Teman-teman

Sunday, December 30, 2012

Mat Kapet

Aku mengajak isteriku ke Pesta Pulau Pinang. Sebelum ke Melaka aku dan isteri ke Pesta dengan menaiki motosikal untuk buat survey harga. Kami tahu dipenghujung tahun pasti banyak gerai akan buat offer. Aku pula ketika itu mencari kasut untuk joging. Ketika buat sirvey kasut jenama Adidas dijual dengan harga RM75. Peniaga kata ini adalah kasut terakhir. Habis kasut ini maka habislah ia. Bukan boleh percaya sangat. Kami terus berjalan dan kali ini isteriku menuju ke gerai karpet. Banyak juga kapet yang elok-elok.
" Hari Isnin kita mai pula. Mungkin offer ". Kataku kepada isteri.


Tiba hari Isnin aku mengajak kedua-dua anakku sekali. Aku berkata bila masuk maghrib jangan berlengah lagi. Terus solat sebab malam mimggu memang ramai yang akan ke Pesta. Bila kami keluar jalan sudah mula sesak. Rupanya ada yang lebih awal dari kami. Terpaksa letak kereta jauh dari tempat pesta disebabkan parkir sudah penuh. Bila masuk saja kedalam, aku terus ketempat jualan kasut.
" Offer offer. Hanya RM50 saja ". Kata penjual. Sebelum ini dijual dengan harga RM75. Terus aku beli kasut jenama Adidas. Aku tahu kasut itupun bukanlah ori sangat. Tapi buatannya cantik dan nampak tahan maka sebab itulah aku beli untuk joging.


Akhirnya setelah berlegar kami singgah di gerai karpet. Isteriku memang suka sangat dengan karpet. Aku pula suka dengan gambar pemandangan. Hajat dihati nak gantung didinding. Isteriku memegang karpet.
" Hari ini ada offer. Satu keping RM 190. Lain hari RM 300 libih ". Kata benggali karpet. Cantik juga karpet ni. Anak aku juga berkenan. Nak letak dirumah. Kesian juga aku mendengarnya.
" Beli 2 kasi kurang la. RM180 ". Aku bergurau.
" Tak boleh..tak boleh. Ini sudah kurang ". Kata benggali karpet. Akhirnya dia bisik juga dengan kami.
" Tak apa saya kasi RM180 sekeping ". Kata benggali. Akhirnya beli juga kami 2 keping karpet dengan harga RM360
" Ala...RM350 la ". kata anak gadisku kepada benggali karpet. Akhirnya dia setuju. Bila pulang aku memegang satu keping. Akibat berat maka aku letakkan diatas kepala sambiul berkata
" Mau beli minta kurang. Sudah kasi kurang mau kena hantar itu kereta. Kereta pula banyak jauh. Rugilah ini macam ". Kata-kata dalam loghat bangla membuatkan isteriku tertawa.

" Abang ni malu la dok cakap macam tu. Nanti oghang kata abang ni Bangla pula ". Kata isteriku. Aku sudah  mula perasan yang orang ramai ada yang tersenyum simpul melihat aku menjunjung karpet sambil bercakap bahasa bangla. Isteriku asyik pula tertawa dengan gelagat bersahaja aku. Tibalah aku depan satu rombongan sambil merungut dalam bahasa bangla. Tertawa mereka bila mendengar.
" Baguslah bangla ni. Boleh tolong bawa ke kereta lagi ". Isteriku terus mendapatkan aku.
" Abang depa kata abang bangla. Abang dok cakap macam tu ". Kata-kata isteriku membuatkan aku tertawa. Akhirnya memang melenguhkan badan membawa karpet.
" Tak apalah. Nanti Nah urut badan abang ".
" Banyak terima kasih pada sayang kerana mau urut saya ". Aku bergurau dalam loghat bangla. Tertawa kami berdua. Aku tahu dia terhibur dengan aku dan aku juga demikian. Semoga kami terus bahagia.

Bila di pasang karpet nampak cantik pula di ruang tamu


Wednesday, December 26, 2012

Melaka Sedang Menggamit

Ketika aku menulis, aku sedang berada didalam kereta. Alhamdulillah anakku boleh memandu jadi aku relax sedikit. Bila dia pula keletihan maka aku pula memandu. Senangkan. Sebenarnya idea kami sepatutnya ke Hatyaii. Memandang ramai yang memberi nasihat agar tidak kesana disebabkan keselamatan tidak dijamin maka kami membatalkan hasrat kesana.

Tiba- tiba anak gadisku bersuara hendak ke Melaka. Katanya sudah lama dia tak kesana. Akhirnya aku membuat keputusan ke Melaka. Isteriku pun turut gembira sebab anak gadisnya berada di Melaka mengikut suaminya. Keadaan lalulintas alhamdulillah agak terkawal. Aku juga turut gembira dapat berjalan-jalan dengan kedua- dua anakku. Selama 4 tahun kami berdikari membawa diri masing- masing setelah kehilangan orang tercinta.

Aku tahu walaupun perjalanan ini meletihkan tapi aku cukup bersyukur kerana kami dapat bersama. Semoga Allah kurniakan kegembiraan kepada kami ketika berada di Melaka. Semoga Allah memelihara perjalanan kami ke sana. Alhamdulillah kami berhenti di R & R Gunung Semanggul untuk menunaikan solat jamak. Hati terasa begitu tenang bila dapat menyelesaikan tanggungjawab terhadap Allah. Kalau kita ingat akan Allah maka Allah akan ingat pada kita. Kami meneruskan perjalanan...

Kami singgah di R & R Sg Perak untuk menjamu selera. Isteriku telah membuat pizza untuk bekalan kami. Satu kotak pizza seafood dan satu lagi pizza daging telah habis kami bedal. Memang sedap ketika perut begitu lapar. Setelah perut diisi kami meneruskan perjalanan. Memasuki terowong Changkat Jering jantung aku sudah pastinya bergerak kencang. Disinilah kerap aku melihat kelibat lembaga seperti hendak melintas jalan. Malam ini alhamdulillah tiada kelibat itu walaupun sepanjang perjalanan kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan lembaga. Ah....biasalah pemandangan sebegitu.

Akhirnya setelah menempuh 6 jam perjalanan kami tiba di Melaka dengan selamatnya. Alhamdulillah Allah permudahkan perjalanan kami. Keadaan jalanraya yang begitu lancar dan cuaca yang baik. Jam 1.30 pagi kami sudah berada di pintu pagar rumah anak tiriku. Badan walaupun letih aku masih boleh lagi layan EPL. Esok kami akan jelajah tempat- tempat yang menarik.....

Tuesday, December 25, 2012

Apo Kono Eh Jang

Pagi-pagi lagi sebelum aku ketempat kerja, aku menerima panggilan talipon dari seorang rakan sekampong.
" Assalamualaikum Budiman. Aku nak bagitau yang kawan kita ....... baru meninggal dunia ".
" Inna lillahiwainna Ilai Hirojiun. Sakit apa ". Balas aku kembali.
" Serangan jantung. Hang tolong bagitau kawan-kawan yang lain ". Katanya. Aku terdiam memikirkan kawan sekampongku yang sewaktu remaja kami dipenuhi dengan aktiviti mengejar hantu penanggal diatas bukit. Kini Allah telah menjemputnya. Ini bermakna aku pun bila-bila masa saja akan di jemput oleh Allah. Aku memberitahu kawan-kawanku seorang demi seorang. Terkejut juga mereka mendengar berita ini. Mereka juga seperti aku berjanji akan forward maklumat ini kepada yang lain. Kadang-kadang kematian ini akan merapatkan kembali hubungan yang sekian lama terpisah. Dengar kata mayat akan disimpan selepas solat asar jadi sempatlah aku pulang dari kerja dan terus solat terakhir buat seorang teman seperjuangan.

Dalam perjalanan ketempat kerja sekali lagi talipon berbunyi. Aku melihat rakan yang sama menalipon. Aku tidak mahu menjawab ketika drive. Nanti tak pasal-pasal timbul macam-macam masalah nanti. Sampai ditempat kerja terus aku call rakan tadi.
" Salam. Ada apa cerita. Confirm ka mayat simpan selepas asar ". Cepat-cepat aku bertanya.
" Ni aku nak bagitau yang kawan kita tu tak mati lagi tapi masih ada di hospital. Hang tolong bagitau balik dekat kawan-kawan yang lain ". Kata rakanku. Aku sudah mula pening. Aku menyemak kembali panggilan di log repot lalu aku hantar sms. Berikut mesej yang aku hantar kepada kawan-kawan.
" Salam. Aku baru dapat maklumat dari ..... mengatakan yang ..... belum meninggal lagi. Maaf banyak-banyak ". Ringkas saja sms aku.

Talipon masuk bertubi-tubi dari kawan-kawan yang menerima sms dari aku. Masing-masing meluahkan rasa pening sebab telah memberitahu rakan-rakan yang lain. Ada yang tinggal di KL, Johor dan Seremban. Semuanya kata hendak pulang untuk ziarah terakhir. Akrabnya persahabatan ini. Dari kecil sehingga dewasa kami bersama. Bila ada kawan-kawan yang berkahwin, kami akan konvoi beramai-ramai dengan motosikal. Indah sungguh ketika itu. Yang paling seronok ialah ketika konvoi beramai-ramai bila kawan kami berkahwin dengan anak saudara penyanyi L. Ramlee. Kebetulan pula aku merupakan peminat L Ramlee. Maka aku dapat berjumpa dengannya di Kuala Muda. Dengan motosikal GP100 dan Yamaha RX-S ketika itu kami berkonvoi mengikut kereta pengantin. Aku membonceng kawan yang dikatakan telah meninggal dunia.

Selepas asar aku menerima panggilan talipon. Juga dari rakanku.
" Salam Budiman. kali ini confirm kawan kita ...... telah meninggal dunia. Aku ada disana tadi. Hang bagitau kembali pada kawan-kawan yang lain ". Aku menerima berita ini dalam keadaan ragu-ragu. Takut berlaku macam awal tadi. Namun bila mengingatkan kembali kata-kata kawanku yang berada disana aku gagahi juga menaip berita kematian lalu kuhantar kepada rakan-rakan yang lain. Jam 11 malam mayat tiba dirumah. Setelah pihak keluarga berbincang dengan pihak kariah, mayat akan disimpan pada 10 pagi. Aku membuka penutup muka rakanku lalu aku sedekahkan Al Fatihah kepadanya. Mengalir airmataku memandang dia merupakan kawan baikku ketika kecil sehingga remaja dan seterusnya berkahwin. Barulah kami membawa haluan masing.

Aku masih ingat semasa aku berada di alam remaja. Ayah banyak menasihati aku agar solat jemaah di masjid
" Budiman...Nanti ikut ayah solat jenazah di masjid. Esok bila dah kawin solat jenazah pun tak tau ". Kata ayah padaku. Aku hanya mengikut saja. Kadang-kadang aku di gelar ustaz oleh rakan-rakan bila kerap ke masjid. Kadang-kadang ayah suruh aku azan. Seronok sungguh aku azan. Ramai juga yang memuji akan kesedapan suara alunan azan aku. Ini membuatkan aku sedikit perasan ketika itu. Ayah pula tersenyum bila anaknya dipuji. Ya la ayah mana yang tidak gembira bila anaknya dipuji oleh masyarakat. Suatu hari aku mengajak rakan aku yang meninggal itu makan mee rebus special. Ketika itu mee rebus baru RM2. Kalau campur dengan telor baru RM2.30. Kalau dengan minuman sekali RM3 pun sudah memadai.
" Aku tak ada duit la Budiman. Hang belanja boleh la ". Kata rakanku.
" Aku pun cukup-cukup ada RM3. Macam ni. Petang ni ada solat jenazah. Jom ikut aku. Nanti dapat RM3. Duit tu kita makan mee la ". Aku memberi cadangan dan cadangan aku diterima pakai.

" Aku tak tau solat jenazah la ". Kata rakanku dengan ikhlas.
" Ala..hang jangan risau. Hang ikut sudah. Senang 2 saja ". Kata aku confident sebab aku sudah tahu. Selepas solat asar aku melihat rakanku dengan baju telok belanganya melangkah masuk kedalam masjid. Selepas selesai solat asar maka jemaah pun beramai-ramai berdiri untuk solat jenazah pula. Aku mengajak rakanku duduk sebelah aku.
" Tak apa...aku tau dah solat jenazah ". Kata rakanku. Aku hanya menganggukkan kepala saja. Tok imam mengangkat takbiratul ihram. Maka makmum yang lain pun mengikut. Masing-masing membaca ayat-ayat al-quran. Selepas itu imam pun berkata " Allahu akbar ".

Tiba-tiba rakanku terus rokok. Apalagi aku terus tidak dapat menahan ketawa dan terus ketawa dengan kuat. Aku cuba menahan ketawa sambil terus melakukan solat. Rakan aku sudah mula tak keruan dengan solat jenazahnya. Nak rokok dan sujud yang membuatkan aku tak dapat menahan ketawa. Selepas selesai berdoa tok imam terus memarahi aku sebab ketawa dengan kuat. Ayah mula meradang dengan aku. Dipanggilnya aku ke satu sudut. Kali ini mungkin aku kena penampar sulong dari ayahku.
" Ayah geram sungguh dengan Budiman. Ayah malu. Pasai apa yang Budiman gelak ". Ayah bertanya
" Diman tak tahan bila kawan Diman rokok ketika tok imam kata Allahu Akbar ". Ketawa juga ayahku mendengar ceritaku.
" Kalau kita ada ilmu, jangan ketawa pada mereka yang baru nak belajar. Janji dia mahu juga datang ke masjid ". Nasihat ayahku. Aku terus memanggil rakanku. Tersengih dia bila melihat aku.
" Kami nak makan mee ayah. Dia tak ada duit. Diman ajakla dia mai masjid. Dapat duit kami boleh makan mee ". Kataku. Ayah tertawa.
" Pandai juga no otak hangpa ". Puji ayah.

Akulah yang paling seronok sebab ayah cuma marah saja dan memang ayah tidak pernah memukul kami. Ayah gertak sahaja nak penampar tapi ayah tidak tergamak melakukannya. Bila tiba dipintu pagar, Tok Siah menyerahkan envelop kepada kami.
" Hang ka yang gelak kuat tadi ". Tanya Tok Siak sambil menghulurkan envelop kepadaku.
" Awat tak gelak pak haji. Kawan saya rokok tadi masa sembahyang jenazah ". Kataku selamba.
" Tak apa. Esok dia pandai la. Hang yang pandai ni kena ajaq dia la. Tok sah dok gelak saja dekat orang lain ". Kena sebiji dari Tok Siak. Kami keluar lalu membuka envelop. Fulamak...RM5. Maka terbayanglah mee rebus special yang berharga RM3.50. Udang besar keliling.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Memori silam masih kekal dalam ingatan walaupun orangnya sudah tiada. Esok lusa entah aku pula akan mengadap tuhan. Rakan-rakan yang lain pula akan mengingati memori silam kami. Aku doakan semoga ruh rakanku ditempatkan bersama para solihin. Semoga Allah terima amal-amalnya. Kenangan silam waktu bersamanya tidak akan aku lupakan. Pusaramu akan tetap aku ziarah dan sudah pasti akan di iringi oleh doa.



Sunday, December 23, 2012

Bersama Afdlin Shauki

22 December 2012 - Sabtu. Aku telah diamanahkan menjadi DJ untuk program Gaza dan Syria di Padang Kota yang dianjurkan oleh Aqsa Syarif Pulau Pinang. Jam 12 tengahari aku dan isteri terus menuju ke destinasi. Jalan agak sesak juga. Akhirnya kami tiba agak awal juga dan keadaan majlis belum lagi bermula. Jam 3 petang dijangka Afdlin Syauki serta peserta konvoi akn tiba.


Tugas aku hanya bercakap memberi maklumat terkini dan memasang lagu-lagu tentang perjuangan rakyat Palestin dan Syria. Jam 2 petang majlis bermula. Persembahan, puisi dan persembahan seni silat diadakan. Hujan renyai-renyai membasahi petugas serta padang namun tidak melenturkan semangat mereka.


Jam 3 petang Afdlin Shauki beserta rombongannya tiba. Dalam ceritanya beliau merasa begitu terharu melihat apa yang berlaku  di Gaza. Dengan secara rasminya beliau mengumumkan bahawa beliau sudah memboikot produk-produk yang membantu ekonomi Israel. Beliau juga mengajak rakyat Malaysia agar sama-sama membantu memboikot produk - produk itu. Agak ketat juga tugasan beliau. Sebelum tiba di padang Kota beliau telah dibawa ke Lorong Kulit iaitu tempat tumpuan masyarakat. Disana bekliau memberi taklimat serba sedikit tentang Gaza, jam 6 petang beliau terpaksa bergegas pula ke Shah Alam untuk ceramah. Semoga Allah berikan kesihatan yang baik kepadanya dan Allah rahmati kehidupannya serta keluarganya.


Isteriku pula bersama rakan-rakan yang lain membantu menjual pakaian terpakai. Banyak juga terjual dan hasil jualan disumbang terus ke Aqsa Syarif. Pakaian masih lagi elok dan dijual dengan RM1 - RM3


Jam 6 petang aku dan isteri berangkat pulang. Program masih lagi berjalan sehingga malam. tugasku setakat jam 6 petang saja. pada waktu malam rakanku pula akan menggalas tugasan sebagai DJ. Aku merasa cukup seronok dan terasa begitu manisnya bila dapat bersama rakan-rakan yang pernah bersama denganku suatu ketika dahulu. Ramai juga rakan-rakan berjumpa isteriku sambil berkata sudah agak lama mereka tidak mendengar suaraku. Isteriku hanya tersenyum saja. Insyaallah andaikata masa terluang aku dan isteri pasti menyertai mereka.



Tuesday, December 18, 2012

4 Tahun Sudah Berlalu

18 December merupakan tarikh keramat buat kami sekeluarga. Tarikh ini merupakan tarikh isteriku yang tercinta Siti Aishah bt Zakaria telah pergi buat selama-lamanya. Kini 18 December 2012 ia menjelma kembali. Rupanya sudah 4 tahun dia pergi namun aku merasai seakan baru saja peristiwa ini berlaku. Al Fatihah buat isterikiu. Bertemu kita kerana Allah. Berpisah kita juga kerana Allah. Insyaallah kita akan bertemu dan meminta keadilan dari Allah. Insyaallah bila pulang dari kerja abang pasti menziarahi pusaramu.

Monday, December 17, 2012

Adus !!! Karipapku

Petang ini aku bertugas dan esok pagi baru selesai standbyku.Aku sudah plan apa yang hendak dibeli. Takut pula waktu petang kerap hujan hingga ke malam. Bila malam aku sudah malas nak keluar. Sebelum ketempat kerja aku beli karipap besar yang berharga RM1 satu. Aku bawa pulang lalu aku potong dibawahnya. Aku masukkan sos cili kedalamnya. Itulah tabiatku jikalau makan karipap. Tabiat yang aku amal semenjak dari bangku sekolah lagi.
" Ish ish abang ni pelik la. Tak pernah lagi nah tengok orang buat macam tu ". Kata isteriku tertawa.
" Nah akan melihat lebih banyak kepelikan abang ". Tertawa isteriku mendengar gurauanku. Aku masukkan kedalam plastik.
" Cukup ka abang makan karipap saja malam ni. Abang tugas sampai esok pagi ". Kata isteriku
" Insyaallah. Kalau kita baca Bismillah benda lain tak akan tumpang ". Kataku. Betapa lahapnya benda itu menjilat makanan yang dimakan tidak dibaca Bismillah.


Terus aku keluar rumah menuju ketempat kerja. Sudah 4 hari aku bertugas 16 jam. Badan memang keletihan tapi nak buat macam mana dah namanya tugas. Terpaksa juga ditempuhi. Aku teringat akan kata-kata bos
" Memang kita semua keletihan namun kita harus ingat bahawa kerja itu merupakan ibadah dan kita akan diberi ganjarannya ". Kata bos ketika membuat ucapan sebelum melakukan tugas.
" Rip...baca doa sikit Rip... ". Kata bos kepadaku. Itulah panggilan yang selalu diguna pakai bos ketika menegurku. Alhamdulillah sekejap saja aku sudah tiba ditempat kerja.

Aku meletakkan beg dibawah dan benda-benda yang aku bawa. Entah macam mana aku sendiri meletakkan karipap diatas kerusi dan terus keluar memeriksa alat-alat tertentu sebelum memulakan tugas. Semua ok dan aku masuk semula kedalam dan terus duduk. Aku terasa seperti terduduk diatas sesuatu.
" Ya Allah.... ". Aku menjerit bila perasan yang aku terduduk diatas keripap yang merupakan makanan malamku. Ia penyek dek dihempap buldozer. Adus....Aku membelek karipap. Terus aku call wife.
" Tak apa sendiri duduk boleh makan ". Kata isteriku
" Nahi nahi nahi ". Aku berkata. Tak sanggup aku.......

Sunday, December 16, 2012

Kacang Kuda

Setiap kali aku ke pasar malam pasti kacang kuda pedas aku beli. Pantang kalau kerap dibeli. Isteriku mulalah merasa dan tahu ramuannya. Hari ini isteriku buatkan surprise lagi. Dihulurnya sepinggan kacang kuda untuk aku rasa. Sekali rasa memang sedap. Rasanya pula pedas. Tak sama seperti beli di pasar malam. " Masyaallah. Sedap sungguh kacang ni. Abang tak payah beli lagi di pasar malam ". Tersenyum isteriku menerima pujian dariku. Siap dibekalkan lagi untuk aku makan di tempat kerja. Aku masukkan kedalam FB. Ramai pula yang minta resepi dan disuruhnya aku masuk kedalam blog. Aku terus talipon isteri bertanyakan resepi sebab ramai yang sudah minta. Tertawa dia. Katanya dia bukannya pandai. " Abang rasa sedap ok la tu ". Kata yang akhirnya resepi diberinya. Ok ambil kertas semua ya.


Ini resepi berdasarkan kacang kuda sebungkus 250 gram.

1. Kacang kuda direndam semalaman untuk melembutkannya
2. Kemudian rebus kacang tersebut sehingga lembut
3. Hiris atau cincang 3 ulas bawang merah dan bawang putih
4. Tumiskan bawang tersebut dan daun kari sehingga wangi. 
5. Masukkan cabai yang telah di kisar bersama gula dan garam secukup rasa. Kalau nak pedas makna cabainya tentu banyak. Pandai-pandaila
6. Akhir sekali masukkan kacang kuda dan gaul macam dalam gambar. Senang bah....

Selamat mencuba ya....Good Luck

Friday, December 14, 2012

Lain Yang Cari. Lain Yang Jumpa

Ketika aku hampir menamatkan tugas malamku, aku mendapat panggilan talipon dari rumah ibu mertuaku. Adik ipar meminta agar aku menyembelih ayam kampong. Kebetulan anak cucu pulang ke kampung jadi masa berkumpullah nak makan nasi beramai. Itulah keluarga sebelah arwah Siti Aishah lakukan setiap kali keluarga berkumpul. Memang seronok. Sebelum pulang kerumah aku singgah di rumah ibu mertuaku. Sebanyak 5 ekor ayam kamong akan dibuat kari. Dapatlah aku merasa kari ayam kampong.


Aku menyuruh anak saudara mengambil ayam lalu di bawa ke tempat terpencil. Aku beritahu anak saudara tentang adab-adab dalam menyembelih ayam. Dari apa yang aku belajar di kuliah-kuliah magrib
1. Pisau hendaklah tajam supaya ayam tidak terasa sakit
2. Jangan sembelih di hadapan haiwan
3. Pegang jangan terlalu kasar.
Itulah sedikit sebanyak adab-adab yang aku ceritakan kepada anak saudaraku. Mungkin suatu hari dia juga akan ditugaskan menyebelih ayam. Seekor-demi seekor aku sembelih. Masuk ayam yang ketiga, entah kenapa ayam itu masih kuat walaupun kesemua urat telah putus. Berlari dia kedalam hutan.
" Berat dia ". Kataku


Selesai aku sembelih kelima ekor ayam, aku masuk kedalam hutan mencari ayam yang melarikan diri. Ketika mengambil ayam tersebut aku terpandang pokok pisang yang aneh. Buahnya keluar dari batang pokok. Cepat-cepat aku keluar lalu mengambil kamera untuk merakan gambar.
" Kalau panggil Metro mesti depa sampai ". Kata anak saudaraku. Subhanallah. Kalau Allah berkehendakkan sesuatu pasti ianya terjadi.


Selalunya pisang akan berbuah diatas. Tapi pokok ini pisangnya berbuah ditengah-tengah. Ada sesetengah orang, ia menganggapkan ia sesuatu yang aneh dan mungkin ada yang sanggup membeli dengan harga yang mahal untuk tujuan keduniaan. Kalau difikirkan kembali apa nak diherankan. Allah yang menjadikan segala-galanya dan ia berhak mengarah dimana buah itu akan keluar. Kalau ini tidak diambil sebagai tanda-tanda kekuasaan Allah maka jadilah kita sebagai makhluk yang kufur terhadap Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...