Teman-teman

Monday, April 13, 2009

Untuk anak-anakku




Sengaja ayah paparkan video clip ini agar ketegangan yang ayah rasai akan berkurangan. Emak adalah insan yang istimewa dalam hidup ayah. Emak banyak bekorban demi kebahgiaan kita semua. Kelahiran kakak melalui pembedahan. Begitu gembiranya hati emak tatkala kakak dilahir walaupun pada hakikatnya emak begitu sakit sekali. Ayah tak sanggup melihat emak kesakitan lalu setiap hari ayah sendiri akan mencuci luka emak. Kata Dr emak bertuah mendapat seorang suami yang penyayang. Kakak dibesarkan oleh emak dengan penuh kasih sayang. Setiap kali ayah pulang kerumah terasa seronok bermain dengan kakak ketika itu. Kemana saja ayah pergi, pasti ayah membawa emak dan emak akan memegang kakak sambil membonceng motosikal. Bila hujan lebat kita bertiga basah kuyub dan akhirnya kakak demam. Terpaksa emak menjaga kakak siang dan malam agar demam berkurangan.

Dua tahun kemudian adik pula dilahirkan juga melalui pembedahan. Sedih ayah melihat emak menanggung kesakitan. Ini bermakna sudah dua kali luka ditempat yang sama. Namun tidak nampak wajah kekesalan dihati emak. Seronok emak dengan 2 cahaya mata ini. Kakak dan adik emak besarkan bagaikan menatang minyak yang penuh. Walaupun emak berpelajaran tetapi akibat kemiskinan emak terpaksa melupakan niat itu. Emak akan menjual kuih demi menambah pencarian keluarga ketika itu.

Ayah pernah bertanya kepada emak adakah emak menyesal berkahwin dengan ayah. Kata emak semua itu telah Allah tetapkan dan emak bahagia sekali. Emak telah menyinari keluarga sebelah ayah. Kehadiran emak membawa rahmat kepada keluarga ayah. Emak disayangi oleh seisi keluarga sebelah ayah. Masa itu ayah berasa syukur sekali Allah mempertemukan emak dan ayah.

Selang beberapa tahun kemudian emak mengandung lagi. Risau hati ayah sebab Dr memberitahu bahawa kelahiran yang ketiga ini juga adalah melalui pembedahan. Sampai masanya adik Ashraf dilahirkan. Emak begitu gembira sekali. Entah mengapa adik terpaksa ditahan dirumah sakit akibat kekuningan. Emak dibenarkan pulang. Setiap hari ayah akan pergi menziarahi adik dihospital. Suatu malam ketika ayah sedang berlatih nasyid pihak hospital menalipon ayah sebab keadaan adik tenat. Ayah bergegas ke hospital bersama emak.

Sesampainya kami disana Dr memberitahu kami bahawa adik sudah tiada lagi setelah berada didunia selama 18 hari. Terkulai layu emak menerima berita ini. Terpaksa ayah tenangkan emak walaupun ayah sendiri begitu sayu dengan kematian adik.Emak begitu tertekan sekali ketika itu. Bila melihat kanak-kanak emak akan menangis sebab teringatkan adik. Ayah faham perasaan emak sebab 9 bulan emak membawa adik kemana saja.

Semua itu berlalu begitu sahaja sehinggalah kakak dan adik berjaya didalam pelajaran. Namun kejayaan ini tidak dapat dikecapi oleh emak. Memang menjadi harapan emak agar kakak dan adik berjaya. Namun takdir menentukan segalanya. Emak telah menyambut seruan ilahi buat selama-lamanya. Susah ayah menerima kenyataan ini. Namun ayah redho juga akan pemergian emak. Kini ayah terkapai seorang diri tanpa gurauan dari insan tersayang.

Ayah hanya mampu berdoa kepada Allah andaikata Allah mempertemukan jodoh ayah, biarlah dia seorang yang berakhlak dan mempunyai sifat-sifat seperti emak. Kini Allah telah membuka ruang itu sedikit demi sedikit. Kakak dan adik usah risau akan perkembangan ini. Kalau ini berlaku kakak dan adik tetap anak ayah yang terbaik. Ayah sayangkan kamu berdua. Kakak dan adik merupakan harta hasil dari perkongsian hidup emak dan ayah.

Berilah sedikit ruang untuk ayah agar dapat menghabiskan sisa-sisa hidup sebelum dijemput Allah. Entah berapa lama lagi ayah akan hidup. Kita pun tidak tahu. Namun hidup perlu diteruskan. Harapan ayah dan juga emak, teruskanlah perjuangan dalam menimba ilmu. Semoga kakak dan adik berjaya di dunia dan juga akhirat dan itulah harapan yang terbaik dari seorang insan yang bergelar ayah dan emak.

Sunday, April 12, 2009

Bengkel Pembinaan Blog



















Hari ini sepatutnya aku nak belajar tentang nak upgrade blog Warna Nostalgia. Akhirnya aku tiada pilihan terpaksa menjadi fasi dan mengajar bengkel pembinaan blog. Target permulaan ialah seramai 20 orang sahaja dan kehadiran sebanyak 19 orang.

Pertama para peserta telah difahamkan apa tujuan pembinaan blog oleh puan Azizah dari JIM Media Pulau Pinang. Banyak juga aku mendapat ilmu disamping menjadi tenaga pengajar dikalangan rakan-rakan. Kata peserta rupanya senang nak buat blog ya..

Peserta nampak enjoy juga sebab mula jam 9.20 pagi tidak terasa masa dah tamat jam 1 tengahari. Maklumlah pertama kali dapat buat blog sendiri. Kata mereka selalu dok membaca blog kawan-kawan dan kini telah mempunyai blog sendiri. Jam 1 tengahari pun masih seronok walaupun dah tamat. Akhir sekali penganjur menggunakan kuasa veto, komplek nak ditutup. Barulah beredar. Insyaallah ramai yang berminat nak sambung lagi bengkel ni. Penganjur bercadang nak adakan bengkel multimedia. Hari ini aku begitu gembira sekali. Entah kenapa. Sekurang-kurangnya aku dapat melupakan masalah aku buat seketika dengan berjumpa kawan-kawan.

Wednesday, April 08, 2009

Sembang-sembang kedai kopi

Hari ini aku tak masak. Bukan hari ini saja. Tiap-tiap hari aku tak masak. Jadi balik kerja aku singgah diwarung kedai kopi. Ada la jual nasi dan lauk pauk. Aku tak suka makan dikedai lalu aku bungkus saja. Sambil menanti minuman aku disiapkan, aku pun duduk sambil anak telinga memasang kalau ada terdengar cerita-cerita menarik. Maklumlah kedai kopi.

Masuk sorang pakcik, ' Ya Budiman tak masak ka hari ini". Aku hanya tersenyum simpul saja.
" Baru depa tau, kena 2 - 1 ". "Siapa kalah pakcik Arsenal ka Vilareal". Aku sengaja buat tak faham sebab aku tak suka dok sembang pasal politik. Cuma kesedaran tu aku adalah. " Hang ni apa ke jadahnya cakap pasal bola. Aku cakap pasal politik la. Bukit Gantang & Bukit Selambau. Baru padan muka depa. Allah tunjuk siapa yang benar ". Sengaja dia tinggikan suaranya supaya orang disekeliling yang menyokong pihak lain akan merah padam muka mereka.

Tauke kedai memang dipihak kerajaan. Merah padam muka dia dengan gelagat pak cik tu yang tak berakhlak. Tapi dah berniaga maka diam saja tauke tu mendengar celoteh pak cik.Bagi aku yang kalah tak bererti dia kalah. Mungkin ada tarbiah yang perlu difikirkan untuk di muhasabah diri. Yang menang jangan dibanggakan. Sebelum mendapat kuasa kita berjanji berbagai-bagai kemudahan. Bila dah dapat kuasa terus menjadi syaitan yang tidak mengenal halal dan haram. kemenangan adalah amanah yang perlu dipikulkan. Kalau setakat berbangga saja tunggulah perhitungan sebenar di akhirat.

Aku tak berapa nak layan pak cik ni. Cakap bab politik memang hebat. Tapi sampai ke hari ini tak pernah pun aku berjumpa dengannya berjemaah di masjid. Tak pa aku bersangka baik. Mungkin dia berjemaah disurau atau bersama keluarga. Kata seorang pak cik pula dekat aku.
"Politik sebenarnya telah memecah belahkan orang melayu". Aku bab politik ni aku tak pandai sangat. Jadi lebih baik aku diam. Bila siap semua aku pulang kerumah. rasa selesa makan seorang diri dirumah sambil mengadap komputer. Itu baru menang. Kalau kalah, aku tak tau macam mana maki hamun pak cik tu. Ketika aku pulang pak cik itu masih lagi dengan suara lantangnya mendabik dada dengan kemenangan PR kelmarin sambil menghembuskan asap rokok yang berjaya membunuh umat islam. Tahniah pak cik anda telah berjaya membunuh saudara anda di Palestin. Teruskan bercakap bab politik.

Tuesday, April 07, 2009

Mendamaikan Jiwa

















Kelmarin aku telah ditugaskan di Parit Buntar. Sampainya aku disana dan pabila melihatkan keindahan alam semula jadi ciptaan Allah ini hati aku merasa sungguh tenang. Tempat yang mendamaikan hati yang tidak dapat lagi aku merasainya di Pulau Pinang. Dulu tempatku beginilah rupanya. Bila balik dari sekolah aku akan berlari diatas batas sawah. Pernah satu ketika ayah menyuruh aku menjaga pokok padi agar tidak dimakan burung. Tapi aku telah memasang jaring agar burung akan terperangkap dan senang aku menangkapnya untuk dibuat gulai.

Jadi sengaja aku biarkan burung memakan padi. Dan bila burung dah banyak akan aku halaunya dan burung yang terkejut beruk akan berterbangan dan banyak yang tersangkut dijaring. Aku terus menangkapnya dan aku serahkan kepada Pak Long untuk disembelih. Selesai Pak Long sembelih aku beri kepada emak. Kataku, "Emak buat gulai bagi likat-likat( pure punya kari ) baru sedap". Emak terus menjawab, " Nanti bila hang dah besaq emak nak cari bini yang pandai buat gulai likat-likat". Bila aku dah beristeri, emak cerita padanya tentang kesukaanku dengan kari yang likat-likat. Tersenyum isteriku sebab dia dah tahu akan kesukaanku.

Atas nama pembanggunan, tiada lagi yang dapat aku banggakan kini. Hanya kenangan silam aku ceritakan kepada generasi terutama sekali anak-anakku bagaimana ayah belajar menajak tanah menggunakan kerbau. Kemudian baru datang teknologi mesin. Bangun saja dari tidur terasa mata begitu segar memandang kehijauan dan itulah salah satu caranya untuk menjaga mata. Terasa begitu singkat sekali waktu kerjaku di Parit Buntar. Minggu hadapan aku akan kesini lagi dan aku berhasrat akan menjejaki diatas batas-batas sawah ini.

Sunday, April 05, 2009

Kemana hala tujuku aku sendiri pun tak tahu

Badan aku amat keletihan setelah penat bekerja hampir 24 jam. Sewaktu pulang dari kerja, hujan turun dengan lebatnya. Aku gagahi juga membelah laluan jambatan menuju tempat teduhku. Baju basah kuyub walaupun aku memakai baju hujan. Dalam kesejukan aku merasai badanku kepanasan. Aku gagahi perlahan-lahan mendaki anak tangga menuju kerumahku. Yang pasti aku tahu bila aku membuka pintu rumah tidak ada siapa lagi yang akan menyambutku menghulurkan tuala supaya dapat aku mengeringkan badan yang basah.

Setiap kali bila hujan turun dengan lebatnya dia akan pasti menanti aku dididepan pintu. Bila melihat kelibat aku dia akan tersenyum tanda syukur aku selamat sampai. Suami mana pun kalau isteri layan sebegitu badan yang letih pun tak terasa. Selesai menunaikan solat asar aku mengambil selimut terus menyelimuti badanku yang panas. Sedar-sedar jam dah 7.30 petang. Bergegas aku mandi dan kesurau untuk solat Maghrib. Selesai solat aku terus ke giant untuk apa pun aku tak tahu. Sedar-sedar stering aku pusing ke arah giant.

Aku terus ketingkat atas untuk menjamu selera. Tempat yang selalu kami makan ialah chicken chop. Kini aku makan keseorangan. Agak ramai keluarga yang makan. Ada beberapa kawanku dari taman yang sama datang bersama keluarga mereka. Sekali-sekala mereka akan menjeling kearahku membuatkan aku rimas. Aku merasakan yang aku ini seperti penjenayah. Asyik-asyik mereka akan memerhati aku. Apa yang tidak kena dengan aku. Salah ka aku makan seorang diri.

Sedang enak aku mengelamun, aku ditepuk seseorang dari belakang. Oh si Shuid rupanya.
" Itulah ada bini makan sorang-sorang. Sebab tu tak lalu". Terdiam aku tanpa berkata apa-apa. Ya dia tidak tahu apa yang telah terjadi terhadap isteriku. Aku pun malas nak menceritakan. Dia berlalu pergi bersama isterinya. Inilah kali pertama aku makan seorang diri. Selalunya kami makan berdua atau dengan anak-anak. Kini setelah dia pergi aku hanya makan dengan anak-anak. Kadang-kadang kalau dia tidak masak sebab terlalu banyak jahitan, dia menyuruh aku makan saja diluar dan membeli untuknya. Tapi aku akan beli dan bawa balik kerumah dan kami akan makan bersama-sama. Terasa kekok kalau aku makan keseorangan.

Masa inilah hati aku terlalu sayu seolah-olah isteriku berada dihadapanku. Kami makan sambil berbincang dan isteriku akan mengambil peluang ini untuk menceritakan apa yang berlaku seharian dan aku menjadi pendengar yang prihatin. Kini siapa pula yang akan mendengar rintihan hatiku. Emakku??. Aku tak nak bebankan masalah aku kepada emak. Kesihatan emak pun tak berapa elok. Kakak, abang. Ahh..mereka pun mempunyai keluarga sendiri. Malas aku nak ganggu dengan masalah aku.

Nak mengadu kepada kawan-kawan. Mereka mudah saja, " Kahwin lain budiman habis cerita ". Perkataan kahwin memang mudah. Nak mencari yang benar-benar baik memerlukan masa. Bagaimana penerimaan anak-anakku. Aku tak boleh meminggirkan mereka. Mereka juga mempunyai perasaan. Nak mengadu kepada ibu mertua. Ibu mertua pula tidak boleh terlalu memikir sebab masalah jantung. Terpaksa aku pendamkan perasaan aku yang berkecamuk. Kalau ada orang bertanya aku lepaskan sedikit tension aku.

Aku tak sanggup nak menghabiskan makanan aku. Aku terus menuju kedalam kereta. Hujan turun dengan lebatnya. Inilah masanya aku melepaskan perasaanku, " Siti abang nak ikut Siti. Abang sunyi. Abang rindu. Kakak, adik apa yang perlu ayah buat. Ayah terlalu rindu dekat mak ". Dalam kereta seorang diri tempat aku melepaskan tangisanku. Biarlah aku seorang yang merasainya. Sekurang-kurangnya terasa lapang dadaku.

Aku terus memandu menuju kemasjid. Malam ini ada kuliah Ust Harun Din. Sambil mendengar Mutiara FM memainkan lagu Tunggu Sekejab nyanyian Jaclyn Victor aku terhibur sementara. Tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta dibelakang. Astaghfirullah Hal Azim aku bawa selaju 50km/j patutlah marah orang belakang. Memang aku tak boleh dengar lagu sentimental. Kalau aku menghantar anak ke Sungai Petani isteriku akan memasang lagu nasyid yang rancak. Memang dia tahu kalau pasang lagu sentimental maknanya kereta ini akan berjalan secara sentimental juga dan hasilnya berderet kereta dibelakang. Katanya, " Dah berapa tahun Siti kahwin dengan abang. Siti tau apa lagu kegemaran abang ". Betul aku akan burn semua lagu yang slow-slow. Relax bawa kereta. Tapi dia akan pasang lagu Rabbani yang rancak seperti pergi tak kembali. Memang lagu itu kegemarannya dan kini dia pergi tak kembali. Maaf entri kali ini untuk meluahkan perasaanku.

Friday, April 03, 2009

Program Amalku bermula



















Aku telah dihubungi oleh seorang lelaki yang meminta tolong mencukur rambut cucunya yang baru dilahirkan. Terdiam aku seketika sebab memang aku sudah tak berhajat nak berbuat demikian. Dengan pujuk rayu akhirnya aku mengalah juga. Tak sampai hati nak tolak harapan orang. Aku letak syarat iaitu mesti ada yang tolong pegang bayi sebab sebelum ini isteriku yang memegang bayi.

Sebelum ini aku memang tak pandai buat semua ini. Atas dasar inginkan perubahan aku mengambil risiko ini juga. Sebelum ini kalau tukang cukur rambut akan meletakkan syarat iaitu pulut kuning dan wang pengkeras sebanyak RM15. Aku mudah saja. Kalau dapat sediakan sebiji kurma, sepotong tebu dan sedikit air zam-zam untuk tahnik atau belah mulut. Selalunya kalau orang beri duit pada akau aku sedekahkan kembali sebab aku ni bukannya pandai sangat cuma menolong kalau tak ada orang.

Bila aku sampai dirumah itu waduh.. punyalah ramai wanita yang ingin melihat aku mencukur. Dalam ramai-ramai tu terselitlah mak angkat aku. Bila dia lihat saja muka aku terus sebak sebab teringat dekat Aisyah. memang aku tak nafikan yang mak angkat kami ni sayang sangat dekat kami. Dia buat macam anak-anak dia. Dia bagi kesemua ilmu masakan dekat isteri aku. Dekat orang dia tak bagi. Bagitau saja nak makan apa pasti isteri boleh buat sebab resipi dah ada. Bila time ada kenduri di surau dia akan lepas dekat isteri aku memasak. Katanya dia dah perturun ilmu. Tapi isteri aku ni dia bukan jenis suka menunjuk-nunjuk, dia akan tanya juga orang yang lebih tua darinya.

Entah mengapa aku terkeluar kalam depan mak angkat aku, " Makcik dulu Aisyah yang dok pegang budak. La ni tinggal saya sorang la. Kalau tak ada orang pegang saya tak boleh cukur ". Apalagi berderau airmata keluar terisak-isak. Kelam kabut juga orang ramai yang melihat. Ada juga yang menangis melihat situasi ini. Aku pun tidak menyangka situasi ini akan berlaku.

Akhirnya aku cepat-cepat habiskan kerjaku sebab aku ingin saja pulang kerumah. Selesai saja aku terus minta izin untuk pulang tanpa menjamah hidangan yang disediakan. Aku pun tidak sanggup melihat orang ramai yang juga menangis bila aku berkata demikian. Mak angkat aku masih lagi ditenteramkan oleh jiran-jiran yang hadir. Kata mak angkat aku sorang lagi.
" Janganlah menangis didepan Budiman. Tuan tubuh lagi sedih dok teringat dekat isterinya ". Aku pulang dengan perasaan yang berkecamuk dan bersyukur hajat orang dapat aku laksanakan.



Thursday, April 02, 2009

Umat islam Mudah Lupa Diri

Sudah lama aku tidak berjemaah di surau. Asyik pulang lewat malam. Jadi hari ini ditakdirkan aku pulang awal sikit jadi dapatlah aku berjemaah di surau. Kebetulan hari ini ada bacaan ayat quran di surau. Aku tidak mahu melepaskan peluang untuk sedekahkan bacaan ayat-ayat al-quran kepada mereka yang telah pergi mendahului aku.

Selepas solat isyak beberapa orang jemaah mendapatkan aku sambil berpelukan. Kata mereka terlalu rindu lama tak nampak aku. Sebak juga aku ketika itu. Masih ada yang sayang dengan aku. Yang paling ketara ialah seorang AJK yang satu ketika pernah meminta bantuan aku untuk mendoakan anaknya yang tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan. Menangis dia sebab lama tak jumpa aku. Dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada aku dan juga mereka yang mendoakan kebaikan untuk anaknya.

Sambil tersedu beliau berkata walaupun aku pun mempunyai masalah berat namun masih sempat mendoakan anaknya. Beliau mendoakan kebahgiaan untuk aku. Insyaallah. Seorang AJK pula datang menghampiri aku, " Bang Man tension la kutip duit surau dengan penduduk". Aku pun sudah merasainya bersama isteri. Lihat saja kami datang, cepat-cepat pendududk masuk kedalam rumah. Ceritanya lagi ada sebuah rumah sebiji macam cerita P. Ramlee. Bila diketuk anak yang keluar dan terus berkata, " Ayah suruh kata ayah tak ada di rumah ". Siayah malu terus keluar menghulurkan RM1.

Ada pula yang beri RM10 tapi berkata," Makcik nak bagi RM2 saja. Makcik nak balik RM8 ". Semangat dia meluahkan perasaan. " Bang ada sebiji rumah marah dekat saya sebab minta duit terlalu awal sangat sebab tak dapat gaji lagi tapi jumpa dipasar malam berbelanja sakan ". Bila jumpa tahu pula malu. Kalau aku nak dengar luahan hati dia memang alamat aku tak balik rumah. Kataku nak buat macam mana itu dah tugas kita. Semoga penat lelah kita insyaallah Allah akan ganti di akhirat kelak. Kemudian dia terus berkata sambil berlalu pergi, " Memang umat islam mudah lupa diri ".

Aku mengerti perasaannya. Malu, marah kecewa akan menyelinap masuk kedalam hati. Itulah yang kami rasa bila menerima tugasan ini. Menangis isteri aku bila ada penduduk yang perli kami. Kecewa aku bila ada yang berkata buat apa duit banyak-banyak. Tapi itu merupakan asam garam untuk menjadi pemimpin. Satu perkara yang kami dapat merasai hasil dari kerja amal yang kami lakukan ini ialah kemanisan bila beribadah. Terasa tenang bila bekerja demi Allah. Akhirnya bila isteri aku meninggal ramai yang memujinya sehingga sekarang. " Lihat Aisyah dia ikhlas bila buat kerja untuk surau dan penyudahnya amatlah baik. Muka tersenyum indah ". Lega aku mendengar tidak ada tohmahan buruk terhadap isteri aku. Malah ada yang melihat aku, mereka akan menangis sebab terkenangkan Aishah sebab selalu kami berdua. Terbayang aku akan wajah terakhir isteriku. Manis wajahnya menguntum senyuman seperti telah mendapat sesuatu. Itulah senyuman yang dilemparkan ketika aku memberi barangan yang dia suka dan senyuman itu akan aku simpan dihati buat selama-lamanya.

Aku juga sering berdoa agar penyudahku juga baik agar kami dapat bersama-sama selama-lamanya diakhirat iaitu tempat yang kekal abadi. Ya Allah pertemukan kami didalam mimpi Ya Allah. Aku terlalu merinduinya. Entah kenapa...hu hu hu......Macam mana orang boleh berkata pada aku, " Budiman lupakan saja. Jangan diingatkan lagi orang yang telah pergi ". Entah entah entah

Wednesday, April 01, 2009

Wanita Tidak Lemah

Aku amat risau tentang perkembangan anak gadisku. Ketika dia mengambil peperiksaan, ibunya sedang tenat. Aku tak berani nak kacau dia. Akhirnya terpaksa juga aku beritahu tentang keadaan ibunya yang sebenar setelah Dr sendiri mengatakan yang isteriku mungkin tidak dapat diselamatkan. Dia sempat juga mengambil peperiksaan yang terakhir dan bergegas pulang. Tapi ibunya sudah tidak sedarkan diri lagi. Hanya linangan airmata sahaja memohon kemaafan dari ibunya yang koma.

Sebagai ayah aku berkata kita pasrah kepada Allah andaikata result yang diterima tidak memuaskan. Bersiap sedia menghadapi kenyataan. Semalam aku menghantarnya pulang ke Kolej di Sungai Petani dan pagi ini dia menalipon aku mengatakan yang dia telah lulus kesemua mata pelajaran yang diambil walaupun tidak mendapat pointer yang baik. Aku bersyukur kepada Allah kerana setiap kali selepas solat aku mendoakan agar kedua-dua anakku berjaya didunia dan diakhirat.

Tidak dinafikan yang anak gadisku persis ibunya. Tenang dalam menerima keadaan. Isteri aku walaupun sakit masih lagi boleh tersenyum. Aku yang jantan ni kalau sakit sikit riuh satu rumah. Yang tu masa ada isteri. Sekarang sakit duduk diam-diamla jawabnya. Aku masih ingat lagi semasa arwah adikku lemas didalam perigi. Aku ketika itu sedang mengambil peperiksaan LCE. Terus gagal. Kira anak aku ok lagi dari aku.

Mungkin kita melihat wanita itu lemah. Ya mungkin mereka lemah dari sudut kekuatan. Tetapi emosi, pemikiran mereka dapat mengalahkan lelaki. Aku pernah jadi bendahari. Memang memeningkan kepala. Tetapi isteri aku relax boleh selesaikan masalah walaupun tarafnya sebagai surirumah. Yang seronoknya orang puji aku.

Ni seorang lagi anak lelaki aku. Relax juga ikut ibunya. Baru-baru dia berkata pada aku dengan selamba saja, " Ayah, adik kena saman dengan JPJ sebab tak letak pelekat P. Boleh bagi RM150 nak pergi bayar saman ". Nasib baik la ibunya dah tak ada. Kalau tidak memang aku dah jentik telinga. Mau tak mau hilang juga duit RM150. Aku yang dengar berita ini macam nak tercabut kepala.

Siapa pun tak mengikut aku yang suka gabra bila menerima sesuatu berita. Tidur tak lena. Mandi tak basah. Makan lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...