Teman-teman

Saturday, October 10, 2015

Aku Masih Ingat

Aku masih ingat ketika mendapat pekerjaaan di Lembaga Letrik Negara ( LLN ) sebagai Buruh Am dengan gaji pokok sebanyak RM250. Walaupun kecil tapi aku merasa terjamin bekerja dengan kerajaan. Gaji pertamaku aku hulurkan kepada ibuku sebanyak RM50. Aku tidak pernah lupa akan pesanan ustaz ketika mengikuti kuliah. Kata uztaz berilah duit kepada ibubapa selepas mendapat gaji walaupun sedikit kerana yang sedikit itulah keberkatan sebab kita tidak melupakan jasa mereka. Itu yang aku pegang. Lagi pun itulah yang patut di lakukan oleh seorang anak. Lebih-lebih lagi anak lelaki.
" Budiman ada duit ka ". Tanya ibuku
" Ada mak. Mak ambik la. Tu duit gaji pertama Diman ". Ibuku tersenyum menerima wang dariku.  Begitulah setiap bulan berlalu aku tidak pernah miss memberi wang kepada ibuku walaupun tidak di minta. Kalau ada ot maka gajiku lebih sedikit. Aku mengumpul wang gajiku sedikit demi sedikit. Aku ingin memiliki motosikal sendiri. Akhirnya dapat juga aku beli motosikal Suzuki GP100 second hand dengan harga RM350. Motosikal itulah aku guna pergi kerja dan ke masjid.

Aku menjadi risau bila seorang demi seorang rakanku telah menamatkan zaman bujang mereka. Terfikir juga aku ingin berkahwin tapi gajiku amat kecil. Mampukah aku memiliki sebuah keluarga. Akhirnya aku hanya mendiamkan saja keinginanku dan aku kumpul sedikit demi sedikit dalam koperasi melalui potongan bulanan. Ini bermakna suka atau tidak setiap bulan gajiku harus di potong. Begitu cepat masa berlalu. Rupanya sudah 2 tahun lebih aku mengumpul wang. Bila aku cek di koperasi aku dapati wang aku ada sebanyak RM2500. Mulalah datang perasaan ingin berkeluarga seperti rakan-rakan yang lain. Aku masih lagi was-was. Walaupun duit aku sudah ada, mampukah aku menyara anak isteriku kelak. Calun pun tidak ada. Aku tak seperti rakan-rakan yang lain. Bercinta dan mereka kata begitu indahnya bila berada di alam percintaan. Aku tidak dapat merasai apa itu percintaan....bagaimana indahnya percintaan

Akhirnya aku nekad untuk beritahu ayah dan ibu tentang hasratku. Selepas isyak ayahku sudah berada di depan meja untuk makan malam. Aku turut sama makan bersama ayahku
" Mak...ayah....Diman nak kahwin ". Tersembur makanan dalam mulut ayahku
" Biaq betoi hang ni Budiman ". Tanya ayahku. Aku hanya diamkan saja menanti akan ayat seterusnya
" Budiman dah ada calun ka ". Tanya ibu yang membuat aku terdiam
" Tak ada lagi mak. Baru nak cari ". Kataku sambil tersenyum
" Budiman dah ada duit ka. Bukan senan nak bela anak dara orang ". Kata ayah. Terus aku terdiam. Betul juga kata ayahku. Bukan senang nak jaga anak dara orang tambahan gaji aku pula terlalu kecil.

" Nanti mak tanya Mak Anjang kalau ada anak dara yang baik ". Kata-kata ibuku membuatkan hati aku begitu gembira. Aku masih ingat akan kata-kata uztaz...Kalau datang hasrat untuk berkahwin maka teruskan niat itu dan insyaallah Allah akan bantu. Ketika berada di tempat kerja aku tidak senang duduk. Sudahkah ibu menalipon Mak Anjang
" Mak...Mak dah talipon Mak Anjang ka ". Tanya aku melalui talipon
" Hang dok merepek. Baru pukul 9 pagi. Mak Jang hang sibuk ". Kata ibu. Akhirnya bila aku pulang rumah aku mendapat perkhabaran dari ibuku tentang seorang gadis yang memakai tudung labuh. Sering ke kuliah. Aku begitu gembira sebab itulah doaku iaitu mendapat seorang isteri yang akan menjadi penyejukku. Kata Mak Anjang kalau nak melihat gadis tersebut aku boleh kesana jam 8 pagi sebab waktu itulah dia menunggu bas untuk ke tempat dia bertugas.

Akhirnya setelah 3 kali mencuba dengan sabar, aku bertemu juga dengan gadis tersebut. Dia tersenyum melihat aku. Subhanallah jantung aku begitu berdebar melihat senyuman manisnya. Aku seolah-olahnya sudah jatuh cinta padanya
" Mak...Diman dah tengok dia. Jadi mak minang dia. Dia nama apa mak ". Lupa pulak aku namanya. Akhirnya aku mendapat berita dari emak saudaraku namanya ialah Siti Aishah. Mendengar namanya saja hati aku sudah begitu sejuk. Proses merisik di jalankan dan aku mendapat lampu hijau dari Siti Aishah untuk menerima aku sebagai suaminya. Terus aku sujud syukur. Aku terlalu gembira. Setiap hari kalau aku tugas pagi aku akan melalui jalan itu. Tujuanku hanya untuk melihat wajah senyuman Siti Aishah dan aku tidak di hampakan. Siti Aishah tetap memberi senyuman kepadaku walaupun kami tiada ikatan.

Kata sepakat telah tercapai. Proses perminangan akan dibuat secepat mungkin
" Ayah...Diman nak ikut masa meminang nanti ". Kataku kepada ayah
" Ish...budak ni dok buat merepek. Tak pernah anak teruna ikut ". Kata ayahku namun aku bertegas hendak juga mengikut rombongan perminangan. Proses berjalan dengan lancar. Tiba-tiba ayahku menyampuk
" Minta maaf la. Anak teruna tak sabar. Dia nak ikut ". Aku melihat Siti Aishah tertawa bila ayahku berkata demikian. Manisnya senyuman tunangku. Bisik hati kecilku. Aku telah benar-benar jatuh cinta. Pihak perempuan meletakkan wang hantaran sebanyak RM2000 dan mas kahwin sebanyak RM101. Kami menerimanya dengan senang hati. Proses untuk mengadakan kenduri kahwin ialah selama 6 bulan.

Bermula saat itulah kami kerap berhubungan dengan surat. Masa tu mana ada lagi talipon canggih seperti sekarang. Jadi abam-abam posmen menjadi penyambung kami. Dalam surat aku beritahu tunangku yang gaji aku terlalu kecil untuk memilik sebuah rumah. Jadi bila berkahwin kami terpaksa menumpang bersama ibu bapaku. Siti Aishah memberi jawapan yang positif. Katanya bila kahwin nanti Allah akan buka pintu rezeki kami. Ayat yang membuat aku merasa begitu tenang. Ini bermakna dia sudah bersedia menghadapi apa saja dugaan yang datang. Aku pula sudah kerap tidur awal dari sebelumnya.
" Hai...tidur awal nampak ". Perli kakak aku. 
" Kena berubah ". Ringkas jawapanku
" Ya la....orang dah nak kahwin ". Aku tertawa mendengar gurauan kakakku......

To be continued.....

2 comments:

Nor Azimah Ali said...

Wah, tk sabarnya tggu cerita seterusnya

Ariff Budiman said...

Terima kasih Nor Azimah kerana sudi membaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...