Teman-teman

Friday, November 30, 2012

Kenapa Teringin Sangat

Aku bertugas selama 16 jam. Awal-awal lagi isteriku beritahu yang dia akan buat laksa. Aku buat tak kisah saja. Bukan aku tak suka tetapi terpaksa memendam perasaan suka itu. Semasa aku hidup bersama dengan arwah Siti Aishah, laksa merupakan favourite aku. Masalahnya bila aku makan saja laksa keesokkan harinya aku tak dapat berjalan. Kaki terasa sakit sangat. Terpaksa isteriku menggantikan laksa dengan bihun. Setelah isteriku meninggal aku tidak dapat lagi merasai makanan kegemaranku. Tidakku sangka setelah berkahwin dengan isteriku Rosnah, dia juga merupakan penggemar laksa dan laksa yang dibuat lebihkurang sama dengan yang dibuat Siti Aishah. Pertama kalinya aku jamah laksa isteriku Rosnah, seperti dijangka esoknya aku tak boleh berjalan. Sejak hari itu isteriku Rosnah tidak mengizinkan aku makan laksa lagi. Kalau teringin sangat dia akan rebus bihun menggantikan laksa. Subhanallah cara mereka sama.


Kini tahap kesihatan aku alhamdulillah. Aku dapat menjamah laksa namun aku masih mengawalnya. Cukuplah dengan sepinggan laksa. Entah kenapa kali ini setelah perut terasa begitu lapar sebab tidak menjamah sebarang makanan pada tengahari dek kerana sibuk dengan tugasan. Mulalah teringat isteriku buat laksa. Teringin sungguh bila terbayang laksa isteriku. Memang sedap giler.Aku ke tempat kerjaku dan singgah di warung laksa ditepi jalan. Tersenyum wanita yang menjual laksa.
" Lama tak nampak abang ". Katanya. Aku tersenyum. Pernah aku cerita kepada isteri akan layanan baik wanita tersebut.
" Tu yang abang seronok sangat beli laksa ". Kata isteriku. Aku melihat dia masukkan laksa terlebih.
" Saya nak yang biasa saja ". Tersenyum wanita tersebut.
" Tak apa. Saja nak bagi lebih. Laksa dah nak habis ". Aku diamkan saja sambil mengucapkan terima kasih kepada wanita tersebut. Sampai saja terus aku buka. Masyaallah sedap dan banyak. Puas aku makan. Aku hantar mesej kepada isteriku. Sekejap saja.....
" Laa... esok pun abang boleh makan laksa. Beli buat apa. Tentu layanan baguih la tu ". Perli isteriku. Ish ish cemburunya dia. Pakaila balik rumah nanti kena pujuk....

Beginikah Sikapnya

Telah seminggu kisah ini berlalu. Kini baru aku mempunyai waktu untuk mencoretkannya. Seperti biasa aku off dari tugas jadi masa terluang aku meronda di pekan. Aku singgah di gerai buah-buahan kepunyaan rakanku. Datang seorang rakan yang dikenali sebagai ustaz mengajar kelas fardhu ain di sebuah kampung.
" Assalamualaikum syeikh ". Ucap sambil kami bersalaman
" Waalaikumussalam. Anta dari mana ni ". Aku terus bertanya rakanku.
" Anta kerja tak hari ini dalam pukul 10 pagi ". Tanya rakanku.
" Tak. Ada apa ". Aku pula bertanya
" Ana mencari seseorang untuk membantu ana khatan kanak-kanak. Nurse dia baru dan masih malu ". Kata rakanku. Aku pula jenis yang payah berkata tak boleh.
" Insyaallah. Setakat tolong pegang-pegang tak apalah. Kalau suruh sunat takut hilang semuanya ". Tertawa rakanku mendengar aku bergurau begitu.
" Anta ni dari dulu cukup suka bergurau tapi ana suka la ". Puji rakanku
" Pukul 10 pagi nanti anta tunggu di klinik.... ". Kata rakanku.

Jam 10 pagi aku sudah berada di depan klinik. Terus aku masuk kedalam klinik mencari rakanku. Kanak-kanak bersama ibubapa sudah ramai. Aku di panggil masuk kedalam klinik. Satu pengalaman baru padaku dapat membantu mengkhatan kanak-kanak.
" Tugas anta ialah memujuk kanak-kanak yang nampak nak menangis atau takut. Ana tau anta pakar dengan kanak-kanak ". Tersenyum aku mendengar pujian rakanku. Aku ingat kembali ketika surau kami mengadakan majlis khatan beramai-ramai. Seorang doktor yang merupakan orang kampungku membuka kliniknya sendiri dilih oleh pihak surau untuk khatankan kanak-kanak. Aku diminta duduk membantunya.

Ketika kanak-kanak hampir memangis ketakutan aku mainkan perananku membuat lawak agar mereka tidak merasa takut. Ada juga yang tak lut dengan maharaja lawak yang aku buat. Meraung satu dewan. Gelabah ibubapa bila melihat anak mereka menangis. Kini aku sekali lagi aku berdiri membantu rakanku. Seorang demi seorang masuk. Ada yang tersenyum. Ada yang nak menangis cepat-cepat aku pujuk.
" Pakcik dulu masa kecik-kecik tak takut. Doktor potong depan pakcik. Pakcik tengok tak rasa apa pun ". Tersipu-sipu malu malu nurse yang turut membantu rakanku. Ya Allah aku lupa la. He he malu juga aku.

Akhirnya tiba giliran seorang kanak-kanak. Kata ibunya anaknya tak takut. Aku mencari dimana ayahnya seperti ayah yang lain.
" Mana ayahnya ". Aku bertanya pada wanita tersebut.
" Ayah dia pergi kerja. Kata suami anaknya tak takut dengan sunat. Ayah dia dah bagi warning kalau menangis siap kena rotan ". Tu dia. Boleh main ugut si ayah. Sepaptutnya ibubapa ketika itu patut merasa gembira melihat anak mereka semakin membesar. Aku pun mempunyai anak dan aku dapat merasakan betapa gembiranya melihat anakku semakin membesar. Tak sepaptutnya si ayah membiarkan saja si ibu melakukan tugas itu. Sepatutnya si ayah berada disisi anaknya.

Bila anaknya melihat saja muka rakanku mulalah dia sebak. Si ibu sudah panik melihat anaknya.
" Diam..diam. Nanti mama repot dekat ayah ". Ugut ibunya.
" Tak apalah. Puan tunggu di luar. Biar ustaz yang buat ". Kataku pada si ibu dan dia aku sambil mengendong anak kecilnya. Masih geram aku dengan sikap suaminya yang tidak mengambil berat terhadap anaknya. Tiba-tiba anaknya meraung ketakutan. Dia mengeraskan badannya. Susah juga ustaz nak buat kerja. Aku terpaksa memujuk dengan menyuruh kanak-kanak tersebut mengikut aku membaca Al-Fatihah sementara rakanku menjalankan kerjanya. Terasa sakit dia meraung kembali. Riuh juga di luar mendengar kanak-kanak ini meraung. Ibunya tak senang duduk. Baru dia tau macam mana keadaan anaknya. Masa berada di rumah dan tak melihat tempat dan keadaan, anaknya memang tak terasa takut. Bila melihat suasana sebenar barulah menggigil. Inilah masanya peranan ibubapa.

Masa yang agak lama juga kami ambil untuk khatankan kanak-kanak ini. Teresak-esak dia menangis sewaktu kelaur dari bilik. Ibunya hanya diam sambil melihat aku. Baru dia tahu akan situasi yang sebenar. Jangan diambil ringan bab anak-anak. Tugas itu ialah tugas ibubapa. Bukan tugas ibu yang perlu membawa bersama anak kecilnya yang suka merenget. Semoga mendapat pengajaran dari ibubapa yang lain yang membaca coretan ini. Jangan memeandang mudah akan pembesaran anak-anak.

Wednesday, November 28, 2012

Jangan Mudah Mengalah

Aku dan pekerja lain telah mendapat surat kursus dan seterusnya pertandingan untuk projek kami. Setiap unit diwajibkan mencari satu projek yang dapat mengurangkan kos syarikat. Aku telah membayangkan satu projek yang akan kami brainstorm bersama. Masing-masing ada projek tetapi berdasarkan keperluan yang lebih untuk syarikat maka projek itu akan diketengahkan. Pasukan yang terlibat memanglah tidak dapat disangkal lagi kehebatan mereka. Projek mereka hebat berbanding kami. Setiap kali mereka membuat persembahan sudah pasti bos akan memberi tumpuan. Kumpulan kami sering dijadikan bahan gurauan dengan perkataan Sleep sleep only. Memang pedih mendengar tapi apakan daya bukan rezeki kami untuk menang. At least top 5 pun susah untuk kami mencapainya. Akhirnya ada sebahagian dari rakan-rakanku yang telah berputus asa. Aku juga terikut dengan gaya mereka.

Kini sekali kami diarah bertanding. Aku telah dilantik sebagai setiausaha. Dua orang rakan indiaku telah membayangkan kekalahan.
" Team yang masuk bagus-bagus. Kita buat sudah. Kalah pun tak apa ". Kata salah seorang rakan indiaku.
" Macha...Kita jangan menyerah awal sebelum berjuang. Kita jangan nampak kehebatan projek orang. Kita juga mempunyai projek baik ". Aku menyakin mereka. Akhirnya setelah melakukan brainstorming kesemua telah menerima projek aku untuk di pertandingkan. Bermulalah persiapan kami pada 26 dan 27 Nov. Masing-masing sibuk dengan menayang prototype mereka. Aku tengok rasa gerun dengan keupayaan mereka.


Pada 27 Nov ketika aku dalam perjalanan ke tempat kursus entah macam mana aku boleh tertidur. Apalagi motosikal aku terus melanggar perhentian bas. Melambung aku. Nasib baik jatuh atas rumput. Terasa sakit badan. Aku mula muntah-muntah. Akhirnya aku berjumpa doktor. Kata doktor tiada apa yang serius. Hanya kejutan otot saja. Lega aku boleh meneruskan persembahan kami

28 Nov. Kami di undi menentukan giliran. Kumpulan kami mendapat no 3 untuk membuat persembahan dari 6 pasukan. Kumpulan pertama membuat persembahan yang hebat. Presenter mereka begitu hebat sekali. Kagum aku dengan kumpulan mereka. Tamat persembahan mereka maka pihak juri pun bertanya soalan. Bermacam-macam soalan yang di lontarkan. Kami bertambah risau dengan soalan-soalan maut para juri. Kumpulan kedua pula membuat persembahan. Melihat prototype mereka membuatkan rakan aku bersuara,
" Habis kita. Presentation depa hebat-hebat ".
" Tak apa. Kita sudah berusaha dan kita akan buat yang terbaik ". Aku menyakin rakan-rakan padahal aku pun sudah mula kecut dengan kefasihan grup pertama dan kedua. Mereka juga ditanya oleh pihak juri bertubi-tubi.

Kumpulan kami dipanggil untuk membuat persembahan. Terdengar suara-suara kecil ketawa. Kami terus kehadapan. Rakanku sebagai ketua memberi ucapan pendahuluan. Ada keyakinan padanya membuatkan aku begitu bersemangat sebab beliau akan menyerahkan mic kepadaku untuk meneruskan presentation. Aku mengambil mic dari ketua dan meneruskan presentation. Sebenarnya aku nak memujuk hatiku yang terasa sedikit goyah.
" Terima kasih ketua. Saya akan meneruskan perjuangan ketua ". Hadirin termasuk juri tertawa dengan gelagat aku. Apa yang lucu dengan kata-kataku itu. Bisik hati kecilku namun sedikit sebanyak membuatkan aku rasa confident. Aku meneruskan persembahan dengan semangat dan diikuti dengan sedikit gurauan. Yang seronoknya para hadirin telah memberi perhatian dengan persembahan kami yang dianggap tidak hebat pada mulanya.

Bila selesai kami diberi tepukan gemuruh oleh hadirin. Tiba untuk para juri bertanya soalan tapi mereka terdiam sambil memandang sesama mereka.
" Apa yang hendak di tanya. Persembahan yang perfect kata seorang juri ". Para hadirin terus bersorak. Rakan-rakanku mula memberi ucapan penghargaan kepadaku kerana berjaya membuat persembahan. Lega akhirnya aku setelah selesai persembahan. Akhirnya kesemua 6 pasukan telah berjaya membuat persembahan. Keputusan akan di ketahui selepas makan tengahari. Pandai sungguh juri nak buat macam Masterchef padahal keputusan telah di ketahui.

Selepas makan tengahari kami masuk semula untuk mengetahui keputusan. Bermula dengan 6, 5, 4, 3. Nama kumpulan kami belum di sebut. Dada aku sudah bergerak kencang. Akhirnya juri berkata hanya tinggal 2 kumpulan dan dia akan mengumumkan johan dahulu. Akhirnya kumpulanku telah di nobatkan sebagai Johan persembahan. Allahu Akbar aku menjerit gembira. Aku tidak menyangka kali ini kami berjaya. Kalau sebelumnya kami di tertawakan kini kami bergelar juara. Hampir aku menitiskan airmata kegembiraan. Aku dan kumpulan telah membuktikan bahawa tiada sesuatu yang mustahil andaikata kita merancang, berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya bertawakkal kepada Allah. Hasilnya ialah kami telah mencipta sejarah walaupun tidak hebat tapi kami telah membuktikan pasukan yang di anggap kerdil mampu melakukan sesuatu kejutan......

Tuesday, November 27, 2012

Merajuk Dia

Aku mendapat panggilan dari rumah ibu mertuaku. Kata mereka ada yang sedang mencari meminta pertolonganku. Aku sendiri tidak pasti dalam bentuk apa mereka memerlukan pertolonganku. Bila aku sampai, aku melihat cucu saudaraku sedang mengamuk menendang kaum keluarga yang lain. Bila melihat saja kelibat aku dibulatkan matanya. Aku pergi kearahnya untuk memegang kepalanya. Terus dia menendang aku. Aku tahu bukan dia yang melakukan begitu. bagiku ia terlalu kecil. Tak perlu aku tergopoh gapah. Entah dimana mereka bermain. Hutan mana yang diredah sehinggakan ada yang mengikut pulang. Aku berjanji akan membuat air jampi selepas maghrib. kemudia seorang lelaki pula dikatakan tidak dapat melelapkan matanya. Kalau nak terlelap dia merasakan yang dia akan meninggal pada esoknya. Terdiam aku jenis gangguan begini. Aku juga berjanji akan membuat air jampi untuknya selepas solat maghrib. Selepas solat maghrib terus aku mengambil 2 botol berisi air untuk aku baca ayat quran.

Aku mula dengan membaca surah Yasin dan diikuti dengan Al Matsurat. Aku terus berdoa agar dikeluarkan segala benda yang tidak elok yang berada di dalam badan mereka kemudian aku hantar kepada mereka. Lega rasanya dapat membantu mereka. Aku terus bersiap-siap untuk bertugas malam. isteriku datang menghampiriku.
" Abang dah pagar ke rumah kita sebelum ke tempat kerja ". Tanya isteriku
" Dah..Abang pagar dengan current ". Spontan aku bergurau. Apalagi merajuk isteriku bila aku bergurau begitu. Jenuh juga aku memujuk. segala ilmu dunia aku keluarkan. He he
" Ala...sorry la. Abang bergurau saja. Dengan siapa lagi abang nak bergurau kalau dengan isteri. Abang pagar dengan Al quran ler ". Pujuk aku. Akhirnya sebelum aku keluar dari rewda sedikit gunung berapi.
' Senyum la sikit sebelum abang pergi ". Pujuk aku. Tapi itulah senyumnya, sumbingggg........


Sunday, November 25, 2012

Sudah Tukar Ka...

Aku beritahu isteri durian yang berada di dalam peti sejuk setengahnya di buat kuah. Teringin pula nak cicah dengan roti benggali. Aku juga beritahu isteri bahawa aku terlihat ada orang menjual serabai di pekan. Terasa teringin nak makan serabai. Kataku pada isteri. Isteriku tersenyum sambil mengacau kuah durian. Harum semerbak wanginya bau kuah durian. Aku beritahu isteriku bahawa aku nak ke pekan mencari roti benggali. Nak juga singgah di kedai buah. Mungkin buah rambutan kuning ada. Suka sangat aku dengan buah jenis ini. Akhirnya aku beli juga buah rambutan biasa dengan harga RM 5 untuk 3 kilo.



Aku membawa pulang kerumah. Bila aku buka pintu, isteriku datang dengan senyuman yang penuh makna sambil menghulur sesuatu kepadaku. " Nah nak buat surprise dekat abang. Nah buka buku resepi lama Nah tengok resepi serabai barat.Dah abang suka serabai jadi sebelum abang balik Nah nak buat surprise la tapi bila dah masak rupanya serabai barat tu ialah pancake ". Katanya sambil tertawa. Aku terus mencubit sedikit dan merasanya. Memang betullah pancake. " Abang kena makan juga sebab Nah buat ni untuk abang ". Aduh pulak dah. Aku memang tak suka kuih yang manis. Isteriku menghulurkan pancake sekeping padaku. Nak habiskannya memang susah. Sambil makan aku tertawa bila mengingatkan kembali gelagat isteriku nak buat surprise padaku. Terus aku google di internet mencari resepi serabai. Akhirnya dapat juga resepi. Serta merta dia meminta aku menyalin resepi serabai. Katanya dia nak try suatu hari nanti.Akhirnya pancake yang dibuat isteriku dihabiskan juga oleh aku memandangkan susah payah dia buat untuk aku. " Terima kasih abang ucapkan kerana bersusah payah buat serabai barat untuk abang ". Tertawa isteriku bila aku perlinya. Nasib baik aku makan habis. Kalau aku tak sentuh pancake tersebut dan terus perli alamat bermasam mukalah kami. Kena pandai ambil isteri......Terbaik....

Thursday, November 22, 2012

Pokok Apakah Ini

Aku masih ingat ketika anak-anakku masih kecil. Asyik tak lalu makan. Kemudian asyik muntah-muntah. Kata ibu mertua mereka ni dah kena cacing kerawit. dia meminta agar aku mengambil daun ini. Bagi aku ketika itu masih muda susah untuk aku percaya. namun sebab menghurmati orang yang lebih berpengalaman aku mengambil daun ini. arwah Siti Aishah merendam daun ini kedalam baldi yang berisi air lalu di mandikan anak-anakku. Alhamdulillah ada kesannya.


Aku juga masih ingat tatkala demamku terlalu tinggi sehingga aku maracau ditengah malam. Arwah isteriku keluar lalu mengambil daun ini. Direndamnya daun ini kedalam baldi yang berisi air. Dibiarnya seketika dan kemudian dia meratakan air di seluruh anggotaku. Alhamdulillah keesokkan harinya demam aku pulih walaupun masih keadaan letih tetapi panasnya berkurangan. Aku bertanya arwah isteri apa nama pokok ini. Katanya mereka memanggil pokok kacang keridik.


Hari ini bila aku pergi kebelakang rumah ibu mertuaku untuk mengambil jantung pisang aku melihat pokok ini tumbuh begitu segar sekali. Aku beritahu pada isteriku akan kebaikan pokok ini. Susah untuk di percayai tapi itulah kuasa Allah. Dia menjadikan sesuatu tanpa sia-sia.

Wednesday, November 21, 2012

Perancangan Last Minute

Selepas solat subuh isteriku bertanya samada aku nak ke pasar atau tak. Mungkin aku keletihan setelah bertugas selama 16 jam jadi selepas subuh agaknya aku nak menyambung kembali tidurku. Aku memang selepas subuh agak payah untuk melelapkan mata. Aku suka menonton berita Awani dahulu sebelum melakukan apa-apa aktiviti.


" Abang nak makan apa hari ni ". Tanya isteriku. Aku terdiam sambil memikirkan segala jenis makanan.
" Entah la. Abang jemu dah dengan nasi ". Ringkas saja aku menjawabnya. Diam isteriku.
" Ha...Nah dah dapat idea apa dia...Cuba abang teka ". Aku bergurau membaca ayat lalu aku hembuskan di telapak tanganku dan kemudian aku ketawa.
" Ha ha..Abang dah tau apa yang tersirat di fikiran Nah. Nah nak buat gulai jantung pisang kan kan ". Terlopong isteriku bila tekaan aku tepat sekali. Kih kih. Tok bomoh katakan.
" Best jugak no. Lama tak buat. Jom kita ambil jantung di rumah mak mertua abang dan beli daging ". Terus aku mengajak isteriku.


Kami ke pasar dulu membeli daging dan barangan lain. kemudian kami terus kerumah emak mertuaku. Aku nak tunjuk pada orang bandar bagaimana nak ambil jantung seperti dalam gambar ni. Terkial-kial isteriku menarik jantung pisang. Akhirnya berjaya juga kami mendapat 3 biji jantung.


Aku kupas siap-siap kulit jantung pisang dan aku tinggalkan sedikit untuk di kupas di rumah. Takut jadi hitam pula dia.
" Abang...kulit dia kena buang banyak ka ". Tanya isteriku
" Ya...sampai tak nampak yang merah baru la rasanya lembut ". kataku pada isteri yang belum pernah makan sebelum ini. Sejak dia berkahwin dengan aku barulah dia tahu makan gulai jantung pisang. Arwah Siti Aishah memang pakar membuat gulai ini. Kadang-kadang dimasuknya kerang. Memang sedap. Sedap juga masakan isteriku Rosnah. Sekurang-kurang aku masih merupakan insan bernasib baik sebab masih boleh merasai gulai jantung pisang.


Sekejap saja sudah masak. Di hidangnya di atas meja dalam keadaan panas lagi. Ini yang tak tahan. kalau nak lebih power aku goreng cabai kering dan di ramas hancur di dalam nasi. Masyaallah makan bertambah....

Monday, November 19, 2012

Larian Jambatan Pulau Pinang Yang Membosankan

Aku begitu seronok apabila bangun dari tidur. Kini giliran aku pula OFF. Aku mengajak isteriku kepasar dan kemudian lepak di kedai makan seperti selalunya. Memang enjoy begini. Isteriku pun tumpang gembira bila aku off. Tak lah dia keseorangan di rumah. Merungut dia mengatakan berat badannya sudah naik setelah lama tidak berniaga. Kini dia sedang menanti tapak pasar malamnya di upgrade untuk menyambung perniagaannya berdekatan rumahku. Ketika sedang makan aku menerima panggilan talipon dari jurutera yang mengarahkan aku standby pada jam 4 petang. Terus hilang mood aku. Tapi bila di fikirkan kembali inilah rezeki yang Allah berikan kepada aku sekeluarga aku diamkan saja. Lagi pun dalam setiap doa aku memohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki. Inilah rezekinya.

Jam 3 petang aku keluar dari rumah menuju ketempat aku bertugas. Aku melihat di papan kenyataan memasuki jambatan Pulau Pinang mengatakan yang Jambatan akan di tutup pada jam 1 pagi hingga 10 pagi kerana larian jambatan pada hari Ahad. Alhamdulillah aku pula pulang jam 11 malam jadi tak perlulah aku menggunakan feri. Entah kenapa selepas isyak jurutera menalipon aku melanjutkan standby aku sehingga pagi esok. Nak buat macam mana. Sudah arahan namanya. Jam 7.30 pagi aku menalipon pihak PLUS bertanya status jambatan. Kata pegawai yang menjawab jambatan akan di buka kepada kenderaan pada jam 10 pagi. Terpaksa juga aku menggunakan feri.


Jam 8 pagi tamat standbyku dan aku terus keluar menuju ke feri. Bila tiba sudah kelihatan banyak kereta di terminal feri. Nasib baik la aku guna motor. Senang saja mencelah. Motosikal juga sudah memenuhi. Dari jauh aku nampak feri sedang menurunkan penumpang. Semua menghidupkan enjin motosikal. Lama juga menanti pintu pagar laluan motosikal belum dibuka. hon sudah berbunyi di setiap penjuru. Bingit terasa telinga aku. Aku melihat pekerja feri berlari masuk kedalam feri. Apa hal pula. Ada kemalangan ka. Masing-masing sudah tercangak-cangak menanti jawapan. Akhirnya sebiji kereta unser meluru keluar. Rupanya pemandu tertidur didalam feri. Mungkin tak pernah naik feri.

Motosikal terus meluru masuk bila pintu dibuka. Alhamdulillah terlepas juga aku kedalam. Keadaan motosikal yang sesak dan aku berada di tengah membataskan aku untuk mengambil gambar. ketika hampir sampai feri berhenti sebab menunggu feri sebelah sana keluar. Agak lama juga feri berhenti. Mulalah hon dibunyikan. Pening la aku dengan gelagat manusia yang tidak sabar. Even apek tua sebelah aku pun membunyikan hon motor memberi amaran kepada pilot feri agar bergerak. Banyak besar lu punya kapla.

Akhirnya dapat juga kami keluar dari feri. Keluar saja kelihatan polis di hadapan memberi arahan menuju kearah jalan yang dibenarkan. Aduhh...jalan tutup pula. Kena guna jalan jauh. Kereta dan motosikal sudah bersesak-sesak. Time inilah ramai yang menyumpah dengan larian yang menyusahkan pergerakan rakyat. Jenuh juga aku pusing. Akhirnya aku tiba di rumah pada jam 9.30 pagi. Inilah larian Jambatan yang membosankan aku. Nextime aku kena ambil cuti kalau ada larian jambatan...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...