Teman-teman

Saturday, September 01, 2012

Ibu Oh Ibu

Rabu 29 Ogos - Aku dan isteri ke hospital seperti selalu menziarahi ibuku. Ibuku kelihatan sihat. Kami memberi salam pada ibu dan ibu menjawab salam kami perlahan. Aku duduk sebelah ibu sambil mengurut kakinya yang lenguh. Datang nurse memeriksa ibu. Kata nurse ibuku akan dibenarkan pulang bila nurse dapat mengajar ahli keluarga yang tinggal bersama ibu. Aku beritahu ibu.
" Alhamdulillah mak. Nurse kata mak boleh pulang dah. Depa nak ajar kakak dulu macam mana nak sedut kahak mak ". Ibu hanya anggukkan kepala sahaja. Nampak ceria wajahnya.
" Mak makan sikit. Nak bagi kuat kaki. Nanti bila balik boleh jalan-jalan ". Barulah ibuku ada selera untuk makan. Tiba-tiba dia berkata sesuatu padaku.
" Jom balik sekarang ". Kata ibu. Aku terdiam mendengar kata-kata ibu.
" Tak boleh mak. Doktor kena ajar dulu kakak ". Aku beritahu ibu. Ibuku diam saja. Tiba-tiba
" Awat..tak suka ka mak balik rumah ". Kata ibuku. Wajahnya sedikit marah.
" Kami bukan tak suka mak balik. Semua anak cucu suka tapi kami kena minta izin doktor dulu. Kalau doktor bagi mak balik hari ini insyaallah kita balik ". Ibuku hanya diam saja. Begitulah setiap hari aku memberi harapan pada ibu. Kadang-kadang kasihan juga pada ibuku yang mengharapkan sesuatu.

Khamis 30 Ogos - Sekali lagi kami ke hospital. Keadaan ibu nampak berlainan. Ibuku tidak kisah dengan kehadiran kami. Bila dia tidur cepat-cepat dia akan bangun kembali. Mungkin ibuku terasa penat bila baring. Akhirnya ibuku terpaksa tidur dengan cara duduk saja. Ibuku nampak keletihan. Banyak kahak telah disedut. Datang anak saudaraku. Ibuku amat sayang cucu ini. Kalau dirumah sudah pasti disuruhnya simpan sedikit makanan untuk cucunya. Takut habis. Bila cucu ini datang ziarah di ciumnya cucu ini. Kali ini bila cucunya datang ibuku hanya melihat saja tanpa bersuara.
" Mak kenal tak siapa yang datang ". Aku berkata pada ibu sambil menunjuk akan cucunya. Ibuku hanya melihat saja tapi tidak berkata apa-apa.

Jumaat 31 Ogos - Anak gadisku menalipon dari hospital Pagi itu dia yang menjaga neneknya. Kata anakku, ibuku tidak sedar langsung. Aku sudah mula risau. Kebetulan aku bertugas pagi terpaksa menunggu jam 4 untuk aku pulang dan ziarah ibu. Selepas solat zohor sekali lagi aku hubungi ibuku. Kata anakku ibuku seperti waktu pagi. Tidak sedar walaupun dikejutkan. Apa yang terjadi pada ibuku. Waktu itu datang bermacam-macam andaian di fikiranku.
" Ya Allah aku berdosa pada ibu. Aku memberi pengharapan palsu pada ibu. Aku nak memohon ampun pada ibu ". Aku ingatkan kembali bagaimana ibu meminta padaku untuk pulang kerumah tapi aku berkata doktor tidak mengizinkan. Aku begitu sedih ketika itu. Jam 4 terus aku pecut motosikal membelah jambatan Pulau Pinang. Bila tiba di hospital ibuku masih tidak sedarkan diri. Kaum keluarga sudah berada di sisi ibu. Kata doktor ibuku terkena jangkitan kembali seperti asal. Diberinya antibiotik yang paling kuat untuk ibu. Doktor berkata ia akan mengambil selama seminggu untuk pulih.

1 September - Dapat maklumat dari anak saudara yang menjaga neneknya. Ibuku akan dipasang ventilator kembali dan kemungkinan akan dimasukkan ke ICU kembali. Apa lagi yang mampu kami lakukan untuk ibu selain berdoa agar Allah permudahkan ibu. Amat berat ujian untuk ibu. Ketika aku menulis, ibuku telah ditolak masuk ke bilik bedah menurut maklumat dari anak saudara....Semoga Allah selamatkan ibu. Ibu yang kusayangi. Kau ibu mithali. Tabah menghadapi hidup berduri. Ayah pun telah lama menemui ilahi. Meninggalkan kita hidup sendiri. Ya Allah rahmati Ibu. Ya Allah rahmati ayah. Tempatkan mereka dalam syurgamu. Bersama kekasih, kekasih mu Ya Allah......

1 comment:

Mrs.Izi said...

semoga ibu abg ariff cepat sembuh.insyaAllah.ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...