Teman-teman

Monday, June 24, 2013

Sukarelawan Polis Trafik

Jam 3 petang aku keluar untuk bertugas petang. Cuaca begitu terik dan berjerebu. Namun itulah yang harus aku lalui untuk mencari rezeki. Hujan, ribut, panas dan berjerebu terpaksa aku tempuhi bila melalui Jambatan Pulau Pinang. Aku berhenti di persimpangan jalan. Dihadapan lampu isyarat mungkin telah bertukar hijau jadi kenderaan begitu banyak. Terpaksa aku menanti hingga lampu bertukar merah barulah aku dapat melintasi jalan. Datang seorang pemuda. Aku amat mengenalinya. Dia di takdirkan kurang cerdik namun tidak pernah mengganggu orang lain dan dia pula tidak pernah di ganggu kerana kurang siumannya.

Dia terus kehadapan dan mengangkat tangan seperti polis trafik. Kenderaan tetap meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan sukarelawan polis trafik yang baru tiba.
" Lintas cepat bang ". katanya kepadaku. Aku tersenyum sebab andaikata aku mengikut katanya maka aku pasti di rempuh lori dan kenderaan yang lain.
" Lintas cepat bang tumpang kereta banyak ". Katanya lagi kepadaku. Aku tertawa kecil. Bila lampu bertukar merah dan kereta pun tiada barulah aku lintas.
" Lembab...Kereta tak ada baru nak lintas. Masa banyak tak mau lintas. Lembab ". Marah polis trafik padaku. Tertawa isteriku bila aku cerita kisah polis trafik yang tuduh aku lembab


Seperti biasa pada hari Sabtu aku akan menolong isteriku di pasar malam. Selepas solat asar kami keluar menuju ke pasar malam. Banyak peniaga baru sampai dan memunggahkan barang. Aku mengangkat meja dan periuk dari dalam kereta isteriku. Sukarelawan polis trafik sudah tiba awal rupanya. Sudah dapat bekalan. Sambil memegang bekalan sambil tangan mengangkat memberi isyarat kepada kereta.
" Pelan-pelan. Jangan laju. Nanti hangpa langgar aku pula ". Isteriku tertawa melihat gelagat polis trafik
" Makan la dulu. Satlagi jaga le ". Kata seorang peniaga kepada polis trafik.
" Tak boleh bang kereta banyak. Satlagi dia langgar aku ". Kata polis trafik
" Hang bukan jaga kami. Hang jaga hang saja ka ". Gurau peniaga tadi. Aku terus menyampuk
" Lembab....". Polis trafik terus meluru kearahku

" Bang...hari tu saya jaga abang lintas jalan tak dapat upah lagi ". Katanya kepadaku.
" Berapa upah dia ". Aku sengaja bertanya
" Bagi seringgit sudah bang. Nak beli air ". kata polis trafik. Aku mengeluarkan dompet lalu menghulurkan RM2. Isteriku pula memberi sebungkus nasi tomato. Gembira sungguh nampak pada wajah sukarelawan polis trafik
" Untung la dia. Duit dapat. Nasi pun dapat ". Gurau peniaga bersebelahan dengan kami. Sukarelawan polis trafik hanya tersengih gembira mendapat upah yang lumayan baginya.
" Makan nasi nanti baca Bismillah ". Kataku kepada sukarelawan polis trafik
" Bang nanti bila abang nak lintas jalan lagi panggil saya no ". Kata polis trafik. Dia yakin orang berpuas hati dengan perkhidmatannya.

4 comments:

pB said...

hidup tanpa masalah ...

Ariff Budiman said...

pB...Benar. Mereka merupakan insan yang tiada masalah

Anonymous said...

Salam abg budi ...
Belas melihat anak muda ini, semuga perjalanan hidup nya dipermudah kan allah
Untung kak ros dpt menambah keberkatan rezeki dgn besedekah kpd insan bertuah ini .,
Semuga diberkati allah -

Ariff Budiman said...

Waalaikumussalam. Mudah2 an Allah permudahkan segala urusan anak muda ini. Semoga Allah berkati rezeki yg di agihkan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...