku memberi jaminan akan membayar baki sebab aku pasti takkanlah duduk hanya 5 jam saja memerlukan perbelanjaan wang banyak.

Walaupun kesakitan pada luka anakku masih terasa tapi aku tetap bersyukur yang kecederaannya tidaklah serius. Aku menyuruh anakku mengerjakan solat dulu sebelum tidur sebab dalam keadaan sakit sekalipun kita perlu solat cuma kaedahnya saja perlu diketahui. Kadang-kadang anak-anak kalau demam sikit mulalah rasa malas nak solat jadi biarlah aku pimpinnya atau aku gunakan penyembur kalau dia tak kuat berjalan. Janji solat itu wajib tegasku pada anak-anak. " Hermawan..apa yang menimpa Mawan ini adalah ujian Allah. Ada hikmahnya. Kita kena check balik mungkin ada amalan kita yang terlepas pandang atau diringankan kerana mendahului perkara lain ". Aku memberi peringatan pada anakku. Biar dia ingat betapa pentingnya kita menjaga solat.

Pagi tadi pantai hospital menalipon aku. " Hello encik Ariff. Ini Pantai Hospital. Bill anak encik yang perlu diyar ialah sebanyak RM713. Encik bayar baki sebanyak RM413. Bila encik nak bayar ". Aku terus memberi janji yang sekejap lagi aku akan sampai. Terkejut kami semua mendengar jumlah yang perlu dibayar setelah 5 jam berada didalam wad. Tapi itulah hakikat sebenarnya hospital swasta. Kalau tiada wang atau insuran janganlah mengharapkan ihsan dari mereka

Makan terakhir sebelum dischared. Ini juga kena charge

Friday, December 10, 2010

Bayar Dulu La

Aku membuka locker di tempat aku bertugas untuk mencari gula. Rupanya sudah habis. Aku terus keluar kekedai apek berdekatan dengan tempat tugasku. " Tauke gula sudah naik harga ka ". Sengaja aku bertanya padahal aku sudah tahu. " Sikalang RM2.10. Ini mau raya cina nanti lagi mau naik RM2.50. Dia olang duduk atas mana dia olang tau itu rakyat susah atau tidak ". Ngomel apek kedai. " Tapi apek lu apa susah. Lu juga untung bila harga naik ". Aku saja test. " Wa pun serupa lu olang juga. Wa angkat barang harga juga naik. Olang marah sama wa. Dia olang cakap wa kasi naik itu harga. Wa cakap balik bukan wa kasi naik tapi itu kelajaan kasi naik ". Dah nampak sedikit marah siapek.

" Minyak pun naik cepat no tauke. Ron 97 baru naik sekarang Ron 95 pula naik. Tak boleh tahan ini macam tauke ". Rungut aku. " Yang paling wa sakit hati bila dia olang cakap walau naik haliga tapi masih rendah kalau banding itu negara jiran ". Merah wajah apek bila cerita bab minyak. Ya la aku pun tengok tv dan dah agak dengan ayat yang pasti akan keluar. " Kalau dibandingkan dengan harga jiran, kita jauh lebih murah ". Itu negara depa. " Mau bikin macam mana. Kita timun. Dia olang buah durian ". Pandai juga apek ni guna peribahasa.

" Itu kelajaan kasi naik itu harga gula sebab ramai rakyat Malaysia kena penyakit disebabkan gula. Bila kerajaan naik harga barulah kita kurang guna gula ". Sampuk seorang wanita. Dalam memilih barang telinganya sempat juga merakam perbualan kami berdua. " Lu boloh tak tau apa-apa. Lu diam la ". Jerkah apek kepada wanita tersebut. " Lu cakap talak guna otak. Lu tak makan gula itu lu punya pasai. Tapi ini olang meniaga banyak pakai gula. Lu tau apa. Tau sokong saja ". Disebabkan apek dah marah benar dekat wanita tersebut maka wanita tersebut terus keluar tanpa membeli tapi dia terlupa satu barang yang diambil belum dibayar. " Aiyaa...kalau mau marah sama apek bayarlah dulu itu duit ". Hampir aku tertawa melihat wanita tersebut tersipu-sipu menahan malu membayar barangan yang diambil. Itulah sandiwara dunia.

Thursday, December 09, 2010

Kena Rasuk

Awal pagi jam 7 pagi aku menerima panggilan talipon dari anak tiriku yang sedang belajar di kolej di Kuala Lumpur. Katanya salah seorang rakannya telah dirasuk. Semasa berbual dalam talipon aku dapat mendengar suara menjerit dan ada dikalangan mereka yang azan. Nada ketakutan dapat aku rasai pada anak tiriku. Aku meminta agar dia bertenang sebelum aku berikan tips-tips awal. Aku memintanya membaca surah Al fatihah, Surah 3 Qul dan ayatul qursi. Selepas itu sapukan air dimuka rakannya dan selebihnya dibuat minuman. Setelah memahami apa yang suruh barulah kami memutuskan perbualan.

Sambil menunggang motosikal aku berdoa agar anak tiriku berani berhadapan dengan perkara ini sebab dari pengetahuanku dia merupakan seorang yang tidak berani. Menonton filem seram pun tidak berani. Apatah lagi berhadapan dengan keadaan yang real dihadapannya. Selepas 15 minit berlalu aku menalipon anak tiriku bertanyakan keadaan rakannya. Katanya setelah dibuat kaedah yang disuruh, rakannya telah pulih seperti sediakala. Yang menjadi anak tiriku ketakutan ialah rakannya asyik memerhati dirinya seperti marah. Aku katakan bukan rakannya yang marah tetapi makhluk yang berada didalam badannya yang marah. Aku meminta agar anak tiriku bertenang dan membaca ayat yang diberikan tadi dan hembuslah perlahan-lahan kearahnya tanpa diketahui oleh sesiapa.

Bila terkena hembusan maka terjerit-jeritlah kesakitan rakannya. Akhirnya pihak kolej terpaksa meenghubungi kaum keluarga rakannya untuk dibawa pulang untuk berubat. Aku meminta anak tiriku agar sebelum tidur dibaca juga ayat ini sebagai pendinding untuk dirinya. Alhamdulillah katanya tidak ada gangguan. Kata anak tiriku kalau sebelum ini setiap HP pasti kedengaran lagu-lagu. Tidak kira waktu maghrib atau isyak. Setelah berlaku kejadian ini maka setiap orang akan memasang bacaan al quran. Yang tak ada cepat-cepat ambil melalui bluetooth. Aku memesan kepada anak tiriku agar memberitahu rakan-rakannya agar memelihara akhlak semasa berada disana. Jagalah kesopanan. Jangan terloncat-loncat diatas katil walaupun azan maghrib kedengaran. Yang paling penting ialah jangan diabaikan solat yang lima sebab yang membezakan antara islam dan kafir ialah solatnya.

Wednesday, December 08, 2010

RM 6000 Jatuh ke 6 Sen

Aku sudah berangan-angan hari off aku akan meronda dengan motosikal. Sudah berapa hari aku tidak keluar. " Esok abang nak ke lorong kulit. Nak cari barang sikit ". Isteriku hanya tersenyum mendengar akan hasrat aku. Dia juga memahami sudah berapa hari aku tidak melihat dunia luar dan sudah tentu kerinduan amat kuat sekali. Tiba-tiba isteriku menerima mesej. Dia memandang aku dengan wajah sayu. Aku membaca mesejnya. pembantunya telah mengambil cuti kecemasan setelah dipukul suami hingga lebam-lebam. Kasihan aku dengan pembantunya yang asyik dipukul suami jikalau berlaku perselisihan. Begitu ringan tangan suami hinggap di muka serta pipi isteri.

" Nah tak buka la gerai esok ". Sayu saja dia berkata. " Jangan tutup. Kan abang ada. Siapa lagi nak tolong kalau bukan suami ". Aku memberi semangat kepada isteri. " Kesian dekat abang dah planning awal-awal kini terpaksa cancel ". Isteriku masih ingin menutup gerainya. " Insyaallah hari lain akan datang. Abang pergi esok ". Lega hatinya bila aku sudi menolongnya sebab jikalau gerai ditutup akan mengakibatkan barangan yang dah dimasak akan basi. " Tugas abang hari ini hanya buat telor 1/2 masak. Abang tak payah basuh pinggan macam selalu. Abang baru saja baik demam. Nanti melarat pula kesian dekat abang ". Aku hanya diam mendengar kata isteriku.


Sampainya aku digerai terus aku memasak air seperti selalu. Setelah mendidih terus aku tuang kedalam tempat telor. Nasib agak tidak meyebelahi aku hari itu. Jam penggerak rosak. Jadi terpaksa aku berhati-hati dengan rendaman telor. Silap haribulan telor menjadi masak. Kalau selalu cuma disetkan 12 minit. Bunyi beep..beep bermakna sudah menjadi 1/2 masak. Customer suka 1/2 masak sebab boleh dimakan bersama roti bakar. Mata aku tidak putus-putus melihat jam. Cukup masa aku buang air dan letak telor dihadapan. Customer dah menunggu. Sekejap saja habis sebanyak 20 biji. Datang customer dan terus berkata, " Kak siapa buat telor. Memang best macam ni ". kembang hidung aku bila dipuji. Aku terus merapati isteriku. " Nah kalau ada orang nak meminang abang letak RM 6000 sebab pandai buat telor ". Tertawa isteriku mendengar 6000.

Aku masak kembali air dan buat seperti biasa. Sedang menunggu telor siap aku terpandang rakan sekampongku. Apalagi berbual panjang kami sehingga aku lupa tugasan aku. tiba-tiba aku terkejut bila isteri bertanya sudah berapa minit telor direndam. Ya Allah sudah 20 minit. Aku terus buang airnya dan letak dihadapan. Customer datang dan mengambil telor. " Kak..telor ni dah masak sangat ". Isteriku memandang aku yang tergaru-garu kepala. kemudian dia pula merapati aku. " Tadi abang minta Nah letak RM6000. Sekarang kalau orang masuk meminang abang, Nah nak letak hanya 6 sen ". Sambil tersenyum dia memperli aku. Akhirnya telor sebanyak 20 biji katanya akan digunakan untuk membuat kurma telor untuk makan tengahari kami.

Setelah customer berkurangan, aku terus ke pasaraya tesco mencari jam yang baru. Cukup sekali aku terkena. gelihati isteriku bila aku memberinya jam baru agar tidak tersilap lagi. Bukan senang nak berniaga rupanya. Insyaallah aku akan try lagi...

Tuesday, December 07, 2010

Salam Maal Hijrah Bang

Tahap kesihatanku baru pulih di peringkat 60% saja. Batuk masih lagi menyerangku. " Abang nak makan apa malam ini ". Tanya isteriku memandangkan sudah beberapa hari aku tak lalu makan. " kalau jumpa kuih pak tongko di pasar malam tolong beli 5 ketul. Abang nak cicah dengan air kopi ". Itulah makanan aku tatkala demam. Pernah suatu hari aku tersilap cakap pada isteriku semasa aku demam yang sudah-sudah arwah Siti Aishah akan buat kuih pak tongko untukku. Walaupun demam aku begitu berselera menyicah kuih pak tongko dengan air kopi. Semenjak aku berkahwin dengan isteriku Rosnah inilah pertama kalinya aku mengalami demam yang teruk. Betapa sayunya hatiku bila mengingati saat-saat aku demam tatkala bersama arwah. Bermacam-macam kaedah yang dilakukannya untuk memulihkan demamku.

Kini itu hanya tinggal kenangan yang cukup indah. Aku yakini bahawa isteri manapun pasti melakukan sesuatu untuk memulihkan kesihatan suami masing-masing. Isteriku kini tidak terkecuali. Dia turut menggunakan kaedahnya untuk memulihkan tenaga aku kembali. Diluar hujan masih turun dengan lebatnya. Aku terpaksa bekerja malam tatkala umat islam menyambut tahun baru maal hijrah. Risau hatinya memikirkan yang aku terpaksa meredah hujan lebat sepanjang jambatan Pulau Pinang untuk ketempat kerja. Motosikal aku terus meluncur perlahan merempuh hujan yang begitu lebat. Akhirnya sampai juga aku ditempat kerja. Tidak sampai 10 minit aku ditempat kerja, isteriku sudah menalipon bertannya tentang keadaan diriku.



Hujan sekejap berhenti, sekejap turun pula dengan lebatnya. Tatkala aku melangkah sekali lagi untuk pulang kerumah, hujan turun dengan lebatnya. Terpaksa juga aku meredah hujan lebat. Sampainya aku dirumah isteriku membuka pintu sambil tersenyum. Diberinya aku pinggan yang ditutupi dengan kertas. " Salam maal hijrah bang. Cuba abang buka kertas ". Tertanya-tanya aku apa yang ada disebalik kertas. Bila kertas dibuka aku hampir menitiskan air mata. " Subhanallah Nah. Kuih pak tongko yang abang minat. Terima kasih Nah. Sebab itulah abang sayang Nah ". Pujian dariku membuat air mukanya kelihatan gembira. Bukan aku sengaja memujinya tapi kesungguhannya membuat aku begitu terharu sekali. Katanya inilah pertama kalinya dia buat kuih ini. Tak sempat aku menyalin uniform terus aku makan kuih dengan sedapnya.Ibarat seperti seorang jururawat, selesai aku makan diberinya aku panadol dan disuruhnya aku tidur berselimut. Apalagi, dengan hujan masih belum reda aku menarik selimut dan akhirnya sedar-sedar jam sudah pukul 12 tengahari. Badan terasa segar sedikit.

" Nah jom kita cat rumah ". Itulah ayat yang keluar bila aku terjaga. Terkejut isteriku bila aku mengajaknya mengecat rumah. Akhirnya kami hanya melihat Pak Indon sedang membuat kerja-kerja pengubahsuaian rumah. " Bapak demem-demam masih lagi mahu mengecat ya pak ". Tegur tukang indon. Akhirnya kami pulang tanpa mengecat apa-apa. Kepada semua pembaca aku ucapkan Salam maal Hijrah untuk semua. Aku tertarik dengan sms dari anak saudaraku yang bertulis, " Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka dia menyayanginya. Bila dia lambat makbulkan doamu, maka dia ingin mengujimu. Bila dia tidak makbulkan doamu, maka dia merancang sesuatu yang lebih baik buatmu. Olih itu bersangka baiklah dalam apa jua keadaan kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaannya ".

Monday, December 06, 2010

Alhamdulillah Dah Kembali

Sudah 2 hari aku tidak dapat berjalan. Pembaca semua tahu kan betapa siksanya hidup terperap dirumah. " Hari ini kita tak payah cat rumah lah. Nah pun tak berniaga hari ini. Kesian abang demam ". Kata-kata isteriku sedikit sebanyak melegakan minda. Batuk, selesema dan demam menyerang aku kali ini. Badan terasa malas nak bergerak. " Cuba abang buat air penawar yang pernah abang buat dekat anak saudara bila dia tak boleh bangun akibat demam ". Ya tak ya juga. Terlupa aku tentang betapa hebatnya ayat quran. Dia merupakan syifa iaitu penyembuh bagi kita.

Selepas maghrib aku makan capati saja. Dalam demam pun kalau lalu makan kira orait la juga. Aku mengambil panadol sebiji lalu aku telan. Selepas itu aku pun mula membaca Al-Mathurat sambil menghembus kedalam air. Lepas isyak aku sudah tidak bermaya lagi. Malam itu aku tidur dengan nyenyaknya. Bangun pagi untuk solat subuh terasa badan terlalu segar alhamdulillah. " Macam mana keadaan abang ". Tanya isteriku. " Alhamdulillah abang rasa hari ini boleh tawaf merata ". Bekeredut muka isteriku bila mendengar yang aku nak tawaf. Kepada pembaca yang mendoakan akan kesihatanku terima kasih diucapkan. Semoga kalian semua bahagia disamping insan tersayang.

Saturday, December 04, 2010

Terasa Malas Nak Menulis

Entah kenapa aku telah diserang perasaan malas nak menulis. Bukan tak ada cerita nak dicoretkan tetapi banyak sungguh ujian yang datang bersilih ganti terhadap keluarga aku membuat aku terasa hilang mood menulis. Dari satu ujian kesatu ujian yang datang. Semoga kaum keluarga aku yang menerima ujian ini akan terus memohon doa kepada Allah agar dapat menerimanya. Aku turut terkesan dengan ujian yang mendatang. Tunggulah hingga mood aku datang kembali barulah aku menulis semula. See you all soon.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...