Teman-teman

Monday, December 01, 2014

Cerita Seorang Deejay

Aku telah di tempah menjadi deejay dan itu merupakan pekerjaan sampinganku. Untuk menjadi seorang dj dia harus menyediakan segala-galanya. Lagu atas permintaan tuan rumah. Kata-kata serta gurauan yang tidak keterlaluan ketika melakukan tugas. Agak lama aku menyepi dari menjadi dj sejak insiden yang berlaku keatas arwah isteriku. Aku masih lagi ingat peristiwa itu. Anak gadisku kerap menghantar sms mengupdate tentang status ibunya.
" Ayah...Mak batuk darah lagi ". Aku tergamam bila membacanya. Sekejap pula aku menerima satu lagu sms
" Ayah...mak menangis sakit ". Aku hanya mampu berdoa ketika itu semoga Allah pelihara isteriku dan percepatkan masa. Walaupun badanku di rumah kenduri tapi konsentrasiku lebih kepada isteriku. Aku keberatan menerima jemputan kenduri tapi atas nasihat isteriku aku terus melangkah pergi
" Pergilah bang. Tak baik abang hampakan permintaan yang abang telah persetujui ". Masih fresh dalam ingatanku akan kata-katanya. Akhirnya kita hanya mampu merancang dan Allah sebaik-baik perancang. Isteriku pergi buat selama-lamanya dan ini bererti aku juga telah kehilangan pendorongku. Andai ada permintaan untuk aku menjadi dj aku menolaknya dengan baik. Kini aku berjinak kembali secara perlahan-lahan menjadi deejay andaikata di jemput.


Jam 11 pagi aku sudah berada di rumah kenduri untuk menolong setup peralatan. Pukul 12 tengahari majlis akan bermula. Jam 11.30 pagi tuan rumah telah mengadakan majlis tahlil. Aku hanya standby di depan set menanti jemaah masjid selesai majlis tahlil dan aku akan memulakan tugasku.
" Pakcik..Saya hanya nak lagu nasyid boleh tak ". Kata tuan rumah dan aku harus melayani permintaan mereka. Aku di bayar untuk menjalankan tugas. Jam 12 tengahari majlis tahlil telah pun selesai. Orang ramai pun sudah mula hadir. Aku memutarkan lagu nasyid terkini dan lama.
" Budiman...Hang jadi DJ ka ". Tegur jemaah masjid dan aku hanya tersenyum. Sambil aku memberi ucapan dan memasang lagu mataku tidak berkedip melihat gelagat orang ramai yang hadir untuk makan kenduri. Aku boleh tahu kalau seseorang itu makan tanpa mengucapkan kalimah yang suci iaitu kalimah Bismillah.

Sebab apa aku berkata demikian. Bila seseorang makan tanpa mengucapkan kalimah Bismillah iblis dan syaitan yang terlebih dahulu makan makanan kita walaupun didepan kita nampak macam tidak terusik. Lepas mereka makan akan dimuntahkan kembali kedalam pinggan dan kita yang makannya. Ada yang mengencing di dalam pinggan. Aku melihat sendiri pun merasa mual untuk makan. Sudah beberapa kali tuan rumah menyuruh aku makan tapi aku berkata masih kenyang. Anak gadisku membawa sepinggan nasi untukku. Dia tahu ayahnya begitu sibuk hari itu. Aku gagahi makan dengan menunduk kepalaku kebawah. Baru aku dapat menelannya.

Aku masih ingat ketika menerima email dari seorang ibu. Dalam email katanya anaknya boleh melihat makhluk yang muntah dan kencing dalam pinggan pada waktu rehat di kantin sekolah. Aku katakan kepada wanita tersebut sebab apa terjadi demikian. Barulah dia mengerti. Katanya anaknya amat takut untuk membuka matanya. Bila buka saja ia di penuhi dengan makhluk-makhluk yang hodoh. Aku melihat orang ramai yang datang bersalaman. Kemudian mencedok nasi dan duduk diatas kerusi. Sambil makan mereka begurau dan ada yang setengahnya lupa untuk mengucapkan kalimah yang suci. Iblis dan syaitan tidak akan menjamahnya andaikata kalimah itu yang kita mulai. Bukan susah untuk melakukannya cuma kita tidak membudayakan diri dan keluarga kita. Kita anggap ia hanyalah benda ringan sedangkan impaknya amat kuat. Bayangkan kita telah makan hasil muntah dan kencing iblis. Sebab itu aku menegur bila melihat insiden ini. kataku...
" Tuan-tuan dan puan puan. Jangan lupa kita bacalah Bismillah sebelum kita menjamah makanan. Kalau tidak berbuat demikian pasti makhluk lain yang menjamah terlebih dahulu ". Aku melihat ada di kalangan jemputan yang memandang aku. Mungkin mereka merasa pelik aku memberi nasihat seperti seorang ayah atau emak menyuruh anak kecilnya membaca Bismillah sebelum makan. Kita kerap lalai dalam melakukan perkara penting ini. Akhirnya iblis dan syaitan mengambil kesempatan di atas kelalaian kita. Itu insiden pertama.

Insiden kedua. Aku meneruskan tugasku sambil mataku liar memerhati sekeliling. Tiba-tiba aku melihat dalam ramai-ramai yang datang terselit satu makhluk yang hodoh. Rambutnya panjang. Entah kenapa sudah menjadi kebiasaan aku. Aku baca ayat suci al quran dan terus aku hembus kearahnya makhluk tersebut. Tersentak dia dan terus dia memandang dengan wajah yang marah. Aku cerita apa yang aku lihat kepada anak gadisku yang berada di sebelahku.Kini aku pula tersentak bila lembaga tadi berada dekat denganku dalam jarak 20 meter. Terpaksa aku memagar tempat aku agar dia tidak dapat masuk. Dia hanya berdiri di sebelah pokok sambil memerhati aku. Aku meneruskan tugasku sambil bercerita dan lagu yang aku akan mainkan berkisar cerita yang aku sampaikan.

Cerita kisah seorang wanita di zaman Rasulullah yang bernama Zinnirah. Dia buta dan pembaca tentu dah tahu tentang kisahnya. Selepas aku habis bercerita terus aku berkata
" Dan terimalah lagu Zinnirah...". Tiba-tiba mataku menjadi blurr. Lagu yang telah aku set telah hilang. Aku terdiam sambil mencari folder lagu yang telah aku set sebelum datang. Hanya tinggal folder lagu pop saja. Akhirnya aku terlihat lagu nasyid di desktop dan aku mainkannya dulu sementara aku mencarinya. Aku melihat lembaga tadi tersenyum sinis melihat aku berpeluh. Aku pejamkan mata sambil membaca ayat suci al-quran. Bila aku buka alhamdulillah folder yang hilang telah berada kembali. Terus aku mainkan lagu Zinnirah dari kumpulan Unic. Pembaca boleh masuk dalam Youtube untuk mendengar lagu itu.

Akhirnya aku dapat jalankan tugasku sebagai deejay pada hari tersebut. Bila pulang kerumah aku cerita insiden yang berlaku kepada isteriku
" Yang abang baca ayat quran dan hembus dekat dia kenapa. Kalau dia tak ganggu biarkan saja ". Betul juga kata isteriku tapi aku sengaja gatal mulut. Bila dah biasa aku buat ia seakan menjadi rutin hidup. Kalau aku lihat makhluk hodoh berada dekat denganku akan aku baca ayat suci Al Quran. Kalau yang jenis tidak kuat ia akan hilang begitu saja. Kalau jenis yang melawan hasilnya seperti apa yang aku kena. Inilah dua insiden yang berlaku serendak pada masa aku menjadi deejay. Moga - moga ia tidak mematahkan semangatku untuk terus bergelar seorang DJ yang syok sendiri.


Tuesday, November 18, 2014

Program Riadah

Alhamdulillah...kalau aku tidak kena stanby pasti program kesukaan kami iaitu mengayuh basikal tidak dilupakan. Kalau aku bertugas petang maka kami akan kayuh pada waktu pagi. Kalau kerja pagi kami akan kayuh pada waktu petang


Pada awalnya isteriku agak keberatan sebab malu bila orang melihat. Aku tidak memaksanya tapi aku ajak dia mengayuh ditempat yang sunyi. Lama kelamaan dia semakin berani untuk tampil di jalan yang ramai orang.


Adakalanya kami kayuh sehingga 3 kilometer dan bagi isteriku itu sudah terlalu jauh. Kalau aku kayuh sendirian aku lebih gemar menaiki jalan berbukit. Bila bersama isteriku aku lebih bertolak ansur dengan mengayuh di jalan yang rata.


Kini kami telah membeli lampu untuk mengayuh pada waktu malam. Ramai di kalangan rakan-rakanku telah mengayuh pada waktu malam. Kata mereka lebih selesa dan seronok


Malam ini kami akan cuba mengayuh pada waktu malam. Moga Allah permudahkan kami. Sihat pun dapat.


Monday, November 17, 2014

Rupanya Rezeki Dia

Aku bertugas pagi hari ini. Seperti biasa yang aku buat ialah aku singgah lagi di gerai untuk membeli kuih. Aku terlihat karipap ubi kentang yang paling aku minat. Aku ambil sebanyak 2 biji bersama kuih yang lain. Sudah cukup untuk makan pagiku hari ini. Aku terus ketempat kerja. Bila aku sampai saja seekor ibu kucing yang sedang mengandung menyerbu aku sambil mengiau. Mungkin dia terbau kuih yang aku beli.

Aku tak sanggup melihat ibu kucing yang kelaparan. Aku mengeluarkan sebiji karipap lalu aku beri kepada ibu kucing. Dengan lahap dia memakannya. Sekejap saja sudah habis sebiji karipap. Ibu kucing melihat aku sambil mengiau-ngiau lagi. Mungkin dia beritahu aku yang dia masih lagi lapar.


Aku mengeluarkan sebiji lagi karipap. Ibu kucing terus makan, selesai makan ibu kucing memangdang muka aku lalu datang menggosok kepalanya dikaki aku dan berlalu pergi. Terdetik dihati aku. Rupanya Semua ini Allah yang merancang. Dua biji karipap rupanya rezeki ibu kucing. Aku merasa cukup tenang bila melihat ibu kucing kekenyangan setelah dapat makan 2 biji karipap. Dalam rezeki kita ada hak-hak yang lain. Jadi kita agih-agihkanlah. Aku masih ingat kata-kata ustaz sewaktu mengikuti program kuliah agama.


Wednesday, November 12, 2014

Jangan Cepat Melatah

Pagi ini aku bertugas pagi. Seperti biasa aku pasti akan singgah di kedai kopi untuk membeli juadah pagiku. Ketika meletakkan motosikalku datang 2 biji motosikal lalu park bersebelahan morsikal aku lalu terus masuk kedalam kedai membiarkan kunci motosikal mereka berada di motosikal. Mungkin mereka berfikiran yang jarak antara motosikal mereka dengan kedai kopi begitu dekat dan kalau ada apa-apa yang berlaku mereka dapat melihatnya. Semasa aku sedang memilih makanan, aku terdengar perbulan 2 orang lelaki tadi kebetulan mereka berada berdekatan dengan diriku. Seronok mereka bergelak ketawa mengutuk gambar yang telah di upload oleh rakan mereka.

" Rambut macam haram jadah ". Kata salah seorang dari mereka
" Hang komen balik ". Sampuk rakan yang seorang sambil ketawa
" Aku kata rambut macam roti jala dan sarang tebuan ". Terlalu seronok aku melihat mereka mengutuk gambar tersebut sambil bergelak ketawa. Mereka telah lupa pada makanan pagi. Pada kunci motosikal yang di tinggalkan. Aku dapat mengagak gambar siapa yang dimaksudkan oleh mereka tapi biarlah fokus kita pada yang lain.

Dalam hati aku berkata, Senangnya awal-awal pagi sudah mendapat dosa. Yang upload gambar. Yang melihat kemudian mempersedakan. Mungkin apabila mereka telah membuak mata, hidayah telah ditiupkan kepada mereka. Beruntungnya orang yang sebegitu. Mungkin keluarga mereka semua telah sempurna. Syukur kepada Allah. Setelah membayar makanan yang telah dibeli, mereka keluar dan terkejut bila mendapati sebiji motosikal jenis Yamaha LC135 telah hilang. Sedih, marah dan bermacam-macam perkataan telah dikelaurkan oleh mereka namun apakan daya. Ia tidak mampu mengembalikan semula motosikal yang telah dicuri. Kesian juga aku melihat reaksi pemuda tersebut tapi dia sendiri telah melakukan kesilapan. Kita lalai hanya sedikit saja dan natijahnya amat besar.

Padaku ia merupakan pengajaran yang amat penting. Kita jangan cepat mengutuk terhadap mereka yang belum diberi hidayah. Sebagai seorang manusia yang mengaku beriman kita harus berdoa untuk mereka walaupun kita tidak sukan kepada mereka. Cukuplah kita berdoa didalam hati agar mereka di hidayah oleh Allah. Tidak perlu kita sebarkan gambar mereka untuk mengikut selera kefahaman kita yang mantap ini untuk tujuan kesedaran. Ia bukan saja mengaibkan orang tersebut tapi mengundang fitnah yang cukup besar kepada masyarakat dan diri kita sendiri. Orang boleh menilai siapa kita sebenarnya.

Gambar yang telah dinaikkan akan menjadi gurauan rakan-rakan kita dengan komen dan umpatan yang bermacam-macam. Kita rasakan yang kita telah melakukan kebaikan agar orang akan sedar tapi sebenarnya kita telah membuat fitnah terhadap prang lain. Semoga aku serta keluargaku terhindar dari sifat sombong, angkuh, ego, takbur dengan ilmu yang kami fahami dengan amat sedikit ini. Kadang-kadang kita terpaksa membayar harga yang paling mahal untuk mendapat pendidikan dari Allah. Aku telah mengalaminya.

Thursday, November 06, 2014

Tertunai Sudah Impiannya

Aku masih ingat isteriku Siti Aishah menangis ketika melihat begitu ramai sedang tawaf di kaabah..
" Abang Siti rindu dan teringin nak ke Mekah ". Kata isteriku
" Isyaallah Siti. Esok kita daftar di tabung haji dan kita kumpul duit ". Keesokkan harinya kami ke tabung Haji untuk membuat pendaftaran. Setelah membuat pendaftaran pihak tabung haji memberi kami sehelai kertas tertera tahun kami dapat menunaikan ibdah haji.
" Seronoknya bang...Kita akan kesana pada tahun 2020 ". Kami berdua terlalu gembira melihat tarikh ke Mekah walaupun masih lagi jauh perjalanan hidup kami. Kami daftar pada tahun 2007 dan ini bermakna kami terpaksa menanti selama 13 tahun untuk menunaikan fardhu haji.
" Siti..Moga-moga kita sempat buat bersama no ". Aku berkata kepada isteriku
" Insyaallah bang. Kita hanya mampu berdoa kepada Allah ". Kata Siti Aishah. Akhirnya manusia hanya mampu merancang dan Allah sebaik-baik perancang. Isteriku pergi untuk selama-lamanya meninggalkan segala kenangan indah antara kami berdua. Aku hanya mampu melihat kertas pendaftaran kami. Terlalu sayu kami tidak dapat pergi bersama. Ketika aku ziarah pusaranya aku berkata,
" Insyaallah Siti. Abang akan tunaikan impian Siti. Walaupun kita tidak dapat bersama kesana abang akan upah haji untuk Siti ".


Pada bulan Mac 2014 aku dan isteriku Rosnah ke Tabung haji. Tujuan kami sama iaitu ingin mengupah haji untuk insan yang pernah hidup bersama kami sebelum ini. Aku untuk Siti Aishah dan isteriku pula untuk bekas suaminya. Seorang dikenakan sebanyak RM2500. Kata pegawai tabung haji setelah selesai ibadah haji kami akan diberikan sijil dan hadiah dari Mekah. Kami keluar dari kompleks tabung haji dengan wajah yang begitu puas. Sekurang2nya kami telah melaksanakan untuk insan yang kami sayang sebelum ini. Walaupun kedua-dua kami nampak tenang sewaktu melangkah keluar tapi airmata menggambarkan perasaan kami. Masing-masing diam sambil melayari peristiwa lalu.


5 Nov 2014 - Aku menerima panggilan talipon dari pegawai tabung haji. Katanya dia nak kerumah kami untuk menghantar barangan dari Mekah. Memandangkan rumah aku dengan Kompleks Tabung haji begitu dekat sekali iaitu dalam 200 meter maka dengan cepat kereta sampai di perkarangan rumahku. Pegawai tersebut mengeluarkan 2 kotak lalu di berikan kepada kami
" Ini adalah kotak dari Siti Aishah dan Ruslee. Kami telah melaksanakan ibadah haji untuk mereka ". Perasaan sebak, sayu, sedih dan gembira sewaktu membuka kotak tersebut. Aku memakai kopiah yang terdapat di dalam kotak. Terdapat buku tafsir. Kami membuka bungkusan buah kurma lalu mengambilnya dan makan. Walaupun kami nampak tenang tapi airmata menggambarkan perasaan kami. Sudah sekian lama aku teringin akan kurma ajwa tiba-tiba di dalam tuppaware ada 3 biji kurma ajwa bersama kurma yang lain. Aku merasakan yang kurma ajwa ini hadiah dari Siti Aishah untukkku. Mengalir airmata kami sewaktu mengunyah buah kurma


" Nah...Abang rasa depa kirim barang ni dekat kita dulu untuk kita guna ". Sayu isteriku mendengar kata-kataku. Bagiku 3 biji kurma ajwa sudah memadai buatku. Selebihnya dan air zam-zam akan aku berikan kepada kedua-dua anakku. Mereka juga berhak mendapat kiriman dari ibu mereka. Aku menghantar WhatsApp kepada anak gadisku dan aku hanya menerima mesej darinya
" Makkk....". Terlalu sayunya perkataan itu. Aku tahu anak-anakku juga merindui ibu mereka


Ya Allah. Engkau terimalah haji untuk mereka Ya Allah. Engkau jemputlah kami kerumahmu Ya Allah. Aku terlalu rindu Masjid Nabawi, Masjidil Haram dan tempat-tempat yang penuh dengan sejarah perjuangan Rasulullah dan pasa sahabat. Sekurang-kurangnya aku merasa lega sebab telah menyempurnakan impian Siti Aishah walaupun dia sendiri tidak dapat menjejaki kakinya di sana tapi kini dia berada di tempat yang paling indah, paliang tenang iaitu di syurga. Sebab apa kau berkata begini. Sebab dia merupakan seorang isteri yang begitu solehah. Seorang menantu yang begitu baik. Seorang wanita yang berakhlak di mata masyarakat namun dengki manusia tetap ada. Mereka tidak boleh melihat orang lain bahagia. Caranya ialah memisahkan kami berdua. Mereka berjaya tapi kami akan bersatu kembali di akhirat menuntut keadilan dari Allah.

Tuesday, October 28, 2014

Bila Mentari Menjelma

Kelmarin dan hari ini aku dapat melepaskan kerinduan aku pada kamera. Sudah lama aku tidak menembak. Jam 6.30 pagi lagi aku dah keluar menuju ke destinasi dan inilah hasilnya. Walaupun aku tidak pandai tapi aku berpuashati dengan hasilku ini









Monday, October 27, 2014

Mereka Juga Manusia

Hari ini aku berkesempatan membawa isteriku makan di luar. Sudah 2 minggu aku kena kerja selama 16jam. Kami memilih untuk makan di bandar saja. Pilihan kami ialah di Restoran Nasi Kandar Line Clear yang terletak di bandar. Ketika sampai keliahatan sudah ramai yang beratur. Jadi kami terpaksa sabar menunggu gelaran kami. Bila tiba gelaran aku memilih kari kepala ikan. Ini kalai pertama aku makan kari kepala ikan di kedai mamak. Aku sudah menjangkakan harganya. Bagiku buat apalah kerja sehingga berbelas jam tapi keinginan kita tak kita penuhi. Aku melihat mamak menulis harga. Fullamak RM35.

Ketika kami sedang menikmati keenakkan nasi kandar, aku melihat seorang wanita tua melayu sedang meminta-minta dari orang ramai. Aku melihat dia meminta hanya RM2. Dia berjalan dari satu meja ke satu meja yang lain namun tiada siapa yang mahu memberi. Masing-masing tidak mengendahkan wanita tadi. Mamak datang kepada sambil berkata dengan perlahan..
" Keluar....keluar....". Wanita tadi tidak mengendahkan mamak. sambil merungut dia hanya minta RM2. Mamak terus mencuit wanita tersebut menyuruhnya keluar.


Wanita tua terus mencuit badan seorang lelaki meminta RM2. Masam muka lelaki tersebut
" Saya baru saja nak makan ". Begitu kasarnya lelaki tersebut. Aku hilang selera makan melihat insiden itu. Bukan kerana badan wanita itu yang kotor. Bukan kerana dia tidak waras tapi layanan yang diberikan kepadanya. Hinakah orang yang kelaparan meminta hanya RM2
" Nah...abang tak gamak nak makan bila tengok wanita tersebut. Kita makan kepala ikan RM35. Dia hanya minta RM2 saja ". Isteriku membuka beg duitnya lalu mengeluarkan RM5


" Nah pergi la bagi dengan wanita tu ". Aku berkata kepada isteriku sambil bangun untuk membayar. Ketika membayar aku melihat isteriku pergi kearah wanita tadi lalu memberinya wang. Orang yang duduk bersebelahan wanita tadi hanya tunduk. Sanggup mereka makan sedang orang lain kelaparan meminta-minta wang yang tidak sebanyak mana. Sampai hati mereka mereka tidak mengendahkannya. 


Kami terus keluar dari restoran mamak diikuti wanita tadi. Dia menggosok belakang isteriku dan tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada isteriku.
" Nah malu tadi masa bagi duit dekat wanita tadi. Takut orang kata nak menunjuk-nunjuk ". Kata isteri kepadaku.
" Kita tidak menunjukkan-nunjuk dekat orang ramai. Mungkin tindakan kita merupakan satu tazkirah kepada orang lain. Dalam rezeki kita terdapat hak-hak yang lain. Jadi kita agih-agihkan hak itu ". Tidak jatuh miskin orang bersedekah. Syukur kami di pilih Allah hari dan rugilah mamak tadi untuk mendapat keredhoaan Allah. Allah duga hanya sedikit saja dengan hanya RM2. Ramai manusia yang tewas.....Moga ianya menjadi iktibar kepada pembaca sekelian. Kita agih-agihkanlah rezeki yang kita perolehi setiap bulan. Insyaallah Allah akan beri rezeki dari pintu-pintu yang kita sendiri tidak mengjangkakannya. Selamat beramal.


Wednesday, October 15, 2014

Tempat Sejarah HANG

Pada 8 - 13 oktober 2014 aku dan isteri ke Melaka. Mungkin ini merupakan kehadiran kami yang terakhir sebab anak kami akan bertukar ke Penang. Jadi kesempatan inilah aku mengajak isteriku sekali lagi ke Melaka untuk mencari tempat sejarah HANG. Pertama kami ke makam Hang Tuah yang terletak berdekatan dengan pantai Tanjung Puteri. Sayang sekali sebab dekat tanda Tak Melayu Hilang Di Dunia telah hilang tangan yang hendak memegang keris. Ia di curi atau telah di buang. Pada tahun 2013 ia masih ada di situ.









Seterusnya kami ke Kampung Kuli yang berdekatan dengan Jonker Walk di mana terletaknya Makam Hang Jebat. Makam tersebut berada betul-betul di celah rumah kediaman orang cina.






Seterusnya kami mencari Makan Hang Kasturi yang terletak di Jalan Hang Jebat. Juga berdekatan dengan Jonker Walk dan kediaman orang cina



Setelah itu kami merantau lagi dengan berpandukan waze. Akhirnya kami berjumpa dengan Perigi Hang Li Po atau perigi raja. Ia terletak di lereng Bukit Cina





Untuk menamatkan pencarian kami tentang nama Hang. Destinasi seterunya ialah mencari Perigi Hang Tuah yang terletak di Duyung. 




Ketika pulang kami singgah pula di Muzium Hang Tuah. Kena bayar RM5 seorang. Besar juga muzium dia tapi tak banyak sejarah yang dapat di lihat di dalam. Video kisah Hang Tuah. Keris lama. Pakaian orang lama. Sekejap saja kami berada di dalam sebab tidak ada yang menarik.




Terasa amat puas kali ini sebab aku dapat berjumpa dan melihat berbagai ragam bentuk yang susah untuk aku gambarkan di sini

Monday, September 22, 2014

Kita Tidak Bersendirian

 Aku telah berkursus di Langkawi selama 3 hari. Tempat yang aku tidak pernah jemu untuk datang lagi pada bila-bila masa saja. Semasa dalam kelas kami diberitahu oleh fasi yang keesokkannya kami akan melawat tasik dayang bunting. Tempat yang banyak aku mendengar kisah tentangnya dan belum lagi menjejaki kakiku disana. Aku sendiri tidak dapat bayangkan macam mana keadaan tasik dayang bunting. Ada yang berkata yang aku tidak boleh kesana sebab keadaan lututku yang baru di operate. Kata mereka agak tinggi untuk mendaki. Bagi aku pula alang-alang sudah sampai aku akan tetap kesana walaupun tidak dapat mendaki asalkan dapat kaki aku menjejaki pulau tersebut sudah memadai buat aku.


Kami telah diberi nasihat oleh fasi supaya memakai seluar pendek dan bukan kasut jenis ikat. Aku agak kehairanan kenapa harus memaki seluar pendek. Akhirnya terjawab bila fasi berkata supaya mudah untuk mandi di tasik dan tidak kelam kabut menyalin pakaian. Aku hanya membeli kasut biasa. Nak cari tracksuit agak susah di langkawi. Mahal gila harganya sedangkan hanya untuk sehari saja. Aku mengambil keputusan untuk tidak mandi. Aku lebih minat mengambil gambar keindahan tasik saja


Jam 8 pagi kami sudah berada di pantai kuah menanti bot. Jam 9 pagi bot bertolak menuju 3 tempat. Tempat pertama ialah Coral Beach dan kedua ialah melihat burung helang. Semasa dalam perjalanan aku sering teringat akan mimpi semalam. Aku berada di satu tasik yang indah. Kelihatan lelaki dan wanitanya berpakaian jubah hitam dan putih. Mungkin mainan tidur agaknya. Mana lah ada tempat macam itu. Aku ceritakan kisah mimpiku kepada isteriku. Katanya itu mungkin hanya sekadar mimpi sahaja. Sedikit sebanyak ia melegakan perasaanku.


Aku cukup terhibur dengan keindahan alam semulajadi sewaktu perjalanan ke tasik dayang bunting. Akhirnya bot berhenti di tengah lautan. Pemandu bot tunjukkan kami tasik dayang bunting yang mirip seperti seorang wanita bunting sedang baring. Subhanallah. Cantik sungguh. Kami meneruskan perjalanan dan akhirnya kami sampai di jeti tasik. Aku terpukau melihat keindahan tasik. Begitu tenang dan nyaman. Ramai juga dari keluarga arab datang kesini. Apalagi kamera pun dikeluarkan. Kami diberi masa selama 40 minit untuk berada di sekitar tasik tersebut.


Melihat akan laluan anak tangga menuju tasik aku confident yang insyaallah aku akan berjaya mengharunginya dan sepanjang menaiki anak tangga aku tak terasa terlalu penat dan lutut aku dalam keadaan yang cukup baik alhamdulillah. Apa yang menarik perhatianku lalu gambarnya aku ambil. Terasa cukup tenang dan mendamaikan. Banyak juga dibuat tempat perhentian dan rehat bagi pendaki yang kepenatan


Tiba-tiba aku sampai di satu tempat perhentian dan ini membuat aku teringat akan mimpiku itu. Sebiji seperti dalam mimpiku. Aku melihat seperti pintu menuju kesebuah tempat. Kaum lelaki dan wanita keluar masuk. Lelaki ada yang memaki jubah putih dan hitam dan wanita memakai jubah putih. Seorang wanita berjilbab sedang menanti di pintu. Dia seperti tahu yang aku nampak mereka. Tersenyum dia. Mungkin menanti kehadiran aku. Aku hanya berdiri dan memberitahu isteriku tentang mimpi aku yang mempunyai persamaannya sekarang. Barulah isteriku percaya dan meminta aku agar mejauhi tempat tersebut. Takut juga dia kehilangan aku


Aku melihat seperti mereka sedang menuruni dan menaiki anak tangga. Bagaimana keadaan didalam sana. Terfikir juga aku ketika itu. Agak lama aku berhenti merhatikan kearah tempat perhentian yang merupakan laluan kedunia lain. Cepat-cepat isteriku menarik tangan aku menuruni anak tangga menuju ke tasik. Yang hairannya sekitar tasik tiada kelihatan kelibat mereka mereka. Mungkin keadaan pengunjung yang tidak menutup aurat membuatkan mereka hanya berlegar diatas sahaja.


Cukup 40 minit kami berada ditasik akhirnya kami menaiki kembali bukit yang tinggi kembali ke jeti. Tibanya aku di perhentian tadi pintu sudah ditutup. Perhentian tadi kelihatan seperti biasa. tiada penghuni. Aku beritahu isteriku tapi cepat-cepat dia memegang tangan aku menaiki bukit. Dia langsung tidak membenarkan aku bercakap tentang kejadian itu lagi. Sepanjang perjalanan pulang tiada kelihatan kelibat mereka lagi. Entah kemana hilangnya atau sengaja dibuka untuk aku memasukinya dan aku seperti menolak tuah. Betul ke....perasaanku


Sepanjang menaiki bot menuju Kuah aku hanya diam memikirkan tentang pintu tadi. isteriku seperti tahu apa yang aku fikirkan. Cepat-cepat dia minta aku melupakan tempat tersebut. Nasib baik semasa pulang kami melalui lagi sekali kawasan pokok bakau dan kelihatan burung helang yang agak banyak. Apalagi aku mengeluarkan kamera lalau mengambil gambar. isteriku tersenyum mungkin kerana menyangka yang aku sudah melupakan peristiwa tadi. Mungkin tidak. Masih fresh dalam minda aku bagaimana rupa wanita sana. Patut la ramai yang tergoda termasuklah aku. Kalaulah hari itu isteriku tidak menemaniku mungkin aku sudah terlepas kedalam dan mungkin tidak akan keluar lagi kedunia yang penuh dengan dendam dan benci. Tapi dunia kita dan mereka tidak sama. Mereka dan kita juga tidak sama


Sehingga hari ini aku menanti andaikata aku bermimpi lagi akan tempat tersebut namun tidak sama sekali. Yang aku mimpi ialah berlawan dengan harimau lalu aku mencucuk perut harimau tapi hakikatnya aku jari aku yang mencucuk tembok sebelah tempat aku tidur. Sehingga kini jari aku masih kesakitan dan tidak dapat dibengkokkan. Aku cerita kepada isteriku tentang mimpiku. Dia tertawa dan berkata....
" Abang ni pelik lah....". Aku hanya tertawa mendengar kata-katanya. Tasik Dayang Bunting akan pasti menggamit aku kesana lagi. Entah bila...Ada rezeki sampai la.....Apa yang pasti ialah kita tidak bersendirian. Allah menjadikan makhluk dan dunia untuk kehidupan yang berbeza. Tujuannya tetap sama ialah untuk beribadah kepada Allah


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...