Teman-teman

Friday, August 31, 2012

Kuatnya Semangat Ibu

Aku masih ingat ketika ibu dalam ICU. Doktor menunjuk gambar x ray keadaan paru-paru ibuku. Kata doktor kedua-dua paru ibuku mengalami rosak teruk dan chances untuk hidup amat tipis. Bermula dari situlah kami terus berdoa dan berkumpul anak cucu membuat bacaan yasin khas untuk ibu kami. Kami berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala-galanya. Ramai juga dikalangan pembaca blogku turut sama berdoa. Bulan Ramadhan Allah telah menutup pintu neraka dan membuka pintu syurga. Itulah bulan yang di penuhi dengan rahmat. Berkata Allah swt, “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina” (QS. 40 : 60).

Alhamdulillah akhirnya doktor memberitahu yang sebelah kiri paru-paru ibuku telah beransur baik dan sebelah kanan masih ada sedikit lagi tompokan. Kata doktor ibuku bernasib baik sebab mengikut faktor umur, peratus untuk pulih amat tipis. Itulah keberkatan berdoa di bulan Ramadhan. Ibuku dipindah ke wad biasa dan ini bermakna ibuku terlepas dari fasa kritikal. Semasa aku melawat ibu doktor sedang menukar tiup. Kata doktor ibuku mempunyai semangat juang yang begitu kuat. Amat susah mendapat wanita dengan faktor umur seperti ibuku mampu mengharungi segala dugaan. Memang diakui akan semangat ibu. Sewaktu ayah lumpuh akibat termakan kulat beracun dan kami seramai 7 beradik masih kecil. Ibulah yang memainkan peranan membesarkan kami.

Aku melihat ibuku terbaring. Mungkin keletihan agaknya. Wajahnya kini telah berubah namun semangatnya begitu tinggi. Aku duduk di kerusi sambil memandang ibu. Memoriku begitu cepat memutarkan kembali kisah lampau. Aku berada di ICU tapi bersama isteriku Siti Aishah. Doktor berjumpa aku. Kata doktor,
" En Ariff, Kami dapati isteri En Ariff seperti sudah mengalah. Dia tidak mahu berjuang langsung. Cuba En Ariff bisik sesuatu ketelinga isteri En Ariff. Dia boleh dengar ". Kata doktor padaku.
Aku terus menghampiri isteriku yang kaku dengan wire memenuhi badannya. Aku memegang tangannya
" Siti..kuatkan semangat Siti. Jangan mengalah Siti. Jangan biar orang yang buat pada Siti ketawa gembira. Kan abang dah berjanji pada Siti. Insyaallah kalau Siti sihat kita akan mengerjakan umrah. Siti lawan la. Jangan tinggalkan abang dan anak-anak. Kami memerlukan Siti ". Aku sudah tidak dapat mengawal perasaanku. Aku menangis sambil memeluk isteriku yang kaku. Aku melihat airmata jernih jatuh dari kelopak isteriku.

Sewaktu aku membawanya berubat di Kelantan sudah nampak bunga mengalahnya. Sewaktu di rumah adikku kami melakukan solat hajat bersama. Keadaan isteriku ketika itu asyik menangis kesakitan Berkali-kali aku menalipon ustaz di Penang. Kata ustaz isteriku telah disihir dengan kaedah jarum dicucuk pada patung. Sebab itu dia kesakitan. Aku mengejutkan anak lelakiku agar solat hajat bersama. Setelah selesai solat hajat aku tertidur sebentar. Aku terkejut bila terdengar suara isteriku. Dia baru saja selesai solat hajatnya. Dia berdoa tapi dalam doanya dia menerima segala ketentuan ilahi. Dia pasrah akan nasibnya. Dia sudah tiada berdaya melawan lagi. Aku memberinya kata semangat.
" Insyaallah Siti...Kita akan lawan balik. Siti jangan mengalah. Kuatkan semangat. Allah bersama kita. Abang, anak-anak serta keluarga akan membantu ". Aku berkata pada isteri yang hanya terdiam.

" Bang Siti minta ampun pada abang. Halalkan makan minum Siti. Siti ucapkan terima kasih sepanjang kita hidup bersama Siti amat bahagia sekali. Abang adalah suami yang baik pada Siti ". Apalagi yang mampu aku katakan pada isteriku. Aku memeluk isteriku sambil menangis teresak-esak. Malam itu kami penuhi dengan airmata. Aku menyedari ketika itu bahawa isteri akan meninggalkan kami.
" Siti jangan kata macam tu. Kita lawan. Siti kuatkan semangat. Siti jangan risau kalau terjadi apa-apa tempat Siti adalah di Syurga. Siti tidak ada salah pada abang " Isteriku mencium tanganku. Terasa panas airmatanya. Aku hanya mampu menangis ketika itu.
" Ya Allah. Engkau permudahkan isteriku. Dia isteri yang baik. Aku tak dapat hidup tanpanya. Ya Allah aku ampunkan segala dosanya. Tempatkannya di syurgamu Ya Allah ". Menangis isteriku sambil terus mengucup tanganku

Sehari sebelum isteriku meninggal, aku mendapat panggilan talipon dari seorang sahabat. Katanya dia nak membawa aku berjumpa dengan seorang guru pondok yang boleh mengubati penyakit sihir. Aku terpaksa meninggalkan isteriku di ICU dan mengikut sahabatku. Guru pondok ini boleh scan dari jauh. Kata guru tersebut badan isteriku dipenuhi dengan wire. Ada 4 ekor makhluk sedang mengelilingnya. Dia telah musnah makhluk tersebut. Untuk membuang penyakit yang berada di badan isteriku, guru pondok akan menggunakan kaedah memindahkan segala penyakit kebadanku dan membuangnya. Guru pondok meminta aku berfikir sebelum bertindak. Mungkin akan terdapat kesan sampingan bila penyakit dipindahkan kebadanku.

Akhirnya aku mengambil risikonya. Aku setuju untuk memindahkan segala penyakit isteriku kebadanku. Biar apa pun terjadi asalkan isteriku dapat diselamatkan walaupun caranya amat merbahaya sekali. Aku amat sayangkan isteriku. Akhirnya aku disuruh membaca ayat-ayat quran dan membayangkan wajah isteriku. Tiba-tiba badanku terasa begitu sakit sekali. Tak tertanggung aku menahannya. Hampir pengsan aku. Inikah kesakitan yang isteriku alami selama ini. Guru pondok menarik keluar melalui ibu kakiku. Ketika itu aku dapat merasakan sakit yang amat sangat sehingga kehujung ibu kakiku. Akhirnya selesai penyakit isteriku dibuang melaluiku. Guru pondok terus scan dari jauh sambil menggelengkan kepalanya.

" Bang penyakit dan makhuk telah tiada lagi Tapi isteri abang sudah pun mengalah. Dia sudah menerima takdirnya. Abang pulanglah. Sekarang ni doktor sedang bertungkus lumus memulihkan jantungnya ". Kata-kata dari guru agama membuatkan airmataku mengalir. Aku masih boleh menahan sebakku tapi didalam hatiku aku meraung.." Siti jangan tinggalkan abang...abang sayangkan Siti ". Aku memandu kereta terus pulang kerumah. Ketika mengambil wuduk untuk solat hajat, aku menerima panggilan kecemasan dari bilik ICU. Kata nurse isteriku sedang nazak sekarang. Aku bersama anak lelakiku bergegas ke hospital. Doktor beritahu yang jantung isteriku mengalami kerosakkan yang teruk dan tiada harapan untuk dipulihkan.
" En Ariff boleh memanggil kaum keluarga untuk datang melawat ". Kata doktor aku tahu bahawa doktor sudah membuat yang terbaik.

Kaum keluarga mula memenuhi bilik ICU. Mereka membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Aku menghampiri isteriku sambil berkata,...
" Laa...ila Haillallah...3x. Siti..abang ampunkan segala dosa Siti walaupun pada abang Siti tiada kesalahan langsung. Abang halalkan segala makan minum Siti. Siti pergilah dengan tenang. Tempat Siti adalah di Syurga. Siti tunggu abang di sana ". Aku tidak dapat menahan lagi perasaanku sehingga ditenteramkan kaum keluarga. Tidak sanggup aku melihat mesin digital menurun dari angka 20, 19.18......1,________ ". Akhirnya isteriku mengadap ilahi dengan begitu tenang. Berakhirnya segala harapanku, cita-citaku, hobiku. Semuanya dibawa bersama oleh isteriku. Itulah secebis kisah 2 orang wanita yang membuatkan aku begitu bangga dan kagum sewaktu bersama mereka. 2 wanita hebat itu ialah ibuku dan isteriku Siti Aishah. Namanya seindah akhlaknya. Al-fatihah buat Siti Aishah.


Wednesday, August 29, 2012

Di Cium Ibu

Aku dan isteri ke hospital lagi. Itulah rutin kami setiap hari. Kalau bukan tengahari aku akan ziarah pada sebelah petang. Alhamdulillah anak saudara telah buat roaster giliran menjaga nenek mereka setiap hari. Nenek mereka tidaklah kesunyian. Kadang-kadang bila ada cucu yang mengantuk, nenek mereka memanggil tidur disebelahnya. Bila aku tiba ibuku sudah mengangkat tangan dan aku faham akan maksudnya. Diciumnya tanganku. Kemudian dia memanggil abang aku pula. Diciumnya pipi abangku. Kemudian diciumnya pula pipi aku. Nurse tersenyum memandang dari tempat duduk mereka.


Doktor dari bilik ICU datang melawat ibuku. Beliau terkejut melihat ibuku yang hampir pulih. Kata doktor sebelum ini mereka tidak menjangkakan yang ibuku akan pulih dengan begitu cepat sekali. Ibuku tidak lagi menggunakan ventilator iaitu alat pernafasan. Sebelum ini kata doktor ibuku terpaksa bergantung seumur hidupnya dengan alat itu. Ini bermakna kami terpaksa menyewa peralatan tersebut bila ibuku telah discharge. Bagi kita orang islam itu semua tidak menghairankan. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Inilah keberkatan berdoa dalam bulan Ramadhan. Terima kasih sekali lagi kepada rakan-rakan blogger dan pembaca yang tolong mendoakan agar kesihatan ibuku pulih. Maaf entri amat pendek. Badanku terlalu letih.

Friday, August 24, 2012

Ayah Seorang Suami Mithali

Aku dan isteri kepasar mencari barangan yang hendak dimasak. Kebetulan anak menantu yang tinggal di Melaka pulang untuk berhari raya. Selalunya aku lebih selesa isteriku membeli apa saja yang dia suka. Aku hanya mengikut sebab aku hanya jamah satu lauk saja walaupun di atas meja di penuhi dengan lauk pauk yang lain. Tabiat ini dari waktu aku kecil lagi. Kalau aku sedap dengan sesuatu lauk maka itu sajalah yang aku makan. Sebab itulah bila kami berdua tidak banyak makanan yang dimasak. Kini anak menantu pula berada di rumah.

Isteriku sudah mula kepeningan. Akhirnya aku nampak kepala ikan siakap yang dijual sebiji dengan harga RM6. Aku ambil sebanyak 3 biji. Sedap juga kalau dibuat kari kepala ikan siakap. Isteriku mengambil sotong yang besar seekor. Katanya nak buat masak kunyit. Kami pulang dan isteriku terus memasak. Cukup time dia memanggil untuk makan tengahari. First time dalam hidup aku, aku makan bersama anak menantu. Terasa kekok sehingga aku mendiamkan diri waktu makan. Begitu juga menantuku. Aku tak tahu nak mula dari mana. He he. Teruk la pak mertua ni.

Akhirnya selesai makan seperti biasa aku pasti mengambil makanan dan membawanya kedapur. Menantu hanya diam melihat perbuatanku. Aku datang kembali membawa kain untuk mengelap meja seperti selalunya.
" Ayah ni seorang suami yang mithali ". Tegur menantuku. Aku terdiam bila mendengar teguran menantuku. Setelah meletakkan kain didapur aku pergi kearah menantuku.
" Seorang suami harus pandai mengambil hati isterinya. Kan elok isteri dah masak penat-penat kemudian hidang pula makanan untuk kita. Apa salahnya kita membantu dengan cara ini. Seorang suami tidak akan jatuh maruahnya dengan membantu isterinya ". Menantuku terdiam mendengar kata-kataku.

Isteriku datang pula mendapatkan kami. Menantuku memuji aku didepan isteriku.
" Ayah memang seorang yang rajin membantu dan baik hati ". Aku tertawa gelihati bila isteriku memuji aku didepan menantunya.
" Esok abang masak pula ". Gurau isteriku
" Insyaallah. Bagitau nak makan apa ". Aku bertanya.
" Ayah pandai masak ke ". Tanya menantuku
" Ayah masak terbaik ". Aku dan isteri terus tertawa....

Thursday, August 23, 2012

Semoga Beransur Sembuh

Ibuku sudah di pindahkan ke wad biasa. Kata doktor tahap kesihatan ibuku semakin beransur pulih. Kalau sebelum ini ketika ibuku berada di dalam ICU doktor memberi pengharapan yang tipis. Kata doktor ibuku terpaksa menggunakan ventilator seumur hayatnya. Paru-parunya telah rosak. Kini setelah dibuat x ray hanya tinggal sedikit saja lagi sebelah paru- paru kanan. Sudah seminggu ibuku tidak menggunakan ventilator.


Kami telah membuat syif menjaga ibu 24 jam untuk membuatkan ibu kami selesa. Alhamdulillah bila berada di wad ramai yang boleh datang ziarah tanpa ada had. Kami mendoakan agar ibu kami cepat sembuh dan dapat pulang kerumah. Terima kasih sekali lagi kepada mereka yang mendiakan kesejahteraan ibuku. Hanya Allah yang dapat membalasnya

Tuesday, August 21, 2012

Tak Sama

Hari raya tahun ini tidak sama seperti lazimnya. Tahun ini selepas solat aidil fitri masing-masing dgn aktiviti keluarga masing-masing. Selepas itu barulah semua kaum keluarga berkumpul di rumah ibuku sementara mananti waktu yang dibenarkan menziarahi ibuku di hospital. Bila dah berkumpul sudah pasti akan diadakan mesyuarat kecil tentang ibuku.

Setiap tahun hari raya kedua kami kaum keluarga pagi-pagi lagi sudah keluar beraya di rumah emak saudara. Waktu zohor barulah kami pulang. Tahun kami tidak kemana. Tak sampai hati nak bergembira sedangkan ibu lami berada di ICU. Jadi kami berkumpul sekali lagi di rumah ibu kami. Hari raya ketiga isteriku hendak buat laksa.


Katanya dia nak jemput kaum keluargaku berhari raya dirumah kami sebelum ke hospital. Setiap tahun hari raya ketiga aku pasti buat rumah terbuka khas untuk kaum keluarga. Selalunya aku jemput keluargaku, kaun keluarga isteriku dan keluarga arwah isteriku juga. Maknanya 3 keluarga yang di jemput. Tahun ini terpaksa dibatalkan demi ibuku. Terasa hambar pula kalau tidak berkumpul adik beradik dirumahku. Sebab itu isteriku hendak buat laksa dan menjemput kaum keluargaku sebelum menanti waktu ziarah. Semoga Allah berkati isteriku Rosnah.

Monday, August 20, 2012

Perubahan Positif

Allahu Akbar Allahu Akbar...Laa...Ila Haillallah Wallahu Akbar. Allahu Akbar Walillahilham. Terasa begitu sayu sewaktu aku mengetuai takbir di surauku. Allah maha besar yang dilaungkan sepanjang waktu sebelum solat Aidil Fitri sebenarnya ditujukan kepada aku sekeluarga. Alhamdulillah sewaktu menziarahi ibuku sehari sebelum Aidil Fitri ibuku telah menunjukkan peningkatan dalam penyakit yang dihadapinya. Kalau sebelum ini ibuku banyak bergantung harapan pada ventilator kini Alhamdulillah sedikit sebanyak ada perubahan. Kata doktor sudah 8 jam ibuku bernafas dengan menggunakan paru- parunya dan bukan dengan ventilator. Walaupun masih nampak kepenatan namun ia sebagai langkah yang terbaik.

Selesai solat Aidil Fitri kami berkumpul dirumah ibuku seperti biasa. Walaupun sekadar sederhana tapi hubungan kekeluargaan tetap mesra. ICU hanya dibenarkan masuk pada jam 1 - 2 petang dan 5 - 7 petang setiap hari. Sebanyak 2 orang dibenarkan masuk setiap kali. Sebelum kami ke hospital sambil berhari raya kami berbincang tentang kesihatan ibu. Jam 1 petang kami terus ke hospital. Bila masuk kedalam ibuku sudah sedia menanti. Wajahnya nampak bersih walaupun menanggung kesakitan. Itulah anugerah yang Allah berikan kepada orang yang kerap membasahi mukanya dengan wuduk. Kadang- kadang kita melihat walaupun seseorang itu kelihatan tua tapi wajahnya begitu bercahaya sekali. Itulah kesan dari air wuduk kita.

Kata doktor ibuku mempunyai semangat juang yang begitu tinggi. Jarang mendapat orang yang seusia ibuku mampu bertahan. Anti body ibuku juga begitu kuat. Paru-parunya nampak ada tanda pemulihan kata doktor. Apalagi yang kami mampu ucapkan selain subhanallah dan Alhamdulillah. Terlalu sayu sewaktu menghulurkan tangan memohon ampun dan maaf pada ibuku. Aku gagahi menahan perasaan sebak agar ibuku juga tidak sebak dan mungkin boleh memgganggu kesihatannya. Kami tidak berani berkata hari ini hari raya. Kalau ibuku tahu sudah tentu dia pasti sebak.

Berkali- kali ibuku meminta untuk pulang. Tapi doktor tidak membenarkan sebab ibuku memang bergantung sepenuhnya kepada ventilator. Ada juga kaum keluarga sebelah ibuku berkata mengapa tidak dibawa pulang ibu buat semntara waktu. Sebenarnya mereka tidak faham akan tahap kesihatan ibu. Mereka merasakan apabila ibu meminta untuk pulang kenapa tidak dilayan permintaan ibuku. Tanpa ventilator mungkin ibuku akan bertambah penat dan seterusnya menjadi tenat semula. Bukan mudah untuk membawa pulang ventilator. Kadang- kadang begitu senang kita bercakap tanpa mengetahui disebalik keengganan doktor.

Bila doktor datang memeriksa ibuku, ibuku akan mengangkat tangan seperti memberi warning kepada doktor. Tertawa doktor.
" Kenapa....makcik marah pada saya ke ". Kata doktor. Kami hanya tersenyum mendengar kata-kata doktor dan kami mengerti mengapa ibu berbuat demikian kepada doktor. Sebenarnya walaupun Aidil Fitri tahun ini dianggap sayu oleh kami kerana tiada ibu disisi tapi kami perlu bersyukur sebenarnya Aidil Fitri tahun ini memang satu rahmat buat kami kerana mendapat berita yang positif tentang tahap kesihatan ibu. Kata doktor insyaallah mungkin minggu hadapan ibuku akan dipindah ke wad biasa. Subhannallah...terima kasih Ya Allah kerana masih memberi lagi peluang kepada kami untuk terus bersama ibu. Terima kasih tak terhingga kepada pembaca sekelian yang membantu mendoakan agar kesihatan ibuku pulih seperti biasa. Tiada apa yang dapat aku berikan selain aku juga berdoa kepada Allah agar pembaca yang menolong mendoakan ibuku mendapat rahmat dari Allah.
" Ya Allah kau berikan mereka yang berdoa buat ibuku kesihatan yang baik. Kau bahagiakan keluarga mereka dan engkau jauhkan mereka dari siksa api neraka. Amin Ya Allah ".

Saturday, August 18, 2012

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Kepada pembaca WN yang baik hati. Hari ini Sabtu merupakan hari terakhir kita semua berada di bulan Ramadhan. Hari Ahad menjelmanya Aidil Fitri. Aku ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembacaku dan aku Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Taqabbalallahu Minna Waminkum. Tahun ini mungkin tidak sama seperti tahun - tahun yang lepas. Yang pastinya hari raya pertama  kami akan berkumpul di hospital. Kami akan memohon ampun dan maaf dari ibu kami yang masih berada di dalam ICU.

Terasa sedih pula tahun ini bila mengenangkan ibuku berada di dalam ICU. Ini bermakna sudah 13 hari ibuku terlantar. Aku sudah menerima banyak jemputan rumah terbuka tapi entah le. Itu bergantung kepada tahap kesihatan ibuku. Setiap tahun aku pasti membuat rumah terbuka dan aku akan jemput kaum keluargaku. Tahun ini aku terpaksa batalkan rumah terbuka. Tidak sampai hati kami bergembira sedangkan ibu kami ternanti-nanti di hospital.

Kata doktor ibuku terpaksa bergantung seumur hidupnya dengan ventilator. Tanpa ventilator dia akan kepenatan. Kami akan terus berdoa kepada Allah agar ibu kami di permudahkan segala-galanya. Aku sendiri tidak membuat apa-apa persiapan. Baju tahun lepas itulah yang aku guna untuk tahun ini. Hasil dari tarbiah ramadhan kami akan terus bersabar dan berdoa kepada Allah agar ibu kami kembali sihat dan bersama dengan kami kembali. Kepada pembaca yang baik aku memohon semasa kalian semua berdoa untuk diri sendiri tolonglah titipkan doa sedikit buat ibuku. Mudah-mudahan ada dikalangan pembaca yang dimakbulkan doanya. Terima kasih sekali lagi kepada pembaca WN. Semoga Ramadhan dan Aidil Fitri tahun ini merupakan yang terbaik buat pembaca semua. Wassalam....

Tuesday, August 14, 2012

Mana Aishah

Aku menerima sms dari abangku mengatakan yang doktor ingin bertemunya pada tengahari. Dalam keadaan mata yang mengantuk aku membaca sms. Maklumlah kerja malam. Terus aku bangun dan meilhat jam di dinding sudah pukul 12 tengahari. Aku tidak mahu terlepas dari perjumpaan ini. Aku juga ingin mengetahui perkembangan ibuku. Aku diarahkan bertugas lebih masa pada sebelah petang. Kalau ada hal yang serius tentang ibuku, aku akan batalkan kerja lebih masa. Ibuku lebih penting dari segalanya. Terus aku memecut motosikal. Alhamdulillah keadaan cuaca amat tenang walaupun jerebu masih tebal. Jam 1 aku sudah tiba di hospital. Rupanya kakakku lebih awal dari aku. Aku melihat keadaan ibuku terlalu penat. Matanya pejam. Amat payah sekali dia bernafas.Aku membaca Al-Fatihah didalam hati lalu aku sedekahkan kepada ibuku. Aku berdoa kepada Allah agar diberi kebaikan kepada ibuku. Aku keluar abangku sudah berada diluar. Hanya 2 orang dibenarkan masuk kedalam ICU. Aku dan kakakku hanya menunggu diluar sementara abangku berasama dengan doktor.

Sekejap saja abangku tiba. Kata doktor paru-paru ibuku amat payah untuk dipulihkan. Dari segi kedoktoran bermakna paru-paru ibuku tidak akan elok untuk selama-lamanya. Tiub yang dipasang dikerongkong tidak boleh dikeluarkan buat selama-lamanya dan ini bermakna kami tidak dapat mendengar suara ibu lagi. Kami menerima berita ini dengan perasaan sayau sekali lebih-lebih lago Syawal hampir tiba.Ibuku pula terpaksa bergantung kepada ventilator iaitu alat yang membolehkan ibuku bernafas dengan sempurna. Jam 2 petang kami pulang kerumah dengan perasaan masing-masing.

Jam 5 petang sekali lagi aku ke hospital. Bila masuk dalam ibuku telah sedar. Gembira hatinya bila melihat aku. Ibuku berkata sesuatu namun aku tidak faham sebab suaranya tidak kedengaran. Aku hanya meneka apa yang ibuku kata. Kalau salah dia akan terus bercakap dan jika betul dia akan mengangguk. Akhirnya barulah aku faham percakapan ibu. Ibuku merayu ingin pulang kerumah untuk berhari raya.
" Insyaallah mak. Kalau doktor kata emak boleh balik, kita balik ya mak ". Ibuku hanya anggukkan kepala saja. Airmatanya sudah mula mengalir. Aku menyapu airmata ibu dengan tanganku tapi airmataku pula yang jatuh. Kasihan ibuku.

Tidak sanggup aku berada didalam mendengar rintihan ibu agar dibawanya pulang untuk berhari raya. Aku minta izin pada ibuku untuk keluar sebentar. Bila berada diluar aku menalipon kakakku yang berada di Kelantan. Kakakku mengirim salam pada ibu dan berkata dia akan berdoa dari kejauhan. Aku masuk kembali kedalam dan beritahu akan salam kakakku. Ibuku menjawab salam dan airmatanya berguguran lagi. Entah kenapa ibuku bercakap lagi. Jenuh aku meneka. Aku sebut satu persatu nama anak-anak dan menantunya. Semuanya salah. Akhirnya aku meneka satu nama yang mirip-mirip bibirnya seperti menyebut Aishah.
" Emak sebut Aishah ka mak ". Terus ibuku mengangguk kepala dan memberi isyarat yang dia tak pernah nampak pun Siti Aishah datang. Ketika inilah airmataku terus jatuh. Aku terlalu sebak.
" Aishah tak sihat emak ". Terpaksa aku membohongi ibu. Kalaulah dia masih ingat yang Siti Aishah sudah lama meninggal sudah pasti dia akan bersedih. Terdiam ibuku dan mengaggukkan kepalanya.

Aku keluar sebentar untuk menenangkan hatiku. Disaat begini pun ibuku masih mengingati Siti Aishah. Bila terasa tenang kembali aku masuk kembali kedalam. Ibuku tetap merayu ingin pulang.
" Nanti Budiman tanya doktor. Kalau doktor izinkan kita akan pulang ". Aku memberi harapan palsu pada emak. Ampunkanlah dosaku Ya Allah kerana  membohongi ibuku. Aku melihat jam didinding menghampiri 7 petang dan masa melawat hampir tamat.
" Mak...Budiman nak keluar beli makan untuk berbuka puasa. Nanti Budiman datang lagi ya ". Ibuku mengangguk kepala.
" Assalamualaikum emak ". Ibuku menjawab salamku. Tatkala aku melangkah keluar aku melihat ibuku hanya memandang aku . Terasa sayu meninggalkan ibuku. Sewaktu membeli juadah berbuka airmataku terus mengalir bila mendengar lagu Sudirman Hj Arshad Dari Jauh Ku Pohon Maaf.....Sebagai seorang islam kami anak-anak akan terus berdoa kepada Allah. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Semoga ibuku diberi kemudahan segala-galanya. Apalah erti Syawal tanpa ibu disisi.

Sunday, August 12, 2012

Manusia Sentiasa Bersangka Buruk

Seperti biasa selepas selesai solat Jumaat aku pasti akan menziarahi pusara isteriku. Barulah hilang rasa kerinduanku padanya. Aku terus kebelakng masjid Al-Huda. Disitulah ditempatnya jasad ayahku, anakku dan kaum keluargaku disemadikan. Ia juga bakal menjadi tempat aku suatu hari nanti. Belum sampai lagi kepintu perkuburan aku telah disapa oleh seorang kawan yang sama- sama membesar semasa dikampong. Banyak kenangan silam kami. Kami berpelukan lalu bertanya khabar.

Tidak lupa juga kami mengenangkan kembali zaman kami ketika kecil dikampong lebih- lebih lagi di bulan Ramadhan. Kalau dulu dikampong anak- anak remaja pasti bermain acilut diwaktu malam. Maka riuh rendahlah suasana kampong walaupun keadaan semakin gelap. Selepas berbuka aku pasti akan menyalakan pelita yang aku buat sendiri dari batang buluh. Selepas selesai solat maghrib aku akan meminta izin dari ibu bapaku untuk bermain acilut. Dari kami bermain dibawah hingga kami bermain di atas pokok ciku pula mengejar rakan- rakan umpama tarzan yang melompat dari satu dahan kesatu dahan yang lain. Memang indah zaman anak-anak dahulu.

Begitu rancak rakanku bercerita. Kami terlihat pula seorang rakan sebaya yang sama- sama membesar dikampong. Rupanya sudah berubah. Melihat pada wajahnya menggambarkan yang rakanku sudah berumur 70.
" Hang sakit ka ". Aku bertanya rakanku yang kelihatan cengkung.
" Tak ada penyakit pun. Aku pun tak tau macam mana jadi macam ini ". Kata rakanku
" Ni pun aku demam. Nak balik tidur ". Cepat- cepat dia pergi meninggalkan kami.

" Mungkin dosa- dosa dia yang lampau buat dia jadi macam tu. Sapa tau ". Kata rakanku
" Ish...hang ni mana boleh kata macam tu. Kalau dosa- dosa dia yang lampau maknanya kita berdua pun samalah ". Tersengih rakanku mendengar kataku. Mungkin dia juga mengingati betapa nakalnya kami ketika zaman remaja. Orang balik dari solat tarawih kami memakai telekung lalu terjun dari pokok jambu. Kesian makcik latah. Betapa penatnya dia melatah akibat terkejut. Ampunkanlah dosa- dosa kami Ya Allah. Yang kaki merempit dengan basikal sehingga melanggar anak jiran pun kami ajar. Kami letak batang pokok kelapa ditengah jalan. Tiba- terdengar bunyi dentuman yang kuat. Rosak teruk basikal pemuda tersebut. Dia pula dimasukkan kedalam wad akibat kecederaan.

Ayahnya menjadi penyiasat dengan bertanya orang kampong siapa punya angkara. Bila ditanya kami pada malam kejadian aku hanya mengatakan melihat kelibat 2 orang lelaki dan mungkin dari kampong lain. Akhirnya diam kisah rempit. Dosanya kami Ya Allah. Ketika mendengar tazkirah Ramadhan dari seorang ustaz. Katanya, " Kita suka bersangka buruk terhadap orang lain seolah- olahnya hanya kita seorang kaki ibadah. Orang lain tidak. Kita marah jika melihat sebuah keluarga keluar shoping membeli baju raya untuk kaum keluarga. Mungkin pada waktu malamnya mereka beribadah pada Allah. Mereka juga mengejar malam Lailatul Qadar. Itulah nikmat yang Allah berikan kepada mereka yang menurut perintah Allah. Nikmat menyambut hari raya ".

" Orang yang tidak berpuasa juga menyambut hari raya tapi hari raya pada mereka amat kosong dan tiada ruh. Mereka sekadar bergembira. allah telah tarik nikmat gembira dari mereka. Pada mereka yang berpuasa nikmat yang Allah berikan ialah ketika berbuka. Kadang- kadang hanya dengan segelas air kosong saja kita merasa terlalu nikmat selama beberapa jam menahan dahaga kerana Perintah Allah. Janganlah kita rosakkan Ramadhan kita dengan bersangka buruk terhadap orang lain. Mungkin dia lebih baik ibadahnya dari kita. Mungkin Allah memberinya ujian dan membuatkan dia bertambah kuat dengan ibadahnya. Namun ibadahnya tidak ditunjukkan kepada orang lain ".

Itulah yang aku dapat dari tazkirah Ramadhan. Aku tidak mahu menjadi mereka yang berperasangka buruk terhadap orang. Biarlah mereka nak berbelanja untuk kaum keluarga mereka asalkan perbelanjaan mereka tidaklah boros. Kita juga mempunyai keluarga. Bagaimana perasaan kita andaikata kita keluar bersama keluarga mencari persiapan untuk hari raya orang lain pula berperangsangka buruk pada kita. Tentu kita marah. Jadi jangan mudah kita bersangka buruk terhadap orang lain. Teruskan beramal dan teruskan menceriakan keluarga menjelang hari raya....

" Kita tak boleh ukur wajah seseorang dengan dosa yang lampau. Kan Allah tu maha pengampun. Mungkin kita pula selepas ini dan orang pula berkata ini sebab dosa- dosa kita yang lampau. Kalau dibanding dia dengan kita, kita berdua lagi brutal ".

Saturday, August 11, 2012

Aku Tewas Akhirnya

Hari ini aku off duty. Pagi- pagi lagi aku dan isteri kepasar mencari sayur- sayuran untuk berniaga di pasar malam. Selesai membeli aku rehat sebentar sementara menunggu jam 12 tengahari dimana aku akan ziarah ibuku di hospital. Aku kesana dengan motosikal saja. Yang malang ialah bila saja aku sampai di traffic light terus lampu bertukar merah. Terpaksa menanti giliran. Cuaca di Pulau Pinang begitu terik sekali. Terasa kulitku seperti terbakar. Itu baru cahaya matahari yang begitu jauh dari bumi. Di akhirat nanti matahari berada sejengkal di atas kepala kita. Cuba bayangkan.

Jam 1 petang aku telah berada di hospital. Ramai adik beradik sudah berada disana. Aku biarkan mereka masuk dahulu. Bila aku masuk terus ibuku melonjak seperti hendak bangun dan pulang. Jenuh aku memujuk agar bersabar.
" Di rumah tak ada ubat mak. Mak bersabar dulu nanti bila baik kami bawa balik mak ya ". Kataku kepada ibuku yang hanya menganggukkan kepala saja. Jam 2 petang pengawal sudah beritahu yang masa melawat sudah cukup.

Aku bergegas pulang. Jam 3 petang aku harus membawa barangan perniagaan isteriku ke pasar malam. Kalau lewat alamat susahlah nak masuk kedalam. Setelah semua barangan diletakkan diatas meja, aku pulang untuk berehat sebentar. Selepas asar kami keluar ke pasar malam. Aku mulai merasa keletihan namun aku gagahi juga. Kasihan isteriku. Setelah semua siap maka pelanggang tak putus- putus datang. Jenuh juga menceduk nasi. Ada yang minta 5 bungkus dan ada yang 10 bungkus. Peluh telah membasahi kain tuala

Setelah berkurangan aku mengambil periuk dan lain- lain yang telah kosong lalu aku bawa ke basin untuk dibasuh. Terasa amat letih ketika itu. Ketika aku sedang membasuh entah kenapa terasa badanku melayang dan aku sempat memegang bangku. Aku terduduk tanpa siapa mengetahui aku hampir jatuh akibat keletihan. Isteriku datang dan tersenyum melihat aku. Aku beritahu isteri yang tenaga aku hanya tinggal 10% saja untuk pulang. Tertawa isteriku.

Azan berkumandang dan inilah pertama kalinya kami berbuka di pasar malam. Aku hanya membeli air kelapa monyet. Ketika meneguk air secara automatik aku bersuara
" Allahh akbar. Begitu nikmatnya berbuka ". Isteriku hanya tertawa mendengar kata- kataku. Bila pulang aku mandi dan solat. Selepas itu aku terus tertidur akibat keletihan. Jam 10 baru tersedar bila perut terasa lapar belum lagi dijamah. Tapi akibat keletihan aku dan isteri tidak memikirkan langsung tentang makanan. Akhirnya isteriku mengambil maggi kosong lalu menggorengnya. Alhamdulillah jadilah.

Nasib baik ini merupakan pasar malam yang terakhir. Minggu depan sudah masuk mood hari raya. Lega aku mendengarnya. Aku tabik spring pada wife aku sebab dia tidak nampak sangat keletihan. Balik darimpasar terus dia masak lauk yang beranika jenis. Lepas tu membawa ke pasar malam dan selepas asar kami keluar berniaga. Memang aku tiada bakat berniaga. Bakat membeli memang aku terror la.......

Friday, August 10, 2012

Kasihan Ibu..Tapi Inilah Yang Terbaik

Sudah 5 hari ibuku berada di dalam ICU. Baru semalam ibuku mulai sedar. Pernafasannya terganggu akibat paru-parunya yang bermasalah. Doktor berkata yang kerongkong ibuku perlu ditebuk dan dimasukkan tiub untuk memudahkan kahak dipam keluar. Bila kahak sudah berkurangan barulah pernafasan ibuku akan stabil kata doktor. Memang betul kata-kata doktor. Pada tahun 2007 ibuku dimasukkan ke ICU atas sebab yang sama iaitu paru-paru. Kerongkongnya telah ditebuk untuk mengeluarkan kahak.

Kepala Ikan Plotan - Sebutan orang Penang
Hari ini ibuku dimasukkan kedewan pembedahan untuk ditebuk sekali lagi kerongkongnya. Kaum keluarga yang berada di Kelantan sudah berada di Penang. Semuanya berkampung dirumah ibuku. Kakak akulah yang paling sibuk sebab dia tinggal bersama ibuku.
" Bang kesian dekat kakak yang terpaksa masak lepas pulang dari ziarah emak. Abang belilah apa-apa di pasar. Biar Nah masak ". Kata isteriku ketika bersahur. Satu yang unik ialah persamaan sikap antara isteriku Rosnah dan arwah Siti Aishah. Bila adik beradikku berkumpul dirumah ibuku, dia pasti akan membuat sesuatu untuk diberikan untuk dimakan. Kalau arwah Siti Aishah terkenal dengan pau kayanya. Rosnah pula terkenal dengan pizzanya. Alhamdulillah masing-masing ada keistimewaannya.

Kari kepala ikan
Jam 7 pagi aku kepasar. Aku sudah set nak beli kepala ikan.Kalau awal tentu banyak yang boleh didapati sebab belum ramai yang ke pasar. Memang betul tekaanku. Banyak kepala ikan sudah dipotong. Aku mengambil sebanyak 3 biji kepala berharga RM15. Aku sudah tahu kalau nak buat kari kepala ikan apa bahan-bahan lain yang perlu di beli. Aku beli daun kari, daun cenohom, bunga kantan, dan bendi. Daun cenohom dan bunga kantan dimasukkan kedalam kari untuk menghilangkan bau hanyir yang terdapat di kepala ikan yang aku beli. Ini suami-suami perlu tahu ya....Rempah aku beli rempah ikan Alagappa. Aku bawa pula terus isteriku memulakan tugasnya

Ayam Masala

Kata isteriku dia juga hendak masak ayam masala. Memang sedap pun. Dia telah menjual di pasar malam dan memang habis ayam ini di beli. Esok dia akan masak berlebihan sedikit. Pasti berebut pelanggan mengambil ayam masala. Walaupun aku tidak dapat berbuka bersama mereka kerana bertugas petang tapi tak apa menjamu orang berbuka di bulan Ramadhan ini merupakan suatu yang mulia dan di tuntut agama. Kredit pada isteriku yang sanggup membantu. Moga Allah saja yang membalas segala jasa baiknya. Moga Allah sembuhkan segera ibuku. Inilah jalan terbaik buat ibuku walaupun ada suara-suara dari kaum keluarga sebelah ibuku memberi cadangan agar ibuku tak perlu dibedah atas faktor umur. Bagi kami anak-anak pula, kami tidak sanggup melihat setiap hari ibu tercungap-cungap bernafas dan mungkin sehingga keakhir hayatnya. Zalim kami sebagai anak-anaknya. Risiko pembedahan memang ada. Biarlah Allah yang menentukan segalanya dan alhamdulillah pembedahan ibuku telah berjaya dilaksanakan...

Wednesday, August 08, 2012

Allah Telah Permudahkan

Jam 1 petang aku dan adik beradik yang lain sudah berada di ICU. Hanya 2 orang dibenarkan masuk serentak. Kakak serta anak saudara ibuku turut berada di sana. Semasa yang lain masuk ibuku masih tidak sedar. Entah kenapa bila time abangku masuk ibu terus sedar. Melihat saja rupa abang, ibu merayu-rayu hendak pulang. Jenuh juga abangku memujuk. Akhirnya tertidur juga ibu. Aku yang mendengar terus masuk kedalam. Bila ibu melihat aku terus dia hendak bangun. Nasib baik tangannya diikat. Aku terus memujuk ibu agar bersabar. Ibu menangis sambil menggelengkan kepala.

Aku keluar lalu memyuruh kakakku pula masuk. Begitu juga rayuannya hendak pulang kerumah. Mungkin sudah jemu agaknya. Petang ini doktor pakar akan datang untuk memeriksa samada ibuku harus dibedah dikerongkongnya atau tidak. Kata nurse hari ini ibuku boleh bernafas sendiri tanpa bantuan mesin. Semoga Allah terus memberi yang terbaik dan permudahkan ibu. Jam 5 petang ini pasti ada berita tentang perkembangan ibuku..Sedang aku menulis kakakku talipon mengatakan pihak hospital mengarahkan waris segera ke hospital untuk menandatangani pembedahan di kerongkong. Kasihan ibuku. Permudahkanlah Ibu Ya Allah..Aku harus ke hospital segera.

Yang Terbaik Buat Ibu

Jam 1 petang aku dan isteri ke hospital. Keadaan ibuku tidak berubah. Masih dalam keadaan tidak sedarkan diri. Jam 2 petang kami pulang sebab ICU tidak boleh menunggu. Incase kalau ada apa-apa berlaku pihak hospital akan menghubungi kaum keluarga. Kebetulan hari ini aku mengambil emergency leave. Jadi senanglah aku ulang alik melihat ibu.


Jam 5 petang sekali aku membawa kakak yang baru tiba dari Kelantan. Aku menyuruh kakakku dan anaknya masuk dahulu sementara aku menunggu di ruang tempat menunggu. Datang kakakku dan beritahu yang doktor hendak berjumpa waris. Perasaan aku mula berkecamuk. Apa masalah ibuku pula kali ini. Aku masuk kedalam dan duduk bersebelahan ibuku. Datang doktor kearahku. Dia memandang aku..
" Encik ini anak kepada pesakit ka ". Tanya doktor dan aku mengiakan.
' Begini..condition ibu encik tidak begitu baik. Semua bacaan menunjukkan tak elok. Kami berikan ibu encik selama 2 hari lagi. Kalau tak ok kami akan tebuk di kerongkong ibu encik supaya menyenangkan ibu encik bernafas sendiri. Sekarang ibu encik bernafas dengan bantuan mesin ". Panjang lebar doktor memberi penerangan.

Ini bermakna ibuku akan ditebuk di kerongkongnya pada kali yang kedua. Aku mengalih pandanganku kepada ibu. Mataku mula terasa sesuatu. Aku tidak dapat menahan agar ianya jatuh. Rupanya ibuku menerima ujian lagi. Setelah faham apa yang doktor cakap, aku diberi borang untuk ditandatangani.
" Encik jangan risau. Risikonya tidaklah besar. Just a little bit bleeding saja ". Kata doktor. Aku masih ingat pembedahan pertama ibuku. Kata doktor besar kemungkinan ibuku tidak boleh mengeluarkan suaranya sebab dia terpaksa menggunakan tiub yang diletakkan di kerongkongnya seumur hidup.

Ketika tidur ibuku tidak sedar dia mencabut tiub tersebut dari kerongkongnya. Bila kami sedar tiub sudah tiada di kerongkong dan ibuku boleh bernafas dengan sempurna. Bila berjumpa doktor, doktor berkata ia sesuatu yang ajaib dan jarang berlaku. Kali ini kami mengharapkan agar ibu tidaklah seperti yang lepas. Moga ini merupakan yang terbaik buat ibu. Rabbi Yassir Wala Tuassir..Wahai tuhanku.. Permudahkanlah dan jangan kau susahkan...

Tuesday, August 07, 2012

Ibu...Oh...Ibu

Aku mendapat panggilan talipon dari kakakku tentang ibuku apabila pulang dari bekerja. Bergegas aku kerumah ibuku. Kelihatan ibuku tidak sedarkan diri. Matanya tidak dapat dibuka.
" Mak...Budiman datang ni ". Aku mengejutkan ibu. Ibuku hanya menganggukkan kepala. Airmataku begitu mudah jatuh bila melihat keadaan fizikal ibuku yang begitu lemah dengan hanya berbekalkan oksigen. Nafas ibuku tercungap-cungap. Aku mengambil surah yasin lalu aku duduk dihujung kepala ibuku.
" Mak....mak kata dalam hati Ya Allah...Ya Allah...Kalau mak faham apa yang Budiman baca makmikut dalam hati ya mak ". Ibuku hanya menganggukkan kepalanya.

Abangku berada di Kuala Lumpur berceramah. Kami terpaksa berkomunikasi dari jauh sementara menanti abangku pulang. Akhirnya abangku menalipon dari KL mengarahkan agar ibuku dibawa ke hospital secepat mungkin. Setelah kakakku menyiapkan ibu aku terus menalipon ambulan. Sekajap saja kedengaran ambulan sudah sampai. Setelah petugas ambulan mengambil dan memesang peralatan, ibuku terus dimasukkan kedalam ambulan dan aku turut sama berada didalam ambulan.

Kenderaan ambulan terus memecut dengan siren yang berbunyi. Andaikata aku tidak memegang sesuatu sudah pasti aku terpelanting jatuh. Begitu cepat sekali kami sudah tiba di Hospital Besar. Ibuku terus dimasukkan ke wad kecemasan. Beberapa orang doktor berjumpa aku mengambil maklumat tentang ibuku. Pada tahun 2007 ibuku dimasukkan ke GH atas sakit yang sama. Kini ia berulang kembali.

Doktor datang berjumpa kami. Kata doktor keadaan paru- paru ibuku amat kritikal. Inuku perlu dibedah dengan segera dan peluangnya ialah 50 - 50 memandangkan usia ibuku telah mencecah 85 tahun. Doktor meminta kaum keluarga berbincang. Kalau tidak dibuat operation ibuku hanya akan dibekalkan gas oksigen seperti yang digunanya sekarang dan ini bermakna kami hanya melihat ibu kami menanggung penderitaan. Aku menalipon adik serta kakakku yang berada di kejauhan. Semuanya setuju agar ibu kami dibedah dengan segera dan risikonya akan kami hadap

Dulu doktor juga berkata begini bila ibuku dimasukkan kedalam hospital. Ibuku tiada lagi harapan untuk sembuh dan meminta agar kaum keluarga bersedia menghadapi kenyataan. Ketika itu aku dan isteriku Siti Aishah bersama ibuku. Menangis kami berdua lalu aku hantar sms kepada adik dan kakak iparku yang berada di tanah suci. Manusia merancang dan Allah juga juga merancang namun perancangan Allah yang terbaik. Ibuku sembuh dari penyakitnya. Doktor berkata ia suatu yang miracle. Tapi selang beberapa bulan menantunya iaitu isteriku Siti Aishah pergi selama- lamanya. Sebab itu ibuku selalu ingatkan isteriku. Bila aku kerumah ibu pasti ibuku bertanya
" Budiman...pasai apa tak bawa Aishah mai. Lama mak tak tengok Aishah. Aishah sihat ka ". Tanya ibuku. Aku hanya terdiam. Pernah aku berkata yang Aishah sudah meninggal. Menangis ibuku. Tak sanggup aku melihat ibuku menangis lagi.
" Aishah sihat mak. Dia sibuk sikit. Dia kirim salam ". Aku melihat ibuku menjawab salam itu.
" Bila Budiman balik nanti kirim salam pada Aishah ya ". Terasa cukup sebak ketika ini namun aku pendamkan saja perasaan ini.

Akhirnya semua adik beradikku bersetuju agar ibu kami dibuat pembedahan dengan segera. Kakakku masuk kedalam berjumpa doktor pakar untuk memberitahu persetujuan yang telah dicapai. Keluar kakakku dan diberitahunya yang jantung ibu kami amat lemah untuk dibuat pembedahan. Doktor terpaksa stabilkan dulu jantung ibuku. Kelengkapan dipasang dan akhirnya ibuku dimasukkan kedalam ICU. Kami tidak dibenarkan masuk dan meninggalkan nombor talipon kepada doktor. Andaikata ada kecemasan pihak hospital akan terus menghubungi kami. Kini ibuku masih berada di GH dan kami hanya mampu berdoa setiap waktu yang terluang. Ya Allah engkau permudahkanlah ibu kami. Syawal kini semakin hampir. Izinkan kami bersamanya Ya Allah walaupun seketika. Andaikata ini merupakan Ramadhan yang terakhir kami bersama ibu biarlah kami dapat memohon ampun dan maaf kepada ibu. Terlalu banyak pengorbanan ibu kami Ya Allah....

Monday, August 06, 2012

Cincaluk Punya Penangan...

Setiap minggu iaitu pada hari Ahad aku ternanti-nanti bubur lambuk yang di buat oleh AJK wanita surauku. Memang sedap kaum wanita masak. Kalau aku tak datang mereka akan menyimpan untuk aku sebanyak 2 bungkus. Balik ke rumah dan bila tiba waktu berbuka aku makan bersama cincaluk. Best juga rasanya.
" Abang ni merapu la. Mana ada orang makan bubur lambuk dengan cincaluk ". Kata isteriku
" Bertuah la Nah dapat suami yang pelik ". Kata-kataku membuatkan isteriku tertawa gelihati.

Bubur lambuk + cincaluk + buah naga
Semalam Ahad sekali lagi aku ke surau. Jawatankuasa wanita sedang membungkus bubur lambuk untuk diagihkan. Diberinya padaku seperti selalu sebanyak 2 bungkus. Wangi sungguh baunya. Aku pulang lalu aku simpan dalam peti sejuk. Niat dihati nak makan sahur ditempat kerja. Awal-awal lagi aku sudah berpesan pada isteriku.
" Nah nanti buat cincaluk no. Abang nak bawa tempat kerja. Nak makan bersama bubur lambuk. Jangan lupa potong buah naga sama ". Isteriku hanya tersenyum dan kali ini tiada apa yang di hairannya lagi akan kepelikkan makanan suaminya. Sebelum aku bertolak dihulurnya bungkusan untuk sahurku.
" Terima kasih Nah ". Kataku pada isteri dan bersalaman. Jam 5 pagi aku bangun dan masukkan bubur lambuk kedalam microwave. Dalam masa 1 minit bubur sudah panas. Aku buat secawan nescafe. Aku mulakan dulu dengan memakan buah naga.

Aku masukkan cincaluk kedalam bubur lambuk. Masyaallah sedapnya. Begitu rakus sekali aku makan walaupun keseorangan di tempat kerja. Alhamdulillah selesai juga sahurku. Tiba-tiba aku terasa kepalaku berputar. Kenapa pula ni. Aku terus keluar dan akhirnya apa yang aku makan aku muntahkan kembali. Perut pula terasa memulas. Aku berlari ketandas. Sudah berapa kali aku kukus panggang grill kukus panggang grill kukus. Aku menalipon isteriku. Terkejut dia pagi-pagi aku sudah menaliponnya. Apalagi tertawa dia bila dengar cerita aku. Heh......ingatkan dia simpati terhadapku.
" Abang makan pelik-pelik lagi ". Kata isteriku separuh ketawa. Aku hanya diamkan diri setelah diperli isteriku. Dalam hati..aku tak mau makan dah bubur lambuk bersama cincaluk. Nahin nahin nahin.....Kepada pembaca..jangan tiru aksi ini ya....

Sanggupkah Aku...

Anak lelaki isteriku sudah mendapat pekerjaan. Jadi dia tidak dapat menolong ibunya setiap Sabtu di pasar malam. Isteriku mula rasa risau sebab itulah salah satu diantara tempat dia mencari rezeki selain berniaga roti canai.
" Nah rasa pasar malam hari Sabtu tak boleh buat dah sebab tiada orang yang nak bantu ". Kata isteriku.Selepas isteriku selesai masak, anaknya akan keluar jam 3 petang memasang payung dan meja. Kemudian membawa pula bahan-bahan yang dimasak dan diletakkan ditempat berniaga sementara ibunya berehat diruma.
" Macam nilah. Biar kerjatu abang yang buat. Insyaallah boleh... ". Kataku memberi keyakinan kepada isteriku. Akhirnya mengalah juga isteriku dan menerima cadanganku. Hari Khamis kami ke Tesco mencari sayur-sayuran dan bahan-bahan yang lain. Letih juga mencari bahan-bahan. Selesai di Tesco kami ke pasar pula mencari ayam.

Akhirnya tiba hari Sabtu. Isteriku pagi-pagi lagi sudah masak. Jam 1 petang aku keluar dengan kereta membawa payung. Aku keluarkan meja dan susun supaya senang nanti. Jam 3 petang sekali lagi aku membawa periuk yang berisi lauk pauk dan letak diatas meja. Sudah terasa keletihannya. Selepas solat asar aku dan isteri keluar ke pasar malam. Kelihatan orang ramai sudah datang mencari juadah berbuka. kamipun mula membuka periuk dan menyusun.  Datang seorang demi seorang berdiri dihadapan menanti kami selesai menyusun lauk. Tension juga bila melihat orang ramai sudah menunggu.

Tugas aku seperti biasalah. Ceduk nasi lalu bungkus.
" Bang saya nak 5 bungkus nasi kosong. Lauknya letak ayam saja ". Kata pelanggan. Peluh sudah mulai keluar. Kelihatan begitu ramai mengerumuni gerai isteriku. Isteriku memberi plastik untuk mereka menyeduk sendiri lauk. Kadang-kadang kawan aku menegur tapi aku tidak sempat menjawab akibat terlalu sibuk membungkus nasi. Kelihatan dari jauh seorang lelaki berjubah dengan sebuah fail meminta sumbangan dari satu gerai ke satu gerai.

Aku melihat bila dia tiba di satu gerai lalu berkata perkataan " Jihad Fisabilillah...Mujahidin...". Sambil membuka fail. Tapi masanya tidak sesuai. Masa ini terlalu sibuk dan akhirnya lelaki tersebut dimarahi kerana mengganggu mereka berniaga. Terpaku lelaki tersebut tanpa bersuara. Dia pergi pula ke gerai satu lagi. Begitu juga jadinya. Akhirnya dia tiba digerai isteriku tetapi akibat begitu ramai orang dihadapan, dia tidak dapat masuk mencelah. Dia hanya memerhati isteriku. Aku terus mengambil RM10 lalu aku hulurkan kepadanya. Aku tak suka bersangka buruk dengan mengesyaki lelaki tersebut adalah penipu. Bukannya aku hulur seribu ringgit. Hanya RM10 saja yang aku beri.

Diambilnya duit sambil mengucap syukran dan menadah tangan keatas. Dia menunduk padaku tanda ucapan terima kasih. Padaku dalam rezeki yang kami dapat, ada hak-haknya. Jadi itulah yang aku agihkan. Alhamdulillah jam 6 petang isteriku beritahu yang nasinya sudah habis. Aku cerita padanya yang aku telah mengambil wang sebanyak RM10 lalu aku beri pada seorang lelaki berjubah. Tugas aku seterusnya ialah mengambil periuk dan barangan yang telah digunakan ke singki. Aku basuh supaya senang dan dapat pulang kerumah sebelum waktu berbuka. Alhamdulillah..aku kalau bab basuh pinggan memang terror. Cepat sungguh aku membasuhnya.

Sebelum pulang aku mencari juadah untuk berbuka. Yang pasti ialah aku tergoda melihat beranika jenis minuman. Akhirnya Lai Ci Kang juga pilihanku dan bihun singapore kegemaranku. Memang terasa begitu nikmat ketika berbuka. Badan mula terasa begitu letih. Mataku sudah begitu berat sekali. Selepas solat tarawih berjemaah dirumah, jam 10 malam kami sudah tidur akibat keletihan. Tersenyum isteriku melihat aku begitu senang dan begitu nyenyak tidur. Katanya padaku macam mana kalau selepas pencen hendak berniaga sedangkan ini sudah letih. Aku hanya tertawa kecil membenarkan kata-katanya. Aku tidak pernah terlibat dengan perniagaan sebelum ini. Bila aku berkahwin dengannya barulah aku tahu bagaimana susahnya orang mencari rezeki dengan berniaga. Bangun seawal pagi dan kemudian bersiap-siap ketempat perniagaan. Bila pulang basuh barangan yang digunakan dan membuat sedikit preparation untuk esok pula. Memang meletihkan. Adakah aku sanggup menanggung semua dugaan ini nanti....

Thursday, August 02, 2012

Bila Si Dia Merajuk

Sehari dua ini entah kenapa belakang aku terasa amat sakit dan lenguh. Kadang- kadang aku terpaksa bebaring diatas lantai untuk melegakan belakangku. Bila mengeliat dan meletup barulah terasa lega. Itupun sekejap saja. Kadang- kadang terpaksa aku menyuruh isteri dan anakku mengurut belakangku. Barulah terasa lega sedikit. Semalam aku tidak dapat melelapkan mata. Belakang badanku terasa begitu lenguh sekali. Aku bangun dan pusing-pusing agar ia meletup. Namun tidak juga meletup. Terasa amat sukar aku bernafas. Akhirnya terpaksa aku kejutkan isteriku agar mengurut belakang.

Pukul 12 tengahari aku ke klinik. Sudah tak tertahan rasanya kesakitan yang aku alami. Segenap ceruk doktor test namun semuanya baik. Akhirnya doktor berkata kemungkinan angin yang menyerang. Betul juga kataku sebab kerap sangat aku sendawa. Akhirnya diberinya aku ubat angin dan cuti sakit. Isteriku tersenyum bila aku beritahu yang aku dapat mc. Kalau tidak aku bertugas petang dan dia keseorangan dirumah. Setelah selesai tugas didapur bergegas dia ke tv pula. Jam 3.30 petang gambar Korea. Aku masih diatas katil dengan ipadku.

" Abang tak tidur ka ". Kata isteriku. Aku hanya tersenyum memandangnya.
" Bang jom kedepan tv teman Nah tengok cerita Korea ". Katanya mengajak aku. Kalau gambar Korea memang aku tak suka tapi nanti merajuk pula dia. Pernah dulu dia tegur aku bila aku kerap berada didalam bilik dengan ipad. Katanya...
" Abang ni asyik berada di dalam bilik dengan ipad saja. Dengan Nah cuma suku saja abang bagi ". Walaupun kata- katanya dalam senyuman aku ambil serius. Terus aku tutup ipad dan duduk bersembang dengannya. Kini dia mengajak aku. Aku bawa ipad aku dan terus keruang tamu.

" Bestnya abang mai depan teman Nah ". Kata isteriku. Aku tertawa bila isteriku berkata demikian. Aku terus membuka ipad dan biarkan isteriku menonton cerita Korea.
" Abang boleh tolong terjemah dekat Nah apa dia kata ". Adoi....dia minta aku terjemah pula cerita Korea padahal sudah ada subtitles. Memang sengaja ni... Aku hanya diam dengan permintaan isteriku.
" Dia kata abang...". Tanya isteriku bila melihat aku dengan ipadku.
" Dia kata...Budiman rehatlah badan tu ". Gurauku. Apalagi lagi merajuk isteriku.

" Tak apa la kalau tak mau cerita ". Terus diam mencuka isteriku. Ini sudah kes berat ni.
" Adik kata tuduh yang si kakak meninggalkannya di perhentian bas.... ". Kataku
" Tak payah...tak payah...abang tidur la..". Ini betul- betul. Bukan olok- olok lagi.
" Ala tomei...tomei...Mai abang pujuk ". Aku bergurau dan itulah stail aku dari zaman arwah lagi. Bila dengar aku kata tomei..tomei macam kumpulan boboi...tertawa isteriku. Fuhh...lega aku bila dia tertawa. Aku pun terus memberikan perkhidmatan penterjemahan percuma selama sejam berasama isteriku menonton cerita Korea.?.Habis ego aku tak suka gambar Korea...he he
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...