Teman-teman

Wednesday, March 31, 2010

Hang Yang rabun

Aku berlegar-legar dijalan mencari makanan untuk dimakan. Aku berhenti sebab lampu isyarat menunjukkan merah. Begitu juga kenderaan yang lain. Tiba-tiba terdengar bunyi hon yang kuat dan panjang. Aku pandang dari sisi cermin. Seorang pakcik bersama isteri berada dibelakangku. Dibunyinya lagi hon motosikal sambil bertempik meminta kenderaan lain berjalan. " Jalan la. Lampu dah hijau dok tunggu apa lagi ". Semua orang memerhati akan gelagat pakcik itu. Dalam hati aku mengesyaki yang pakcik ni rabun. Dihonnya lagi sambil merungut. Akhirnya aku berkata yang lampu isyarat itu warna merah. Tak percaya dia. " Haih.. warna hijau tu. Hang yang rabun ". Tersengih pengguna lain bila dia berkata yang aku ni rabun. Akhirnya seorang pemuda cina menyampuk,
" Pakcik..lu yang labun. Itu trafik warna merah. Jangan bawa motor la. Kasi susah sama orang ". Akhirnya lampu bertukar hijau. Semua kenderaan bergerak dan pakcik itu terpinga-pinga. Akhirnya kenderaan lain pula yang membunyikan hon kepadanya. Kesian juga kalau menghadapi masalah macam ini ya. Kata Pakar kalau tak nak mata ada masalah, kita kena banyak melihat warna kehijauan daun dan makan buah carrot. Betul ka ni....Kesian juga dekat aku no. Pagi-pagi dah kena rabun. Tak apalah wak saber...

Tuesday, March 30, 2010

Berselera hari ini

Pagi ini sebelum isteriku ke gerai dia memesan agar aku membeli udang. Katanya nak buat sambal tumis baru. Dengar sambal tumis saja air liur dah meleleh. Aku kerja petang pula hari. Jadi sebelum aku sambung kembali operasi membuat tahi mata, aku basuh dulu kain baju. Bukannya susah sangat. Baju diletakkan dalam washing machine bersama sabun dan biarkan dia melakukan kerjanya sendiri. Maka aku pun sambung kembali projek aku. Bila bangun tidur barulah aku jemur pakaian yang dibasuh dan bermulalah pengembaraan di pasar.

Kali ini aku relax berjalan mencari apa yang aku teringin. Akhirnya aku membeli udang. Mata aku terlihat telur ikan yang lama aku tak rasa. Pagi ini harganya murah pula. Maka aku membawa pulang. Setelah isteriku pulang dia pun apa lagi mulalah menggoreng udang. Resepi baru katanya sambal tumis udang perasa tomyam. Tak senang aku dibuatnya. Baunya semerbak. Lepas tu telur ikan digoreng bersama ubi kentang. Isteriku bertanya kepada aku macam mana nak buat. Aku pun bagilah resepi yang aku pernah buat. Mak oii sedapnya masakan isteri ni. Tak sedap pun mesti rasa sedap. Katanya esok nak buat gulai ketam. Masyaallah takut aku sebelum buat umrah badanku akan menjadi tembun. Kena joging kerap sikit. Jemputlah makan kalian semua

Monday, March 29, 2010

Isnin Yang Malu

Hujung bulan memang dinanti oleh semua orang. Hasil titik peluh kita akan dibayar. Aku mengambil kesempatan ini untuk mencari bekalan di pasaraya Giant. Sebelum kesana aku pasti bertanya isteriku apa pesanannya. " Nah nak pesan air apa ". Terdiam dia memikirkan sesuatu dan kemudian dengan senyum dia berkata,
" Nah nak pesan air mata ". Terdiam aku tak terkata. Mengapa dia bergurau begitu. Akhirnya aku memanggilnya datang kepadaku. " Nah nak pesan air mata ka. Terimalah lagu ini...Air mata kasih berlinangan. Berlinangan selalu. Jiwaku yang tersiksa. Tak seorang pun yang tahu ". Entah kenapa aku menyanyi lagu sambil meniru suara penyanyi R Azmi. Mendengar lagu itu terus dia menangis terduduk. Aku tergamam melihat reaksinya. Akhirnya aku juga yang kena pujuk. " Nah abang minta maaf sebab buat Nah menangis. Sebab tu abang tak mau jadi artis. kalau jadi artis bila abang menyanyi diatas pentas tentu semua orang menangis mendengar suara abang yang merdu ". Tertawa dia bila aku bergurau begitu. Katanya dia sayu bila aku menyanyi "Jiwaku yang tersiksa. Tak seorang pun yang tahu". Entah kenapa aku sendiri pun tak tahu. Padaku, aku hanya bergurau sahaja dan kenapa aku menyanyi begitu aku sendiri pun tak tahu.

Akhirnya dia memesan air jus orange. Aku terus memacu motosikal ke Pasaraya Giant. Berjalan seorang diri ni tak seronok sebab aku tidak biasa keseorangan. jadi aku beli apa yang diidam dan terus ke kaunter bayar. Selesai aku bayar, terus aku menolak troli keluar. Aku ditahan oleh pengawal keselamatan. " En. berhenti sekejap ". Darah tua aku berdesup. Apa lagi yang tak kena. Duit aku dah bayar. " Kenapa En. Ada masalah ke. Saya dah bayar semua harga barangan ". Marah juga nada aku. " Benar En telah membayar harganya. Masalahnya encik tak ambil barang encik ". Kata pengawal sambil ketawa.

Aku melihat kedalam troli. Astaghfirullah Hal azim. Troli kosong. Aku pandang kebelakang kelihatan barang aku masih lagi berada di tempat pembayaran. Semua orang yang melihat insiden ini ketawa kuat. Seorang lelaki tua berbangsa cina kelihatan tidak tertahan lagi ketawanya sambil memegang perutnya. Memang cina ni tak sayang badan dia. Ketika itu aku begitu malu tapi aku buat relax saja mengambil barang yang tertinggal. Kata pengawal keselamatan, " Apa abang punya dok pikiaq sampai boleh tinggal barang tapi duit bayar ".

Aku pun hairan juga. Lupa aku tengah memikirkan apa sehingga jadi begini. Pulang kerumah aku cerita kepada isteri. Tak tertahan gelihatinya bila mendengar cerita aku. " Abang ni merapu. Buat malu saja ". Gurau isteriku. " Kenapa Nah maluka kahwin dengan abang ". Sengaja aku gurau begitu. " Ala Nah redho dapat suami seorang yang kuat pelupa ". Kata-kata itu akhirnya membuat aku tertawa gelihati. Nasib-nasib hang la Kasim....

Thursday, March 25, 2010

Camera man Tak Reti Tangkap Gambar

Seperti biasa aku ditugaskan ke Parit Buntar. Selalunya bila aku melalui jalan ini pasti akan kelihatan beberapa orang sedang memancing udang galah namun aku tidak berkesempatan memberhentikan keretaku. Hari ini sekali lagi aku kesana. Dari jauh aku melihat beberapa orang kaum hawa sedang memancing udang galah. Aku memberhentikan keretaku disebelah seorang wanita. Sambil berbora dengannya dia menceritakan bahawa kalau musim udang banyak yang diperolehi untuk dibawa pulang. Ini saja cara mereka membantu suami mereka yang keluar bekerja.

Fenomina ini jarang dapat dilihat ditempatku. Kaum hawa kebanyakkannya duduk dirumah memasak. Disni kalau musim cuti sekolah memang seronok mereka berbaris memancing udang galah. Hari ini aku tidak bernasib baik sebab tidak dapat menangkap gambar udang galah. Bila pulang kerumah aku sengaja aku tunjuk gambar yang aku tangkap.

" Abang ni pergi kerja ka atau tangkap gambar orang ". Tersengih dia perli aku.

" Ala abang pun tak sangka. Nak tangkap gambar udang galah dapat orang pula ". Aku pun tersengih juga.

" Tak sangka sungguh camera man tu. Tak reti tangkap gambar rupanya ".
Kata-kata itu membuat aku tak tahan lagi dan ketawa. Nasib baik dia bergurau dan akhirnya aku memadamkan gambar itu sebelum aku save dalam laptop.

Sunday, March 21, 2010

Kem Smart Solat

Ustazah sedang memberi penerangan tentang adap-adap mengerjakan solat

Hari ini aku seperti biasa dengan isteri bergegas ke masjid negeri untuk menjalani kursus Haji & Umrah. Kursus berakhir jam 12.15 tengahari. Kemudian bersambung dengan penerangan dari bank Islam tentang wasiat yang banyak umat islam abaikan. Ramai dari kita tidak meletakkan penama. Bila meninggal terpaksa di faraidkan dan ini kadang-kadang mengambil masa yang lama. Ada sesetengah pula sampai bergaduh emak dan ayah.

Anak-anak begitu tekun mendengar penerangan dari ustazah

Aku bergegas pulang kerana pada waktu yang sama disurau ada program Kem Smart Solat untuk kanak-kanak perempuan. Pendaftaran adalah sebanyak 80 orang. Sambutan dari ibubapa amat menggalakkan. Mereka mahu masa lapang anak-anak mereka diisi dengan program begini. Ustazah yang mengajar datang dari Seberang Perai menaiki motosikal. Semasa aku menjadi gurubesar di fardhu Ain kariah ustazah ini juga yang menunggang motosikal mengharungi jambatan untuk mengajar anak bangsa.

Bersiap sedia untuk menunaikan fardhu solat Zohor

Terasa seronok melihat kanak-kanak begitu manis bertelekung dan bertudung mendengar penerangan ustazah. Ada yang bersoksek-soksek Pakcik Budiman ambil gambar. Teringat aku bila kuliah, ustaz mengatakan yang anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibubapalah yang mencorakkan warna keatas mereka. Ada orang melayu bila anak-anak nakal mereka akan kaitkan dengan ayah, tokwan atau keluarga yang lain tentang perangai turun temurun. Samalah seperti orang kristian menganggapkan yang Isa disalib sebab kesalahan moyangnya iaitu Nabi Adam yang memakan buah larangan sedangkan islam mengatakan yang Nabi Adam telah bertaubat dan Allah telah menerima taubatnya.

Diam semua ketika tok bilal sedang melafazkan iqamat

Disesetengah tempat bila anak-anak berlari didalam surau atau masjid akan ditempik sekuat hati untuk menakutkan mereka. Tidak terfikir dihati mereka bahawa anak-anak ini suatu hari bakal bergelar pemimpin masyarakat. kalau tidak didik dari awal manalah kita akan mendapat hasil yang baik bila dewasa nanti. Maka lahirlah pemimpin yang mengejar nama. Mahukan projek besar' Korup dan sebagainya.

Beratur mengambil makanan untuk jamuan tengahari

Sewaktu menjamu selera ustazah meminta agar aku mendoakan kesihatannya agar baik semasa aku berada di tanah suci. Biarlah dia melakukan kerja amal ini dengan ikhlas. Ustazah ini juga merupakan kawan baik arwah Siti Aishah. Katanya kalau arwah ada tentu ringan sedikit dia hari ini. Begitu ramai yang merindui akan Siti Aishah.

Sedap makan beramai-ramai. Ibubapa ada yang datang meraikan anak-anak

Ramai orang yang memberi kertas agar aku dapat berdoa untuk mereka semasa aku ditanah suci. Tak sanggup aku melukakan hati mereka sebab dalam masa yang sama aku pun memang banyak untuk aku luahkan kepada Allah. semoga Allah berikan aku kekuatan dan permudahkan segala urusan aku dan siteri disana.

Ala Pakcik Budiman janganlah tangkap masa tengah makan


Pasangan kembar turut memeriahkan kem smart solat

Saturday, March 20, 2010

Abang Minta Cuti La

Aku telah berjanji dengan isteri pada hari Jumaat kami akan kebandar mencari barang untuk umrah. Akhirnya aku mendapat panggilan talipon yang mengarahkan aku standby dari 0800- 2400. Nampak sedih dimukanya ketika menghantar aku didepan muka pintu. Aku pula jenis tak boleh lihat isteri ni muram sedikit. Aku tahu bahawa dia kecewa tak dapat bersama aku pada hari Jumaat. Ketika berada ditempat kerja dia menalipon aku meminta agar hari Sabtu dan Ahad aku mengambil cuti. Memang agak lama kami tidak bersembang. Masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Akhirnya aku pun minta cuti dan lulus. Aku menalipon isteri baeritahu yang aku cuti pada hari Sabtu dan Ahad

Sungguh gembira hatinya menerima perkhabaranku. Terus dia beritahu yang esok dia nak buat soto kesukaanku. Hari Sabtu, pagi-pagi lagi aku kepasar mencari perkakas untuk soto. Dalam perjalanan kepasar aku melalui gerai nasi kandar yang sedap. Ramai yang beratur macam nak membeli tiket wayang. Setelah selesai membeli, aku singgah dan makan nasi kandar. Hampir 3 bulan aku tak makan nasi kandar. Sekali sekala tak apa la. Kata ustaz TH kalau nak menjadi gemuk senang saja. Pagi makan nasi. Tengahari nasi dan malam juga nasi lepas tu tidur maka gemuk lah badan. Untuk kurus ia memerlukan pengorbanan yang besar.

Akhirnya soto pun siap dan dihidangkan kepadaku. Sungguh enak soto ni. Tentu ramai yang suka makan soto. Selepas solat asar isteriku dah buat plan nak beli jubah katanya. Ya aku mengikut saja kemahuannya. janji dia gumbira dan aku menjadi tenang. Pastinya kalau aku ke bazar Chowrasta aku akan kembali pantang melihat cucur udang dan air sarbat kelapa muda. Fulamak dengan cuaca panas begini pasti melazatkan.. Tapi jaga juga buah pinggang kita dengan perbanyakkan minum air masak.

Friday, March 19, 2010

Berbudi Pada Tanah

Salam. Bila ada waktu terluang kosong, aku pasti tidak melepaskan peluang dengan menanam sayur-sayuran yang pernah aku buat semasa dikampong dulu. Kini dibelakang rumah isteriku banyak tanah kosong. Jadi aku pun tanam kangkung, serai dan macam-macam jenis sayuran. Akhirnya tibalah masa menuai. Bila melihat kehijauan kangkung maka terbayang akan gado-gado kesukaanku. Ia memerlukan kuah kacang, kangkung, tauge dan taukua. Akhirnya terlerai impian yang selama ini aku pendam. Makan malam dengan sayur saja. Kata isteriku malam ini kita vegetarian.

Warna Nostalgia begitu tekun mengutip kangkung

Antara banyak-banyak yang aku tanam serailah yang paling menjadi. Bila dah besar maka siapa yang lalu pasti akan mengambil sedikit. Orang melayu tak pernah ambil sebab mereka tahu itu bukan hak mereka. Yang paling tak tahan ialah perangai seorang wanita cina. Sudahlah tak minta, dicabutnya dengan pokok-pokok sekali. Rasa-rasa aku dia jual dipasar. Ia diceritakan sendiri oleh isteriku. Pada suatu hari sedang aku relaks datang wanita cina lalu mencabut pokok serai seolah-olahnya serai itu tumbuh sendiri. Bengang juga aku dengan wanita cina tu. Dia langsung tak pandang kiri kanan. Memang sahlah dia kata serai tu tumbuh sendiri.

Perlahan-lahan aku mendekati wanita itu. " Nyonya bikin apa ". " Ini serai banyak tumbuh. Wa angkat mau pigi jual ". Selamba dia jawab. Aku pula yang merinau mata bila mendengarnya. " Nyonya, ini serai saya tanam. Lu tak boleh jual. Lu kena tanya saya dulu. Sekarang wa jual sama lu. harga ini serai RM3 ". Sengaja aku letak harga. Terpinga-pinga dia bila mendengar yang aku nak jual serai dekat dia. Datang sebuah motorsikal dalam keadaan kelam kabut dan berhenti didepanku. " Sorry tauke, wa punya emak ada tekanan sedikit, jadi dia tak tau apa dia bikin. Dia angkat ini serai ka tauke ". Terkejut dia melihat begitu banyak serai yang telah dicabut oleh maknya.

" Ini macam tauke. Wa bayar harga serai. Semua berapa ". Terdiam aku bila mendengar cerita anaknya. Aku mengambil pisau lalu aku cantas serai itu agar nampak elok dan terus aku serah kepada pemuda cina itu. " Lu punya mak tak ada salah. Ini serai saya kasi sama lu punya mak. Kasi hati dia senang. Tak apa wa boleh tanam balik janji lu punya mak sihat. Kalau itu serai banyak, lu sedekah jiran sebelah ". Sambil mengucap terima kasih dia membawa emaknya pulang. Begitu lembut dia bercakap dengan emaknya. Tidak sama seperti cina lain yang aku temui. Mungkin akan ditengkingnya emaknya.

Hari ini hari emaknya. Hari aku dan isteri bagaimana pula. Semoga Allah terus memelihara akhlak kami dan anak-anak agar suatu hari tidak menyusahkan masyarakat. Teringat akan ibuku yang semakin kerap lupa. Nama anakku diberi kepada cucu yang lain. Nama isteriku dipanggil nama lain. Nama Aishah sentiasa berada dibibirnya. Inilah menantu yang merawat dia dan suaminya ketika terlantar sakit. Syukur ibuku tidak pernah lupa akan waktu solat. Bila masuk waktu solat akan kami beritahu dan terus dia solat. Tak pernah dia tanya berapa rakaat setiap solat. Aku juga berdoa agar tempat ibu adalah disyurga firdaus. Ibu yang telah membesarkan kami semua tanpa rasa jemu. Hanya doa dari anak-anak yang akan membahagiakan ibu dan ayah diakhirat.

Wednesday, March 17, 2010

Mengimbas Nostalgiaku

Bila melihat anak-anak bermain bersebelahan rumahku, terkenang aku waktu zaman kanak-kanakku seusia ini. Pokok menjadikan tempat aku dan rakan-rakan bermain. Cuba bayangkan kami bermain acilut diatas pokok ciku dan janggus. Siapa yang terjatuh maka dialah yang kena kejar. Melompat dari satu dahan kesatu dahan yang lain umpama tarzan. Aneh agak susah melihat kami terjatuh. Semuanya pakar-pakar belaka. Ini merupakan suasana dikampong ketika cuti sekolah. Jarang dapat dilihat dibandar. Pernah aku ke KL waktu cuti sekolah dan melihat anak-anak seusia ini menjadi rempit basikal mengelilingi bandar KL tanpa diketahui emak dan ayah. Tapi itulah yang dinamakan lain kampong lain ragamnya. Yang paling melucukan ialah anak-anak kecil ini bermain kahwin-kahwin. Kata sibudak lelaki, " Aku nak isteri yang tak gedik macam hang. Melompat atas pokok ".

Jawab pula si budak perempuan, " Ala ingat hang boleh jadi suami yang baguih ka kalau boleh bergayut macam monyet ". Aku yang tertidur kerana baru pulang tugas malam pun tak dapat melelapkan mata. Akhirnya aku snap gambar mereka. " Pakcik nak buat apa tangkap gambar kami ". " Pakcik nak masuk dalam internet nak cari jodoh untuk adik semua ". Jawapan aku membuat mereka semua ketawa. Isteriku pula asyik ketawa bila melihat aku suka mengambil gambar. Dalam hati aku berkata., " Inikan blogger ikan bilis ".

Terkenang aku waktu usia begini bermain kahwin-kahwin. Aku telah berkahwin dengan seorang budak perempuan yang rambutnya afro. Sehingga hari ini rambutnya masih lagi afro. Kami bersanding dengan memakai bunga raya di telinga. Kemudian selepas itu isteri mencium tangan suami. Kalaulah dikenangkan kembali memang malu. Tapi kanak-kanak dikatakan. Apa saja yang dilakukan tidak mendatang kemarahan. Kami yang seramai 5 pasangan berjalan keliling kampong untuk memperkenalkan yang kami dah berkahwin.

Aku dikutuk oleh rakan-rakan sebayaku. Aku dikatakan pondan sebab bermain kahwin-kahwin. Lantas isteri aku ketika itu mengambil batu lalu baling kearah rakanku yang suka perli. Apalagi menjerit kesakitan sambil menangis. Isteri membela suami. Akhirnya lama kelamaan aku berubah sikap setelah usia meningkat sedikit demi sedikit. Permainan ganas pula menjadi pilihanku. Pokok menjadi tempat aku dan rakan-rakan melompat sehingga pokok ciku tidak berani mengeluarkan buahnya akibat takut dengan gang lompat. Suatu hari aku bertemu dengan isteriku ketika itu dan berkata, " Kita cerailah ". Dia pun berkata ok. Huih begitu senang aku melepaskan kata-kata.

Kini bila aku bertemu dia kami masing-masing hanya menyapa saja. Seminggu yang lepas dia bertemu aku sambil menangis katanya dia tidak tahu yang Siti Aishah sudah melebihi setahun meninggal. Pernah aku beritahu Siti Aishah yang rakanku itu merupaka isteriku ketika zaman kanak-kanak. Tersenyum dia mendengar ceritaku. Memang nostalgia lalu tidak dapat dipadam dan amat susah mendapatkannya kembali

Tuesday, March 16, 2010

Keluarga Siapa Pernah kena Sihir

Ahad lepas aku dan isteri berkesempatan sekali lagi menghadiri kursus haji dan umrah. Aku tertarik dengan penceramah ustaz dari Tabung Haji. Beliau banyak menceritakan pengalaman ketika menjaga jemaah haji Malaysia di Mekah. Banyak sungguh iktibar yang di peroleh semasa mendengar ceramah. Kesimpulannya ialah ketika berada disana pastikan akhlak dijaga terutama sekali mulut. kita disarankan kurang bercakap perkara yang tiada faedah maklumlah semasa didunia Malaysia kita banyak bergurau senda sehinggakan gurau senda kita melebihi tahapnya. Begitu juga aku kadangkala aku terlalu asyik bergurau.

Ustaz menceritakan perkara-perkara yang perlu dibuat sebelum ketanah suci. Dalam banyak-banyak perkara aku terkesan bila ustaz menceritakan dimana seorang isteri telah disantau akibat perebutan kuasa dalam surau. Akhirnya isteri itu meninggal dunia. Kata ustaz seorang isteri yang meninggal dunia akibat perbuatan sihir beliau akan dimasukakn ke dalam syurga. Kesakitan yang dialami ketika sakit maka tergugurlah dosa-dosa kecil. Tetapi kata ustaz lagi perbuatan mereka telah menyebabkan suami dan keluarga isteri itu menderita,

Sungguh malang bagi mereka yang membuat sihir kepada orang lain sebab ia merupakan perbuatan syirik dan akan membuat mereka terjerumus kedalam api neraka kata ustaz. Aku terdiam mendengar akan kata-kata ustaz. Terkenang aku bagaimana sakitnya Siti Aishah menanggung azab sengsara akibat perbuatan santau. Cerita dari ustaz tadi persis apa yang berlaku terhadap aku dan keluarga. Akhirnya ustaz bertanya adakah disini ada mempunyai keluarga yang disihir. Aku terdiam dan memandang isteriku Rosnah. Dia juga memandang aku. Berbagai persoalan bermain difikiranku bila ustaz menceritakan bab sihir ini.

Akhirnya fikiranku yang tadi tenang kini melayang mengingati nostalgia lalu. Cepat-cepat aku fokuskan kembali kursus haji dan umrah. Ustaz juga menceritakan tempat-tempat mustajab doa yang akan dimakbulkan oleh Allah. Aku pasti insyaallah kesana dan aku akan meluahkan segala isi hati yang terpendam selama ini. Akan aku berdoa segalanya. Rasa tidak sabar lagi aku kesana. Terngiang-ngiang talbiah " Labbaikallah Hum malabbaik "....Ya Allah sambutlah kami, Ampunkanlah dosa-dosa kami ya Allah.

Thursday, March 11, 2010

Selesai Fasa Pertama

Aku dan isteri bergegas ke Jabatan Imigresen. Kelihatan begitu ramai orang yang akan keluar negara belajar, makan angin dan mungkin ada perancangan yang lain. Setelah menyerah segala dokumen tentang permohonan kami diarahkan untuk duduk sementara menunggu paspot di proses. Tiba-tiba pegawai imigresen memanggil nama aku. Beliau memanggilku untuk memastikan adakah benar aku dilahirkan di Singapura. Setelah salinan surat beranak ditunjukkan beliau terus membuat kerjanya. " Oh..jadi en ni dilahirkan di Singapore la ". Aku hanya diamkan saja sebab bukan aku sorang saja yang lahir di Singapura.

Aku cerita kepadanya pada pertama kali aku buat paspot, pegawai imigresen mengatakan yang aku ini pelarian sehingga menimbulkan kekecuhan. Katanya nasib baik aku dah buat paspot. Jadi senang yang ini sebab dokumen dah lengkap. Kalau tidak tentu payah seperti kali pertama katanya. Setelah selesai menunggu selama satu jam akhirnya paspot kami siap. Begitu gembira kami sebab fasa pertama dah selesai.

Kami bergerak terus ke bazar Chowrasta untuk mencari pakaian untuk ketanah suci. Akhirnya di pasaraya Maydin juga yang ada. Isteriku membeli jubah serta telekung, manakala aku mencari topi dan jubah namun tiada saiz. Awal lagi insyaallah kalau ada cuti aku akan mencarinya lagi. Setelah berpenat lelah kami menjamu selera cucur udang di bazar Chowrasta.
" Abang ni tak boleh tengok cucur udang pasti makan ". Itulah nak buat macam mana sebab ia adalah kegemaranku sejak zaman remajaku lagi.

Wednesday, March 10, 2010

Abang Tak Izin

Sudah agak lama Siti Aishah tidak hadir dalam mimpiku. Aku kerap berdoa kepada Allah agar Allah memperlihatkan wajah Siti Aishah di depan Kaabah. Aku pasti tidak akan melepaskan peluang ini bila berada didepan pintu kaabah. Kelmarin bila pulang dari kerja, badan aku keletihan. Sekejap saja aku dah tertidur. Dalam tidurku kali ini Allah mengizinkan aku bermimpi akan Siti Aishah. Dalam mimpi itu aku berada ditengah masyarakat yang sedang begitu sibuk dengan kenduri perkahwinan.

Dicelah-celah orang ramai terlihat Siti Aishah begitu sibuk menolong. Niat dihati aku ingin terus memeluknya. Terlalu rindu aku akannya. Tapi aku batalkan niat itu takut akan menjadi perhatian orang ramai. Aku menghampirinya dan menegurnya. Terkejut dia bila melihat aku seolah-olahnya tidak percaya aku berada didepannya. Aku mengajak kebelakang tempat yang sunyi. Disitulah kami berpelukan sambil menangis kerinduan.

Aku mengambil kerusi lalu aku beri padanya. Aku memandang wajahnya yang murung. Dia tidak banyak bercakap. Cuma airmata yang menerangkan segalanya. Aku berkata kepada Siti Aishah, " Siti..tau dak yang Siti dah meninggal pada 18 Dec 2008 ". Siti Aishah hanya anggukkan kepalanya saja. " Siti tau ka siapa yang aniaya Siti ". Siti Aishah anggukkan kepala sambil menangis. Begitu juga dengan aku. " Siti, abang nak bawa Siti balik. Kita jumpa emak ". Siti Aishah hanya angguk kepala saja.

Aku membawa Siti Aishah pulang bertemu dengan keluarganya. Bila keluarganya melihat Siti Aishah mereka ketakutan dan ada yang melarikan diri. Menangis Siti Aishah melihat perihal mereka. " Jangan takut, Aishah datang nak ziarah saja ". Kata Siti Aishah sambil menangis. Namun mereka tidak menghiraukan teguran Siti Aishah. Akhirnya Siti Aishah membawa diri dan masuk kedalam bilik. Menangis dia terisak-isak. " Mentang-mentang Siti dah mati. Semua orang takut. bang tempat Siti bukan disini ". Beritahu Siti Aishah.

Aku menenangkannya. " Tak apalah Siti janji abang bahagia bila Siti dah pulang ". Akhirnya aku terus bertanya untuk mengalih perhatian agar tidak bersedih lagi, " Siti..jumpa dak dengan anak kita Asyraf. Bagaimana rupanya ". Aku bertanya. " Siti tak kemana bang. Siti ada disini saja ". Terkejut aku mendengar kata-kata Siti Aishah. " Kenapa tak jumpa anak kita Siti ". Aku bertanya kehairanan. " Bagaimana Siti nak jumpa anak kita, abang tak izin Siti pergi ". Sambil menangis aku memeluk Siti Aishah dan berkata, " Siti abang minta maaf kalau abang buat silap. Pergilah jumpa anak kita. Abang izinkan ". Akhirnya Siti Aishah terus hilang dari pandanganku.

Aku terkejut dan terjaga dari tidur. Jantung aku berdegup kencang. Aku berpeluh lalu aku sedekahkan Al Fatihah buat Siti Aishah. Sambil menangis aku ceritakan mimpiku kepada anak gadisku. Menangis dia bila mendengar cerita ini. " Ayah ni terlalu rindu dengan mak sebab itulah mimpi begini ". Benar akan kata-kata anakku itu. Begitu rindu aku dengan Siti Aishah walaupun dan melebihi setahun Siti Aishah meninggal namun wajahnya tak aku lupa.

Aku cerita mimpiku kepada sahabat Siti Aishah juga yang memperkenalkan aku dengan isteriku Rosnah. Sebak dia mendengar cerita aku. Katanya, " Budiman perlu bersyukur sebab mimpi yang Budiman alami adalah anugerah dari Allah. Bukan senang kita nak dapat mimpi begitu. Soal Budiman tidak izin itu tak benar. Seseorang yang dah meninggal, dia tidak akan datang kembali. Mungkin Budiman terlalu rindukan Siti Aishah. Aishah dah berada didalam syurga Budiman. Budiman sendiri lihat bagaimana wajah Siti Aishah berseri, manis dengan senyuman ".

Aku akui akan kata-kata sahabat Siti Aishah. Sekurang-kurangnya dengan mimpi itu hati aku begitu tenang sebab inilah mimpi yang memperlihatkan aku bercakap dengan Siti Aishah seolah-olahnya ia benar-benar terjadi. Padaku sahabat Siti Aishah merupakan tempat andaikata aku mempunyai masalah. " Budiman kalau ada masalah talipon la. Jangan malu ". Itulah kata-kata yang membuat aku tenang. Sekurang-kurang ada orang yang mahu mendengar masalahku. Terima kasih kepada mereka yang sudi mendengar. Allah saja yang membalasnya

Tuesday, March 09, 2010

Semoga Allah Permudahkan

Aku dan isteri dah mula menjalani kursus. Terasa sebak bila ramai-ramai menyebut " Labbai kallah Hum Malabbai. Labbai kala syari kalakalabaik ". Ustaz menceritakan tentang tempat mustajab doa iaitu di depan pintu kaabah dan di masjid Nabawi. Beliau menceritakan tentang kisah seorang wanita yang terlalu rindukan ibunya. Beliau berdoa didepan pintu kaabah agar dapat melihat ibunya. Allah perkenankan doanya lalu dia ternampak ibunya sedang memerhati akan dirinya. Aku mendengar dengan begitu tekun. Itulah juga yang aku akan lakukan. Bukanlah tujuan aku kesana semata-mata ingin berdoa agar dapat melihat arwah isteriku tetapi bila sudah berada didepan kaabah aku pasti tidak akan melepaskan peluang ini sebab aku berdoa bukan atas perkara maksiat. Selesai kursus haji aku sempat menziarahi pusara isteriku. Aku bercakap keseorangan seolah-olahnya Siti Aishah sedang mendengar segala ceritaku. Ketika dalam perjalanan pulang mataku tidak dapat menahan apabila melihat longgokan buah-buahan yang datang dari Perlis.

Peserta kursus haji dan umrah begitu tekun mendengar penerangan

Akhirnya aku memberhentikan kenderaan untuk membeli buah-buahan kesukaanku. Aku katakan pada isteri yang ia untuk menyejukkan badan. Kata isteri pula kalau terlebih makan bukan saja menjadi sejuk tapi kaki pula akan sakit. Tersenyum aku sebab aku tahu dia kenen dekat aku. Itulah kelemahanku. Kalau terlebih makan buah tembikai alamat terhincut-hincutlah kaki ini. Entah kenapa ya. Adakah buah tembikai ini angin kata orang tua-tua.


Buah tembikai

Hari ini aku ke Komplek Tabung Haji bersama rakan yang sponsur aku. Akhirnya kami mendapat berita yang tarikh 6 - 16 Mei telah pun penuh. Terdiam kami sebab tidak percaya akan berita ini. Ingatkan kami dah daftar awal. Rupanya ada lagi awal. Padaku ini merupakan dugaan lagi. Akhirnya kami diberitahu yang tarikh kedua ialah 20 - 30 Mei masih ada lagi kosong. Setelah bertanya rakan-rakan yang lain kami bersetuju untuk bertolak pada 20 - 30 Mei. Aku berdoa kepada Allah semoga Allah permudahkan segala urusan kami nanti.

Honey dew

Bayaran umrah yang dikenakan adalah sebanyak RM5690 seorang. Kami akan berada di Mekah/Madinah selama 11 hari / 9 malam. Ketika pulang kami singgah rumah emak angkat lalu aku dihadiahkan jubah dan serban yang akan aku gunakan kelak. Sengaja isteriku suruh aku try. Akhirnya inilah gambar ketika aku cuba try jubah yang tak pernah aku pakai sebelum ini. Terasa janggal sekali tetapi aku terpaksa menghadapinya. Senyum isteriku bila melihat aku memakai jubah. Katanya padaku, " Abang macam ustaz la ". Tertawa aku dengan gelaran ini.

Friday, March 05, 2010

Allah Uji aku Lebih Awal

Aku bergerak perlahan ke masjid untuk menunaikan fardhu Jumaat. Keadaan amat terik. Suhu meningkat ke 39.5 C. Sambil menunggu sebelum azan aku memikirkan bagaimana keadaan di bumi Mekah. Beberapa orang yang aku temui mengatakan disana cuaca amat panas. Kena hadapi dugaan dengan sabar. Mendengar perkataan dugaan pun aku dah kecut. Aku hampir tewas dengan dugaan yang lepas. Sambil mengelamun jauh kelihatan beberapa orang jemaah sedang membawa pisang untuk disedekahkan kepada jemaah yang datang. Seorang pakcik membawa pula bungkusan pisang. Begitu banyak pisang yang disedekahkan pada hari Jumaat. Boleh dikatakan kebanyakan masjid pada setiap hari Jumaat ada saja orang yang sedekah pisang. Pakcik mempelawa aku pisang tapi aku memberi alasan selesai Jumaat baru aku makannya. Hari ini Tok khatib hanya memfokuskan mengenai menggerakkan jari ketika tashahud. Katanya mereka yang menggerakkan jari, ia bukan perbuatan sunnah Rasulullah. Dari awal hingga akhir hanya memfokuskan isu menggerakkan jari. Akhirnya mata aku tak mampu dibuka lagi akibat keletihan bertugas 16 jam.


Selesai aku mengerjakan solat Jumaat aku bergegas mencari pisang yang begitu banyak tadi. Akhirnya aku mendapati pisang tadi hanya bertukar tinggal kulit saja. Rupanya tak ada rezeki untuk aku. Aku keluar masjid tapi kelihatan kasut yang aku pakai tadi sudah tiada. Hai kemana hilangnya kasut yang baru dibeli. Setelah aku mencarinya ternyata dia sudah bertukar kaki. Sambil memakai uniform TNB aku begitu gagah menaiki motorsikal tanpa memakai selipar. Sesiapa yang melihat aku pasti tersenyum melihat aku beruniform kemas tapi tiada kasut. Keadaan tar begitu panas. Aku terhincut-hincut memijak tar mencari kasut untuk dibeli.

Akhirnya aku tak mampu memijak tar lagi akbat begitu panas. Akhirnya aku hanya bertempik dari luar kedai, " Tauke ada kasut selipar ka ". Dari satu kedai ke kadai yang lain itulah ayat yang aku guna. Akhirnya dapat juga aku berjumpa kedai yang menjual kasut selipar. Tergelak tauke cina melihat aku tanpa selipar, " Itu masjid kerap hilang kasut. Hari Jumaat pasti ada orang cari kasut baru sini. Dia orang datang pakai kasut lama, bila pulang mereka akan menyarung kasut yang baru ". Begitu rupanya tanggapan mereka terhadap kehilangan kasut di masjid itu. Padaku begitu awal Allah menguji kesabaranku. Entah apa pula akan berlaku hari mendatang. Insyaallah kalau tiada halangan aku dan isteri akan mengerjakan umrah pada 6 - 16 Mei 2010. Tak sabar menanti saatnya.

Dalam doaku tidak pernah aku lupa merayu agar diperlihatkan kepadaku arwah Siti Aishah disana. Begitu rindu aku padanya. Pemergianya begitu pantas. Tiba-tiba saja dia sudah tiada disisku walaupun aku tahu Allah telah memberi pengganti kepadaku tetapi sebagai naluri manusia kerinduan itu tidak pernah terpadam dikotak hatiku. Aku akan terus berdoa diasana agar aku dan Siti Aishah dipertemukan. Apakah mungkin doaku akan Allah makbulkan...entah tapi aku akan doa dan terus berdoa tanpa rasa jemu. Ya Allah perkenankan permintaanku ini.

Wednesday, March 03, 2010

Begitu Cepat Allah Menyambutku

Pernah suatu ketika aku berkata kepada arwah Siti Aishah, " Siti satu hari nanti insyaallah kalau ada rezeki abang nak bawa Siti tunai umrah bersama ". Siti Aishah tersenyum sambil berkata insyaallah. Bila dia melihat kaabah di kaca televisyen jiwanya tersentuh dan kadang-kadang mengalir airmata akibat teringinnya dia nak kesana. Akhirnya Allah tak izinkan kami bersama. Siti Aishah pergi bertemu Allah terlebih dahulu meninggalkan suaminya. Setelah aku berkahwin dengan Rosnah, aku berkata kepadanya, " Nah kalau abang ada rezeki 2 atau 3 tahun lagi, abang bercadang nak bawa Nah bersama menunaikan umrah sebelum menunaikan haji ". Rosnah pula tersenyum sambail berkata, " Insyaallah bang ". Aku juga pernah berkata kepada anak-anakku, " Ayah kalau ada rezeki teringin nak buat umrah dan ayah terlalu rindu nak bertemu mak disana ". Itulah ungkapan yang aku telah zahirkan kepada mereka yang rapat denganku.

Suatu hari aku mendapat panggilan talipon dari seorang rakan baikku. Katanya dia nak berjumpa dan berbincang sesuatu denganku. Kami menetapkan yang perjumpaan akan dibuat selepas solat maghrib di surauku. Aku beritahu perkara ini kepada isteriku. Hairan juga apa perkara yang begitu penting rakanku nak berjumpa denganku. Setelah selesai solat maghrib kami duduk berbual kosong dan akhirnya rakanku terus straight to the point. " Abang Budiman, sebenarnya saya nak sponsur abang Budiman menunaikan umrah. Target bulan Mei ini. Saya harap abang Budiman tidak menolaknya sebab dah lama saya berhasrat begini ". Aku tergamam dan terharu mendengar perkataan ini. Aku sendiri tidak sedar airmataku mengalir panas dipipi.

Begitu sekali baiknya dia sehingga nak sponsur aku. Aku terdiam dan terbayang wajah isteriku Rosnah. Kalau aku pergi seorang bermakna dia tidak dapat langsung mengerjakan umrah seperti yang aku beritahunya. Ahh..tak gamak aku pergi seorang diri. Akhirnya aku meminta supaya diberi masa selama dua hari untuk aku berbincang dengan isteriku. Bila pulang isteriku menyambut dengan senyuman. Aku tahu dia pun berdebar-debar menanti cerita dariku. Aku menceritakan segalanya kepada isteriku. Isteriku terdiam sambil berkata, " Pergilah bang. Dah rezeki Allah beri ". Aku melihat sayu diwajahnya. " Nah nak ikut abag dak. Abang tak sanggup nak pergi seorang kalau Nah tak ikut. Kalau Nah sudi ikut abang, abang merupakan seorang suami yang paling bahagia didunia ".

Wajah senyum terukir diwajahnya. Kelihatan airmata bergenang dimatanya lalu dia rebah di pahaku dan berkata, " Insyaallah bang Nah teringin nak ikut.Tak sangka bang, Allah jemput kita begitu awal sekali ". Itulah juga perkataan yang ingin aku keluarkan juga. Kini hatiku gembira dan berdebar-debar menanti saat itu. Aku bermohon kepada Allah agar Allah permudahkan segala urusan kami sewaktu sebelum dan ketika perjalanan. Aku juga berdoa kepada Allah agar Allah makbulkan segala permintaanku semasa berada di bumi Malaysia. Anak-anakku berkata, " Pergilah ayah, kami tahu menjaga diri kami ". Syukur aku kepada Allah.
( Gambar yang aku paparkan ialah ketika rakan sekerja menunaikan umrah tahun lepas )

Tuesday, March 02, 2010

Artis Pasar Malam

Aku singgah sekejap di Pasar Malam Bayan Lepas iaitu tempat isteriku mencari rezeki dengan berniaga kecil-kecilan. Aku melihat dia begitu sibuk melayan pengunjung yang membeli. Sekejap dia menoleh kebelakang mungkin takut aku kesunyian. Tapi aku tak sunyi sebab baru saja aku order Mee goreng. Bila dia datang kepadaku terkejut melihat sepinggan mee sudah berada didepanku. Selepas selesai aku bedal mee goreng aku meminta izin isteri untuk berjalan bersiar-siar di pasar malam. Telingaku dapat menangkap bunyi muzik dan nyanyian suara seorang wanita. memang sedap juga tapi taklah macam artis profesional. Suaminya kini sudah pandai meggesek biola. Gesekannya begitu merdu sekali. Aku waktu bersama arwah Siti Aishah ketika pergi kepasar kerap juga bertemu dengan mereka. Walaupun suaminya buta tetapi apa yang Allah berikan kepadanya tidak terdapat pada sesetengah manusia lain.

Pernah suatu ketika tatkala mereka bermain lagu 60'an datang seorang pemuda minta nak menyanyi. Apabila lagu Oh Fatimah dimainkan, keadaan pasar menjadi seperti tempat persembahan hebat dengan ramainya orang berkerumun termasuklah aku. Puas arwah isteri mencari dan akhirnya berjumpa aku sedang duduk bersila didepan pemuzik jalanan. Aku pernah luahkan perasaan ingibn menyanyi kepada arwah isteri, Katanya, " Abang jangan dok merepek menyanyi di pasar ". Akhirnya aku mengalah dan pendamkan saja perasaanku.

Kini mereka muncul pula dipasar malam. Aku sengaja luahkan perasaanku nak menyanyi kepada isteriku Rosnah, " Jangan bang nanti ramai pula nak sign outograf pula. Siapa pula nak beli nasi ni ". Tertawa aku dengan gurauannya. Akhirnya aku letak RM5 dalam tabung mereka sebagai menyatakan yang aku terpesona dengan kegighan mereka mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak mereka. Ini saja jalan yang dapat mereka lakukan. Jadi bersyukurlah kepada kita yang dah bekerja. Kerjalah baik-baik. Ramai lagi yang susah mendapat pekerjaan dan jalan pintas adalah dengan mencari sendiri sesuap nasi. Rezeki yang kita perolehi pastinya dalamnya ada hak-haknya. Jadi bahagi-bahagikanlah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...