Teman-teman

Thursday, September 10, 2009

Ibu, Ayah, Isteri & Anak

Ibu
Kedut-kedut diwajahMu menampakkan bahawa engkau telah pun melangkaui usia. Namun kasih sayang yang kau curahkan kepada kami yang bergelar anak tidak akan kami lupakan. Setiap kali selepas solat, doa untukmu tidak pernah lekang dari bibir kami. Ibu percayalah kegembiraan yang kami capai hari ini adalah berkat doa dariMu Ibu juga. Ya Allah kurniakan kesihatan yang baik kepada ibu kami agar dapat mengerjakan suruhnMu dengan sempurna.

Ayah
Walaupun engkau sudah tiada, pengorbananMu membesarkan serta membimbing kami tidak juga kami lupa. Walaupun ayah pernah lumpuh namun semangat ayah tetap kuat. Semangat itulah yang memberi kekuatan kepada ibu untuk terus membesarkan kami. Ayah walaupun engkau sudah tiada, doa dari anak-anakmu tidak pernah dilupai. PusaraMu tidak pernah ditinggalkan. Engkaulah ayah yang terbaik kepada kami semua.

Isteri
Kini 9 bulan engkau telah meninggalkan kami, namun pengorbananmu tidak sia-sia. Amat terasa hari raya kali ini tanpaMu. SibukMu di bulan Ramadhan. SibukMu menjelang Syawal masih terbayang. Tidak pernah kami lupa. Selama 23 tahun engkau bersamaku, tidak pernah sekalipun engkau mengecilkan hatiku. Aku begitu resah jika tidak melihat wajahmu walau sehari. Kini engkau pergi buat selama-lamanya. Hanya doa yang mampu kami titipkan agar engkau bahagia diakhirat Siti Aishah engkaulah isteri terbaik dunia dan akhirat. Bertemu kita disana.

Anak
Walaupun ibu sudah tiada, tidak bermakna kita tewas dalam kehidupan. Kita mulakan hidup baru walaupun terpaksa merangkak.Sakit, derita biarlah Allah yang menentukannya. Walaupun ayah hampir tertewas namun Allah masih sayang akan ayah. Kepada anak-anaku, janganlah lupa berdoa untuk kesejahteraan ibu. Juga doa untuk ayah agar Allah memberi kesihatan yang baik untuk terus memimpin anak-anak ayah sehingga berjaya didunia dan diakhirat. Aidil Fitri kali ini marilah kita bertakbir dan bertahmid memuji yang esa walaupun ibu tiada disisi. Ayah tahu bahawa kita merindui ibu namun percayalah yang suatu hari kita akan berjumpa dengan ibu. Kita akan memeluk ibu.

Isteriku Rosnah
Terima kasih aku ucapkan kerana sudi menerimaku. Maaf andaikata pertuturanku kadang-kadang tersebut nama Aishah. Aku mengerti hati seorang wanita. Aku tak terdaya melawan emosiku. Kini aku sedang pulih sedikit demi sedikit hasil dari dari kesabaranMu walaupun aku tahu hatiMu terluka atas sikapKu. Engkaulah isteri yang baik dunia akhirat. Syurga juga tempatMu. Maafkan suamiMu yang baru tersedar.

Dendam Seorang Ibu Mertua

Kiriman asal dari seorang kawan. Semoga mendapat iktibar
_________________________________________________________________________________

Suzana (nama sebenar)dan razman(nama sebenar) adalah pasangan yang paling bahagia dari sejak zaman sekolah..mereka sering kelihatan bersama di kantin, di dlm kelas mahupun waktu belajar di luar kelas...

Sesudah tamatnya zaman persekolahan, mereka menyambung pelajaran di sebuah U swasta yg terletak di sekitar kuala lumpur... mereka bagaikan belangkas yang x dapat di pisahkan lagi........ .tetapi dalam setiap percintaan mesti ada dugaan nya.. รข€˜


Salmah seorang ibu yg bengis & terlalu mengongkong keluarganya untuk mengikuti sgala kehendak nya.. Salmah adalah ibu kpd Suzana.


Pada suatu hari, Salmah mendapat tahu bahawa anak tunggalnya keluar dgn seorang lelaki iaitu Razman. Dia mendengar khabar itu drpd jiran2 nya. Salmah pun naik berang dan sgt marah terhadap Razman & mnyimpan dendam terhadap Razman..


Salmah sanggup memberhentikan pengajian anaknya dari belajar di U itu........dengan niat utk memisahkan mereka.


Setelah 3 bulan Suzana berhenti, datanglah Razman dgn rombongan meminangnya ke rumah Suzana. Ibu nya terpaksa akur dgn perhubungan percintaan mereka kerana menyedari bahawa jodoh anaknya itu memang kuat untuk Razman.


Setelah setahun berlalu mereka pan di ijab qabul kan ...... Mereka berdua bercadang hendak pergi honeymoon ke Pulau Tioman...... .tapi malang telah menimpa mereka......


Razman dan Suzana telah mendapat kemalangan semasa dalam perjalanan ke Pulau Tioman. Salmah bertambah marah kerana kemalangan itu menyebabkan muka Suzana mengalami luka yang teruk sehingga kulit muka nya tersiat. Malah meninggalkan kesan yang amat menakutkan.. ....


Sejak kemalangan itu kebencian Salmah terhadap Razman begitu membuak2. Razman berasa kecewa akan sikap Ibu mertuanya... ...tambahan mengetahui berita tentang wajah isterinya anaknya menjadi cacat seumur hidup.


Razman cuba utk memperbaiki keadaan..... ...Razman bertemu dengan doktor bagi merawat muka isterinya dengan cara mendermakan kulitnya. Perkara ini Razman telah memohon agar doktor berjanji akan tidak menceritakan kepada isteri dan ibu mertuanya.


Setelah seminggu Suzana membuat pembedahan muka, Salmah begitu gembira melihat perkembangan muka anaknya dan memeluk cium muka anaknya. Namun dendamnya terhadap menantu tidak pernah padam. Doktor tersenyum melihat kegembiraan Suzana dan ibunya.


Salmah bertanya kepada doktor dengan penuh harapan siapakah insan yang sanggup mendermakan kulit untuk pembedahan muka anaknya. Doktor terdiam seketika lalu menjawab.... ..penderma tersebut menyuruh saya agar tidak memberitahu akan identitinya kepada puan. Salmah akur dan kecewa dengan jawapan dari doktor tersebut dan mencium muka anaknya berkali-kali.


............ ......... ....

Sebenarnya Doktor telah menyimpan rahsia Razman yang mana telah mendermakan kulit punggungnya untuk pembedahan muka isteri kesayangannya. Cuba lah kalau rahsia ini terbongkar dan Salmah (ibu mertuanya) tahu yang pipi anaknya di cium berkali-kalai itu adalah kulit punggung menantunya yang dibenci. Macamana erkkk riaksi ibu mertua

Wednesday, September 09, 2009

Menolong IsteriKu

Pagi Ahad lepas, aku mengajak isteriku menziarahi seorang pakcik yang tenat. Pakcik ni dulu kalau dia tak nampak muka aku di surau mulalah dia bertanya jemaah yang lain kemana Budiman menghilang. Rasa sayu pula bila orang dah ambil berat pada kita. Hari tu pula isteriku perlu habiskan tempahan biskut tat jem nanas. Katanya, " Abang kena tolong Nah supaya cepat habis dan kita boleh pergi ziarah ". Apalagi aku gunakan kepakaranku yang lama tidak digunakan. Tekanan demi tekanan tat dapat kukeluarkan dari acuannya. Akhirnya sehari suntuk ibu jari tanganku tak boleh dibengkok akibat tekanan yang melampau. Gelihati isteriku melihat ibu jari tanganku keras. Katanya bukan senang nak dapat duit. Aku cuma berkata' " Ya le tu ". Kalian lihat gambar kuih ni. Cantik dak. Inilah hasil seni kerjaku.


Selepas selesai membuat tempahan kuih raya, kami mulalah membuat program ziarah. Bila isteri pakcik melihat kami terus dia menangis. Entah kenapa. Bila masuk kedalam rumah, pakcik sudah tidak mengenaliku lagi. Pada isteriku dia berkata bila isteriku naik pangkat. Isteriku hanya tersenyum. Dalam hati aku berkata mungkin suatu hari nanti aku juga berkeadaan demikian. Sebelum dia tidak mengenali orang lain pernah dia bertanya bagaimana caranya sembahyang orang yang tidak berupaya untuk bangun. Aku doakan semoga pakcik mendapat ganjaran yang terbaik disisi Allah.


Kami meminta diri untuk melihat kaum wanita membuat bubur kanji. Tempat lain disebut bubur lambuk. Rasanya sama saja. Cuma sebutan yang berbeza. Setibanya kami disana seronok bukan main kaum wanita dengan kehadiran kami. Maklumlah baru diperkenalkan isteriku. Apalagi aku diusik oleh wanita-wanita surau. Isteriku hanya mampu tersenyum melihat aku diusik. Mereka inilah yang bertungkus lumus bila surau mengadakan programnya. Bagiku tanpa wanita ini surau kami sudah pasti tidak dapat berjalan dengan lancar. Setiap tahun bila menyambut Ramadhan inilah tugasku membantu wanita walaupun kadang-kadang hanya aku seorang saja lelaki yang berada didapur. Namun itu tidak menjadi hal.


Akhirnya kanji siap dan dapatlah aku merasa hidangan kanji yang lazat. Ia menjadi rebutan penduduk sebab orang wanita kalau memasak memang sedap. Mereka amat cerewet dengan ramuan yang akan dimasukkan. Akhirnya ia menjadi juadah istimewa untuk berbuka puasa. Kesian aku melihat isteriku sehari suntuk mengikutku. " Kita tak payah masak la. Kita beli di bazar Ramadhan. Kesian dekat Nah ". Bisik aku pada isteri. " Sayang juga abang no ". Gurau isteriku. " Siapa tak sayang bini oiiii ". Kata-kata ini membuat kami berdua ketawa.

Tiba dibazar Ramadhan mulalah aku tak tahu nak beli apa. Selalunya kalau macam ni aku pasti beli pasembur. Akhirnya aku mencari nasi kerabu. Orang Kelantan jual sedap sekali. Tiba-tiba bahu aku ditepuk. " Bang bantuan kepada Gaza ". Kata seorang yang aku kenali. Ya itulah pelawak Osman Kering yang pernah membintangi beberapa buah filem. Mungkin mereka melakukan amal jariah sempena Ramadhan. Baguslah. Masih ramai yang tidak percaya. Ada yang bertanya berlakunkah ini. Ada yang berbisik sesama sendiri mungkin tawaran berlakun tak ada jadi dengan cara beginilah mencari wang.

Itulah mentaliti rakyat Malaysia. Suka berburuk sangka bila orang lain nak buat amal kebaikan. Nak kata hulur walau RM1 atas kesedaran kepada rakyat Palestin yang seagama dengan kita jauh sekali. Namun aku melihat mereka terus juga berjalan sambil menerangkan akan penderitaan rakyat Palestin. Aku menghulurkan kertas merah kepada Osman Kering. Tersenyum dia sambil berkata, " Terima kasih bang semoga Allah terima amal-amal ini ". Ya aku pun mengharapkan agar Allah terima amal yang kecil. Dalam hati aku berkata semoga Allah berkati usaha mereka yang besar ini. Pada mereka yang tidak peka langsung akan nasib umat islam lain. Tunggulah jika kita pula tidak bernasib baik, kita pula akan mengharapkan bantuan dari umat islam lain. Tepuk dada tanyalah iman kita

Monday, September 07, 2009

Rupanya Bukan RezekiKu

Pagi ini aku kepasar. Aku memberitahu isteri bahawa aku akan membeli ikan untuk aku sedekahkan kepada sepupuku. Sepupuku mempunyai anak seramai 11 orang. Kerjanya hanya membuat minuman. Namun pada bulan Ramadhan ini tiada pekerjaan sebab kedai ditutup. Yang aku kasihan sepupuku ini ialah pengorbanannya amat besar terhadap adik-adik. Harta peninggalan orang tua semuanya adik-adik yang dapat. Dia sebagai abang banyak mengalah. Katanya padaku dia tak mahu adik beradik berpecah belah hanya kerana harta. Setiap tahun bulan ramadhan kami tak pernah lupa kepada, Kalau aku lupa arwah Siti aishah akan mengingatkannya. Ramai juga masyarakat yang bersimpati dengan sepupuku ini.

Aku berlegar dipasar mencari apa yang perlu aku beli untuk sepupuku. Akhirnya aku membeli ikan kembung dan sedikit udang untuk mereka berbuka. Selesai membeli untuk sepupuku, aku mencari untuk keluargaku pula. Terlihat udang besar. tertulis sekilo RM30. Aku beli 1/2 kilo. kemudian aku beli pula ikan pari untuk dibuat kari. Terbayang aku wajah kari dan udang besar yang akan kami santap. Aku asingkan ikan yang aku akan berikan kepada sepupuku. Setibanya aku didepan sepupuku terus kuhulrkan barang kepada sepupuku. Gembira anak-anaknya melompat-lompat. " mak-mak hari ini kita makan udang mak ". Terharu aku melihat akan anak-anaknya. Mungkin baru dapat merasai makanan sedap.

Kalau buat kari atau asam pedas cukup berselera makan ni

Aku meninggalkan rumah sepupuku, Aku singgah dirumah mertuaku untuk mengambil daun kari. Aku tersentak bila melihat rupaya aku tersilap beri kepada sepupuku. Udang besar dan ikan pari yang sepatutnya kami rasai telah bertukar tangan. Kini aku pula yang mendapat ikan kembong dan udang kecil. Ini merupakan pengajaran buat diriku. Aku merelakan mereka mendapat udang besar dan ikan pari. Mungkin sudah tersurat bahawa hari ini rezeki mereka ialah udang besar dan ikan pari manakala aku dan keluargaku ikan kembong dan udang kecil. Sambil menaiki motosikal tidak putus-putus aku pasrah kepada Allah. Allah hendak mendidik aku rupanya. Sepatutnya kepada merekalah aku membeli makanan yang aku suka makan.

Aku singgah dikedai buah-buahan. Hajat dihati nak mencari buah betik. Aku bertemu dengan seorang pakcik. Katanya lama tak nampak aku disurau namun katanya kerja-kerja surau aku telah bereskan dengan baik. Sambil menimbang buah durian dia masih menceritakan hal surau. " Pakcik hari ini makan durian la, Bau wangi sungguh ". Aku menegur pakcik. Setelah membayar wang pakcik itu terus memberi buah durian kepadaku. Katanya dia tergerak dihati nak sedekah buah durian kepadaku. Aku terus terdiam. Tak terkata apa sebab memikirkan peristiwa hari ini. Allah maha besar. Itulah yang mampu aku ucapkan didalam hatiku

Durian siam. Isi kuning. Buat pulut durian sedap ni. Merasalah petang ni

Saturday, September 05, 2009

Kembalilah kepada Kak Rosnah

Bila aku bersama dengan isteriku hilang segala masalah aku yang membelenggu selama ini. Namun bila aku keseorangan sudah pasti kenangan silam akan menjelma. Ini berlaku bila aku terlalu mengikut perasaan hati. Semalam aku bertugas malam. Setelah semua kerja dapat aku bereskan aku pasti terlelap seketika. namun semalam aku begitu resah. mata tidak terasa letih. Akhirnya aku tewas jua. memori silam bersama arwah Siti Aishah menjelma kembali. Ingatan ketika kami sekeluarga berbuka puasa dirumah. Aku melayani memori ini.

Entah macam mana aku terlelap seketika. ketika inilah muncullah mimpi yang mampu mengubah corak kehidupanku. Dalam mimpi aku termenung keseorangan melayani nasib yang menimpaku. Tiba-tiba aku bertemu mata dengan Siti Aishah. Kami berlari tanpa menghiraukan orang ramai. Akhirnya kami berpelukan sambil menangis. " Siti pergi mana selama ini. Puas abang cari ". Aku bertanya Siti Aishah. Namun dia tidak menghiraukan pertanyaanku. Pelukannya bertambah kuat. " Siti abang tanya kemana Siti menghilang selama ini. Merata tempat abang mencari". Aku terus bertanya. Namun tiada juga jawapan darinya.

Akhirnya aku terpaksa meleraikan pelukan kami berdua dan terus aku berkata, " Siti..Abang terpaksa berterus terang dengan Siti. Abang sangka Siti sudah tiada. Abang putus asa lalu terus abang berkahwin dengan kakak Rosnah. Apa pendapat Siti ".
Siti Aishah hanya diam sambil tersenyum mendengar kata-kataku. " Siti..apa pendapat Siti abang berkahwin dengan kak Rosnah ". Siti Aishah masih tetap berdiam diri sambil tersenyum lagi. Pelik aku memikirkan ini.

Tiba-tiba telefon berbunyi. Ia dari isteriku Rosnah. Suara Rosnah dapat didengari oleh Siti Aishah. ' Abang.. sudah 24 jam abang tidak pulang kerumah. Pulanglah bang. Nah perlukan abang ". Aku memandang Siti Aishah. Pening kepala. Siti Aishah juga isteriku dan Rosnah juga isteriku. Akhirnya Siti Aishah bersuara, " Abang perlu berlaku adil. Pulanglah kepada kak Rosnah. Dia perlukan abang ". " Tapi Siti macam mana ". Aku menjadi serba salah." Abang tak perlu risau akan Siti. pandailah Siti menjaga diri". Jawab Siti Aishah.

Akhirnya aku mengalah kepada Siti Aishah. Kami berpelukan sambil menangis sebelum berpisah. " Siti abang ucap terima kasih kepada Siti. Sungguh besar pengorbanan Siti terhadap abang ". Ketika aku berjalan pergi, Siti Aishah memegang tanganku. Katanya, " Abang satu saja permintaan Siti. Abang jangan lupa akan Siti ". Aku terkejut dari mimpiku. Jam menunjukkan pukul 5.15 pagi. Tentu isteriku Rosnah sudah bangun bersahur. Aku terus menaliponnya. " Assalamualaikum ". Tapi aku terus terdiam tanpa bicara. Aku letak kembali talipon. Sebentar kemudia dia menalipon aku kembali. " Bang kenapa abang talipon. Ada masalah ke ".

Memang aku tak pernah menaliponnya ketika waktu sahur. Selepas peristiwa tadi aku terus berubah. " Saja abang nak tanya Rosnah sihat ke. makan apa pagi ini ". Terdengar suara sebak dari isteriku. " Rosnah sihat tapi tak lalu nak makan ".Akhirnya aku meminta diri sebab akan bersahur. Sepanjang hari aku asyik memikirkan tentang Rosnah. Bila aku pulang kerumah Rosnah menyambutku dengan senyuman seperti selalu. Ketika aku duduk diatas sofa dia membawa kotak yang berisi kasut. Katanya baru dibeli untuk kegunanaaku. Terdiam aku sambil mengucapkan terima kasih kepadanya. Katanya dia ingin sekali melihat aku memakai kasut itu. Aku tidak membantah lalu terus aku pakai.

Hari ini aku meminta izin darinya berbuka puasa bersama anak dan keluarga mertuaku. Dia tidak membantah. Ramai anak cucu yang hadir. Aku hanya duduk keseorangan dimeja. Yang lain berada dibawah. Gelak ketawa, usik mengusik sudah menjadi mainan namun ingatanku tetap kepada Rosnah. Apa yang dimakannya. Selepas berbuka aku kembali kerumah isteriku. Aku bertanya apa yang dimakannya. Katanya dia tak lalu nak makan sebab memikirkan apa pula yang aku makan. Akhirnya kami makan bersama sekali lagi sebelum aku bertugas malam. Sebelum aku pergi kerja aku memandang wajahnya sambil berkata, " Rosnah percayalah abang cinta akan Rosnah ". Dia mengucup tanganku. Terasa panas air menitik diatas tanganku.Aku terus memandu kereta dengan harapan baruku agar aku terus mencintai isteriku sekarang. Pembaca semua tolong doakan aku.
Sorry mungkin boring membaca

Thursday, September 03, 2009

Ramadhan & Aidil Fitri

Aku masih terkenangkan zaman remajaku semasa di kampong. Aku masih ingat pesan ayah, " Budiman..kalau nak main apa pun pastikan solat Maghrib & Isyak dulu. Tarawih jangan miss ". Kadang-kadang aku cemburu akan kawan-kawan lain. Selepas berbuka dah riuh main mercun dan acilut. Mak bapak dia orang pun tak pernah marah. Mak dan ayah aku cukup pantang kalau aku tak ke masjid. Jadi aku terpaksa tunaikan kemahuan mereka walaupun ketika dalam perjalanan ke masjid terdengar dentuman meriam tanah. Bedeboom....... bunyinya membelah kesunyian kampong Manggis.

Aku mengayuh basikal bersama kawan-kawan yang lain. " Diman esok ada perlawanan meriam siapa paling kuat antara kampong ". Kampong aku yang berdekatan ialah Kampong Jalan tengah dan Pagar Buluh. Kampong pagar Buloh ni unik sikit meriam dia orang. Dia orang main betul-betul atas kubu Jepun. Maka sudah pastinya dentumannya akan menggegarkan pekan Sungai Ara. ia terletak diatas bukit. Aku pernah juga pergi melihat kawan-kawan sebaya aku bermain disana. Lorong khas telah pun dibuat andaikata polis menyerbu.

Aku tergaru-garu kepala sebab besok selepas berbuka perlawanan akan bermula. Aku sudah pasti kena ke masjid. Ayah akan tercangak-cangak mencari aku lalu aku penjangkan leherku yang pendek agar ayah nampak. Setelah ayah nampak aku barulah dia iqamat. Hari yang ditunggu dah tiba. Aku gelisah apa yang aku nak cakap dekat ayah. Aaa... dapat idea.
" Ayah..Lepas buka puasa Diman tak dapat pergi masjid sebab nak ulangkaji. Esok ada ujian".
" Baguih Diman. Belajar rajin-rajin. Ikut macam abang Danial hang ". Gembiranya hatiku bila ayah tak marah. Selepas berbuka aku pun bukalah buku nak tunjuk yang aku ni belajar. Kakak-kakak aku pun bukan boleh harap. Nanti direpot pada ayah tentu aku kena.

Ketika aku keluar, kakak aku sisinga dah bertempik. " Hang nak pergi mana ". " Keluar sat ambil angin. Lepas ni study balik ". Diam singa. Apalagi aku terus ketempat meriam kawan aku dihujung sawah padi. Kelihatan api dicucuh ketanah. Bedeboom..Bunyinya begitu kuat. Kemudian merian dari kampong Jalan Tengah pula berbunyi. Akhirnya meriam Pagar Buloh membelah kesunyian pekan Sungai Ara. Bunyinya macam bom yang digugurkan. kami semua terpukau. Sah memang pasukan Pagar Buloh yang menang.

Tiba-tiba bahuku dipegang dari belakang. Mak datuk bila masa polis datang ni. Aku berpeluh bila polis berkata yang kami akan dibawa ke balai polis. Apa yang aku nak jawab dekat ayah aku nanti. Aku melihat jam ditangan sudah pukul 1030 malam. Sudah tentu ayah akan sampai dirumah nanti. Pasti aku akan kena penampar sulong. Akhirnya setelah kami merayu, merafak sembah yang kami tak akan main lagi. Kami terus musnahkan meriam tanah. Barulah polis melepaskan kami dengan nasihat-nasihat yang berguna. Kata polis," Kamu buangkan masa kamu. Kamu bahayakan diri kamu untuk kepuasan. Yang akan merana ialah keluarga kamu nanti ". Ketika itu aku amat insaf sebab aku telah membohongi emak dan ayah.

Esoknya terdengar cerita tiga tempat permainan meriam telah diserbu polis. Yang tak dapat ditangkap ialah pasukan Pagar Buloh sebab dia orang dah plan siap-siap. Selepas itu aku berjanji pada diri sendiri aku tak akan melibatkan diriku dengan meriam lagi. Apabila masuk Syawal hatiku begitu gembira sebab dapat berhari-raya bersama keluarga. Kariah aku telah memilih padang bola untuk dijadikan tempat sembahyang sunat Aidil Fitri. Ternampak begitu ramai sekali makmum yang datang. Seperti di padang Arafah. Ayahku pun bertakbir dengan penuh syahdu sehingga aku mengalir airmata keinsafan yang kemungkinan aku pasti berhari raya didalam lokap polis akibat bermain meriam.

Kini aku bersyukur sebab atas ketegasan ayah memaksa aku berjemaah dimasjid, aku tidak kekok berada dihadapan saf. Kawan-kawan aku masih lagi terkial-kial malu bila kesurau. Kini aku menjadi bilal Tarawih dan akan bertakbir, bertahmid di Aidil Fitri yang akan datang. Sudah pasti hari itu aku pasti mengalir air mata yang lebih deras dengan ingatan keatas mereka yang telah pergi mendahuluiku. Mereka yang banyak mengajar aku tentang kehidupan yang sementara. Sesungguhnya Aidil Fitri tahun ini pasti terasa. Allahu Akbar Allah....Laaa ila Haillallah Wallah Ilhamd.



Tuesday, September 01, 2009

Nak Menangis Atau Ketawa

30 Ogos 2009 merupakan hari kami sekeluarga berbuka puasa bersama emak. Program ini kami lakukan setiap tahun. Selalunya arwah Siti Aishah dipertanggung jawabkan untuk memasak nasi tomato. Nasi yang tak pernah kami miss. Bila Siti Aishah meninggal kami semua agak pening kepala siapa pula yang boleh memasak nasi. Akhirnya keputusan telah dibuat. Seluruh keluarga meminta agar isteriku kini Rosnah dapat memasak nasi. Akhirnya dia bersetuju untuk memasak. Menu nasi tomato, ayam masak merah dan daging masak kicap. Aku membantu apa yang terdaya. Ternyata dia amat cekap. maklumlah pengalaman berniaga dipasar malam.

Rumah emak dipenuhi anak cucu. Riuh rendah gelak ketawa. Itu baru setengah. Bila azan berkemundang keadaan riuh menjadi sunyi sepi. Masing-masing begitu tekun menjamu selera. kami hanya makan ringan saja. Selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah maka hidangan yang ditunggu semua pun bermula. Masing-masing begitu selera. Aku masih terbayang Siti Aishah begitu sibuk didapur. Kini kenangan itu sahaja yang dapat aku ingatkan. Begitu cepat masa berlalu. Tahun lepas dia yang masak nasi tomato, tahun ini dia sudah tiada. Kini telah diganti dengan orang baru.

Isteri aku masih malu-malu walaupun dapat menyesuaikan diri sedikit demi sedikit. Aku amat terasa malam itu sebab bertahun-tahun kami makan bergelak ketawa kini dia sudah tiada. Aku tak mahu menunjukkan sangat kesedihanku sebab akan dimarahi keluarga. Memanglah yang pergi tetap pergi namun nostalgianya bukan senang untuk aku padamkan. Selalu kami akan pulang setelah selesai menunaikan solat tarawih. Namun kini aku tidak sanggup menanggung ingatan ini lalu aku mengajak isteriku pulang setelah selesai menjamu selera.

Malamnya aku sembahyang sambil airmata mengalir dipipiku. Aku bermohon kepada Allah agar diberikan ketabahan kepada kami anak beranak untuk meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang. Aku juga berdoa agar perkahwinan aku dengan Rosnah akan memberi aku harapan baru. Semoga aku akan terus mencintai Rosnah seperti aku mencintai Siti Aishah. Syawal semakin hampir tetapi aku tak tahu samada hendak menangis atau ketawa. Orang lain begitu sibuk dengan baju raya tetapi hanya cukup dengan baju lama. Kadang-kadang isteriku Rosnah berkata, " Abang belilah baju baru untuk hari raya ini ". Aku harus juga menjaga hatinya yang membuat aku merasa tenang kali ini.

Wak Saber

Alhamdulillah setelah seminggu aku tidak melayari intenet disebabkan kena standby dari pagi hingga malam. Apa yang berlaku didunia aku tak tahu. Bila pulang dah keletihan sebab esoknya terpaksa kena standby lagi. Itulah tugasku untuk menjaga keperluan pengguna agar menggunakan kemudahan yang Allah anugerahkan kepada hambanya.

Hari ini aku begitu gembira sebab sudah selesai tugasanku setelah berpenat lelah selama seminggu. Aku kepasar untuk mencari ikan sembilang untuk juadah berbuka puasa. Sebelum sampai dipasar, aku telah ditahan oleh anggota polis. Aku selamba saja memberi lesen tanpa ada perasaan takut sebab aku tidak membuat kesalahan apa-apa. Polis hanya menjalankan tugas mereka biarkan. Anggota polis memandang aku dari atas hingga ke bawah dan berkata, " Oooo encik orang melayu ka. Nama dan muka macam orang Indon ". Aku hanya tersenyum.

" Encik sekarang ini ramai orang Indon menunggang motorsikal tanpa lesen. Pulak itu menjadi penjenayah dengan meragut. Sebab itu kami buat roadblock ". Sambil menghulurkan lesen kembali dia mengucapkan terima kasih. Bagi aku itu perkara biasa saja. Aku terus kepasar. Sampai saja disana aku senagaja membuka tempat duduk untuk melihat bila roadtax motor expired. Terkejut aku bila melihat rupanya sudah expired selama 2 minggu dan dalam masa ini juga aku telah ditahan polis selama 3 kali. Nasib baik masa itu aku memakai uniform kerja.

Aku bergegas pulang kerumah lalu mengambil geran motor dan terus memperharui roadtax. Aku tak mahu ada masalah dengan mana-mana pihak. Aku ceritakan kepada isteriku tentang aku disangka orang Indon oleh anggota polis. Kata isteriku ikut pelat Jawa." Tak apa bang. Saber ya ". Aku berkata',"Memang selama ini wak saber ". Kalaulah aku dah tahu roadtax dah mati sudah pastinya aku berpeluh-peluh dan berdebar-debar menanti contengan diatas kertas. Berkat Ramadhan....


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...