Teman-teman

Saturday, January 19, 2013

Kisah Batu lagi

Ini merupakan sambungan dari kisah batu. Setelah orang ramai diberi batu putih yang dikatakan terdapat dari pokok kayu senduduk putih. Penjual terus mengambil ranting pokok lalu ditunjukkanya kepada orang ramai. Memang terdapat batu didalam tetapi zaman sekarang memang payah untuk kita mempercayainya. Jadi aku hanya melihat saja. Dipotongnya kecil-kecil lalu dihadiahkan kepada orang ramai. aku tidak terkecuali dari mendapatnya. Gembira sungguh hati ini. Minggu lepas dapat batu delima minggu ini dapat batu senduduk putih. Diambilnya serpihan kayu lalu berkata
" Siapa disini suka memancing. Haa..ini ada satu kayu ajaib. Jika diletak dihujung kail maka ikan tak henti-henti menyentap. Jeoloaus orang sebelah nanti ". katanya.
" Ini pun saya nak bagi free hari ni. Entah kenapa saya amat baik hari ini ". Orang ramai termasuk aku tertawa sambil mengambil serpihan kayu. Dalam hati, aku begitu girang sebab esok aku off jadi boleh la ajak isteri memancing.

Pulang kerumah aku nak buat surprise pada isteriku. Aku membuka pintu. Kelihatan isteriku Siti Aishah sedang menangis. Aku ini jenis yang tak boleh melihat isteriku menangis. sangkaanku mungkin akhlak aku yang tidak baik membuatkan dia menangis. Terus aku bertanya kenapa. Akhirnya.....
" Siti menangis sebab rindu melihat kaabah. Bila kita dapat pergi kesana ". Bertambah sayu dia.
" Insyaallah sama-sama kita berdoa kepada Allah ". Kataku kepada isteriku


" Siti...esok jom kita pergi memancing ". Aku ingin meredakan sayunya.
" Ni ada barang abang dapat di masjid tadi. Kata dia kalau benda ini di letak dihujung kail, ikan banyak akan dapat. Jenuh la kita makan ikan ". Gurau aku. Isteriku Siti Aishah tertawa. Akulah insan yang paling gembira bila mendengar isteriku tertawa.
" Abang ni percaya yang bukan-bukan. Rezeki tu Allah yang bagi ". Kata isteriku
" Abang tahu tapi nak tahu juga kesannya dengan kayu ini ". Kataku kepada isteriku. Esoknya kami berdua kepantai. Air memukul batu.
" Alamak Siti...Air macam ni sudah pasti ada ikan sembilang ". Kataku kepada isteri. Aku terus meletakkan serpihan kayu dihujung kail. Isteriku Siti Aishah terus mengait baju yang dibawanya. Sudah berapa kali aku menukar umpan namun belum merasa ikan merentap kailku. Akhirnya setelah 2 jam berada di atas batu isteriku mula bersuara.
" Hai ikan di mana kamu. Kesian dekat che abang saya ni ". Aku tertawa gelihati bila di perli isteri. Aku tahu apa maksudnya.
" Jom kita balik Siti. boringnya ". Isteriku tertawa lagi bila aku mengajaknya pulang. Aku tidak berkecil hati dengan tawanya tetapi aku mengucapkan terima kasih kerana sudi melayan minatku.

Friday, January 18, 2013

Bersemadilah Dengan Tenang

" Salam Budiman. Bila nak ambil daun misai kucing. Dah 3 hari saya simpan ". Aku menerima panggilan talipon dari sahabat baikku Mokhtar pada hari Rabu 16 Jan 2013. Selalunya pada dialah aku mengambil daun misai kucing untuk aku minum sebagai minuman kesihatan. Kami memang baik semasa remaja lagi. Bolasepak memang permainan kami. Bila aku berkahwin dengan Siti Aishah dia adalah pengapitku. Kami juga meminati bidang nasyid dan telah menubuhkan sebuah kumpulan nasyid yang bernama Al-muhajjir. Aku sebagai pemain bonggo manakala sahabatku Mokhtar merupakan suara latar. Sahabatku yang lain Insan Marhein dan Jendela Hati merupakan sebahagian dari kumpulan ini. Merata tempat kami merantau bila menerima tempahan nasyid. Kami turut membawa keluarga bersama yang merupakan penyokong kuat.


Di dalam kariah pula kami juga aktif dengan tadika islam dan fradhu ain. Isterinya dan isteriku merupakan tenaga pengajar manakala aku merupakan gurubesar. Walaupun sahabatku berniaga namun dia dapat mencari ruang untuk tujuan dakwah. ketika aku menerima ujian dimana isteriku meninggal dia menangis sambil memelukku meminta aku agar bersabar.
" Insyaallah Budiman. Tempat Kak aishah adalah di syurga ". Katanya sambil memelukku. Baru-baru ini bersama Aflin Shauki dalam program Untuk Gaza dan Syria dia juga terlibat. Dia sebagai peserta rombongan yang bergerak dari surau ke masjid mengambil bantuan manakala aku berata di atas pentas sebagai DJ. Bila dia tiba di padang tersenyum dia melihat aku berada di atas pentas
" Tempat Budiman kira atas pentas ". Katanya kepada seorang sahabat. Tertawa kami ketika itu. Begitu indahnya hidup berjemaah.


Khamis 17 Jan 2013, aku dan isteri ke shoping complex. Bila tiba aku terus melihat talipon bimbitku. 10 miss call. Hairan juga sebab tak pernah-pernah dapat panggilan sebanyak itu. Ketika memasuki shoping complex satu lagi panggilan aku terima. Tiba-tiba airmataku gugur. Terkejut aku mendengar sahabatku Mokhtar telah meninggal akibat kemalangan dengan bas rapid. Baru semalam aku dan isteri ke gerainya untuk mengambil daun misai kucing. Ketika aku nak pulang dia berkata
" Laa...Budiman nak balik dah. Nanti la dulu. Bukan senang dapat berjumpa dengan Budiman ". Katanya bergurau. Isteriku Rosnah hanya tersenyum mendengarnya. Selalunya kalau aku kegerainya memang susah untuk keluar sebab ada saja cerita darinya. Kalau aku ke gerainya pada petang jumaat pasti ayat ini akan keluar
" Budiman sembahyang Jumaat dimana hari ni. Saya tak nampak pun ". Masih terngiang-ngiang suaranya. Kini ia telah tiada buat selama-lamanya.

Selepas solat Jumaat ziarah pusara isteriku, ibubapaku serta sahabat baikku Mokhtar. Aku sedekah kepadanya Al Fatihah dan aku berdoa agar Allah tempatkannya didalam syurga bersama para solihin dan Allah terima amal-amalnya. Entah bila pula tiba giliran kami. Bagaimana dengan amal-amal kami berbanding sahabat ini yang sentiasa dilihat didalam masjid.



Wednesday, January 16, 2013

Kisah Batu

Aku masih ingat pada tahun 1999. Aku telah diarahkan bertukar dari Bayan Baru ( Penang ) ke Seberang Perai. Hati ini terasa amat risau apabila membayangkan setiap hari aku pasti menempuh jambatan Pulau Pinang. Isteriku Siti Aishah sering memujuk. Katanya
" Tak apa bang. Seberang Perai masih lagi Pulau Pinang. Siti akan sentiasa berdoa untuk keselamatan abang ". Sejuk aku dengan pujukan isteriku. Akhirnya aku berpindah ketempat kerjaku yang baru. Ini bermakna solat jumaatku pun di tempat yang baru juga. Lama kelamaan aku sudah dapat membiasakan diri. Bila tiba hari jumaat tatkala aku bertugas pagi hati ini begitu gembira sekali. Solat jumaatku di masjid Seberang Jaya. Apa yang menarik tentang masjid ini ialah setiap kali jumaat begitu ramai penjual akan berada disini. Makan, ubat, minuman dan bermacam-macam jenis jualan. Pukul 12 tengahari aku sudah berada disini.

Aku melihat seorang lelaki sedang mengambil sesuatu. ia seperti batu delima. Aku pernah dengar dari mulut orang tua-tua mengenai batu delima ini. Kata mereka kalau ia benar-benar batu delima dan jika ia direndam kedalam air, air akan bertukar warna batu itu. Aku memang cukup berminat dengan perkara-perkara ini. Aku mendekati lelaki penjual tersebut. Di ambilnya batu lalu memperkenalkannya kepada orang ramai.
" Ini ialah batu delima. Kalau direndamnya batu kedalam air, airnya akan berubah warna ". Kata-kata penjual tersebut membuatkan aku bertambah minat untuk melihat. Terus dimasukkan batu tersebut kedalam air. Memang air bertukar kewarna batu tersebut. Bila diangkat air tersebut kembali warna putih.

Aku berangan-angan alangkah gembiranya kalau aku dapat memiliki batu tersebut. Penjual tersebut mengeluarkan sesuatu dari dalam karung hitam. Batu yang sama warna dituang ke lantai. Katanya ia bukan batu delima tetapi jenis yang seakan sama dengan batu delima. Dia terus mengambil asid lalu dituangnya asid keatas stokin tersebut. Hancur stokin dimakan oleh asid. Diambilnya parang lalu meminta keizinan aku yang berada dihadapan untuk memotong sedikit rambutku. Memang putus rambutku. Dia memasukkan kembali batu delima kedalam air. Terus air bertukar warna. Diambilnya kesemua batu lalu dimasukkan bersama-sama batu delima yang direndam lalu membaca sesuatu.


Terus dia mengeluarkan sebiji batu lalu diberinya kepadaku.Disuruhnya aku genggam batu tersebut. Diambilnya asid tadi. Katanya dia nak menuangnya keatas tangan aku. Biar betul..Orang semakin ramai yang datang mahu melihat. Terus dia tuang asid keatas tanganku. Orang ramai memandang muka aku.
" Ok encik rasa apa tadi ". Tanya lelaki tersebut.
" Saya rasa amat sejuk ". Kataku padahal asid yang dituangkan nampak berasap ketika ianya dituangkan.
" Itulah kelebihan dari batu delima ini ". Kata penjual. Kemudian dia mengambil parang lalu meminta izin untuk memotong rambutku. Dicekaknya rambut lalu dipotong. Memang tidak putus. Akhirnya dia berkata  siapa yang berhajat dengan batu tersebut boleh la dibeli dengan harga RM50. Ramai yang membeli batu tersebut.
" Batu ini saya beri percuma kepada encik kerana berani ". Kata penjual tersebut sambil menghulurkan batu tersebut kepadaku. Alhamdulillah gembiranya aku dapat batu tersebut walaupun aku tahu ia bukanlah batu yang ori. Aku tunjukkan kepada isteriku. Isteriku turut memuji akan kecantikan batu tersebut.
" Nanti Siti buat kalung dengan batu ini ". Aku berkata kepada isteriku.

Minggu sekali lagi aku ke masjid itu lagi. Kali ini terdapat pula seorang lelaki sedang mengeluarkan kayu dan ranting. Katanya ia dari pokok senduduk putih. Aku tahu pokok ini amat susah didapati. Kerapnya senduduk yang berwarna merah yang terdapat didalam hutan. Yang istimewa kata lelaki tersebut pokok yang dia jumpa mengandungi batu didalamnya. Dipotongnya ranting tersebut dan memang kelihatan ada batu berwarna putih. Katanya dia telah memotong batu tersebut dan berhajat untuk memberi hadiah percuma kepada orang ramai sebelum menjual yang lain. Disebabkan aku berada dihadapan juga maka dapatlah percuma batu yang dikatakan dari pokok senduduk putih. Bagiku tiada apa yang istimewa pada kedua-dua batu tersebut. Ia tiada kuasa cuma aku merasa seronok menyimpannya. Kini ia telah berada ditanganku selama 12 tahun. Aku telah diarahkan bertukar ketempat kerja yang baru makan masjid Seberang Jaya tidak lagi aku kunjungi untuk solat jumaat.


Baru-baru ini aku diarahkan bertugas ditempat kerjaku yang lama. Kata bos untuk memastikan kontraktor tidak mengabaikan ciri-ciri keselamatan bekerja dibawah talian hidup. Kerja tidak dapat disiapkan dalam satu hari dan ia akan disambung pada esoknya yang jatuh pada hari jumaat. Aku beritahu isteriku yang solat disini memang seronok.Jam 12 tengahari aku sudah berada di perkarangan masjid. Penjual baru ada yang datang. Dihujung pagar seorang lelaki bersama barang julannya. Terdapat keris lama, lembing lama, batu cincin yang amat cantik. Penjual membahasakan dirinya Tok Ayah. Katanya dari Kelantan.

Diceritanya satu persatu barangan yang dia bawa. Kemudian dia menyarung 4 bentuk cincin di jarinya. Cincin merah katanya ialah geliga dari delima. Cincin kedua geliga ikan yang diambil dari kepala ikan pari. Cincin ketiga geliga ular dan cincin keempat ialah geliga embun. Keempat-empat cincin ini amat cantik sekali. Aku amat tertarik dengan cincin berbatu merah. Seorang lelaki mengambil cincin geliga ular lalu bertanya kepada Tok Ayah.
" Hok ini harga dio RM150. Kalau nok boleh tawar. Tok sei malu. Saya nak bagi mughoh ". Kata Tok Ayah.
" RM100 boleh ". Kata pemuda tersebut dan akhirnya dipersetujui oleh Tok Ayah. Seorang lelaki pula berhajat dengan batu geliga ikan. Dibelek-beleknya batu tersebut dan bertanya
" Berapa harga ni ". 
" RM150. Boleh minta kurang. Hari ini saya rugi tak po ". Kata Tok Ayah
" RM50 boleh ". Tanya pemuda tersebut.
" Tak leh hargo tu. Naik la sikit ". Kata Tok Ayah
" RM70 ". Kata pemuda tersebut dan akhirnya dipersetujui oleh Tok Ayah. Dia terus menunjuk cincin batu merah. Aku mengambil cincin tersebut sambil membelek-belek.
" Kalau minat boleh bertanya. Malu bertanya sesat jalan ". Kata Tok Ayah. Aku hanya tersenyum antara nak dan tidak. Aku terus menalipon isteriku dan cerita tentang batu.

" Abang tengok macam mana batu tu. Tak ada apa ka ". Takut sungguh isteriku. Takut aku membawa pulang batu dan benda yang ada pada batu tersebut.
" Tak ada apa pada batu tu ". Kataku.
" Agak-agak berapa dia jual batu tu '. Tanya isteriku.
" Mungkin RM70 atau RM80 ". Kataku pada isteri. Akhirnya aku tidak dapat menumpukan perhatianku pada solat jumaat. Entah kenapa aku asyik terbayang batu merah tersebut. Selepas solat jumaat aku keluar sambil membuka dompet. Ya Allah ada RM30 saja dalam beg. Nak ambil aku kena ketempat kerja awal. Aku terus mendapatkan Tok Ayah dan bertanya
" Minggu depan Tok Ayah datang lagi dok kesini ".
" Minggu depan tok maghi doh sini. Ni pun sesat ". Kata Tok Ayah.
" Bukan apa, saya berkenan dengan cincin delima merah tu tapi saya tak cukup duit. Nak pergi ke bank dah tak sempat lagi '. Kataku pada Tok Ayah.
" Berapa anok ada pitih dalam beg duit ". Tanya Tok Ayah
" Ada RM30 saja ". Kataku malu sebab ramai yang mendengarnya
" Jadilah tu. Kira mace ni. Kalau saya maghi lagi anok bayar yang baki. Kalau saya tok maghi doh kira saya halalkan '. Sambil bersalaman dengan aku.

Orang ramai bila mendengar aku beli dengan harga RM30 mulalah memegang batu yang lain.
" Maaf. Anok ni soghe saya bagi dio RM30 sebab dia cakap jujur. Sie dio. Dio berhajat sungguh ". Kata Tok Ayah kepada mereka yang mula memegang batu yang lain. Betapa gembiranya aku mendapat batu berwarna merah. Terus aku talipon isteriku. Tertawa isteriku bila mendengar ceritaku. Aku ambil gambar cincin lalu aku viber ke isteriku. Kata isteriku memang cantik sekali warna batu merah. Syukur akhirnya aku mendapat benda yang aku ingini.

Wednesday, January 09, 2013

Pagi-Pagi Dah Buat Hal

Isteriku menerima tempahan nasi tomato sebanyak 50 bungkus esok. Pagi ini jam 8.30 kami sudah berada di pasaraya Mydin. Kalau bisness kena pandai mencari barangan yang murah. Kalau di pasar ia mahal sedikit. Di Mydin pun barangannya juga berkualiti dan murah. Aku berlegar-legar sambil membawa troli manakala isteriku memilih barang. Sekejap saja sudah penuh dengan barangan di dalam troli.


Aku pula kesatu sudut untuk mencari makanan pagi. Selalunya disini ada menjual bihun goreng, nasi goreng, nasi lemak dan berbagai. Sebab itu kami suka datang kesini. Aku mencedok bihun dan mee untuk kami berdua. Aku biarkan isteriku mencari barang. Setelah membayar aku memasukkan barang kedalam troli dan menolak kearah isteriku.


Aku melihat isteriku macam berkata sesuatu kepadaku. Sekejap macam melambai-lambai kepadaku. Aku membals kembali lambaian itu. Belum sampai kearah isteriku, aku disapa seseorang
" Encik..encik...itu troli saya ". kata seorang wanita. Aku menjadi tergamam. Isteriku datang kearahku. Merah pipinya akibat menahan ketawa
'" Ops...sorry. ingatkan troli saya ". Aku berkata kepada wanita tersebut. Tersenyum dia bila tahu yang aku tersilap troli.
" Abang tak nampak ka Nah dok gamit bagitahu yang itu bukan troli kita. Yang abang lambai balik dekat Nah buat apa ". Aku tak dapat menahan ketawa lagi.
" Kih kih..Ingatkan Nah dok lambai abang. Tu yang lambai balik ". Kataku kepada isteri
" Merapu la abang ni dok main lambai-lambai pula di pasaraya ". Tertawa kami sambil menolak troli untuk membayar. Pagi-pagi aku sudah buat hal. Barulah hidup ini ceria....

Tuesday, January 08, 2013

Aku Dan Gado-Gado

Aku tugas malam. Sebelum keluar isteriku bertanya tentang makan tengahari untuk hari esok. Setelah berfikir sejenak aku mengambil keputusan agar isteriku buat gado-gado. Agak lama juga tidak makan gado-gado. Sebelum pulang aku mengutip dulu kangkung liar berhampiran tempat aku bertugas. kangkung jenis ini banyak khasiatnya. banyak juga yang aku dapat sebab setahu aku semenjak aku bertugas disini dari tahun 1999 belum pernah aku melihat penduduk kampong mengutip kangkung disini.


Bila pulang isteriku baru saja selesai membuat kuah kacang. Aku suka kuah kacang yang halus kacangnya. Kedua-dua isteriku telah maklum akan kesukaanku. kemudian dia buat pula cucur udang. Aku sudah terliur namun mata amat mengantuk. Aku perlu tidur sebentar.


Jam 12 tengahari aku bangun. Aku melihat gado-gado sudah terhidang diatas meja. Perut sudah tak boleh menahan lagi. lantas aku mengajak isteriku makan bersama. Masyaallah memang sedap sungguh gado-gado dari isteriku. Dua pinggan aku makan. Terasa amat kenyang sekali.
" Terima kasih Nah ". Aku ucapkan kepada isteriku.
" Sama-sama bang ". Isteriku tersenyum menjawab ucapanku. Pahala yang isteriku dapat.


Hari ini disebabkan kuah kacang masih ada, aku kepasar mencari takua dan bahan-bahan yang lain. Gado-gado juga menjadi makanan tengahariku.
" Abang tak jemu ka. Semalam gado-gado. Tengahari ni pun sama ". Tanya isteriku
" Tak jemu. Sedap. Esok pun makan gado-gado lagi pun tak apa ". Tertawa isteriku mendengar. Kadang-kadang aku makan nasi kalau ada kuah kacang, aku akan mencari salad, bawang dan timun. Setelah dihiris lalu kuah kacang di tuang kedalam ramuan tadi. Memang sedap.






Monday, January 07, 2013

Peminat Barang Antik

Sudah lama aku tidak bersiaran ya. Ok la. Baru-baru ini aku mengajak isteri ke pasaraya Giant. Teringin nak makan Mee Hot Plate atau Mee Claypot. Ia memang kesukaanku. Semasa bersama arwah Siti Aishah kami kerap makan disini. Kamni merupakan penggemar mee claypot. Isteriku Rosnah tidak begitu menggemarinya. Dia sekadar menemaniku. Itupun alhamdulillah kerana sudi menemanku. Begitu enak sekali ketika mee memasuki kedalam mulutku. Tersenyum isteriku. Agak ramai yang order mee claypot. Tak menang tangan peniaga.


Selesai makan isteriku mengajak aku kegerai baju. Tahulah dia hendak mencari baju blouse kesukaannya. Aku pula ke kedai muzik bersebelahan. Sekejap dia memanggil aku. Ditunjuknya baju yang baru dicuba.
" Ok tak abang baju ni ". Tanya isteriku
" Kalau dah cantik, pakai baju apa pun nampak cantik ". Pujiku diikuti senyuman dari isteriku. Setelah membayar harga baju kami terus berjalan. Kami ke kedai menjual ayat khat al quran. Cantik sungguh seni khatnya. Tiba-tiba aku terpandang pada frame yang tergantung lalu memanggil isteriku.
" Cantik tak Nah frame ni. Dah lama abang minat dan dok cari ". Begitu teruja sekali aku.
" Ok la juga. Cantik. Ikut abang la kalau nak beli ". Kata isteriku.


Aku terus bertanya penjual berapa harga untuk satu frame.
" Dia punya harga RM170. Tak apa saya kasi RM160 ". Kata penjual. Aku terdiam.
" Kalau saya beli 2 berapa ". Terus aku bertanya.
" Itu macam kalau saya bagi 2 RM300 ". Kata penjual. Aku bertanya pendapat isteriku. Isteriku setuju saja. Aku membayar cengkeram sebanyak RM 100 memandangkan kami datang dengan motosikal. Aku harus pulang mengambil kereta. Nasib baik la rumah berdekatan


Ketika penjual membalut frame dengan kertas aku bertanya isteriku samada dia berminat dengan gambar bunga. Katanya dia berminat dengan corak bunga ini untuk diletakkan kedalam bilik. Akhirnya kami mengambil frame bunga ini. Tersenyum penjual. 
" Encik pilih la lagi. Saya kasi murah lagi. Encik sudah beli 3 ". Kata penjual.
" Nanti...mau balik tengok dulu mana dimana mahu letak ini gambar ". Kataku. Penjual tersenyum bila aku berkata demiukian. Aku berminat dengan 2 lagi gambar dan insyaallah akan aku beli dan letak dirumah pertamaku. Rumah itu juga perlu dihiasi. Itulah rumah hasil perkongsian hidup aku dengan Siti Aishah. Ketika membawa pulang frame bersama isteriku aku berkata,
" Nah..walaupun rumah kita bukan bunggalow tapi biarlah frame kita betaraf bunggalow ". Isteriku tertawa mendengar kata-kataku


Tuesday, January 01, 2013

Melaka - Kampong Morten

Waktu malamnya anakku membawa kami kesatu perkampongan. katanya cantik pemandangan kampong tersebut dengan cahaya lampu. Ia terletak di Bandar melaka. Bila tiba memang memukaukan melihat keindahan lampu yang beraneka warna. Disediakan juga bot untuk memudahkan orang ramai melihat keindahan kampong tersebut pada waktu malam. Memang happening. Kampong yang dikelilingi oleh sungai Melaka. Ia merupakan perkampongan tradisional. Pastikan anda melawat kampong ini.














Sekitar Bandar Melaka

Jam 8 pagi kami sudah berada bandar Melaka. Takut susah mendapat parking. Maklumlah cuti sekolah. Alhamdulillah banyak tempat yang kosong. Kami terus ketempat menjual tiket untuk menaiki Menara Taming Sari. Itupun kena tengok juga harganya. Kalau murah makna boleh la kami meneruskan niat kami. Bila tiba dikaunter kami dimaklumkan yang harga tiket ialah RM10 kalau menggunakan Mykad. Apalagi terus keluarkan dompet dan beli sebanyak 6 tiket. Cantik juga pemandangan bandar Melaka dari atas menara.





Kami menuju ke lokasi lain. Kapal Flor de La Mar masa penjajahan Portugis. Kami tak masuk kedalam. Cuaca begitu terik sekali. Kami masuk kedalam pusat membeli belah. Mencari barangan untuk dibawa pulang





Ketika pulang, kami singgah di warung tepi jalan untuk membeli coconut shake. Kalau sebelah petang alamat berderetlah orang menanti untuk merasa coconut shake. Sedap juga rasanya



Ketika pulang kami singgah di Pantai Klebang. Senagja aku nak bawa anak gadisku yang belum pernah melihat muzium kapal selam. Cuaca begitu terik sekali. Sekejap saja kami disitu. Terus kami pulang ke rumah. Kami nak rehatkan badan sebab pada malamnya anakku akan membawa kesuatu tempat yang cantik katanya.....


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...