Teman-teman

Monday, August 24, 2009

Terkenangkan Puasa Zaman RemajaKu

Hari ini genap 3 hari puasa Ramadhan. Masing-masing dengan cara tersendiri merebut keistimewaan bulan ini. Golongan tua sudah pastinya berbondong-bondong kemasjid dan surau namun masih ada lagi golongan tua yang bersembang kosong dibangku-bangku tanpa menghiraukan mereka yang lalu lalang ke masjid dan surau. Semoga Allah memberi mereka hidayah dan menjadikan mereka golongan yang untung di penghujung usia.

Golongan remaja pula kebanyakkannya suka melepak dan bermain mercun. Bayangkan sebelum 1 Ramadhan sudah berbunyi dentuman mercun. Penjual masih belum peka akan bahayanya mercun. Mereka hanya tahu keuntungan saja. Pernah terjadi disebuah surau dimana imam telah tercampur bacaannya akibat terkejut dentuman mercun dihadapannya. Jemaah yang tidak sabar terus mengejar mereka yang bermain mercun. Malangnya anak mereka sendiri yang ditangkap. Betapa malunya siayah.

Aku ketika berumur 20an selepas solat tarawih sebanyak 8 rakaat, kami berpakat untuk mencari tempat pertapaan hantu penanggal yang dikatakan berasal dari orang yang menuntut ilmu hitam. Tempat sudah dikenal pasti iaitu diatas bukit yang selalu kelihatan benda itu terbang. Berbekalkan lampu suluh dan ayat quran bersaiz kecil, kami seramai 10 orang menongkah bukit mencari tempat tersebut. Kesemua kami sungguh berani sebab kami tahu dibulan Ramadhan iblis semua telah dirantai. Kuliah yang kami dengar kami gunakan untuk menyedapkan hati kami.

Sambil berjalan kami menyanyi lagu raya. Seronok betul sebab lagi 20 hari lagi nak raya. Sebelum ini kalau berjalan sudah pasti semuanya senyap. Mata usah dikatalah. Masing-masing asyik memerhati kalau ada apa-apa yang dilihat. Hampir jam 11 malam kami berada ditengah-tengah bukit. Kelibat tempat persembunyian masih belum kelihatan. Rakan-rakan yang lain mula merungut, " Diman macam mana ni. Tak ada pun tempat tengelong ( penanggal ) ". Akhirnya kami mengambil keputusan berpatah balik.

Sedang kami menuruni anak bukit sambil menyanyi, kami telah disergah oleh suatu suara garau, " Hoi, hangpa buat apa tengah malam ni ". Terkejut kami semua. Apa yang ada semuanya sentot. Apalagi seorang rakanku menjerit, " Hantuuuu..". Bila terdengar perkataan itu bertempiaran kami lari tanpa tahu arahnya, Nasib aku agak malang sebab aku bertembung dengan rakanku sendiri. kami terjatuh berguling hingga kebawah bukit. Sakit usah dikatakan. Rakanku menangis kesakitan. Katanya bahunya patah. Aku pula dapat rasakan yang gigi aku telah patah sebatang. Terasa masin sekali darah.

Tiba-tiba aku melihat ada orang telah menghampiri kami. Padaku inilah dia hantu penanggal. Aku mencari Al-Quran kecil untuk kutunjukkan kepada hantu. Kata orang bila hantu melihat quran dia akan cabut. Namun quran sudah terjatuh. Berpeluh aku menanti kedatangan hantu penaggal. Cahaya lampu suluh diarahkan ke arah aku. " Hang buat apa disini Diman ". Suara garau tadi menegurku. Hairan juga, hantu penanggal tahu nama aku. Apabila hantu itu menghampiri kami barulah aku tahu bahawa suara garau itu ialah Pakcik Yusuf. Dia ditugaskan menjaga kebun.

Kami berdua dipimpin ke pondoknya. Sempat juga kami minum kopi panas. Pak Yusuf menceritakan bahawa memang ada hantu penanggal dikawasan ini tetapi pada bulan Ramadhan tidak kelihatan. Dia menyuluh sebuah pondok yang hampir runtuh yang dikatakan tempat pertapaan mereka yang mempelajari ilmu hitam. Pak Yusuf juga menceritakan bahawa banyak perkara pelik berlaku semasa dia bertugas disini. Anjing berkepala dua. Perempuan tua. Yang paling menarik minat aku ialah bila Pak Yusuf berkata dia berjumpa dengan Panglima Hitam.

Aku ternganga mendengar ceritanya. Bagiku Pak Yusuf bukan orang sebarangan. Tugasnya jauh dari kawasan perkampungan. Seorang diri diatas bukit. Ceritanya panglima hitam orangnya tegap. Pertuturannya teratur dan gerak langkahnya menampakkan kependekarannya. Pak Yusuf menasihatkan kami agar pulang saja kerumah. Setelah melihat tulang bahu rakanku yang patah dia membaca sesuatu lalu mengangkat tangan rakanku. Terdengar seperti tulang patah. Akhirnya tulang bahu rakanku pulih.

Kami pulang kerumah. Aku keletihan dan terjaga hampir jam 10 pagi. Sahur aku terlepas. Subuh aku juga lingkup. Ayah memarahi aku sebab meninggalkan fardhu subuh. Akhirnya aku mengambil wuduk lalu sembahyang kadha. Aku pergi berjumpa Pak Yusuf untuk mendengar cerita tentang semalam. Pak Yusuf menyangkal bahawa dia berada di atas bukit. Isterinya juga berkata demikian. Semalaman Pak Yusuf berada dirumah. Aku berjumpa dengan rakanku yang lain. Hebuh juga tentang cerita Pak Yusuf. Jadi siapa sebenarnya Pak Yusuf. Selepas kejadian itu kami takut untuk mendaki bukit itu lagi. Bukit itu masih tersergam indah sehingga kini. Ia masih menyimpan misteri Pak Yusuf yang bersuara garau. Percaya atau tidak...Percayalah.

Medan Selera Diserbu Imigresen

Kali ini N3 aku berkisarkan kisah 2 hari sebelum umat islam menyambut kedatangan Ramadhan. Aku keluar sebentar untuk menyelesaikan bil-bil yang masih belum berbayar. Talipon berdering dan tertera nama isteriku. " Assalamualaikum bang. Medan selera kena serbu dengan Imigresen. Kecuh jadinya. Mai sat tengok ". Aku bergegas selepas selesai melunaskan bil-bil. Memang agak kecuh bila aku sampai disana. Keadaan empunya gerai dan orang ramai yang singgah untuk menjamu makanan menambahkan lagi kekecuhan. Aku kebelakang gerai setelah didapati ramai orang disana. Ku lihat seorang wanita yang empunya gerai sedang meraung dan berguling-guling diatas lantai setelah seorang pekerjanya rakyat Indon telah dibawa pergi. Meratap dia sebab memikirkan masalah nak menyara anaknya yang masih belajar dan dikenakan denda sebanyak RM5000 untuk satu kesalahan.

Pekerjanya mempunyai permit sebagai pembantu rumah tetapi bekerja digerai. Ini ternyata tidak dibenarkan oleh kerajaan Malaysia. Salah satu gerai lagi 2 orang pekerjanya telah dibawah pergi menjadikan kesalahan yang kedua. Denda sebanyak RM10.000 dikenakan setiap seorang. Tersandar tauke gerai memikirkan masalahnya. Aku amat sedih dan kasihan melihat mereka yang ditimpa musibah namun aku tak dapat berbuat apa-apa sebab ini melibatkan undang-undang negara. Berkata salah seorang pegawai imigresen kepada seorang tauke gerai kenapa tak cari pembantu rakyat Malaysia.

Kata tauke gerai rakyat Malaysia hanya mahu gaji yang tinggi tetapi kerja amat malas. Pekerja luar amat rajin. Makcik tadi masih meraung dengan kuat. Seorang pegawai imigresen masuk kedalam gerai isteriku sambil menangis teresak-esak melihat akan nasib makcik itu tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka yang ditangkap telah dibawa masuk kedalam trak. Mereka yang melihat pegawai imigresen menangis turut menangis termasuk isteri aku. Tiba-tiba aku dihampiri seorang pegawai imigresen yang dari tadi asyik melihat aku. Aku syak juga mungkin dia menjangkakan aku juga seorang PATI. Lihat muka aku boleh jadi juga. " Encik boleh tolong bagi IC ".

Aku menghulurkan IC tanpa banyak kerenah. " En, 71 tu kelahiran luar dari Malaysia. En lahir dimana ?". " Singapura ". Aku jawab spontan saja. Teringat sewaktu aku membuat paspot sebab niat dihati nak melawat tanah tempat tumpahnya darahku yang pertama. Seorang pegawai imigresen dengan biadap berkata mungkin aku ini pendatang tanpa izin. Aku tunjuk segala dokumen surat beranak bagi memastikan permohonan aku dapat disegerakan. Namun bila perkataan itu dikeluarkan darah muda aku meluap-luap. Aku terus menepuk meja pegawai itu sambil berkata, " En. suka tak kalau saya katakan bahawa en. memang orang pelarian. Keturunan en bukan orang Malaysia ". Merah muka dia bila aku berkata demikian.

Bagi aku kalau paspot aku tak dapat dikeluarkan aku tak kisah asalkan pegawai ini dapat aku basuh cukup-cukup. Datang seorang pegawai lain bila melihat aku dah meradang. Diambilnya dokumen yang aku berikan lalu dibawa pergi. Dalam masa setengah jam dia membawa paspot sambil memgucapkan selamat semasa dalam perjalanan sambil matanya asyik memerhati pegawai yang bertengkar dengan aku. Berbalik dengan kisah di medan selera setelah mereka dibawa pergi, keadaan di gerai agak sayu dengan tangisan ratapan kehilangan pekerja. Memang agak susah juga untuk mencari pembantu yang benar-benar boleh membuat kerja. Siapa yang harus dipersalahkan.......

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan Pertama Bersama Isteri BaruKU

Aku menerima email dan sms dari rakan baikku bertanyakan bagaimana kehidupan baruku bersama isteri baru pada Ramadhan ini. Bagiku mereka bukanlah kepo atau suka mengorek rahsia kawan. Mereka yang sebenarnya banyak membantuku ketika aku terumbang ambing beberapa bulan sebelum kematian Siti Aishah dan selepas kematianya. Mereka umpama keluargaku. Wang ringgit, kudrat dan idea datang tidak kira masa. Kadang-kadang aku sendiri merasa malu dengan mereka.

Sebelum aku berkahwin, aku amat takut akan kemunculan Ramadhan. Bukan soal ibadah puasa tetapi soal ingatanku kepada arwah Siti Aishah amat kuat. Di rumah, surau atau dimana saja pasti wajahnya akan mengekoriku. Selepas aku berkahwin alhamdulillah aku dapat mengawal sedikit perasaanku. Kini Ramadhan telah muncul. Sudah pasti ingatanku terhadap arwah isteri tak akan hilang cuma aku bersyukur kepada Allah diatas kurniaannya. Aku masuk Ramadhan dalam keadaan tenang. Memori duka sedikit demi sedikit aku letak didalam peti simpananku. Aku tidak harus terlalu memikirkannya.

Aku kini berhadapan dengan dunia yang sebenar. Isteri baruku amat penyabar dengan sikapku yang suka termenung. Entah kenapa bila Muncul saja Ramadhan ini hatiku tidak semena-mena terlalu gembira. Kalau sebelum ini aku makan apa saja yang isteriku masak. Aku tak terlalu meminta. Kadang-kadang pening juga isteriku bila dia bertanya apa yang aku nak makan. Jawabku apa yang dia masak aku makan saja. Hari ini entah kenapa aku meminta dia masak nasi dan buat sambal tumis telur kesukaanku. Terkejut juga dia sebab inilah kali pertama selepas 2 bulan berkahwin aku membuat permintaan.

Bayangkan aku nak bertugas jam 3 petang. Jam 2.20 petang dia masih sempat masak nasi dan buat sambal tumis. Aku lihat kegembiraan di air mukanya. Bagiku aku tidak sabar untuk merasai juadah pertama kesukaanku. Semua isteri akan melakukan yang terbaik untuk suami mereka. Aku perlu menghargai isteriku ini tanpa melupakan pengorbanan isteri yang lalu. Dia telah mendapat jannahnya. Aku belum pasti lagi. Aku perlu meneruskan hidupku. Sesungguhnya Ramadhan merupakan rahmah untuk semua. Dibulan ini dibukakan pintu rahmatnya yang luas dan aku mula merasainya. Syukur ya Allah semalam aku melakukan ibadah tarawih yang pertama bersama isteriku yang baru. Terasa syahdu dihati. Disujudku yang terakhir entah kenapa air mata bercucuran. Entah bagaimana pula menjelang Aidil Fitri. Satu perkara lagi ialah kesihatan ibuku yang semakin pulih.

Friday, August 21, 2009

Andai Ini Ramadhan Yang Terakhir

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir tentu siangnya aku sibuk berzikir tentu aku tak akan jemu melagukan syair rindu mendayu..merayu. ..kepada- NYA Tuhan yang satu. Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir tentu solatku akan ku kerjakan di awal waktu.. .sungguh khusyuk lagi tawadhu' tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji. "Innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin" [sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku... kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam].

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir tidak akan ku sia siakan walau sesaat yang berlalu. Setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja di setiap kesempatan juga masa yang terluang alunan Al-Quran bakal ku

dendang...bakal ku syairkan
. Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir tentu malam akan ku sibukkan dengan bertarawih.. .berqiamullail. ..bertahajjud. .. mengadu...merintih. ..meminta belas kasih "sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU". Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir tentu diriku tak akan melupakan mereka yang tersayang mari kita meriahkan Ramadhan kita buru...kita cari...suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan. Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir tentu aku bakal menyediakan batin dan zahir mempersiap diri...rohani dan jasmani menanti-nanti jemputan Izrail di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman Duhai Ilahi....

Andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri... menerangi kegelapan hati kami menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti Namun teman... tak akan ada manusia yang bakal mengetahui apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah berusaha...bersedia ...meminta belas-NYA

wahai tuhan ku tak layak kesyurgamu ... namun tak pula aku sanggup ke Nerakamu ...
kami lah hamba yang mengharap belas darimu
"ya allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa..
ampunkan dosa2 kami kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia" Amin.....

andai benar ini Ramadhan terakhir buat DIRIKU
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN ...






Tuesday, August 18, 2009

Bila Ibuku Jatuh Sakit

Sejak 4 hari yang lepas kesihatan ibuku menurun terlalu mendadak. Dia sakit seperti yang pernah dialami pada tahun lepas sewaktu koma akibat terhidu asap semburan ubat nyamuk. Kini dia terlalu uzur untuk melawan kesakitan dan akhirnya badannya sendiri menggigil. Kami sekeluarga amat terasa kali sebab ketiadaan Siti Aishah. Selalunya dia akan berganti dengan kakakku menjaga makan minum ibuku.

Pada tahun lepas sewaktu doktor memberitahu kami bahawa ibuku tiada harapan untuk hidup, Siti Aishah menangis kerana terlalu sayangkan mertuanya. Siang dan malam adik dan kakak ipar berdoa didepan kaabah agar Allah memberi kesihatan yang baik terhadap ibu kami. Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami. Ibu sembuh dan dibenarkan pulang. Selang beberapa bulan Siti Aishah yang dijemput oleh Allah mengadapnya. Siapa sangka perancangan Allah.

Kini ibuku nampak tenat. Anak-anak yang berada di Kelantan akan pulang. Pertuturan ibuku tidak selancar dulu. Inilah wanita yang telah membesar 7 orang anak tanpa kerenah. Kini alhamdulillah kami 7 orang anak pula menjaga anak tanpa kerenah. Ayah telah pergi 5 tahun yang lepas. Semasa ayah lumpuh termakan kulat beracun, ibulah mengambil alih tugas ayah menyara kami. Kami doakan agar ibu yang kami sayangi kembali pulih seperti sediakala. Teringat lagu Ibu Mithali nyanyian Kumpulan Rabbani dimana vokalisnya Arwah Ustaz Asri.

Friday, August 14, 2009

Bila Toyol Mengintai

Pagi semalam aku berkesempatan menolong isteriku di gerai. Kebetulan aku bertugas petang. Pekerja ada masalah dan tak dapat datang, jadi aku menggantikan pekerja yang cuti kecemasan. Pelanggan agak ramai juga. ' Bang roti nan satu ". Aku terkial-kial mencari orang yang memesan roti nan maklumlah baru nak berjinak dengan bidang perniagaan. " Bang pekerja baru ka ". Tanya pelanggan. Aku hanya tersenyum saja. malas aku nak cerita. Pekerja pun pekerja le.

Dalam sibuk melayani pelanggan tiba-tiba riuh berlari seorang wanita sambil berteriak, " Tolong..tolong ada toyol dalam bilik air ". Katanya ketika memasuki tandas terlihat budak sambil meniarap menampakkan tangannya. Riuh ketika itu. Aku masuk kedalam toilet wanita. Takut juga ada wanita didalam. Tapi tak apa ramai yang ada diluar. Aku memasuki satu tandas kesatu tandas. Tak ada kelibat toyol. kalau ada sudah tentu aku dapat merasainya. Setelah keadaan reda seketika dan orang ramai pun menjalankan aktiviti seperti biasa. Kedengaran sok sek cerita tentang toyol dalam berbagai versi. Aku membisikkan kepada isteriku bahawa ini bukan kerja toyol.

Aku memanggil seorang wanita yang merupakan peniaga disitu. Setelah berbincang sesuatu maka terjadilah sebuah babak drama. Wanita itu tiba-tiba bersuara, " Mak nak pergi tandas kejap. Tolong tengok adik ". Bila pintu tandas ditutup dia membuka kembali perlahan-lahan dan memberi isyarat tangan. Aku mengajak beberapa orang ketandas sebelah. Memang sah toyol kecil sedang mengintai sambil meniarap. Seorang budak kecil, baru darjah satu sedang menjalankan kegiatan mengintai tapi tidak professional sebab orang nampak tangan. Budak itu dibawa keluar. Riuh orang ramai bila mengetahui bahawa seorang budak boleh mengintai.

Kami semua bersetuju agar perkara ini diberitahu kepada ibubapanya. Setelah emaknya dipanggil, kami menceritakan segala apa yang terjadi. Biarlah diambil tindakan awal. Kalau dibiarkan tentu akan menjadi ketagih pula. Hairan emaknya begitu tenang menerima cerita akan anaknya. Tidak ada perasaan terkejut atau malu. Setelah mengucapkan terima kasih beliau membawa anaknya pulang. Entahla apa yang terjadi dirumah. Bagi aku tidak hairan perkara ini terjadi sebab baru-baru ini pun budak sekolah rendah ditangkap kerana menyimpan gambar lucah dalam laptop yang diberikan pihak sekolah.

Di internet banyak bahan-bahan lucah yang tidak disekat. Pengunjung boleh melawat seorang diri. Ibu bapa bekerja dan anak sendirian dirumah. Apa lagi ketika sendirian web ini lah dilayarinya. Sebab itu dalam usia begitu muda dah menjadi ketagih dengan gambar-gambar lucah dan terus bertindak berani dengan kegiatan lain. Kalau tak disekat akan rosaklah umat manusia yang beragama islam. Maka berjayalah perancangan zionist yang ingin merosakkan umat islam. Mereka tahu umat islam akan lemah dengan hiburan dan seks. Ini sudah berjaya dilaksanakan.

Thursday, August 13, 2009

Terus Mencari Panglima Hitam

Episod yang lalu telah diceritakan tentang pengalaman bertapa didalam gua dengan tujuan mencari panglima Hitam dan akhirnya ular hitam yang kami temui. Selepas peristiwa itu aku dan rakan-rakan masih tidak berpuas hati. Niat untuk mencari Panglima Hitam terus berkobar-kobar walaupun kami tidak tahu apa-apa tentang Panglima Hitam. Naluri remaja yang inginkan keseronokkan membuat kami tidak terlalu berfikir.

Dihujung kampung kami iaitu Kampong Manggis ada sebuah perigi usang. Airnya memang jernih. Perigi itulah akhirnya adikku Hermantika terjatuh lalu lemas didalamnya. Perigi itu dikatakan berpenunggu oleh orang-orang kampong. Waktu malam akan dapat dilihat kelibat manusia berpakaian hitam berlegar-legar kawasan itu. Ia dilindungi oleh sepohon pokok rambutan yang rendang. Kalau waktu tengahari cuaca panas, namun kawasan perigi itu redup kerana matahari tidak dapat menembusi daun-daun yang banyak. Kalau waktu senja ia menggerunkan. Sebab itu tiada yang berani melalui kawasan itu.

Kami mengambil keputusan bertapa diperigi itu jam 3 pagi walaupun kami sendiri tidak tahu apa itu bertapa. Naluri remaja kami mengalahkan kesemua andaian. Jam 3 pagi kami seramai 4 orang sudah berada dengan pakaian silat hasil dari kami belajar silat lincah. Aku memulakan bacaan mentera juga dari hasil aku belajar silat dari sepupuku. Silat yang menyeru tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Hasilnya amat mengagumkan. Abangku telah mendapat maqam yang tertinggi setelah dapat mencabut keris dipokok kelapa. Sepupuku dengan kekuatan menyepak akar yang besar sehingga putus. Aku waktu itu masih berjinak-jinak dengan silat itu. Setelah abangku ke Mesir barulah aku mengambil alih tugas memberi ijazah kepada murid baru.

Kami duduk berkumpul dalam bentuk bulatan. Angin pagi terus menyapa kami. Terasa sejuk hingga menembusi tulang-tulang kami. Dengan keadaan menggigil kesejukan dan ketakutan aku memulakan mentera, " Wahai tuhan yang memerintahkan seluruh alam. Merangkumi tujuh petala langit, tujuh petala bumi. Perkenankanlah kami bermain silat dan kami menyeru agar keluarlah apa yang ada didalam ( perigi ) dengan kalimat Laila haillallah. Aku berzikir sehingga tidak menyedari apa yang berlaku.

Sedar-sedar aku keseorangan di perigi. Mana kawan-kawan yang lain. Aku terus mencari mereka dan mereka sudah berada dirumah. Aku bertanya apa yang telah terjadi. Menurut kawanku ketika aku berzikir, air didalam perigi kelihatan membuak-buak. Kemudian timbul lembaga berpakaian hitam keluar perlahan-lahan dari dalam perigi. Mereka ketakutan dan mengejutkan aku namun aku sendiri terlalu asyik dengan wiridku sehinggakan tidak menyedari apa yang berlaku. Hairan juga sebab aku tidak mendapat alamat apa-apa pun. Takut juga aku mendengar cerita dari rakan-rakan. Nasib baik tidak terjadi apa-apa terhadap kami.

Keesokkan harinya kami berjumpa seorang pakcik yang merupakan orang lama didalam kampong. Kami bertanyakan tentang cerita perigi berpuaka. Kata pakcik perigi itu pada zaman Jepun dan 13 Mei menjadi tempat anak muda bertapa menuntut ilmu batin. Patutlah aku melihat seorang pakcik walaupun usianya dah tua namun masih gagah mendaki bukit. Pernah kami mengikutnya mendaki bukit untuk kedusun durian. Anaknya juga merupakan rakan bertapa aku. Katanya ayahnya dulu pernah melakukan perkara yang sama seperti kami.

Pernah kami tidur dibangsal dan tiba-tiba terdengar benda yang besar melalui bawah bangsal kami. Keesokkan harinya kami melihat seperti laluan seekor naga. Kata pakcik memang naga yang lalu malam itu. Terpinga-pinga kami mendengar antara percaya atau tidak. Pakcik itu jugalah yang pernah menendang hantu bungkus ketika hantu itu melintasi dihadapannya. Itu telah diceritakan oleh rakan-rakan pakcik. Walaupun pakcik itu masih lagi hidup sehingga hari ini namun ingatannya amat lemah walaupun kudratnya masih lagi kuat.

Bagi kami pakcik itu mempunyai banyak cerita yang menarik tentang perigi berpenunggu. Kini perigi itu telah lenyap akibat pembanggunan. Hanya ingatan kami kepada tapak-tapak perigi yang masih ada yang telah ditutup.

Tuesday, August 11, 2009

Menokok Tambah Dalam Islam

Aku masih menerima email. Ada yang meminta tolong agar dapat menyelesaikan masalah gangguan yang berlaku terhadap diri dan rumah mereka. Ada yang alhamdulillah dan ada yang memerlukan kepakaran yang lebih baik sebab aku tidak mempunyai kepandaian. Ada juga yang masih meminta ilmu agar dapat melihat alam lain. Takut juga aku memikirkan masalah ini sebab aku sendiri tidak berguru. ia terjadi secara tidak sengaja. Aku takut kita menuntut ilmu yang kita sendiri tidak tahu asal usuknya dan akhirnya kita mengaitkannya dengan ilmu islam.

Kalau kalian nak ilmunya bacalah quran dan kaji ayat-ayatnya. Kemudian carilah guru yang layak agar akidah kita tidak tepesong. Zaman kita sekarang merupakan zaman yang kembali kepada jahiliah. Banyak yang menghalalkan yang haram. Ilmu-ilmu hitam dipelajari tanpa rasa takut kepada Allah. Aku paparkan satu kuliah yang aku hadiri dan dirakam oleh rakanku tentang bahaya menokok tambah dalam islam. Semoga kalian semua mendapat pahala dengan mendengarnya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...