Teman-teman

Tuesday, December 15, 2009

SEMENTARA KU MASIH BERNAFAS (4)


Salam. Pada 11 Disember 2009, aku ke KLIA untuk menyampaikan ceramah 'Sains dan Kesihatan Ke Arah Pembangunan Generasi Pewaris' bersempena dengan Simposium Perdana Wanita di Hotel Pan Pacific KLIA. Ia di rasmikan oleh YB Senator Mejar Dato Jamil Khir bin Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Mengikut jadual asalnya ia sepatutnya dirasmikan oleh DYMM Raja Permaisuri Agong tetapi terpaksa dibatalkan disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Program ini dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama BAKTI dan PUSPANITA.


Setibanya aku di Hotel, aku terus dibawa ke dewan makan dan di sana aku bertemu dengasn Y.Bhg. Profesor Dr Sidek Baba yang merupakan salah seorang ahli panel pada malam itu. Tidak berapa lama selepas itu datang pula panelis kedua iaitu Y.Bhg. Dato Faiza bin Thamby Chik, Ahli Lembaga IKIM, diikuti dengan Y.Bhg. Dato Hj Wan Mohamad bin Dato Sheikh Abd Aziz, Ketua Pengarah (KP) Jakim.


"Doktor sudah dimaklumkan tentang siapa peserta-peserta kita dalam simposium ini?" Dato KP bertanya. Rupa-rupanya program ini julung-julung kali diadakan oleh JAKIM. Ia dihadiri oleh isteri menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri, YB-YB serta VIP-VIP di peringkat kebangsaan dan negeri. Aku terus diperkenalkan KP kepada Dato Faiza. "Inilah pakar undang-undang kita, doktor." Beliau ialah Ahli Lembaga IKIM. Rupa-rupanya beliau antara orang dalam agensi kerajaan yang sedang berusaha untuk memertabatkan syariat dari dalam. Dalam forum pada malam itu beliau menegur golongan yang membuat bising tentang hukum sebat (Kartika) sedangkan ia sudah sekian lama termaktub dalam undang-undang. Mereka tidak bising tentang sebatan undang-undang sivil yang mengoyakkan kulit lagi memudaratkan, ujar beliau dalam forum pada malam itu. Sebatan dalam Islam langsung tidak memudaratkan sebab ia bertujuan untuk mendidik... Ya beliau antara individu dalam institusi/agensi Kerajaan yang gigih berjuang untuk memertabatkan syariat dari dalam.


Kuliah subuh pada 12 Disember disampaikan oleh YB SS Tan Sri Dato Seri Harussani bin Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak. Ia bertajuk 'Siapa, Kenapa, Ke Mana Kita?'. Di dewan makan aku sempat bersembang-sembang dengan Sahibus Samahah... Tepat jam 9.30 pagi bermulalah majlis perasmian penutup yang disempurnakan oleh YB Menteri. Aku diminta duduk di barisan hadapan sebaris dengan Datuk Nik Safiah, pakar Bahasa Melayu, yang hadir sebagai seorang peserta. YB Menteri datang bersama isteri, Datin Fatmawati. Tiba-tiba dari atas pentas YB Menteri bergegas turun dari pentas dan terus bersalaman dan memeluk aku. Aku tergamam dan para peserta nampak terkejut... Dalam ucapan beliau, YB Menteri menyentuh tentang cabaran yang menimpa ke atas umat Islam seperti Pluralisme, Islam Liberal dan seumpamanya. Justeru isu-isu fikah ranting jangan dijadikan sebagai alasan untuk berpecah belah. Selesai perasmian beliau bersalaman denganku sekali lagi dan berkata, "Kita bersembang di luar sana, syeikh." Kemudian SS Tan Sri Dato Seri Harussani meminta maaf sebab tidak dapat mendengar ceramahku selepas perasmian itu. Beliau terus memelukku dan menciut mencium pipiku..


Ceramahku dipengerusikan oleh isteri Menteri Pengajian Tinggi, Datin Seri Rosni. Aku menyentuh tentang kepentingan kita kembali kepada al-Quran dan Sunah. Justeru kita perlu mengaji dan mengkaji al-Quran. Kemudian aku menyentuh tentang konsep kesihatan yang terdapat dalam al-Quran bermula dengan surah at-Tin yang menekankan tentang buah tin dan zaitun dan rahsia di sebalik itu. Kemuncaknya aku bercakap tentang pembedahan kecantikan. Bila topik itu aku sebut Mak-mak Datin berkata "ya, ya". Mereka amat berminat dengan topik itu... Akhirnya sebagai rumusan Datin Seri Rosni mewakili yang hadir berjanji untuk mendekati al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan hidup.


Ketika bersendirian dengan Dato KP, beliau menceritakan beberapa agenda yang beliau hendak laksanakan. Kemudian beliau berkata, "Ada sesuatu yang perlu diberitahu kepada doktor. Cukup susah hendak mendapatkan khidmat doktor sebenarnya." "Maaf Dato tetapi insya-Allah untuk program seumpama ini akan saya berikan keutamaan," aku mencelah. Beliau merenung mukaku dan berkata, "Bukan itu yang saya maksudkan." Aku terdiam.... "Oh maksudnya ada yang cuma menghalang saya memberi ceramah ini." Beliau mengangguk. "Ramai tukang cucuk... namun saya pertahankan doktor."


Dalam hatiku, aku berkata, "ALHAMDULILLAH." Ya sudah sampai masanya untuk kita menerokai sempadan-sempadan baru. Untuk itu kita perlu membina dan terus membina kekuatan dalam bentuk ilmu, kemahiran serta kepakaran agar sempadan-sempadan baru itu dapat diterokai dengan baik. Pada ketika yang sama kekuatan-kekuatan asas seperti ikhlas, amanah, sabar, tawakal, benar dan tawaduk wajib dipertahankan dan dipermantapkan.


Sesampai di Pulau Pinang pada hari Ahad 13 Disember, aku seperti biasa meneruskan dengan Kuliah Tafsir di Kompleks Belia Batu Uban. Inilah kuliah terakhir untuk tahun 2009 ini. Ayat terakhir dibincangkan pada hari itu ialah ayat 18 surah al-Hasyr. Terasa sebak di hati membaca ayat itu. Terasa benar ia muhasabah Allah ke atas diriku yang lemah dan kerdil ini. Aku yang masih alpa dan lalai ini. Aku yang masih cuai. Aku yang asyik melihat ke luar dan lupa meneropong ke dalam. Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan."


Dari meja

Dr Danial bin Zainal Abidin

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...