Teman-teman

Wednesday, September 19, 2012

Benda Apa Pun Tak Tau

Aku keluar membawa kamera untuk mengambil gambar matahari terbenam. Ketika asyik mengambil pemandangan indah matahari terbenam entah tiba-tiba terbang satu benda dari arah kayu bakau. Time tu azan maghrib berkumandang. Sempat juga aku snap gambarnya. Cuba lihat gambar bawah sebelah kanan atas.

Yang bawah pula aku perbesarkan gambarnya. Kepaknya begitu lembut ketika terbang. Aku sendiri pun tak tahu benda apa. Terpulang kepada pembaca semua samada percaya atau tidak. Bukan senang nak dapat keadaan macam ini.


Bila Isteri Membuat Keputusan

Isteriku telah mengambil keputusan untuk berhenti dari berniaga roti canai. Katanya dia sudah tidak bertenaga untuk menebar roti canai. Aku mengerti apa yang dimaksudkannya. Aku sendiri pun tidak mampu membuat pekerjaan seperti mana yang telah isteriku lalui. Sudah berpuluh tahun dia berniaga roti canai demi untuk membesarkan anak-anaknya. Kini katanya dia ingin berehat dan berniaga kecil-kecilan dari rumah. Aku tidak membantah niatnya. Pernah dia beritahuku yang bidang roti canai tidak diminatinya. Dia hanya minat berniaga nasi sahaja. Kini setiap hari dia berada di rumah. Akulah orang yang paling gembira. Kalau selalu isteriku berada di gerai dan aku berada di rumah keseorangan. Bila terasa boring, aku keluar tawaf merata tempat. Bila isteriku pulang dari berniaga barulah aku pulang kerumah.

Kari kepala siakap + kelumpung ikan
Bila tidak berniaga bermakna aktiviti yang selama ini aku tinggalkan telah dihidupkan kembali. Kami keluar dari rumah ke Metropolitan untuk joging. Suasana pagi begitu mendamaikan. Sambil berjalan sambil bersembang dan sekaligus badan menjadi sihat. Selesai joging kami singgah di warung untuk makan pagi. Memang enjoy sekali. Isteriku ternyata begitu gembira. Dari riak wajahnya aku tahu yang dia begitu tenang dengan kehidupan begini. Bila dah kenyang barulah kami ke pasar. Aku membeli 2 ketul kepala ikan siakap dengan harga RM12 dan kelumpung ikan. Memang sejak kecil lagi aku serta adik beradik yang lain diberi makan ibu dengan makanan ini. Bila besar tabiat ini tidak dapat aku pisahkan dari kehidupan. Kalau kari kepala atau ikan andaikata terdapat kelumpung maka masing-masing tak sabar untuk merasa. Untuk mendapatkan kelumpung ikan, harus ke pasar awal-awal lagi. Selalunya jam 8 pagi aku sudah berada dipasar dan memang terdapat banyak. Aku beli dan simpan dalam peti sejuk. Takut stok tak ada.

Kerabu tembikai
Aku juga suka dengan kerabu buah tembikai. Arwah isteriku memperkenalkan kepadaku dan akhirnya aku jatuh cinta dengan kerabu ini. Tak susah untuk membuat kerabu ini. Cincang tembikai. Tumbuk lada hitam sampai halus atau blend. Tumbuk sedikit udang kering. Gaulkan tembikai dengan lada hitam, udang kering, sedikit gula dan garam. Yang merisaukan aku ialah kalau beginilah keadaannya maka berat badan aku pasti begitu cepat melonjak. Isteriku pun sudah mengadu yang badannya terasa seperti sudah gemuk tapi aku tengok kurus saja. He he perasaan tu. Apa aku begitu enjoy dengan kehidupanku sekarang. Apapun bersabar. Biar masa yang menentukan segalanya dan kini alhamdulillah.....

Memang Suka Sangat

Sejak dari kecil lagi aku serta adik beradik telah dibesarkan dengan makanan kampong. Salah satu darinya ialah pengat pisang. Kata ibu kalau nak buat pengat pisang kena guna pisang raja sebab dia manis. Memang tak jemu kami dengan pengat pisang. Kadang-kadang ibu akan ganti dengan pengat ubi kayu. Bila aku berkahwin dengan arwah Siti Aishah ibuku telah berpesan.
" Budiman ni suka makan gulai dan pengat. Masak lemak dia tak suka ". Isteriku hanya tersenyum mendengar penerangan ibu mertuanya.

Pisang raja
Alhamdulillah isteriku meneruskan makanan kesukaanku bila hidup bersama denganku. Kadang-kadang dia akan ganti dengan bubur gandum. Memang aku enjoy sekali dengan makanan yang dimasak isteriku. Setelah kematian isteriku dan aku berkahwin lain aku diamkan saja pengat kesukaanku. Aku tidak suka meminta-minta. Apa yang dimasak itulah yang aku makan. Entah satu hari isteriku Rosnah bersuara
" Abang suka makan pengat tak. Nah ingat nak buat pengat petang ni ". Kata isteriku 3 hari yang sudah. Apalagi mendengar pengat pisang yang sudah lama aku tidak merasa, aku begitu semangat sekali.
" Nanti abang beli pisang ". Aku berkata kepada isteri.
" Nah nak campur dengan bubur cha-cha ". Kata isteri dan aku merupakan suami yang cukup gembira sekali.

Pengat pisang + bubur cha cha
Memang enak sekali pengat yang dibuat isteriku. Sudah berapa kali aku tambah. Isteriku tersenyum. Katanya dia tidak menyangka yang aku amat menggemari pengat pisang. Hari kedua aku mencari pisang raja lagi. Alhamdulillah ada dan aku minta isteriku buat pengat lagi. Tak membantah isteriku pun buat pengat. Tak menghampakan dia. Pengat selesai aku makan.

Pisang raja goreng
Hari ini kami ke pasar. Isteriku membeli pisang raja lagi. Aku ternganga melihat pisang tersebut.
" Hai bang...tak jemu-jemu dengan pengat ka. Buat la pula pisang goreng pula ". Kata isteriku. Aku tertawa kecil bila di perli isteri. Akhirnya pisang yang dibelinya digoreng. Memang manis pisang raja. Susah mendapatnya sekarang. Kalau dulu orang banyak menjual goreng pisang dengan pisang raja. Kini banyak yang menggunakan pisang awak. Apapun kalau aku teringin nak makan pisang raja, aku sudah tahu dimana tempatnya hendak aku beli....

Tuesday, September 11, 2012

Mana Nak Sorok Muka

Aku mengajak isteriku ke pejabat celcom berhampiran untuk mendaftar dengan talian X Pax. Sebelum ini isteriku hanya menggunakan sub line dan cajnya amat mahal sekali. Belum cukup bulan dah menjangkau RM 80. Pelanggan agak ramai juga.
" Boleh saya tolong encik ". Tanya pegawai celcom dengan senyuman.
" Saya nak daftar talian x pax untuk isteri saya. Boleh saya tahu caj yang dikenakan ". Aku bertanya.
" Ok kalau dari talian celcom ke celcom caj panggilan ialah sebanyak 28 sen untuk tempuh 10 minit dan sms ialah 1 sen sahaja. Untuk talian celcom ke lain cajnya ialah 28 sen untuk tempuh 5 min dan sms sebanyak 5 sen sahaja. Bagaimana encik. Berminat tak ". Tanya pegawai celcom. Setelah berbincang dengan isteri akhirnya kami bersetuju.

" Encik boleh tolong bagi ic tak ". Tanya pegawai tersebut lalu isteriku terus menghulurkan icnya. Pegawai tersebut terus memasukkan data permohonan isteriku.
" Ok encik akaun isteri encik telah aktif. Encik boleh guna sekarang ". Tersenyum pegawai tersebut sambil menghulurkan kad x pax.
" Terima kasih banyak- banyak ". Kataku kepada pegawai tersebut yang hanya terdiam melihat kami. Aku dan isteri terus keluar untuk pulang. Tiba-tiba aku terdengar nama kami dipanggil.
" Encik-encik duit encik tak bayar lagi ". Kata pegawai tersebut. Masih lagi tersenyum.

" Ya Allah. Minta maaf. Saya terlupa ". Aku masuk kembali lalu membayar wang tersebut. Isteriku diluar merasa amat malu. Bagi aku yang gelap rupanya tiada kelihatan langsung. Tapi isteriku nampak merah mukanya menahan malu. Kami hanya tertawa di atas motorsikal.
" Nah malu la bang. Harga hanya RM 8 saja ". Aku hanya tertawa di atas motorsikal. Memang la aku pun malu sebab ramai yang memerhati akan kami. Walaupun mereka tahu yang aku lupa tapi perasaan itu tetap ada. Mana nak letak muka ni....

Friday, September 07, 2012

Apa Dah Jadi

Aku demam panas hari ini. Isteriku mengajak aku ke klinik. Sementara aku mandi isteriku mengambil seluar untuk serika. Tiba-tiba aku terdengar dia menjerit. Apa ke hal pula isteriku. Bila aku masuk ke dalam bilik kelihatan isteriku terdiam. Mukanya berubah.
" Abang Nah minta maaf. Seluar abang dah rosak ". Sambil menunjuk seluar aku sudah terkoyak. Aduh tergamam aku sebab seluar kesayanganku telah koyak.


Rupanya seterika mengalami kerosakkan. Bila serika saja ia melekat dan bila di tarik dengan kain sekali ia menrik kain. Memang aku sayang sangat dengan seluar ini. Terasa selesa bila memakainya. Baru-baru aku buat seluar dengan kos sebanyak RM100 dan bila basuh terangkat jadinya. Aku membawa seluar untuk dibaiki tetapi tiada kedai yang sanggup membaikinya. Aku menyanyi sambil memegang seluar
" Dimana kan ku cari ganti serupa dengan ni ". Tertawa isteriku. Apakah sudah berakhirnya seluar ini. Aku akan terus mencari kedai yang boleh membaikinya.

Yang Terbaik Buat Ibu

Salam semua kepada pembaca yang baik hati. Pertama sekali aku mengucapkan ribuan terima kasih diatas doa kalian semua dan maaf tak sempat nak balas komen yang diberikan. Aku begitu sibuk dengan tugas dan ziarah ibuku. Badan memang meletihkan sehingga terasa berputar-putar. Sedikit berita tentang ibuku dimana suatu hari aku menerima sms dari kakak ipar mengatakan cepat ke hospital sebab ibu telah nazak. Aku dan isteri yang kebetulan berada diatas motor bila membacanya saja merasakan yang perjalanan kami ke hospital amat jauh.

Bila tiba saja di hospital kelihatan doktor sedang bertungkus lumus menyelamatkan ibuku. Setelah selesai barulah doktor beritahu yang jantung ibuku telah terhenti selama 10 minit dan disusuli dengan serangan stroke. Sedih mendengar dugaan yang dialami oleh ibuku. Abangku mengarahkan agar kami semua membaca surah yasin dan talkin ditelinga ibu. Setelah 2 hari keadaan ibuku masih begitu. Abangku berjumpa doktor untuk berbincang mengenai status ibuku. Kami membuat keputusan untuk membawa pulang ibu kerumah.

Doktor tidak mengizinkan kami berbuat demikian. Kata doktor keadaan ibuku memang kritikal tetapi masih ada harapan tapi amat tipis. Doktor menyarankan agar menggunakan harapan yang tipis itu untuk terus merawat ibu. Doktor telah membuat scan dikepala ibuku untuk mengetahui samada oksigen masih terdapat diotak ibuku. Kata doktor kalau 10 minit oksigen tiada didalam otak  ia akan membuatkan otak menjadi damage dan kami boleh membawa ibu pulang. Akhirnya keadaan ibuku stabil walaupun masih dalam zon kritikal. Setiap hari rutin kami ialah membaca surah yasin dan talkin di telinga ibu. Hasil dari scan mendapati yang oksigen masih lagi terdapat di otak ibu walaupun tidak meliputi keseluruhannya.

Pada 5 September sekali lagi ibuku tenat. Dia mengalami stroke kali kedua. Kami semua bergegas kembali ke hospital. Akhirnya doktor dan jururawat berjaya menstabilkan ibuku. Subhanallah..mengalir airmata kami bila mengenangkan betapa kuatnya perjuangan ibu. Ibu ingin pulang kerumah dan kami berkata yang ibu harus kuat untuk pulang kerumah dan kini ibu telah membuktikannya. Kini sudah genap sebulan ibuku berada di hospital. Dia di masukkan pada 6 Ogos 2012 dan sehingga kini masih lagi berjuang. Sekali lagi doktor membuat scan ke atas otak ibu. Hari ini atau esok kami akan mengetahui akan keputusannya. Biarlah orang berbunyi kenapa kami tidak membawa pulang ibu kerumah tanpa mereka mengetahui andainya kami berbuat demikian kami telah menzalimi ibu dengan membiarkan ibu menghabiskan riwayatnya. Selagi doktor berkata harapan tetap ada selagi itulah kami akan terus bersama ibu merawat. Itulah yang terbaik buat ibu. Ya Allah andai ditakdirkan umur ibu masih panjang, pulihkanlah ibu dan pulang kepangkuan kami. Andaikata sudah tiba ajal ibu biarlah ibu kembali dengan tenang Ya Allah. Terima kasih sekali lagi kepada pembaca semua kerana mendoakan ibuku.

Monday, September 03, 2012

Ibu Sedang Nazak

Ibuku kini terlantar di hospital dalam keadaan nazak. Kata doktor ibuku mengalami brain damage akibat jantungnya terhenti. Aku mohon kepada pembaca yang baik hati agar mendoakan ibuku di permudahkan. Biarlah ibuku berakhir dengan penyudah yang baik. Sorry tak dapat tulis panjang. Aku harus ke hospital semula untuk membaca yasin dan talkin. Biar pun letih namun demi ibu biarlah kami korbankan segalanya. Amin Ya Allah...permudah....permudahkanlah ibu

Saturday, September 01, 2012

Ibu Oh Ibu

Rabu 29 Ogos - Aku dan isteri ke hospital seperti selalu menziarahi ibuku. Ibuku kelihatan sihat. Kami memberi salam pada ibu dan ibu menjawab salam kami perlahan. Aku duduk sebelah ibu sambil mengurut kakinya yang lenguh. Datang nurse memeriksa ibu. Kata nurse ibuku akan dibenarkan pulang bila nurse dapat mengajar ahli keluarga yang tinggal bersama ibu. Aku beritahu ibu.
" Alhamdulillah mak. Nurse kata mak boleh pulang dah. Depa nak ajar kakak dulu macam mana nak sedut kahak mak ". Ibu hanya anggukkan kepala sahaja. Nampak ceria wajahnya.
" Mak makan sikit. Nak bagi kuat kaki. Nanti bila balik boleh jalan-jalan ". Barulah ibuku ada selera untuk makan. Tiba-tiba dia berkata sesuatu padaku.
" Jom balik sekarang ". Kata ibu. Aku terdiam mendengar kata-kata ibu.
" Tak boleh mak. Doktor kena ajar dulu kakak ". Aku beritahu ibu. Ibuku diam saja. Tiba-tiba
" Awat..tak suka ka mak balik rumah ". Kata ibuku. Wajahnya sedikit marah.
" Kami bukan tak suka mak balik. Semua anak cucu suka tapi kami kena minta izin doktor dulu. Kalau doktor bagi mak balik hari ini insyaallah kita balik ". Ibuku hanya diam saja. Begitulah setiap hari aku memberi harapan pada ibu. Kadang-kadang kasihan juga pada ibuku yang mengharapkan sesuatu.

Khamis 30 Ogos - Sekali lagi kami ke hospital. Keadaan ibu nampak berlainan. Ibuku tidak kisah dengan kehadiran kami. Bila dia tidur cepat-cepat dia akan bangun kembali. Mungkin ibuku terasa penat bila baring. Akhirnya ibuku terpaksa tidur dengan cara duduk saja. Ibuku nampak keletihan. Banyak kahak telah disedut. Datang anak saudaraku. Ibuku amat sayang cucu ini. Kalau dirumah sudah pasti disuruhnya simpan sedikit makanan untuk cucunya. Takut habis. Bila cucu ini datang ziarah di ciumnya cucu ini. Kali ini bila cucunya datang ibuku hanya melihat saja tanpa bersuara.
" Mak kenal tak siapa yang datang ". Aku berkata pada ibu sambil menunjuk akan cucunya. Ibuku hanya melihat saja tapi tidak berkata apa-apa.

Jumaat 31 Ogos - Anak gadisku menalipon dari hospital Pagi itu dia yang menjaga neneknya. Kata anakku, ibuku tidak sedar langsung. Aku sudah mula risau. Kebetulan aku bertugas pagi terpaksa menunggu jam 4 untuk aku pulang dan ziarah ibu. Selepas solat zohor sekali lagi aku hubungi ibuku. Kata anakku ibuku seperti waktu pagi. Tidak sedar walaupun dikejutkan. Apa yang terjadi pada ibuku. Waktu itu datang bermacam-macam andaian di fikiranku.
" Ya Allah aku berdosa pada ibu. Aku memberi pengharapan palsu pada ibu. Aku nak memohon ampun pada ibu ". Aku ingatkan kembali bagaimana ibu meminta padaku untuk pulang kerumah tapi aku berkata doktor tidak mengizinkan. Aku begitu sedih ketika itu. Jam 4 terus aku pecut motosikal membelah jambatan Pulau Pinang. Bila tiba di hospital ibuku masih tidak sedarkan diri. Kaum keluarga sudah berada di sisi ibu. Kata doktor ibuku terkena jangkitan kembali seperti asal. Diberinya antibiotik yang paling kuat untuk ibu. Doktor berkata ia akan mengambil selama seminggu untuk pulih.

1 September - Dapat maklumat dari anak saudara yang menjaga neneknya. Ibuku akan dipasang ventilator kembali dan kemungkinan akan dimasukkan ke ICU kembali. Apa lagi yang mampu kami lakukan untuk ibu selain berdoa agar Allah permudahkan ibu. Amat berat ujian untuk ibu. Ketika aku menulis, ibuku telah ditolak masuk ke bilik bedah menurut maklumat dari anak saudara....Semoga Allah selamatkan ibu. Ibu yang kusayangi. Kau ibu mithali. Tabah menghadapi hidup berduri. Ayah pun telah lama menemui ilahi. Meninggalkan kita hidup sendiri. Ya Allah rahmati Ibu. Ya Allah rahmati ayah. Tempatkan mereka dalam syurgamu. Bersama kekasih, kekasih mu Ya Allah......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...