Teman-teman

Monday, March 30, 2009

Tarian Breakdance VS Silat

Pada Sabtu malam yang lepas di TV3 ditayangkan sebuah drama yang mengisahkan tentang bagaimana seorang bapa hendak menyiasat penglibatan anaknya lalu terpaksa dia sendiri melibatkan dirinya dengan budak rempit. Aku tersenyum sendirian bila melihat akan cerita ini. bukan apa sebab jalan cerita macam yang aku pernah lalui. ketawa juga anakku. katanya sebiji macam stail ayah.

Ceritanya begini. Persatuan Bolasepak akan mengadakan majlis makan malam sempena menyambut kemerdekaan dan aku telah diberi tanggungjawab untuk membuat persembahan yang melibatkan budak-budak remaja. Kata mereka elok juga aku sebagai Setiausaha surau dapat juga membimbing remaja. Pening juga aku memikirkan bagaimana aku nak tackle budak-budak ni yang kebanyakannya ialah dari kalangan anak terbiar dan penagih ganja. Setiap kali selepas solat aku berdoa agar Allah permudahkan segala urusanku.

Entah kenapa pada malam itu aku dapat merasakan bahawa masanya telah tiba untuk mendekati mereka. Selesai solat isyak aku menghampiri mereka. " Assalamualaikum bang ". Salah seorang dari mereka memberi salam. Cantik mereka telah mendahului aku. " Waalaikumus salam. Boleh abang duduk ". Aku bersalaman dengan mereka. Nampak mereka dapat menerima kedatangan aku. Salah seorang dari mereka sedang memetik gitar. Aku terus meminta agar yang memetik gitar terus memetikkan gitar sambil aku menyanyi. Apa lagi bertempik sorak mereka bila aku menyanyi. Rasa seronok pula. Terasa macam nostalgia lama berulang kembali.

Selesai nyanyian aku bertanya mereka siapa berminat untuk membuat persembahan sempena. semua berminat. Cantik lagi. Aku terus berkata, " Abang bau wangi. Hangpa kena ganja ka. Abang bukan nak marah hangpa. Cuma nak tau betoi ka hangpa kena ganja ". Ketua mereka yang dikenali sebagai Mat Bond terus barkata, " Betoi bang kami kena ganja. Bagaimana abang tau bau ganja ". Terdiam semua bila siketua dah buat pengakuan. "Abang dulu masa baya hangpa pernah tenyeh ganja. Jadi hari-hari bau ganja dan dah mangli. Tapi abang tak hisap sebab ia merosakkan kita ". Terpegun mereka mendengar cerita aku. Dan bermula malam itu 100% mereka dapat menerima aku.

Setelah ditetapkan masa latihan, mereka datang lebih awal dari aku. Orang lain hanya memerhati aku mengapa aku berkawan dengan budak-budak ganja. Ahh biarkan mereka dengan andaian negatif terhadap budak-budak ini. Malam itu aku telah mencipta lagu dikir barat. Baru nak mula latihan dah minta take 5 untuk rehat. Bila time rehat mereka mula menari tarian shuffle yang suka berguling atas lantai. Mereka cabar pula aku buat macam tu. Apalagi aku bangun terus buka bunga silat dan buat sedikit macam tarian tu. kemudian aku melompat dari atas kepala mereka. Terkejut beruk mereka semua tak percaya aku boleh buat macam tu. Nasib baik aku belajar silat. Jadi ada lah sedikit teknik.

Latihan dapat diteruskan. Selesai latihan, aku pulang kerumah. Isteri aku terkejut bila melihat aku berjalan senget sebelah. Setelah mendengar cerita aku kami semua tak dapat lagi menahan ketawa. Sungguh indah malam itu. walaupun aku sakit satu badan tetapi aku rasa seronok dan puas bila anak isteri memberi sokongan yang padu. Ilmu mengurut yang ada pada isteri digunakan untuk memulihkan aku kembali. Terasa segar badan keesokkan hari. Esoknya dia pula tak boleh bangun akibat bisa badan aku dah transfer kebadannya. Terpaksa pula aku membawa berjumpa emak saudara untuk mengurutnya pula.

Setelah latihan dilakukan sebanyak 5 kali. Nampak mantop. Tiba masa untuk membuat persembahan. Salah seorang dari mereka menghampiriku. ' Bang perut saya rasa senak la ".
" Ala biasa la. Dulu masa abang nak buat persembahan pun rasa macam tu ". pujuk aku.Nampak relax sikit. Datang pula vokalis utama, " Bang malam ni saya tak jadi menyanyi. Ni saya bawa pengganti ". Terkejut aku last minit mereka jadi begini. Aku berkata tak pa janji kita buat.
Bila pengerusi majlis menyebut nama kumpulan maka terdengar tepukan gemuruh dari penonton. Siap dibawah mentor mereka saudara Ariff Budiman. Hangpa semua nak tau masa tu hidung aku punya kembang. Astaghrirullah hal azim.

Maka naiklah kesemua mereka. Nak jadi cerita, boleh mereka bergurau sambil menendang rakan-rakan diatas pentas. Ketawa hadirin melihat gelagat mereka. Aku dah mula pening kepala. Kemudian vokalis gantian memegang mic. ' Bang lagu apa nak nyanyi ". Alamak baru nak tanya. Seorang rakan menendang punggung vokalis itu sambil memberitahu nama lagu. Kemudian dia terus menyanyi. Fulamak suara hampehhhhh....Aku kata bedal sudah. lain yang training lain yang jadi. ketawa hadirin bila melihat dan mendengar persembahan mereka.

Selesai persembahan pengerusi majlis memanggil aku naik ke pentas dan meminta para hadirin memberi tepukan sebagai tanda syabas dapat membimbing mereka sehingga boleh naik kepentas walaupun nampak kasar mereka. Terasa lapang sikit bila tak dikutuk. Selesai persembahan aku bertemu mereka dan mengucapkan syabas kerana berjaya membuat persembahan. Seronok tak terhingga mereka. Ada yang berkata nak naik lagi. Datang ketua mereka Mat Bond. " Bang kami nak belajar silat dengan abang boleh ka ".

Aku berkata insyaallah kita berjumpa esok waktu isyak di surau. Keesokkan harinya bila tiba waktu isyak ketua mereka menghampiriku. " Bang, kawan saya tak boleh sembahyang malam ni ". Aku bertanya mengapa. " Bang dia tak mandi hadas lagi ". " Hang macam mana tak mau sembahyang dulu ka ". "Saya pun tak mandi lagi hadas. Rasa-rasa esoklah saya mandi ". Aku berastaghfar didalam hati. Dalam sujud terakhir aku berdoa agar Allah memberi hidayah kepada mereka. Kalau tak semua jangan dilupakan semua.

Selepas seminggu berlalu datang Mat Bond. " Bang saya nak pindah ke Kedah. Rasanya nak hijrah. Kalau saya terus berada di Penang, saya akan terus bergelumang dengan ganja ". Apalagi aku terus memeluknya sambil tersebak dan mendoakan agar Mat Bond diberi hidayah. Sehingga kini aku tidak mendapat berita akan keadaan Mat Bond. Kawan-kawan mereka semuanya sudah berpecah dan masing-masing membawa haluan. Tidak kedengaran lagi mereka dengan ganja. Bila terserempak dengan aku kalau mereka menghisap rokok, mereka akan meletak tangan yang memegang rokok dibelakang. Sekuarang-kurangnya ada juga sikap menghormati orang yang lebih tua. Semoga mereka semua diberi hidayah.

Janganlah kita menjadi orang yang pandai mengutuk tetapi tidak ada rasa nak berbuat sesuatu. Remaja perlukan perhatian. kalau kita terus menghentam, mereka akan terus mencari alternatif lain. Dampingilah anak-anak remaja kita. Semasa tadika kita boleh memeluk dan mencium. kenapa bile mereka meningkat kealam dewasa kita membiarkan saja mereka. Mengapa kita tidak lagi berkawan dengan mereka. Mendengar luahan hati mereka. Pujilah anak-anak walaupun bagi kita apa yang mereka lakukan cuma sedikit tetapi bagi mereka ia satu pujian yang tinggi. Ni pengalaman sebagai bapa yang anak dah meningkat remaja. Kami masih lagi makan semeja walaupun ketiadaan surirumah.

Anak gadis dah balik balik ke kolej. Tinggal aku dengan anak lelaki. Tunggu apa pula keputusan permohonan dan aku telah bersedia untuk tinggal berseorangan.

Sunday, March 29, 2009

Teringin Sungguh Aku

Selesai aku bertugas, aku singgah di kuala. Memang time ni para nelayan menurunkan hasil tangkapan mereka. Banyak juga ikan yang diperolehi. Wah ada juga ikan semilang. Besar-besar pula tu. Dalam semuanya aku memang amat terpikat dengan siput ini. Kami panggil siput kemudi. Aku dan arwah isteri kerap juga mencarinya. Bila air laut surut aku akan turun dalam selut. Tapi kena pakai kasut la. Kalau tidak akan terbelah la tapak kaki. Bila dapat aku akan lontarkan kepada isteri. Balik kena kopek kulit. Siput ni memang besar tetapi isinya amat kecil. Arwah isteri memang dah tahu kesukaan aku. Kalau siput ni dia akan masak dengan jantung pisang. Memang menambah la kami sekeluarga. Tadi aku hanya memerhati saja. Nak beli aku tak pandai nak masak.

Jadi to ladies semua, aku nak minta tolong sikit macam mana nak buat kari siput kemudi dengan jantung pisang. Ramai bloggers pandai masak. Jadi tolonglah peturun ilmu sedikit. Kesian lama sangat dok teringin. Ni pun masa dok taip dah berapa kali meleleh air liur. Siapa bagi resepi yang terbaik hadiahnya kulit siput buat kenangan. Gurau saja. Hanya Allah la yang membalasnya.

Saturday, March 28, 2009

Ketepatan Masa

Jam 7 pagi tadi aku keluar untuk membeli sarapan pagi. Aku melalui kawasan jirat cina. Kelihatan begitu banyak kereta dan orang. Mereka datang berkeluarga. Aku mempelahankan kenderaan. Kelihatan banner tertulis dalam bahasa cina " Gotong royong membersih jirat " ( aku translate la ). Mereka siap berpakaian seluar jogging.

Bab ini aku kagum juga dengan mereka. Sanggup datang awal demi upacara mereka. Teringat semasa tsunami melanda Pulau Pinang. Mereka jugalah yang pertama datang. Pernah suatu ketika tatkala Pengerusi Kariah membuat pengumuman akan diadakan gotong royong membersih kubur pada hari Ahad bermula jam 9 pagi. Bila tepat jam 9 pagi baru terdapat 6 orang. Kemudian barulah datang seorang demi seorang. Kedatangan gotong royong kariah tidaklah seramai gotong royong dari kaum cina.

Kemana silapnya orang kita. Sepatutnya kita sudah bangun awal untuk menunaikan solat subuh dan selepas itu kita dah boleh bergerak untuk melakukan aktiviti. Mungkin selepas solat kita sambung tidur kembali. Bila sedar matahari dah terpacak. Pembersihan jirat tadi, aku jangkakan mereka sudah berada disitu mungkin jam 6.30 pagi. Aku teringat bila waktu aku nak ambil darah seorang atendan berkata tidak pernah ada orang melayu datang awal seperti aku. Yang datang semuanya orang cina. Perangai aku pun begitu, aku tak suka masa dipermainkan.

Pernah sewaktu remaja bila aku berjanji dengan rakan jam 2 petang nak ke bandar, maknanya jam 2 dah bertolak. Bila aku sampai rakan aku baru nak mandi terus aku tinggalkan dan aku akan pergi seorang diri. Perangai ini aku bawa sehingga aku berumah tangga. Jenuh juga anak bini nak bersiap. Bagi aku masa itu amat berharga.

Thursday, March 26, 2009

Doa - Doa dan Doa.. Jangan Di Lupakan

Kepada pembaca bloggers. Aku paparkan doa harian untuk kita beramal. Allah berkata minta dengan berdoa. Jadi kita jangan pandang remeh bab doa ini. Kelak kita juga yang rugi. Jangan kita jadi umat yang sombong untuk meminta. Siapa yang berminat dengan doa ni, aku akan link untuk kalian semua untuk di download. Baru nampak clear. Boleh laminate. Tunggu linknya....


Doa pendekat jodoh

Doa mohon keringanan dan kemudahan

Doa memohon keampunan dan kesayangan


Doa menghadapi perkara yang sulit




Wednesday, March 25, 2009

Judi Itu Bukankah Haram. Kenapa Di Teruskan...

Seminggu yang lepas aku berjumpa dengan seorang rakan lama. Dia terus mendapatkan aku. Katanya sekarang ini amat susah hendak berjumpa dengan aku. Nak call handset terlupa nombornya. Dia menjemput aku untuk kenduri kesyukuran dan akan mengumumkan sesuatu. Katanya rakan-rakan yang lama pun ada dijemput. Aku terus menalipon seorang lagi rakanku. Katanya dia juga mendapat jemputan kenduri kesyukuran. Seterusnya terjadi juga gosip antara kami. Astaghfirullah hal azim. " Apa yang dia nak buat pengumuman tu. Jangan-jangan dia nak pasang lagi satu kot". Kataku. Terus rakanku mencelah, " Tu lagi dua dia nak letak mana".

Tiba hari yang dijanjikan. Seramai 10 orang rakan lama telah dijemput. Kami berkumpul di Restoran Pelita. Kata rakanku, " Hangpa nak makan apa bolih order. Aku belanja hari ini". Apalagi kami pun angkut sakan la. Penuh dalam pinggan. Aku ambil ala kadar saja. Tak gamak lihat makanan penuh dalam pinggan. Agak lama aku tidak merasai makanan seperti ini.

Kami berborak cerita-cerita lama sewaktu mula-mula bertugas. Ia penuh dengan dugaan. last sekali mereka sempat juga mengusik aku. Kata mereka lama dapur tak menyala. Aku hanya mampu berkata insyaallah kalau sampai masanya, aku akan tetap berumah tangga. Terima kasih la kepada mereka yang banyak memberi nasihat. Aku tukar kereta pun dah berbunyi. Memang manusia begitu.

Tiba-tiba rakanku bersuara, " Ok hangpa tau pasai apa aku belanja hangpa makan hari ini". Terdiam kami seketika seperti menunggu pucuk pimpinan membuat pengumuman. Aku meneruskan melayani makanan. " Baru-baru aku kena nombor ekor sebanyak RM11 ribu. Tu yang hari ini aku belanja hangpa semua makan. Syukur Allah memberi rezeki kepada aku". Katanya.

Apalagi bila terdengar pengumuman keramat itu terus saja aku tersedak. Bersembur apa yang ada didalam mulut. Tak sangka. " Hang Ariff kalau dengar saja pasal nombor ekor selalu macam tu pasal apa. Aku bukannya mencuri. Aku berusaha". Huih pandai juga dia dengan jawapan logik akal. Sebiji macam islam liberal. Aku terus bersuara," Yang aku dengar dalam kuliah ilmu, ustaz ada mengatakan bahawa arak, judi dan bertenung nasib itu berdosa besar ". Nombor ekor tu termasuk dalam perkara judi. Marah sungguh dia bila ada orang yang mengatakan bahawa bermain nombor ekor itu haram hukumnya. Dia selalu memberi makan kedua-dua isterinya dengan hasil menikam nombor ekor. Kerap juga dia menang. Memang Allah nak duga dia.

Aku terus berkata," Pergilah tanya mana-mana ustaz apa hukumnya bermain nombo ekor. Semua mereka akan berkata haram". Marah dia dengan aku dan sambil menepuk meja dia berkata," Bagi aku ia tidak haram sebab aku main pun tak pinjam duit siapa. Aku berusaha berjalan dan melintasi jalanraya untuk membelinya ". Memang susah untuk menyakinkan mereka yang dah ketagih dengan judi. Semua dihalalkan mereka.

Akhirnya aku membayar sendiri makanan yang aku order. Rasa tak bolih telan jika aku makan hasil dari duit judi sebab aku telah dimaklumkan. Ada dua tiga orang rakanku mengikut langkahku dengan membayar sendiri makanan yang mereka order. Yang lain berkata rezeki depan mata bedal sajalah. Yang lain fikir kemudian. Senang sungguh mereka bercakap bab hukum. Yang aku lihat semenjak dia menang nombor ekor, hutang dengan ceti pun masih belum dilunaskan. Dengan kawan-kawan pun masih dipinjamnya. Kemana duit itu dihabiskan. Aku teringat akan kata-kata seorang ustaz sewaktu program kuliah. Wang hasil dari judi tidak ada keberkatannya. Ada saja nanti tidak cukup malah hutang akan bertambah walaupun kita mendapatnya dengan banyak. Semoga Allah menginsafkan aku dan memberi kepada mereka hidayah.

Monday, March 23, 2009

Semoga Tuhan Ala kasi You Baik

Aku baru pulang dari kerja. Aku singgah sebentar di farmasi berdekatan untuk membeli panadol. Terasa badan nak demam. Sebelum ia melarat biar aku telan panadol siap-siap. Ketika aku hendak menghidupkan injin motosikal datang seorang wanita cina yang agak berumur.
" Tauke nak minta tolong boleh ka". Aku mengangguk kepala tanda boleh.
" Ini wa ada beli buah. Wa punya cucu mau makan itu mee rebus di kedai melayu. Wa tak ada luit lagi. Tauke lu angkat ini buah, lu kasi sama saya RM2 cukup. Boleh ka".

Aku membuka beg duit lalu ku beri RM2 dekat wanita cina itu tanpa mahu mengambil buah. Tapi wanita itu enggan, sebab katanya dia tidak mahu ambil duit tanpa pertukaran. Aku mengalah lalu aku ambil saja buah itu. Tiba-tiba dia datang kembali lalu meminta lagi RM1. Katanya tauke melayu kata mee sepinggan RM3. Aku beri saja duit pada wanita itu.

"Tauke manyak terima kasih. Moga tuhan ala kasi you baik". Aku menjawab insyaallah. Aku pulang dan menukar dengan kereta. Ketika menaiki kereta bersama anak, aku berhenti di lampu isyarat. Terlihat pasangan suami isteri sedang bergurau diatas motor. Aku dan anak hanya memerhati gelagat mereka. Masing-masing diam dengan fikiran yang berlainan.

Ya aku mencemburui mereka. Tapi cemburuku bukan untuk menghancurkan pasangan itu. Pernah aku dan isteri bergurau diatas motor. Kata isteriku, " Abang makin gemuk, Siti nak peluk pun tak boleh. Ni kena diet. Dr pesan suruh makan serupa orang miskin". Aku hanya tertawa saja dengan kata-kata isteriku. Selang beberapa minggu katanya dia sudah boleh memeluk pinggangku. Maknanya dah kurus.

Aku tersentak dengan lagu Ibu Mithali nyanyian kumpulan Rabbani. Mendayu sungguh lagu itu. Kejap-kejap anakku menyapu air matanya. Aku membiarkan saja. Silap hari bulan aku pula yang akan meleleh air mata. Aku teringat akan kata-kata blogger Jendela Hati suatu ketika dahulu," Jiman kalau kamu dengar lagu Ibu Mithali tentu kamu menangis". Aku terus berdoa dalam hati, " Ya Allah andaikata tadi aku telah melakukan kebaikan, aku sedekah kebaikan itu kepada ayahku, ayah mertuaku dan isteriku. Semoga kau terima amal-amal mereka Ya Allah". Dan aku juga menyapu air mataku bila mendengar akan lagu itu.

Sunday, March 22, 2009

Entah Kenapa Ya Hati Ini Tiba-Tiba Resah

Dua tiga hari aku begitu sibuk dengan tugasan kerjaku. Sekejap ada saja aku diarahkan standby di merata tempat. Bagaimana pula dengan permohonan anaku ke IPTA. Sudah ka dibereskan. Takut juga tarikh permohonan telah di tutup. Akhirnya aku juga yang terpaksa memimpinnya memohon ke IPTA. Kalau tak buat begini memang sampai bila pun tak buat.

Setelah selesai permohonan online dibuat. Aku terfikir juga bagaimana nanti kedua-dua anaku berjauhan denganku. Kini anak lelaki aku bekerja untuk mencari wang saguhati sebelum ke IPTA. Tatkala aku pulang kerja memang terasa sunyi sekali dirumah. Ahh.. bagaimana pula aku akan menghadapi Ramadhan yang akan datang tidak lama lagi.

Bila aku berada di rumah aku hanya mampu mengalamun saja sambil anak mata memerhati harta peninggalan isteriku. Bajunya memenuhi almari. Hendaku sedekah terasa seolah-olahnya aku telah memberi ingatan terhadapnya kepada orang lain. Aku biarkan saja hartanya ditempat asal. Sekurang-kurangnya terlepas juga kerinduan ini.

Ya Allah kenapa dua tiga hari ini mimpiku terlalu aneh. Siapakah wanita yang selalu berada di depan pintu rumahku. Wajahnya kelihatan samar-samar. Apakah petunjuk yang Allah akan berikan kepadaku. Aku begitu risau dan takut. Bayangan ini selalu mengganggu aku. Adakah ini petunjuk wanita yang menyihir isteri aku. Kata ustaz yang menyihir isteri aku ialah sepasang suami isteri. Aku mengenali mereka. Jadi siapakah wanita ini. Mungkin........ ah biarkan saja mainan mimpi ini.

Wednesday, March 18, 2009

Lagi-lagi checkup

Pagi ini aku ke hospital untuk membuat checkup disebabkan result yang lepas kurang memuaskan hati Dr. Bagi aku result tu dah kira ok. Seperti biasa jam 8 aku dah berada di hospital. Setelah selesai mengambil darah aku dibenarkan untuk bersarapan pagi. Seperti selalu tempat biasa yang aku pilih dan makanan kegemaranku ialah koey tiow goreng.

Sambil menjamah makanan datang perasaan bagaimana result nanti. Ahh... aku selalu begitu bila menanti result. Selalunya isteri aku yang akan tenangkan hatiku. " Ala bang, relax la. Kita cuma buat checkup saja. Kalau keputusan tidak baik sekurang-kurangnya kita boleh berjaga-jaga ". Aku terus melayan perasaan dengan mengenang kisah lampau. Terasa macam baru semalam isteriku meninggalkan aku dan anak-anak.

Rupa-rupanya hari ini genap 3 bulan isteriku meninggal. Namun wajahnya masih terbayang. Bayangannya masih berlegar didalam rumah. Ini bermakna sudah 3 bulan mesin jahit tidak berjalan. Sudah 3 bulan radio yang aku beli khas untuk isteri mendengar ketika menjahit tidak ku buka.

Namaku di panggil jururawat. Aku masuk dan nampak muka Dr nampak lain sikit. " Well Ariff your result today perfect. Tidak ada masalah". Aku bersyukur didalam hati. " Ariff you still remember last time you datang dan apa saya kata ". " Yes Dr i still remember. You suruh saya kahwin cepat-cepat". Kataku.
" Very good Ariff, Saya harap you tak lupa itu ".
" Dont worried Dr i akan kahwin. Tapi tak tahu bila '. Tersenyum Dr. mendengar jawapan dari aku. Aku tahu semua ketenangan yang aku dapat hasil dari membaca Al-Quran.

Sunday, March 15, 2009

Tenangkan Fikiran


















Sabtu 14 Mei 2009, Keluarga sebelah mertua mengajak aku dan anak-anak berkelah di Sg Sedim, Kulim. Sebenarnya aku malas juga nak pergi sebab dah berapa kali aku dan arwah isteri kesana. Anak-anak duduk dirumah pun boring juga. Aku terpaksa ambil cuti. Mungkin aku juga boleh merelaxkan perasaanku.

Kami sampai jam 10 pagi. Tak ada orang lagi. Kami memilih tempat yang senang dengan kanak - kanak. Tempat yang selalu kami suka sebab kawasannya teduh. Gembira sungguh anak-anak kecil bila melihat air. Hati aku memang tak berasa seronok sebab asyik terbayang wajah isteri diatas batu sambil ketawa riang melihat gelagat anak saudara mandi. Sekali-sekali aku terbayang wajahnya didalam air.

Tiba-tiba anakku bersuara, " Ayah tak mandi ka ". Apalagi aku pun terjun kedalam air. Subhanallah sejuk sungguh airnya. Aku melompat kembali kedaratan. Kebetulan, kenapa hari ini tak ramai pengunjung berbanding selalu. Kami mandi dengan penuh keyakinan tanpa ada gangguan. Selepas solat zohor kami bertolak balik ke Penang.

Sampainya dirumah, telepon bimbitku berbunyi, " En. Ariff, ini dari eon. Kereta En Ariff dah sampai". Apa kena mengena dengan sedim??. Tunggu nanti aku cerita.

Friday, March 13, 2009

Allah Jadikan Sesuatu Untuk di Syukuri

Aku baru dapat email ni dari seorang kawan. Durian merah. Memang Allah itu boleh melakukan apa saja. Sebagai hambanya kita patut bersyukur. Aku pun tak tau dari mana asal buah ini. Ni kali pertama aku lihat. Begitu kagum dengan kebesaran Allah yang menciptakan sekelian alam.

Thursday, March 12, 2009

Tahniah Anakku Hermawan

Aku menerima berita dari anak lelakiku yang mengambil result SPM. Katanya tidak ada yang matapelajaran yang gagal. Ada A dan ada credit. Bagi aku ini dah cukup sempurna sebab aku tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap anak lelakiku. Melihat pada ujian percubaan banyak yang gagal. Mengalir airmata emak bila keputusan peperiksaan percubaan diumumkan. Ayah terpaksa mententeramkan mak. Mak takut bagaimana nanti kehidupan anak-anak tanpa ilmu. Tak sangka dalam diam dia berusaha.

Kalaulah ada emaknya. Tentu berita ini akan membuatkan emaknya menangis kegembiraan. Ibu yang tidak jemu-jemu solat hajat meminta kepada Allah kejayaan kepada kedua-dua anaknya. Setiap malam ibu akan bangun dan kadang-kadang dia akan mengejutkan aku untuk bersolat sama. Ingatlah anak-anakku. Emaklah yang memainkan peranan untuk kejayaan ini. Tanpa doa dari emak masakan anak-anak boleh berjaya. Kadang-kadang emak akan menangis kalau tersentuh. Tapi menangisnya emak kerana inginkan kejayaan anak-anak. Emak inginkan anak-anaknya menjadi sempurna. Emak inginkan kedua=dua anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagi ayah, inilah satu-satu berita yang sangat-sangat mengembirakan sejak kematian emak. Ayah bersyukur diatas kejayaan ini. Tanpa ilmu siapalah kita disisi Allah. Akan ayah korbankan masa ayah untuk kedua-dua anak ayah. Biarlah anak-anak ayah berjaya didunia dan juga akhirat. Jagalah aurat dan solat wahai anak-anaku. Jangan lupa berdoa. doa dan doa untuk kebahgiaan mak di akhirat. Juga janganlah lupa berdoa semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada ayah untuk meneruskan kehidupan yang sementara ini. Tanpa usaha seseorang itu tidak akan berjaya. Syukur Ya Allah sekali ini bukanlah satu keputusan yang cemerlang. Sekurang-kurangnya anakku telah berusaha.

Wednesday, March 11, 2009

Indahnya Ciptaan Allah

Sewaktu aku pulang dari tempat kerja, aku melalui kawasan ini. Terlihat begitu ramai sekali orang berhimpun. Dalam hati aku tertanya-tanya, ada kemalangan ka. Roadblock ka. Yang aku lihat ramai yang memegang kamera. Rupanya ramai yang terpegun melihat keindahan pokok ini. Bagi aku inilah pertama kalinya pokok ini berbunga begini. Ada yang duduk dibawah pokok sambil bergambar dan ada yang ambil dari jauh saja termasuk aku.

Ramai yang memuji kecantikan bunga ini tetapi berapa ramai yang mengambil iktibar bahawa Allah boleh melakukan apa saja yang dia kehendaki. Kita cuma saksi keindahan di dunia tetapi Allah telah menjanjikan tempat yang paling indah iaitu Syurga tetapi dengan syarat haruslah beriman dengannya. Itu pun masih ada yang mempertikaikannya. Masih ada golongan yang tidak memepercayai ujudnya syurga dan neraka serta alam ghaib. Banyak yang tertipu dengan keindahan dunia yang sementara.

Tuesday, March 10, 2009

Bagaimana Nak Tahu kita Telah Di Sihir

Alhamdulillah aku telah menerima email dari seseorang. Dia bertanyakan bagaimana untuk mengetahui bahawa seseorang itu telah disihir. Mungkin dia telah membaca cerita-cerita yang telah aku kongsi dalam blog ini. Aku ni bukanlah pakar dalam ilmu ini. Aku tak berani nak jawab. Tetapi aku boleh cerita pengalaman yang terjadi kepada keluarga aku. Yang bertanya boleh baca di blog ini.

Santau merupakan sejenis sihir juga. Jangan pandang ringan bab santau ni. Orang yang terkena kalau dibiarkan berlarutan akan membawa maut. Yang aku tahu santau ada 2 jenis. Kalau tak betul tolong perbetulkan. Satu santau angin dan satu lagi santau tuju. Isteri aku dia kena santau tuju. Memang ditujukan khas untuk dia. Dicampur kedalam nasi. Ini mengikut kata seorang ustaz.

Kalau terkena santau dia akan mengalami batuk yang berlarutan diikuti dengan muntah darah. Badannya akan berbau. Malam kerap akan terkejut. Kadang-kadang ternampak seperti bayangan seseorang. Yang paling teruk ialah kukunya akan menampakkan kehitaman. Ini pengalaman yang terjadi dekat isteri aku. Inilah tanda-tanda yang aku dapat kesan dari isteri aku sehingga dia membawa maut

Cuma aku nak beritahu sedikit bab sihir ni. Jangan sekali-sekali terlalu percaya kepada seseorang. Selidiklah dulu akhlaknya. Kami tersilap sebab kami terlalu mempercayai kawan-kawan. Dalam hati kami ( aku & isteri ) tak kan kawan-kawan mempunyai niat yang tidak baik terhadap kami. Kami tafsirkan semua kawan-kawan kami amat baik sebab kami pun tidak berdendam dengan sesiapa walaupun dikutuk habis-habisan. Kami bersangka baik dengan mereka dan kami merasakan bahawa mereka juga begitu Jangan terlalu seronok dengan jawatan. Kadang-kadang ada orang merasakan jawatan itu akan melonjakkan dirinya dalam masyarakat. Jawatan itu akan menjadikannya kaya. Dia akan dipuji. Dia boleh control orang lain. Bila tak dapat dia akan berusaha menjatuhkan orang tersebut. Itulah sifat sesetengah orang melayu.

Rupanya kami tersilap tafsiran. Dalam diam ada yang berdendam dengan kami. Sudahlah diberi santau, dipuja patong agar yang terkena akan menderita. Isteri aku jiwanya amat lemah. Dia tidak ada sifat melawan kembali. Dia tidak pandai bermasam muka. Bila dah kena terus dia hilang semangat sehingga aku terpaksa bertungkus lumus memulihkan semangatnya kembali. Dengan keadaan badan yang lemah bermakna telah terbuka pintu dibadannya. Ini memudahkan berbagai-bagai jenis iblis masuk kedalam badan. Terpakas dibuang satu persatu. Akhirnya membuang masa kepada benda yang asal terjadi. Itulah sihir yang sekarang ini kita telah kembali di zaman jahiliah.

Amalkan ayat 10 dari surah Yasin. Iblis yang terkena ayat ini akan terpelanting. Aku dah cuba.Memang cukup berkesan tetapi perlukan keyakinan. Juga Al-Mathurat yang merupakan himpunan wirid-wirid Rasulullah. Bacalah setiap hari. Boleh didapati di pasar-pasar malam. Disamping kita membaca kita hafal maknanya. Itu lebih baik. Ini merupakan persediaan awal sebelum kita berjumpa orang yang lebih pakar dalam bidang ini. Semoga mendapat iktibar.

Sunday, March 08, 2009

Bagi RM2

Pagi ini aku melihat rakanku melapor duty dengan keadaan yang keletihan. Wajahnya nampak akan kemuraman. " Brother, pasai apa nampak letih sangat. Tak sihat ke ". Setelah meletakkan begnya dia berkata, " Dua malam ini aku tak dapat melelapkan mata".
" Aii, ingat aku sorang saja yang susah melelapkan mata diwaktu malam. Hang pun juga kena penyakit ni". Saja aku usiknya.

" Hang nak tau pagi kelmarin time aku pulang dari kerja, aku mengantuk sangat. Aku sampai disatu simpang. Ada road block. Seperti biasa aku akan berhenti dan tunjuk roadtax dekat polis". Cerita kawanku.

" Habistu apa terjadi kali ni, kena saman ka". Tak sabar aku nak dengar ceritanya. Sambil tergelak dia sambung ceritanya. " Bila aku sampai dekat polis, aku buka seat motor dan tudung tangki minyak dan terus aku kata, bagi RM2. Dalam keadaan mengantuk sekali lagi aku kata bagi RM2". Aku yang mendengar ceritanya bagai nak pecah perut.

" Habistu polis tu kata apa ". Aku minta sambung cerita. " Tu la aku ingat sekali ni mesti kena saman. 2 orang polis datang dekat aku sambil tersenyum, seorang berkata, hang tutup balik tangki minyak dan seat motor, hang balik rumah tidur cukup-cukup. Depa 2 orang dok gelak dekat aku macam perli saja".

" Aku pun ucap terima kasih terus blah. Balik rumah bila aku check balik roadtax aku, rupanya dah tamat tempuh". Nasib baik kawan aku tu. Siapa yang dah tamat roadtax tu kalau nak tiru, tirulah. Kalau kena tanggung sendiri.

Friday, March 06, 2009

Kari Kepala Yang Menggemparkan

Sejak dari kecil lagi memang aku ni penggemar ikan semilang. Bila emak beli ikan semilang dari pasar, akulah orang yang paling gembira sekali. Siap booking orang lain jangan sentuh kepala. Tabiat ini aku bawa hingga ke alam rumahtangga. Arwah isteri aku pula tak suka ikan semilang. Jadi dia akan masak untuk aku. Memang sedap ikan semilang ni. Kalau dekat Penang tak kisah. Senang boleh dapat.

Aku telah ditukarkan ketempat kerjaku yang baru iaitu di Juru. Belakang tempat kerja aku ialah tempat mendaratnya para nelayan dan memunggah hasil tangkapan mereka. Ketam, ikan semilang, udang dan macam-macam lagi boleh didapati. Aku selalunya kalau kerja pagi akan singgah disatu warung yang jual kari ikan semilang. Memang ikan dia fresh. Selalunya dia akan ambil direct dari nelayan. Kadang-kadang akulah orang yang pertama membelinya. Wajah aku pun dah famous diwarung. Kalau time aku singgah ada hanya satu kari kepala ikan, orang kampong akan beri laluan dekat aku. Kata mereka aku menjaga tempat mereka supaya tak bergelap. Dah orang beri laluan aku bedal saja.

Entah dua tiga hari ikan semilang jarang ditemui. Bila aku singgah jawapannya tak ada. Tak ada rezeki rupanya. Hari ini aku tugas pagi. Aku melalui warung tetapi aku tidak singgah. Tiba-tiba penjual bertempik kearah aku, " Bang, kari ikan semilang ada". Apalagi sreet...... bunyi motor aku brek emergency bila mendengar kari kepala semilang. Orang kampong keluar tercengang-cengang menyangkakan ada kemalangan.

Bila mereka tahu cerita yang sebenarnya, mereka mentertawakan aku. Malu juga aku time tu. Macam mana la aku boleh brek emergency ni. Aku buat selamba saja. Makcik sorang tegur," En Ariff ni suka ikan semilang no". " Bukan suka saja. Saya tak boleh tengok ikan semilang. Kalau tak beli pun saya akan perhati saja ". Jawab aku. Tu dia powernya ikan semilang.

Tempat pendaratan hasil tangkapan laut di Kuala Semilang, Juru

Thursday, March 05, 2009

Bila Terkenangkan Aduh!! Sedihnya


Aku sering melalui kawasan ini. Setiap kali aku melintasi tempat ini pasti hati ini akan terasa sayu. Tapak sekolah inilah tempat aku mula-mula mengenal huruf dan mengerti akan kebesaran tuhan. Tahun terus berlalu hingga aku meningkat dewasa dan berumahtangga. Tapak sekolah inilah juga kedua-dua anakku membesar seperti yang aku lalui. Sekolah yang suatu waktu dahulu boleh menampung seramai 200 anak murid kini semakin usang. Waktu itu aku memegang sebagai Gurubesar sekolah yang tidak bergaji. Aku dan rakan-rakan mengambil inisiatif menubuhkan satu Jawatankuasa bagi melancarkan perjalanan tadika dan fardhu ain. Kami hanya menolong pihak ustazah. Merekalah yang membimbing anak-anak kariah. Isteriku sekali sekala akan dipanggil mengajar jikalau terdapat ustazah yang cuti.

Memandangkan kesemua AJK sudah bekerja, kami mengambil keputusan biarlah kami sedekahkan tenaga dan pemikiran kami untuk pembanggunan sekolah ini. Alhamdulillah sekolah ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat. Entah mengapa pada suatu hari pihak kariah telah memutuskan untuk meruntuhkan sekolah ini atas sebab ia usang dan merbahaya kepada murid-murid. Kami terpaksa akur sebab dijanjikan akan dibina satu sekolah yang bertaraf Maahad Tahfiz yang akan disandang oleh orang yang berkebolehan.

Murid-murid dipindah ke masjid lama bersebelahan dengan sekolah. Semakin hari semakin berkurangan anak murid. Ibubapa lebih cenderong menghantar anak-anak kesekolah yang mengajar matapelajaran akademik. kini bilangan anak murid tidak melebihi 80 orang. Namun begitu ustazah yang semakin berusia masih setia mengajar walaupun gaji yang tidak seberapa.

Pernah satu ketika ada ibubapa yang tidak membayar yuran bulanan sekolah sebanyak RM5 sebulan atas alasan gaji kecil. Namun pihak ustazah terus ikhlas mengajar anak-anak mereka tanpa ada rungutan. Rungutan berbunyi hanya bila aku datang menziarahi. Apalagi aku pun terus mengadu kepada pengerusi kariah. Sewaktu beliau menyampaikan khutbah, beliau menegur sikap ibubapa yang tidak peka tentang pembelajaran anak-anak. Mereka sanggup bermewah dengan rumah, kereta dan lain-lain. Namun pendididkan anak-anak yang akan menolong mereka diakhirat kelak diabaikan. Yuran diabaikan begitu saja. Ini dinamakan zalim.

Keesokan harinya ramai ibubapa yang datang melunaskan hutang yang tertunggak Kini tadika ini begitu sepi sekali hanya menanti hari saja untuk ditutup akibat tidak mendapat pembelaan yang secukupnya. Sewaktu akau merakam gambar ini, berhenti sebuah kereta didepan aku.
" Assalamualaikum Pakcik, Tak kenal saya ke".
" Saya bekas anak murid sekolah ini suatu ketika dulu dan saya masih ingat pakcik yang menjaganya".
Kami berpelukan. Dah berkeluarga anak muda ini.

" Macam mana keadaan tadika kita la ni pakcik ". Aku hanya mampu menunjuk keadaan tapak yang telah dirobohkan semenjak awal 90an.
" Entah adik, Semoga Allah pelihara mereka yang benar-benar ingin berbakti kepada masyarakat ".
" Pakcik...., dengar cerita Makcik Aishah meninggal dunia, betul ke ". Aku hanya mengiakan saja.
Akhirnya kami berpisah sambil si ayah berkata kepada anak-anaknya. Inilah sekolah papa dan ini cikgu papa. Aku hanya tersengih sebab dapat title cikgu. Jadilah ada juga insan yang mengingatinya.

Monday, March 02, 2009

Hanya Kerana RM3

Malam ini cuaca alhamdulillah nampak cerah. Aku mengambil keputusan menggunakan motosikal saja untuk ke tempat kerja. Seperti biasa aku singgah di stesen minyak untuk mengisi petrol.
" Pam no. 16 RM3 ".
" Ok Bang. Selamat jalan bang ". Jawab petugas bangla.
Aku pun terus ke motorsikal untuk mengisi minyak. Terdapat dua orang gadis sedang memegang pam lalu memberi pam kepadaku. Sangkaku mereka meminta tolong meletakkannya ketempat asal.

Cepat-cepat seorang gadis berkata. ' Bang jangan letak pam lagi. Ada minyak balance banyak lagi. Abang guna la ".
" Ya ka. Terima kasih. Semoga Allah tambah rezeki dekat adik lagi". Tersenyum mereka berdua.
Aku pun pam sehingga tangki motorsikal aku pun penuh. Pam yang aku punya belum lagi digunakan.

Aku pun berkata, " Disini ada minyak free. Siapa mau ". Apalagi bila dengar saja free yang duduk jauh pun boleh dengar sehinggakan pam yang bernombor 16 menjadi sesak. Keadaan menjadi riuh dan kecuh sebab ramai yang menyangkakan yang malam ini minyak free. Tempik, maki hamun entah apa-apa saja sehinggakan aku nak jalan pun susah.

Aku hidupkan injin motor dan terus pergi. Sayang wartawan malam ini lupa bawa kamera. Kalau tidak boleh juga rakam gambar kekecuhan hanya kerana minyak free yang berharga RM3.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...