Teman-teman

Tuesday, February 12, 2013

Mulakan Hari Dengan Kesihatan

Petang semalam aku mengajak isteriku bersenam di Taman Metropolitan di Relau. Taman ini adalah tempat yang paling aku dan arwah Siti Aishah suka joging. Selalunya kami mula dengan aktiviti joging. kemudian kepasar dan akhirnya mencari sarapan pagi. Cukup indah sekali bila memikirkan saat itu.


Kali ini isteriku Rosnah pula menjadi pengganti. Isteriku mengajak aku ke pasar. katanya nak beli ikan talang kering. Nak buat gulai ikan masin. Fuh...dengar pun dah tergoda. Aku mengajaknya joging terlebih dahulu dan kemudian ke pasar. 


Jam 7.30 pagi kami menuju ke Taman Metropolitan. Tidak ramai orang yang bersenam. Mungkin masih lagi awal pagi. Kami terus berjalan sambil berbual-bual. Tiba di tempat peralatan joging kami berhenti untuk mencuba. Peluh sudah mula membasahi. Aku sudah biasa. kalau berjalan pasti kamera akan ku bawa. isteriku sudah maklum akan diriku.


Semasa aku bersama arwah Siti Aishah masih tidak banyak tempat untuk bersenam. Kini ia dibuka luas sehingga di atas bukit. Ada pula kolam renang untuk kanak-kanak. Suasana di sini begitu mendamaikan. Kami sudah pusing sebanyak 2 pusingan. Peluh sudah membasahi baju.


Yang paling best kali ini ialah kami berpakaian sedondong. Itulah isteriku. Kalau nak kemana mesti dia mencari baju yang kelihatan sedondong. Nasib baik aku jenis yang tak kisah sangat. Kalau itu kesukaannya aku mengikut saja.


Dulu kawasan ini adalah kawasan persendirian. Siap di kepung lagi. Kini ia di buka dan dibuat untuk pejalan kaki. Sambil jalan sambil merasakan keindahan alam semulajadi. Memang mendamaikan berada di sini.


Untuk kanak-kanak pula di sediakan tempat permainan. Kalau sebelah petang memang tempat ini akan dipenuhi oleh mereka. Pagi ini kanak-kanak tak ramai jadi aku pun ambil kesempatan untuk bergambar dan bukan bermain di sini. Jangan salah anggap pula ya.


 Di tengah-tengah taman ada pula senam robik. Aku masih ingat sewaktu menghantar arwah Siti Aishah yang suka bersenam robik di sini. Entah macam mana pada suatu hari tenaga pengajar sudah naik sheh. Kalau dulu dia mainkan lagu yang slow dan rentak zapin. Entah kenapa kali ini dia memasang lagi tamil. Aku dengar pun dah rasa macam perarakan kavadi. Akhirnya ramai yang keluar termasuk isteriku. Malas dah dia nak bersenam robik selepas itu. Tenaga pengajar harus pandai mengendalikan program. Jangan jadi orang syok sendiri.


Dapat membuat 2 pusingan dan aku membuat 20 sit up sudah cukup baik. Isteriku pula rasa amat segar.
" Balik nanti puan jangan tidur ya. Ikan talang tak jadi nanti ". Aku bergurau dengan isteriku. 
Isteriku hanya tertawa mendengar aku memerlinya.

Monday, February 11, 2013

From Taiping With Love

Bercerita lagi tentang kenduri perkahwinan di Taiping. Bersebelahan pintu pagar rumah abang ipar kelihatan pokok betik dengan bunganya yang begitu banyak. Mungkin orang lain tak kisah dengan bunga ini tapi aku yang tak senang duduk dibuatnya.
" Nah...abang geram la tengok bunga betik. Buat kerabu sedap ni ". Aku berkata kepada isteriku
Aku terus bertanya iparku boleh ka aku mengambil bunga betik untuk dibuat kerabu.
" Budiman nak ambil dengan pokok sekali pun tak apa ". Gurau abang iparku.


Selesai kenduri aku terus mengambil plastik lalu memetik bunga betik. Ramai yang melihat akan tingkah aku. Ada yang menyampuk kalau dibuat kerabu sedap. Aku up lagi sambil berkata kalau dimasukkan kerang atau perut lembu cukup enak rasanya. Apalagi maka ada yang teringin pula. Nasib baik aku dah ambil bunga.
" Budiman memang tak boleh tengok bunga betik ". Kata isteriku kepada keluarganya.
" Tu nanti balik dia suruh mak mertua buat kerabu la. Menantu kesayangan ". Usik isteriku diukuti ketawa oleh kalum kelurganya


Memang benar pun kata-kata isteriku. Bila tiba di rumah aku terus kerumah ibu mertuaku untuk bertanya.
" Bawa mai la bunga betik tu dengan kerisik ". Kata ibu mertuaku
Aku beritahu isteriku yang ibu mertua hendak buat kerabu.
" Abang minta resipi dekat emak abang. nanti Nah boleh buatkan ". Kata isteriku sebab dia belum pernah makan lagi kerabu bunga betik.


Aku kepasar membeli perut lembu. Asalnya aku nak masukkan kerang sahaja tetapi raya cina tak ada yang menjual kerang. terpaksa beli perut lembu. Aku beli kerisik dan hantar kepada ibu mertuaku.
" Mak boleh bagi tau cara-cara dan bahan dia sebab Rosnah kata nanti dia nak try buat sendiri ". Lembut saja bahasaku. Takut terhentak hati ibu mertuaku.
" Ala senang saja. Rosnah pun boleh buat ". Kata ibu mertuaku. Aku terus mengambil kertas dan pen dan berada di hadapan chef menanti cara-cara membuat kerabu.
" Bahan-bahan dia apa mak ". Aku bertanya. Ibu mertua pun bagitau ler satu persatu. Ini aku perturunkan ilmu. Aku tak kedekut ilmu dunia dan akhirat. He he

BAHAN-BAHAN
  • Bawang merah dan halia dihiris halus
  • Beras di goreng lalu di kisar halus
  • Buat sambal belacan
  • Kerisek
  • Perut lembu atau kerang  ( rebus dulu )
  • Bunga betik ( rebus dulu )
CARA-CARA
  • Gaul semua bahan-bahan yang di berikan
  • Masukkan sedikit gula dan garam
  • Dah boleh makan
  • Senangkan kan
  • Selamat mencuba ya

Sunday, February 10, 2013

Orang Jantan

Sabtu 10 Februari 2013 - Aku dan isteri ke Taiping untuk menghadiri kenduri kahwin anak saudaranya. Kenderaan agak perlahan sedikit di sebabkan keesokannya Tahun Baru Cina. Dalam sejam memandu kami sampai di perkarangan rumah. Orang ramai sudah memenuhi khemah. Terdengar suara dj bercerita tentang menu-menu.
" Sila-sila dan jemput semua untuk menikmati cendul, rojak dan bubur kacang ". Mendengar nama rojak saja hati aku sudah tertawan. Setelah bersalaman kami di jemput menjamu selera. Aku hanya makan sedikit saja nasi. Begitu juga dengan isteriku walaupun ketika datang perut kami begitu berkeroncong. Aku lebih berminat dengan bubur kacang dan rojak buah. Memang sedap sungguh rojak. Kuahnya di buat sendiri oleh kakak iparku.


Setelah merasa kenyang menikmati rojak buah dan cendul barulah boleh bergerak berjumpa kaum keluarga yang lain. Selalunya waktu kenduri dan kematianlah kita dapat berjumpa sanak saudara yang tidak pernah bersua atau jarang bersua. Aku berkahwin dengan isteriku Rosnah baru menjangkau 3 tahun. Jadi masih banyak kaum keluarga isteriku belum aku kenali. Maklumlah keluarga isteriku amat besar.

Isteriku berjumpa dengan seorang wanita sambil menggamit tangan agar aku turut sama dengannya. Wanita tersebut merupakan kakak kepada abang iapar isteriku. Baru saja kematian suaminya. Dia menceritakan kisah kematian suaminya. Sekali sekala dia begitu sebak bila mengingati akan suaminya. Sudah lama wanita tersebut tidak berjumpa kaum keluarga isteriku lalu isteriku memperkenalkan kembali adik beradiknya. Ditunjukknya seorang demi seorang sehinggalah kepada abangnya yang baru sahaja kematian isterinya.

Terkejut wanita tersebut bilamana isteriku berkata yang abangnya baru saja kematian isterinya.
" Tengok orang jantan. Depa boleh tak rasa apa-apa bila bini meninggal. Depa masih boleh lagi bergelak ketawa. Kita orang pompuan ni kalau suami meninggal amat payah nak bergelak ketawa ". Kata wanita tersebut bila melihat abang isteriku ketawa ketika berbual. Aku tersenyum bila isteriku menjeling kearahku.

" Susah nak jumpa suami yang bila isterinya meninggal dia juga turut juga bersedih ". Sekali lagi isteriku menjeling kearahku.Mungkin memberi warning agar aku tidak melenting dengan kata-kata itu. Aku hanya mendiamkan diri. Tak mahu aku menyampuk bila melihat wanita tersebut kadang-kadang sebak sambil menyapu airmatanya. Biarlah dia menghilang stressnya. Biarlah dia merasa lega dapat meluahkan isi hatinya.
" Kadang-kadang orang lelaki ni dia pandai control emosi dia. Kita tak tau pula macam mana bila dia berada di rumah. Bila dia berjumpa kaum kelaurga yang lain sekurang-kurangnya hilang rindunya pada isteri ". Kata isteriku dan aku amat setuju dengan kata-kata isteriku.
" Betoi juga no kata hang ". Kata wanita tersebut. Tertawa pula dia ketika itu.
"Hrmm...Orang jantan ". Tiba-tiba wanita tersebut mengeluarkan ayat power giler punya.

" Ni sapa pula ". Kata wanita tersebut sambil menunjuk kearahku
" Inilah suami Rosnah kak. Kami berkahwin hampir 3 tahun ". Kata isteriku tersenyum. Aku menanti apa wanita tersebut akan berkata terhadap aku.
" Dah berkahwin ke belum sebelum ni ". Tanya wanita tersebut kepadaku.
" Dah kahwin. Isteri meninggal. Ada 2 orang anak ". Kataku kepada wanita tersebut.
" Meninggal...Sakit apa ". Tanya wanita itu lagi.
" Jantung kak ". Kataku walaupun aku tahu ianya bukanlah pengakuan yang benar tapi biarlah begitu. Aku lebih tenteram berkata demikian.
" Kira pengantin baru la juga hangpa dua no ". Tertawa isteriku bila dikatakan pengantin baru.

" Elok sangatla hangpa dua kahwin. Hang pun dah lama suami meninggal. Tak kahwin kahwin. Bukannya ramai tak minta. Rupa-rupanya dia jodoh hang ". Sambil menyapu airmata. Isteriku juga demikian.
" Hang jaga Rosnah elok-elok. Dia baik. Bertuah la hang dapat dia ". Kata wanita tersebut. Isteriku seperti biasa. Senyum sokmo.
" Hang nama apa ".
" Budiman ".
" Amboi kira hang ni oghang berbudi bahasa la ". Aku tertawa kecil dengan kata-kata wanita tersebut.
" Apa pun baguih la hangpa dua dah kahwin. Oghang jantan ni tak boleh hidup kalau bini tak ada. Betoi tak ". Tanya wanita tersebut dan aku mengiakan.
" Macam mana dengan anak-anak. Depa boleh terima hangpa dua kahwin ". Tanya wanita tersebut.
" Alhamdulillah anak-anak saya dan Budiman boleh terima ". Kata isteriku
" Baguih la. Beghapa lama hang kawin lepas bini meninggal ". Aku tahu ini mesti soalan cepu emas yang pasti aku akan kena.
\" 6 bulan lepas isteri meninggal, saya pun kahwin dengan Rosnah ". Aku berkata sambil menanti pukulan mautnya.
" Alhamdulillah. Cepat jodoh hang ". Kata wanita tersebut.
" Oghang jantan ". Aku dan isteriku tertawa bila wanita tersebut akhiri sesi interview dengan perkataan tersebut. Sedikit pun aku tak marah atau terasa. Sebab aku oghang JANTAN

Saturday, February 09, 2013

Demi Cintaku Padamu

" Abang nak makan apa pagi ni ". Tanya isteriku selepas selesai solat subuh. Bila dah bertanya maka mata aku pun mulalah terkebil-kebil memikirkan apa yang hendak dimakan.
" Nah buat cucur bawang ". Aku berkata pada isteriku. Terus dia kedapur untuk memeriksa samada ada barangan yang di perlukan untuk membuat cucur ada atau tidak.
" Abang kena beli tepung gandum dan daun bawang ". Kata isteriku. Terus aku mencapai beg duit.


Ketika hendak melangkah keluar hujan turun dengan lebatnya. Ini tidak sama sekali mematahkan semangat aku. Perut yang berkeroncong dari semalam kerana tidak menjamah makanan membuat aku bertekad untuk terus mencari barang yang di perlukan. Aku menyarung baju hujan dan terus menuju ke pasar. Sekejap saja sudah sampai di pasar. Aku membawa pulang dan serahkan kepada isteriku.


" Abang nak minum air apa ". Tanya pula isteriku
" Nah buat teh halia yang di beli baru-bari ini ". Aku berkata kepada isteriku
" Mai makan abang ". Jemput isteriku. cepatnya dia goreng. Cucur panas dan makan pula ketika hujan turun cukup membuatkan sebiji demi sebiji masuk kedalam mulutku.
" Demi cintaku padamu aku sanggup meredah hujan yang lebat ". Aku berkata kepada cucur udang.
" Merapulah abang ni ". Tertawa isteriku bila pagi-pagi lagi aku sudah merapu.
" Terima kasih Nah kerana tolong goreng ".
" Sama-sama ". Jawab isteriku. Cukup bahagia kalau setiap pasangan saling mengungkapkan perkataan terima kasih dan maaf. Ia merupakan perkataan yang cukup mulia.

Friday, February 08, 2013

Sambutan Tertunggak

6 Februari 2013 - Rabu. Telah 2 hari kek di beli oleh anak gadisku dengan tujuan untuk menyambut hari lahir. Pada hari lahir aku telah bersama isteri ke Bukit Bendera. Selepas itu aku sudah mula bertugas syif malam jadi tidak sempat untuk bersama anak-anakku. Jadi pada tarikh ini aku mengajak anak-anakku keluar makan.


Tempat kesukaan kami ialah Restoran Satay Ahh Basri. Disitulah kami makan. Bergurau senda dan bercerita. Di situlah aku melepaskan rindu dengan anak-anak. Walaupun hanya sebulan sekali kami kesini aku sudah cukup seronok. Masa arwah Siti Aishah masih ada, belum ujud lagi restoran ini. Kami sekali sekala akan ke warung ikan bakar menjamu selera. Selesai makan isteri dan anak-anak akan mengucapkan terima kasih. Padaku ucapan terima kasih dan maaf amat mulia sekali. Kita mengucapkan terima kasih andaikata seseorang itu berbuat sesuatu kebaikan kepada kita. Kita juga kena cepat-cepat memohon maaf andaikata kita telah melukakan hati seseorang. Ucapan maaf itu bukanlah satu ucapan yang menjijikkan. Ringan-ringanlah mulut kita dengan perkataan terima kasih dan maaf.


Kami pulang untuk sesi memotong kek. Ini di sebabkan makanan luar tidak dibenarkan dibawa masuk kedalam restoran ini. Anakku pernah ditegur kerana membawa masuk makanan luar. Kami pulang kerumah. Aku belum pernah memotong kek bila tiba hari lahirku. Isteriku Siti Aishah akan masak masakan yang istimewa dan kami dan kami cuma meraikan bersama di rumah. kali ini anak-anakku telah membelikan aku kek dan aku perlu meraikan mereka. Mereka telah melakukan yang terbaik untuk ayah kesayangan mereka.


Bila tiba di rumah, anakku terus membuka kotak kek. Katanya ia kek Blueberry Cheese. Memang aku merupakan orang yang tidak menggemari kek sebab ia memang manis dan berkrim.


Aku tertawa bila melihat anak gadisku meletakkan lilin diatas kek.
" Ya Allah letak lilin pula ". Aku bergurau dengan anak-anakku
" Cepat potong kek ayah ". Kata anak gadisku.
" Hai...inilah pertama kalinya ayah memotong kek ". Gurau aku.


Ayah ucapkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua anak ayah Siti Zinnirah dan Hermawan kerana meraikan hari lahir ayah walaupun sudah terlepas 2 hari.Insyaallah pada 17 February ini kita akan ke Langkawi. Inilah hadiah ayah kepada kedua-dua anak ayah yang telah banyak menolong ayah. Ayah sayang kalian berdua. Ayah tidak dapat meneruskan kehidupan ini tanpa kedua-dua anak ayah.

Thursday, February 07, 2013

Sempena Hari Lahirku

4 February 2013 - Ia merupakan hari lahirku. Awal-awal lagi aku beritahu isteriku yang kami akan ke Bukit Bendera sempena hari lahirku. Saja nak tukar angin. Nampak gembira juga isteriku sebab hanya kami berdua saja yang akan kesana. Katanya dia nak goreng karipap andaikata terasa lapar semasa berada di atas bukit. Tepat jam 12 tengah malam isteriku terus membuat ucapan.
" Selamat hari lahir bang. Semoga hidup abang bahagia. Kesihatan yang baik. Nah nak bagi hadiah untuk abang. Ia taklah mahal sangat ". Sambil menghulurkan 2 helai T shirt padaku.
" Terima kasih Nah di atas ucapan dan hadiah baju. Mahal ke murah abang tak kisah. Janji kita ikhlas memberinya. Cantik sangat baju ni ". Puji aku pada isteriku
" Nah nak abang pakai baju ini esok ". Di hulurnya baju warna hitam padaku. Kemudian dia menunjukkan baju yang akan dia pakai esok. Rupanya dia sudah membuat planning untuk kelihatan sedondong.


Jam 8.30 pagi kami bertolak menuju ke Bukit Bendera. Sudah lama kami tak kesini. 3 bulan yang lepas aku mengajak isteriku kesini tapi ia dalam pembaikan. Jadi kami mengharapkan agar kali ini kami berdua dapat menaiki Bukit Bendera. Alhamdulillah setelah membeli tiket dengan harga RM8 seorang kami terus memasuki keretapi. Seolah-olahnya kami sedang dinanti-nanti. Bila kami masuk kedalam terus terdengar pengumuman yang keretapi akan bergerak menuju keatas. Kali ini keretapi bergerak begitu laju dan tak payah bertukar keretapi yang lain bila berada di pertengahan bukit.




Sekejap saja kami tiba diatas bukit. Bila keluar dari keretapi terasa begitu dingin sekali. Terasa nyaman bila melihat pemandangan negeri Pulau Piang dari puncak bukit. Aku terus mengeluarkan kameraku. Aku snap di segenap penjuru. Dari jauh dapat melihat jambatan Pulau Pinang dan jambatan kedua yang baru dibina. Kami berjalan-jalan sambil berbual. Kemudian duduk dibangku sambil menikmati karipap dan air teh yang dibuat isteriku. Ketika kami tiba di awal pagi gerai masih belum dibuka. Pengunjung pun belum ramai lagi.


" Encik nak jalan-jalan tengok pemandangan. Kami telah sediakan package ". Kata pemandu pelancung dengan kereta. Aku melihat pada papan kenyataan yang dilekatkan. Untuk selama 45 minit dibawa melihat sekitar bukit dikenakan sebanyak RM60 dan untuk 25 minit di kenakan sebanyak RM30. Akhirnya kami mengambil keputusan berjalan kaki saja


Aku sempat juga merakam gambar keretapi lama. Inilah keretapi yang pernah aku naik ketika berada di alam kanak-kanak lagi. Ayah dan ibuku membawa kami kesini. Kini ia lebih moden dan mesra alam.


Setelah kaki berasa lenguh kami mengambil keputusan mencari air minuman. Bila masuk kedalam mata terus terbeliak. Apa taknya. Melihat berbagai jenis menu minuman yang begitu enak. Akhirnya dapatlah juga gerai orang islam kita. Kak Nor Cafe. Terus aku order ais kacang atau orang KL panggil ABC. Kalau ke KL jangan sebut ais kacang. Ternganga pelayan. Aku pernah terkena sekali
" Encik nak minum apa ". Tanya pelayan
" Err...bagi saya ais kacang 1 ". Ternganga pelayan tersebut
" Maaf encik. Kita tak buat ais kacang ". Kata pelayan
" Tu yang gambar tu bukan ais kacang ". Aku berkata
" Oh...itu ABC air batu campur ". Malunya aku ketika itu.


Bila dibawa saja ais kacang maka kami berdua terus terlopong dengan kecantikannya
" Fulamak cantik sungguh. Ambil gambar ". Aku berkata pada isteri. Ok la juga harganya RM4.50. Kenyang juga walaupun dimakan 2 orang. 


Setelah berada di atas Bukit Bendera agak lama. Jam 12 tengahari kami berangkat turun kebawah. Perut pula sudah mula terasa lapar.
" Nah nak makan apa tengahari ni sebelum kita pulang ke rumah ". Aku bertanya isteriku semasa berada di dalam keretapi yang sedang menurun. Terdiam isteriku agak lama.
" Jom kita makan Tandoori Kapitan ". Kata isteriku dan aku juga setuju. Lama tak makan tandoori. Kami terus ke pusat bandar menuju Kapitan Restoran yang terletak di Chulia Street.


Alhamdulillah. Begitu cepat sekali kami mendapat Naan Tandoori. Begitu berselera sekali kami makan sambil bercerita. Agak ramai juga pelanggang. Maklumlah time rehat. Teh o ais limau begitu sedap sekali.
" Abang ucap terima kasih pada Nah kerana sudi teman abang sempena birthday abang ".
" Nah yang patut ucap terima kasih kerana abang sudi bawa jalan-jalan dan makan ".
" Maknanya kita sama-sama kasih la ". Tertawa kecil isteriku. Aku sudah berazam insyaallah bila tiba hari kelahirannya aku juga akan menyambut sesuatu yang special untuknya. Biarlah ia menjadi kenangan andai salah seorang dari kami telah tiada seperti mana kenangan aku dan Siti Aishah tidak pernah luput dari ingatanku ketika menyambut hari ulangtahun kami. Semoga Allah permudahkan segala perancangan ini.


Saturday, February 02, 2013

Tahniah Sahabatku

Sabtu 2 Februari 2013 - Aku menerima jemputan dari seorang sahabat baik yang juga merupakan blogger Jendela hatiku. Kali ini gilirannya pula menerima menantu. Asalnya aku di beri tugasan sebagai DJ tapi nak buat macam mana aku terpaksa menolak sebab namaku berada di dalam list standby dan ini bermakna bila-bila masa saja aku akan dipanggil bertugas andai berlaku gangguan bekalan.


Terasa begitu seronok sebab dapat berjumpa dengan ramai sahabat yang seangkatan. Mereka begitu bersungguh - sungguh membantu sahabatku ini. Blogger Insan Marhein pasti berada disini sebab rumah mereka bersebelahan. Sibuk juga dia kesana dan kesini. Akhirnya selepas makan aku mengeluarkan kamera lalu mengambil gambar. Buat-buat sibuk.


Best juga cendul dan bubur kacang kesukaanku. Sempat juga bersembang dengan seorang sahabat yang juga seorang pakar dalam fotografi. Dia banyak memberi aku tunjuk ajar tentang penggunaan kamera DSLR. Alhamdulillah dapat juga 2 ilmu yang berguna.


Nasib baik aku menolak permintaan sebagai DJ. Akhirnya talipon bimbitku berbunyi menandakan panggilan standby. Baru nak rasa keseronokan dapat bersama sahabat dah dipanggil bertugas. Aku terpaksa juga meninggalkan majlis yang begitu meriah sekali. Aku ucapkan tahniah kepadaku sahabatku kerana telah menerima menantu.




Friday, February 01, 2013

Jangan Ambil Duit

Jam 7.30 pagi aku keluar dengan motosikal menuju ke Balik Pulau untuk membayar bil cukai tanah. Susah juga kalau ia tidak boleh di bayar di pejabat pos. Terpaksa ke Komtar atau Balik Pulau. Jam 8 pagi aku sudah berada di depan kaunter. Cepat saja nombor giliran di panggil. Tidak ramai yang datang lagi. Ketika pulang aku singgah di warung kepunyaan adik kepada ibu angkatku. Aku panggilnya Mamu dan isterinya Mami. Mereka begitu baik sekali. Ketika kenduri bulan ramadhan pihak surau selalu mengambil mereka. Nasinya sedap dan dimasaknya berlebihan dengan tujuan untuk menumpang kenduri. Pernah aku dan arwah Siti Aishah menerima duit raya sebanyak RM50 seorang kerana aktif di surau dan dia begitu seronok sekali.


Aku letakkan motosikal di bawah sepohon pokok. Ramai juga pelanggan yang menjamu seleranya di gerainya.
" Assalamualaikum Mamu ". Aku memberi salam dan Mamu terkejut bila melihat aku.
" Waalaikumussalam ". Sambil cepat-cepat mengelap tangannya yang berminyak akibat menebar roti canai untuk bersalaman dengan aku. Di panggilnya Mami mengatakan aku datang. Pelanggan yang makan pun terpinga-pinga. Aku bagaikan seorang YB yang datang melawat bila pilihanraya hampir.
" Budiman nak makan nasi ka ". Tanya Mamu.
" Tak tak. Saya nak beli roti canai 2 keping. Bungkus ". Kataku. Di suruhnya Mami membungkus 2 keping roti canai. Aku suka kuah dalca Mamu. Pekat dan sedap.

Mami menghulurkan bungkusan kepadaku. Aku terus menghulurkan wang kepada Mami.
" Jangan ambil duit dekat Budiman ". Kata Mamu kepada Mami.
" Ingat kalau Budiman mai beli jangan ambil duit ". Kata Mamu kepada pekerjanya. Tu dia malunya aku. Ini yang buat aku malas nak datang. Takut ada yang sangka buruk mengatakan aku nak makan free. Aku juga teringat akan seorang sahabat baik arwah Siti Aishah yang membuka restoran makanan laut. Selepas kematian isteriku aku serta kedua-dua anakku datang ke restorannya untuk menjamu selera sekaligus untuk menenangkan jiwa kami. S Ketika nak bayar sahabat ini tidak mahu menerima wang dariku. Katanya dia belanja.

Bila aku berkahwin dengan isteriku sekarang sahabat inilah merupakan orang yang pertama mengucapkan tahniah sambil menangis. Di pelawanya kami sekeluarga untuk makan di sini. Ketika nak baya sekali lagi dia tidak mahu mengmbil wang. Katanya malu nak ambil wang dari aku. Rasa malu pula bila setiap kali makan dia tak mahu ambil wang. Isteriku pun dah rasa tak seronok untuk makan di sini. Bukan tak sedap atau marah. Masalahnya ialah dia tak mahu ambil wang kami......

Semoga Mamu dan sahabat baik arwah Siti Aishah di murahkan rezeki yang melimpah dan membolehkan mereka bersedekah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...