Teman-teman

Thursday, August 12, 2010

Ibu Sudah Pandai ya...

Puasa hari pertama begitu mengujakan aku. Aku terpaksa naik turun tangga 7 hungga ke tujuh kali dari tingkat 4 akibat kerosakan lif ditempat aku bertugas. Pulang kerumah lutut aku amat kesakitan sekali. " Bang hari ini Nah masak lemak cili padi saja ". Mendengar masakan lemak saja hati aku entah kenapa hilang rasa ceria sebab masak lemak bukan kesukaanku. Tapi aku diamkan saja. Tak mahu rasanya didalam bulan Ramadhan terlalu inginkan itu dan ini. Aku katakan kepada isteriku yang aku akan makan saja apa saja yang dia masak walaupun dalam masa yang sama aku mengharapkan ada makanan pengganti lain. Aku keletihan dan
akhirnya aku terlelap seketika. Aku terdengar bunyi seperti lesung. Tak mungkin isteri aku yang masak sebab dia tidak pernah menggunakan lesung. Semenjak aku berkahwin yang aku tahu, aku saja yang menggunakannya untuk membuat sambal tumis. Selepas terjaga dari tidur aku terus kedapur. Isteriku membawa mangkuk yang ditutup rapi. " Abang teka apa yang Nah buat untuk abang ". Kata isteriku. Kelihatan airmukanya begitu ceria sekali. " Firasat Tok Bomoh berkata yang Nah buat sambal tumis jawa ". Sengaja aku bergurau. Rupanya memang benar dia sudah pandai buat sambal tumis jawa. Kebetulan aku membawa pulang dua bungkus kanji yang diambil dari masjid. " Hari ini abang nak makan kanji campur sambal tumis ". Memang menyelerakan bila saja azan berkumandang semangkuk kanji pasti habis. Aku bagi markah sebanyak 150 untuk sambal tumis. Aku berkata, " Waa...ibu sudah pandai masak sambla tumis ya. jadi bapa tak perlu buat lagi ".

" Waktu ibu tak kerja boleh ibu bantu. Bila ibu sudah kerja kembali, bapa kena buat kembali sambal tumis. Ibu sudah sibuk ". Kata-kata isteriku amat melucukan. Sekurang-kurangnya aku terasa bahagia semenjak kehilangan Siti Aishah. Tahun ini sudah dua kali kami berpuasa bersama. Kali pertama aku seperti mayat hidup. Tidak mahu bergurau. Aku asyik teringatkan arwah isteriku. Mulutku mengunyah tapi hati aku menangis kerinduan. Kini masa sudah berlalu. Aku mengharapkan ramadhan kali ini membawa kebahgiaan kepada kami berdua. Sudah puas aku menangis. Entah kenapa aku terpasang nasyid ibu dan ayah nyanyian Aeman airmata kami berdua tidak dapat menahan sebak lagi. Menangis kami berdua dan masing-masing dengan memori silamnya.


Wednesday, August 11, 2010

Semoga Tok Bilal Dapat Menjalankan Tugas

Umat islam akan memulakan solat tarawih pada hari Selasa malam. Setiap tahun aku merupakan bilal yang tidak ada tauliah mengepalai surau menjadi bilal tarawih. Tahun ini pasti aku diberi lagi tanggungjawab. Semenjak meninggalkan alam persilatan dan sukan kegemaranku badminton badanku terasa amat bisa. Seluruh badan terasa seperti dicucuk-cucuk. Aku berkata kepada isteri agar membakar batu untuk aku guna sebagai tunku. Bila diletakkan ditempat yang sakit terasa amat lega. Itulah kaedah yang arwah Siti Aishah lakukan bilamana aku terhincut-hincut berjalann.

Mengapa isteriku Rosnah tersenyum bila aku meminta tolong dia membakar batu. Dibukanya beg yang mengandungi seperti bantal bayi. Katanya ini ialah tunku elektrik. Dibelinya dari jiran sebelah dengan harga sebanya RM65. Ia perlu dicas selama 7-8 minit. Ia sudah cukup untuk memanaskan cecair didalam tunku. Katanya dia membelinya bila melihat aku kadang-kadang terhincut-hincut sambil memegang lututku. Setelah casnya mencukupi aku terus mencubanya. Alhamdulillah terasa amat sedap sekali. Kata isteriku, " Semoga Tok Bilal malam ini lebih bersemangat menjadi bilal ".

Bila isteri dah membantu apalagi suami hendak lagi. Aku begitu bersemangat malam ini untuk melakukan tugasanku sebagai bilal. Selesai solat isyak, aku diberitahu yang pada tahun ini imam dan bilal telah dipackage kepada budak tahfiz. Jadi rugilah aku tahun ini tak dapat lagi membantu atau tidak lagi diperlukan. Fikir positif pak Budi. Mungkin tahun ini mereka nakkan perubahan. Ialah kuasa ditangan mereka. Padaku senang sikit aku tahun ini boleh berubah-ubah tempat solat sebabtak ada lagi tanggungjawab. Aku berkata kepada isteriku yang sekali sekala kami akan ke masjid Negeri untuk solat tarawih. Tak pernah lagi kami kesana. Selalu di surau inilah aku berada. Tahun ini ada kelonggaran sedikit jadi kami akan kerap berubah tempat. Semoga mendapat keberkatan dengan melakukan solat dibanyak tempat.

Tuesday, August 10, 2010

Pintu Neraka Terbuka....

Isteri aku meminta aku membeli ikan untuk digoreng tengahari ini. Tanpa berlengah aku terus kepekan dengan harapan jam 11 pagi masih ada lagi ikan dijual. Seperti biasa aku pasti singgah digerai rakanku yang dahulunya menjual buah durian. Sambil makan buah rambutan seorang cina yang berniaga durian bersebelahan dengan aku menggamit tangan memanggil aku. " Budiman pasai apa cina gangster dok gamit hang ". Kata rakan aku. Aku terus kesana. Risau juga apa yang tak kena pula hari ini.

" Lu masih ingat ka sama wa. Dulu lu sama itu lu punya kawan ada ubat wa punya pak lekat tulang ". Baru aku ingat kembali 10 tahun lebih perkara ini berlaku. Bapanya seorang Taiko ( ketua gangster } terlekat tulang. Sepupu aku mengajak aku menemaninya, katanya risau juga dengan ketua gangster. Sepupuku hanya menggunakan ayat suci al-quran untuk mengeluarkan tulang tersebut. " Wa punya bapa sudah lama mati. Dia ada ciakap itu hari kalau ada kami punya keluarga lekat tulang boleh cari sama lu punya kawan ". Kata cina tersebut. " wa punya kawan pun sudah mati " Aku pula berkata. " Waaa ini macam banyak susah la kalau lekat itu tulang. Mau cali sapa ".

Tiba-tiba perbualan kami terhenti bila sebiji kereta wira aeroback berhenti depan kami. Pintu kereta dibuka dengan tergesa-gesa. " Budiman boleh tolong makcik dak. Rumah kami ada hantu. Semalam dia dok kacau makcik. Hantu tu panggil Tok Na...Tok Na. kata hantu tu dia nak kacau makcik sampai mati ". Aku garu kepala yang tidak gatal. Macam nilah makcik, saya tak pandai berubat tapi saya boleh tolong bagi nombor talipon ustaz yang terbabit ". Setelah memberi nombor tersebut mereka terus pergi.

" Waa.. kawan. Lu boleh halau itu hantu juga ka. Lu ada belajar ka dari you punya kawan. Baguih la lain kali gua boleh cari sama lu ". Aku terus pening sebab kalau cina ini tahu yang aku pandai mengubat susah la padahal aku bukanlah seorang yang pakar dalam ilmu ini. Setakat hembus-hembus ayat suci al-quran boleh la. Itupun semua orang dapat melakukannya. " Esok lu orang puasa la. Kita ini malam pintu neraka terbuka ooo. Tuhan lepas itu hantu turun dunia ". Kata cina itu. " Aiyaa susah la ini macam sebab kita esok syaitan kena rantai. Pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka. Lu orang pula lepas itu hantu ". Sengaja aku usik cina ini.

" Talak..talak ini hantu talak kacau orang sebab kita sudah kasi makan cukup-cukup. Dia akan balas dendam orang yang bunuh dia atau buat kacau. Lu orang baik-baik sebab puasa jadi dia tak kacau la ". Aku tidak mahu ketawa pada cina ini sebab itu merupakan kepercayaan agama mereka. Tidak baik kita mempersendakan agama orang lain sebab kita pun tidak suka kalau agama kita dipersendakan. Akhirnya diberinya aku hadiah sebiji buah durian yang baik isinya sebab aku pernah tolong ayahnya suatu ketika dahulu.

Aku sampai dirumah kelihatan isteri dah tercegat didepan pintu. " Mana ikannya bang. Lama dah dah dok tunggu. La abang bawa balik buah durian ka. Nah suruh beli ikan ". Aku hanya tersengih dengan hanya berkata, " Maaf ibu, abang bener-bener lupa ". Sambil tersenyum isteriku menggeleng-gelengkan kepalanya. Selamat menyambut ramadhan Al-Mubarak esok. Semoga ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun hadapan. Semoga ramadhan tahun ini kesyukuran kita akan nikmat Allah melebihi tahun hadapan.

Monday, August 09, 2010

Mengapa Dibaikan

Aku mendengar Pengerusi kariah membuat pengumuman sebelum solat Jumaat pada hari Sabtu akan diadakan gotong royong membersih masjid dan perkuburan. Alhamdulillah selepas pulang dari kerja aku bergegas ke kariah aku untuk bergotong royong. Dikawasan perkuburan itu bersemadinya anakku, ayahku, isteriku dan sanak saudaraku jadi tidak ada sebab aku untuk meminggirkan program ini. Jam 9 pagi aku sudah berada di perkarangan masjid. Kelihatan 4 - 5 orang juga sedang menanti. Jam 9.30 pagi masih juga tidak kelihatan kehadiran anak kariah. Aku mengambil keputusan untuk membersihkan dahulu kubur isteri, ayah dan anakku. Selesai kesemuanya barulah aku bermula dari hadapan membuang rumput dan menaikkan batas kubur keseorangan. Bila melihat aku sudah buat kerja barulah masuk yang lain. Yang masuk pula kelihatan dah uzur. Mereka membersihkan kubur saudara mereka dan keluar. Datang pengarah program berjumpa aku, " Budiman boleh tolong kira semua peralatan yang dipinjamkan oleh Majlis Bandaran. Bila selesai kena ada sebanyak itu juga. Saya tak boleh tunggu. ada kerja lain ". Aku terdiam sebab memikirkan yang isteriku mengajak ke bandar terpaksa aku menundanya demi gotong royong kariah. Ini pengarah program. Akhirnya aku terus masuk kedalam kawasan kubur menyambung kembali tugasku.

Bayangkan jenazah yang telah dikebumikan sebanyak 600 orang. Yang hadir untuk membersih perkuburan hanyalah 10 orang sahaja. Setelah ditolak yang boleh buat kerja tinggal 7 orang sahaja. Memang menyedihkan. Aku masih lagi ingat ketika hampir ramadhan semasa aku remaja kami terpaksa kekubur melalui bukit dan hutan untuk bergotong royong. Pada masa itu belum ada lagi kubur sekarang. Ayah begitu tekankan bab gotong royong. Kini banyak rumah berada berdekatan dengan kubur namun mereka boleh diamkan diri bersembang sedangkan kami sedang membersih kubur. Mungkin dalam hati mereka berkata itu bukan urusan kami. kalau kami mati pun akan ada orang yang tolong bersihkan.

Perkara ini tidak hanya berlaku dikariah aku saja. Baru-baru ini aku solat Jumaat dikariah isteriku, seorang AJK masjid bangun memgumumkan akan diadakan gotong royong. Beliau amat kesal pada tahun lepas begitu sedikit yang hadir. Katanya jangan sampai ada orang lain yang membersihkan kubur sanak saudara kita sedangkan kaum keluarganya buat tak tahu saja. Hairan sungguh dengan umat islam hari ini tidak ada semangat langsung untuk melakukan aktiviti ini yang suatu ketika dahulu dipandang positif oleh masyarakat. Kemana perginya mereka yang bercakap begitu hebat. Bersuara begitu lantang demi memperjuangkan agama. Bab ini pun tak boleh selesai maka tidur adalah lebih baik maklum saja cuti minggu.

Jadi kepada pembaca-pembaca yang budiman andaikata ada program gotong royong ditempat anda jangan diabaikan. Semaikan semangat ini kepada anak-anak anda sebab semangat ini sudah semakin pudar dari umat islam hari ini. Semoga Allah memberkati kita dengan pekerjaan yang mulia ini.


Sunday, August 08, 2010

Tazkirah Di Dalam Tandas

" Bang...boleh teman Nah ke Nagoya tak. Ada kain untuk langsir tak cukup ". Aku bab langsir entah kenapa tidak aku peduli langsung. Langsir yang baru dijahit untuk menyambut Aidil Adha masih lagi tergantung dirumahku semenjak tahun 2008. Namun aku gagahi juga. Kesian juga dekat isteriku pergi keseorangan. Sambil dia memilih aku duduk dibangku luar. Jam ditangan menunjukkan sudah pukul 2 petang. Di Nagoya ada surau jadi kami mengambil keputusan untuk solat zohor di surau nagoya. Aku tidak tahu yang didalam surau ada tempat mengambil wuduk. Aku terus ketandas untuk mengambil wuduk.

Dari jauh kelihatan seorang budak dalam lingkungan 6 tahun berlari begitu pantas. " Cepat abah. Tak tahan dah ni ". Terus dia memotong aku. Aku mengikuti mereka dari dalam. Selesai kadha hajat budak itu keluar. Diluar juga sudah ramai yang kadha hajat. " Abah..Ada tak orang yang kencing tak basuh ". tanya sianak kepada abahnya. " Ada..ramai yang tak basuh ". Jawab siabah dengan nada perlahan takut didengari mereka yang kadha hajat. Dengan suara kuat budak itu berkata, " Abah..teacher kata siapa yang tak basuh kencing Allah marah sebab kotor. Nanti ada kuman. Tempat yang kita kencing pula akan berbau. Teacher kata lagi siapa yang makan tak baca Bismillah syaitan akan makan bersama kita ".

Kata-kata sianak menyebabkan mereka yang menggunakan tempat kadha hajat tersenyum malu. Aku begitu terpegun atas akhlak budak itu. ketika budak itu berada diluar aku menghampirinya dan bertanya dimana dia bersekolah. Katanya dia sekolah di Sekolah Bistari. Entah dimana sekolah aku pun tak pasti. Kata budak itu lagi teacher dia bernama Siti Najihah. " Comel teacher kami ". Sambung budak tu lagi. Inilah hasilnya jika kita menghantar anak kesekolah yang menjadikan matapelajaran islam begitu penting. Tak rugi kita melabur awal.

Saturday, August 07, 2010

Calar Dihati boleh Dirawati, Calar kereta.......

" Budiman...nanti bila pulang dari kerja singgah rumah makcik ambil nasi. Ada orang kirim nasi dekat Budiman. Dia buat kenduri ". Mendengar ayat ini dari mak angkat aku membuatkan air liur dah meleleh. Apa tidaknya nasinya memang dah diketahui sungguh menyelerakan. Penang apa lagi, nasi kandar la yang aku maksudkan. Selalunya bila dia buat kenduri pasti aku dapat merasanya. Kereta aku terus kedestinasi rumah mak angkat aku. Sampai saja dekat rumah DJ era memutarkan lagu Salam terakhir nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad. Sambil aku memasukkan gear reverse untuk parkir sambil otak aku melayan lagu tersebut. Aku teringat gambaran bersama lagu itu yang aku upload ke you tube,( http://www.youtube.com/watch?v=xeItWMzT6-4 ). Sambil kereta mengundur aku terus alpa. Aku terdengar bunyi beep yang menandakan kereta aku menghampiri sesuatu. Aku terus leka dengan lagu itu. Tiba-tiba terdengar hentaman kuat dibelakang.

Ya Allah sah la kereta aku dah melanggar tiang pagar. Kesan calar bewarna hijau kelihatan jelas manakala lampu signalnya pecah. Kepala aku yang tidak gatal menjadi sasarannya. Nak menyesal benda dah jadi. Aku pulang terus aku cerita pada isteri. " Perempuan mana la yang lintas depan abang ni sampai langgar tiang. Jangan-jangan bukan manusia ni yang lintas ". Gurau isteriku. Terus aku bersuara, " Calar dihati boleh dirawati, calar kereta keluar RM la untuk dibaiki ". Tertawa dia mendengar pantun dari aku. Terus dia mencelah, " Ni Nah pula nak jawab. Dugaan datang menguatkan iman dihati. Abang kini sudah ada pengganti ".

Aku terdiam mendenagr balasan pantun dari isteriku. Dia tahu ke sebab musabab aku terlanggar tiang pagar. Dasyat firasat dia ni atau mungkin Allah telah memberi ilham agar aku sedar yang aku kini terlalu asyik dengan khayalanku. Kadang-kadang bila aku berhenti kereta, aku pasti khayal sesuatu sehingga ditegur oleh isteri. " Abang ni suka sangat termenung. Apa yang dimenungkan tu ". Cepat-cepat aku keluar kereta bila terdengar ayat maut itu. Aku tahu pasti dia mengesyaki yang aku masih mengingati akan arwah Siti Aishah cuma dia tidak berkata secara terang seperti yang dilakukan sebelum ini.

Kadang-kadang aku merasa bersalah kepada isteriku. Bukan selalu aku berkhayal. Ia datang secara tiba-tiba bila terlihat atau terdengar insiden sesuatu lantas seperti filem ia bergulung memutarkan kembali memori. Aku perlu melakukan sesuatu sebelum dia terjadi dengan lebih dasyat lagi. Aku takut ketika memandu khayalanku datang. Allah sentiasa membantu andaikata seseorang itu membantu dirinya sendiri.

Wednesday, August 04, 2010

DoaKU UntukMU

Aku dan anak-anak telah merancang pada 1 Ogos kami akan mengadakan kenduri doa selamat untuk arwah Siti Aishah dan kaum keluarga yang pergi mendahului kami. Setelah dipersetujui maka ada dikalangan kaum keluarga yang menumpang kenduri. Jadi pasti bertambah keberkatannya. Lauk pauk dimasak sendiri oleh kaum keluarga. Walaupun mereka telah kehilangan seorang tukang masak yakni isteriku, mereka tetap juga meneruskan tradisi ini sambil dibantu oleh orang kampung. Majlis bermula pada jam 12 tengahari dengan majlis tahlil dari jemaah masjid berdekatan. Seramai 30 orang jemaah hadir. Entah kenapa jemaah masjid amat suka bila kaum keluarga kami mengadakan kenduri arwah. Kata mereka masakan yang dihidangkan menyelerakan terutamanya mee rebus. Ramai juga orang kampung yang datang. Itulah keistimewaan tinggal dikampong. Budaya tolong menolong masih kuat dirasai.

Jemaah masjid berkumpul sebelum upacara tahlil bermula

Mengalir airmataku perlahan-lahan bila imam membacakan doa untuk arwah. Sambil didalam hatiku turut sama berkata, " Siti inilah yang mampu abang lakukan untuk Siti. Semoga Allah menerima doa ini untuk Siti ". Abang iparku hanya mampu menepuk belakangku tanda ingatan agr bersabar dengan ujian ini. Fikiran aku melayang-layang mengingatkan memori ketika kami mengadakan kenduri arwah untuk kaum kelaurga. Arwah isteriku begitu cergas dengan melakukan tugas-tugas ini. Sekejap dia akan mencari aku mengarahkan aku membeli itu dan ini. Kini tiada siapa yang mengarah aku lagi. Kini aku pula mengadakan kenduri kesyukuran untuknya. Tidak ada siapa yang mampu menduganya

Jemaah mengaminkan doa untuk arwah Aishah dan kaum keluarga

Jemaah masjid begitu teruja melihat bermacam-macam juadah yang dihidangkan. Padaku kalau hendak menjamu orang makan biarlah mereka berpuas hati. Lagi pun dah ramai yang menumpang kenduri apa salahnya. Soal membazir tidak timbul sebab orang kampong yang menolong pasti dapat membawa pulang juadah. Aku terpaksa pulang selepas zohor untuk berehat sebab malamnya akan diadakan pula ceramah Ust Akil Hayy walaupun kelihatan masih ramai lagi tetamu yang hadir.

Menjamu selera selesai tahlil
Aku agak hairan juga kali ini mensyuarat program ceramah yang kami adakan kali ini tanpa kehadiran pihak wanita. Selalunya arwah Siti Aishah akan bersama aku. Dia pasti menalipon wanita lain untuk meminta kehadiran mereka. Kini pihak wanita kini sepi. Ada yang masih ketakutan untuk melibatkan diri mereka setelah apa yang terjadi terhadap isteriku. Kadang-kadang aku merasa sedih andaikata isteriku menjadi penyebab untuk mereka menyepi dari penglibatan semua ini.

Mee rebus kuah sotong turut diadakan

Kini setiap kali program pasti aku terkenangkannya. Kalau ada kenduri kendara dia berada disisku menolong. Kalau ada program ceramah dia juga berada disisiku membantu. Mana mungkin aku dapat melupakan jasanya yang begitu besar. Ada juga rakan-rakan aku berkata usah dikenang kisah lampau. Kini aku sudah pun berkahwin. Kerana terkenangkan kisah lampaulah aku masih lagi mampu bertahan walaupun batin aku tidak ada siapa yang mengerti. Dalam ketawa aku menangis. Siti ketahuilah abang begitu berbangga menda[at seorang isteri sepertimu sepertimana juga engkau berbangga aku menjadi suamimu. Siti bertemu kita kerana Allah dan berpisah juga kita kerana Allah. Semoga Allah terima amal-amal kita sewaktu kita bersama.


Sambal tumis ikan talang masin

Siti. Sudah setahun lebih engkau meninggalkan kami semua.

Setahun lebih juga abang amat merinduimu

Sudah kering airmata ini terkenangkanmu

Hanya doa saja yang dapat abang kirimkan buatmu

Siti walaupun abang sudah ada pengganti

Tidak semestinya memori silam dapat dipadamkan begitu mudah

Kadang-kadang abang merasakan bahawa tidak adil

Kita terlalu awal dipisahkan.

Namun abang tidak dapat melawan takdir itu Siti

Abang redho pemergianmu walaupun dalam masa yang sama

Batin abang begitu tersentuh bila berada ditempat-tempat

Yang pernah kita bersama

Siti anak-anak kita Alhamdulillah telah berjaya dalam kehidupan mereka

Ini semua berkat doa dari ibu mereka jua.

Siti tidak putus-putus solat dan berdoa untuk mereka

Abang melihat begitu syahdunya ketika Siti berdoa

Abang selalu berpesan kepada mereka

Jangan tinggalkan solat dan doa untuk emak

Siti begitu cepat masa berlalu

Ramadhan kini hampir menjelma

Begitulah saban tahun kami bersahur dan berbuka tanpa air tanganmu

Akhirnya saat kepiluan itu terzahir bila menjelmanya Aidil Fitri

Ya Allah kau terimalah doa kami semua untuk Siti Aishah

Ketemukan kami dengannya kelak diakhirat

Tidak sanggup lagi kami berpisah dengannya

Amin Ya Rabbal Alamin


Ulam kangkung tidak ketinggalan


Sambal tumis petai pun ada

Monday, August 02, 2010

Akil Hayy Dan Waheeda

Ahad - 1 Ogos 2010. Desas desus mengatakan yang ramai dari golongan wanita tidak mahu hadir dalam program ceramah. Alasan yang diberikan ialah " Waheeda perampas ". Aku masih lagi dihujani dengan pertanyaan kenapa memilih Akil Hayy sedangkan banyak lagi ustaz yang ada. Akhirnya aku terpaksa menjawab, " Makcik ada ka orang yang boleh ganti ustaz Akil hayy atau suami makcik boleh berceramah. Insyaallah kami akan beri laluan ". Marah dia bila aku minta suami dia berceramah.

Persembahan Seni Silat Gayung Harimau Berantai

" Makcik tak mau mai malam ni ". Sengaja makcik berkata begitu. Mungkin nak balas balik. " Tak apa la makcik. Insyaallah kalau benda yang dibuat baik Allah akan bantu. Tapi dekat surau sebelum ni buat ceramah bukan ustaz Akil hayy pun tak nampak muka makcik ". Apa lagi bila aku berkata demikian aku disumpah seranah sehinggakan jiran berdekatan keluar untuk menyaksikan apa yang berlaku. Bagi aku sudah tiada tolak ansur orang begitu. Buat baik pun susah jadi terpaksa aku buat begitu.

Ust. Akil Hayy sedang menyampaikan ceramah

Alhamdulillah selepas solat Isyak kelihatan ramai yang telah memenuhi padang. Kaum wanita juga agak ramai. Mungkin Allah hantar penduduk lain datang bila yang berdekatan tidak mahu mendengar. Sewaktu ucapan aluan dari YB pakatan rakyat, pengarah program telah mendapat panggilan talipon dari parti politik yang begitu sempit pemikiran mereka. Mereka memarahi pengarah program kerana memberi laluan kepada YB pakatan rakyat berucap. Mereka berkata yang ini merupakan kali terakhir kami dibenarkan menggunakan padang bola untuk mengadakan ceramah. Begitu sombongnya mereka. Mereka masih lagi tidak belajar dari kekalahan dulu. Disebabkan kesombongan mereka maka Allah telah menghukum. Kini mereka mengulangi lagi perkara itu.

Warna Nostalgia bersama Pengarah program saudara Zainuddin Hanif

Terus terang aku katakan yang aku tidak berminat dengan politik. Tapi bila mendengar dan melihat perangai mereka, aku begitu muak dengan politik sempit padahal ucapan YB pakatan rakyat tidaklah meminta agar rakyat memilih pakatan rakyat. Dia berucap agar manusia kembali kepada perkara pokok iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Itu saja. Ucapannya pula begitu pendek sebab dia akan ke program meraikan kejayaan anak Pulau Pinang yang menjadi johan dalam program Imam Muda.

Gerai jualan memeriahkan suasana

Ceramah Ust Akil Hayy seperti yang sudah diketahui umum. Alunan nasyid dan zikir pasti berkumandang. Ust juga menyelitkan kisah tentang apa yang berlaku kepadanya dengan Waheeda. Katanya ramai golongan wanita memarahinya. Tapi kita ini rambut sama hitam tapi tidak sama panjangnya. Ada yang kerinting. Ada teknik rebonding dan ada yang lurus. Selesai beliau bercermah ada beberapa orang wanita yang memohon maaf kepadanya dan waheeda kerana bersalah sangka.

Adik Mohd Firza bin Mohd Ilias sedang membaca ayat suci Al-Quran Nul karim

Alhamdulillah kehadirang yang mencecah seramai 3000 orang menyaksikan yang populariti ustaz Akil Hayy masih ada. Ramai dikalangan pemuda dan remaja tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan ustaz. Kami bersyukur kerana program ceramah yang diadakan dibantu oleh Allah. Terima kasih kepada mereka yang menyumbang wang ringgit untuk meneruskan kami mengendalikan program yang lain.

Ust Akill hayy bersama isterinya Waheeda


Agak ramai juga hadirin yang datang


Ketika didalam bilik khas selepas ceramah


Warna Nostalgia tidak mahu ketinggalan bergambar dengan mereka
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...