Teman-teman

Monday, April 15, 2013

Pada Syurga Di Wajahmu

Siti Aishah. Perkahwinan kita bukan atas dasar cinta. Ia hasil dari pencarian seorang ibu bila anaknya sudah mahu berumahtangga. Bila menatap wajahmu entah kenapa hatiku menjadi begitu tenang. Senyum manismu ketika kita dialam pertunangan tidak mampu aku buang. Akhirnya kita sah menjadi suami isteri. Pandai engkau mengambil hati ibuku dan dalam masa yang sama engkau tidak melupakan ibumu. Siti Aishah...saat yang paling menggembirakan hati ini bila dirimu disahkan positif mengandung anak kita yang pertama. Aku menjagamu dengan penuh kasih sayang. Engkau bakal melahirkan zuriatku.

Saat yang ditunggu telah tiba. Doktor beritahu yang dirimu harus di bedah untuk menyelamatkan anak kita yang hampir lemas. Terus aku menandatangani surat. Akhirnya kita telah di kurniakan seorang anak perempuan. Akulah orang yang paling gembira. Berita dari doktor amat merisaukan aku. Engkau terpaksa tinggal di hospital untuk mencuci luka hasil dari pembedahan. Aku berjumpa doktor meminta agar aku sendiri yang akan mencuci lukamu dirumah. Sekali lagi aku diminta menandatangani. Alhamdulillah. Lukamu sembuh dan anak kita semakin dewasa.

Selang 2 tahun engkau didapati positif lagi. Doktor sudah beritahu yang engkau perlu dibedah. Sedih aku mendengarnya. Engkau berkata demi untukku engkau sanggup bekorban sakit. Mengalir airmata ini mendengar kata- katamu. Akhirnya lahirlah seorang anak lelaki. Sekali lagi aku mainkan peranan mencuci lukamu dirumah. Aku masih ingat akan kata-kata doktor yang engkau begitu bertuah mendapat seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab. Kembang hidungku ketika itu. Banyak suka duka kita bersama sewaktu membesarkan anak-anak.

Selang 3 tahun kemudian engkau didapati positif lagi. kali ini doktor berjumpa dengan agak lama. Rahimmu perlu diikat kerana termasuk ini engkau harus di bedah sebanyak 3 kali. Ini membahayakan dirimu. Engkau menangis sebab tidak dapat lagi memberi zuriat padaku. Aku memujukmu dengan berkata
" Tak apa la Siti. 3 orang anak yang Siti bagi dekat abang sudah memadai. Kita jaga depa elok-elok ". Aku masih ingat lagi kata-kata itu. Akhirnya engkau mengalah dan mengizinkan rahimmu di ikat. akhirnya Allah anugerahkan kita seorang anak lelaki tapi kata doktor anak kita tidak dapat balik lagi sebab ada masalah. setiap hari kita melawat anak kita. Bila dipanggil namanya Asyraf dia membuka mata dan tersenyum. Walaupun engkau masih sakit tapi dengan senyuman seorang anak seolah-olahnya engkau tiada kesakitan langsung. Masuk hari yang ke 17 nurse menaliponku. Bergegas aku ke hospital. Doktor beritahu yang anak kita telah dijangkiti oleh kuman.

Aku pulang keruma seolah-olahnya tiada apa yang berlaku. Engkau menanti dengan penuh debaran bila anak kita dibenarkan pulang. Engkau terlalu merindui anak kita. Akhirnya aku tidak dapat menyembunyikan lagi perasaanku. Aku menangis di hadapanmu. Dengan segera engkau mengajak aku ke hospital. Hari 18 doktor menalipon aku mengatakan anak kita kritikal. kita bergegas kesana dan bila tiba doktor beritahu yang anak kita telah meninggal dan menanti waris untuk mereka menutup alat bantuan. Engkau jatuh terduduk menerima berita itu. Aku begitu sedih dengan apa yang engkau tanggung.
" Bang..anak kita dah tak ada. Siti tak dapat lagi bagi abang anak. Abang jangan tinggalkan Siti bang ". kata-kata itulah juga membuatkan aku menangis didal wad.
" Demi Allah Siti. Abang tak akan tinggalkan Siti. Kita masih ada 2 orang anak lagi. Terima kasih abang atas pengorbanan Siti ". Walaupun kata-kataku ini sedikit sebanyak mententeramkanmu tapi aku tahu betapa siksanya engkau menanggung dugaan ini. Hanya imanlah yang membuatkan dirimu dapat dikawal.

Masihku ingat betapa gembiranya dirimu bila kita memiliki rumah sendiri walaupun kecil tanpa kita sedari ini merupakan detik-detik kita akan berpisah buat selama-lamanya. Kita telah melibatkan diri dengan masyarakat, surau dan juga politik. Kita tidak pernah memusuhi sesiapa. Kita berbaik dengan masyarakat dan bersangka baik tapi kita tersilap Siti. Sesetengah orang tidak berfikiran seperti kita. Petengahan tahun 2008 engkau mula berubah. Engkau batuk-batuk dan mengeluarkan darah yang pekat. Aku membawamu ke hospital untuk berubat tapi tidak dapat dikesan. Aku menjadi buntu. Darahmu semakin banyak. Kadang-kadang engkau meracau.

Aku tidak tahu apa jenis penyakit yang engkau hadapi. Engkau dibenarkan pulang. Ketika berada dirumahmu datang seorang wanita yang pandai berubat. Dia memandang diriku.
" Budiman...Isteri kamu ni kena santau ". Tiba-tiba baru aku tersedar dan terkejut melihat darah yang begitu banyak.
" Depa tutup pintu hati hang ni. Sebab tu la hang jadi buntu ". Terus dia mengarah aku berjumpa seorang ustaz. Kata ustaz isteriku terlalu parah. Walaupun berubat keadaan dirimu seperti biasa juga. Akhirnya aku membawamu ke bumi Kelantan untuk berubat tanpa aku ketahui itulah kenangan terakhir kita berdua. Bayangkan ketika menaiki firefly engkau tersenyum melihatku tapi ketika pulang ke penang engkau tidak mengenali dirimu sendiri. Mengalir airmataku bila melihat keadaanmu ketika berada diatas kapalterbang. Aku tahu aku akan kehilanganmu buat selama-lamanya. Aku memegang tanganmu. Aku letak tanganmu didadaku sambil menangis teresak-esak.
" Siti jangan tinggalkan abang. Abang tak boleh hidup tanpa Siti ". Engkau mengalir airmata sambil menahan batukmu.

Atas nasihat ustaz engkau diminta merujuk ke hospital sebab sudah habis ikhtiar yang allah beri padanya. Aku menangis memelukmu bila melihat begitu banyak wire yang telah dipasang pada dirimu. Ketika aku masuk kedalam engkau membuka topeng yang menutup hidungmu. Engkau memegang tanganku.
" Bang..Siti minta ampun dan maaf banyak-banyak pada abang. Kalau Siti tak ada abang kahwin la lain. Terima kasih banyak-banyak bang kerana tolong Siti selama ini. Siti sayang abang. Abang seorang suami yang baik. Bang...Siti rindu dekat Zinnirah ". Aku menangis memeluk dirimu. Aku tidak mampu mengeluarkan perkataan. Setelah engkau berjumpa dengan anak lelaki engkau terus koma. Akhirnya doktor mengesahkan yang seluruh organ dalamanmu telah rosah. ia hasil dariperbuatan khianat manusia yang berhati binatang.

Tanggal 18 December 2008 engkau pergi buat selama-lamanya. Engkau membawa segala memori kita. Engkau bawa segala kegemaranku. Engkau pergi disaat kami amat memerlukan dirimu. Disaat aku memberi kucupan terakhir sebelum kain kapan ditutup aku telah bisikan sesuatu kepadamu.
" Abang telah ampunkan Siti. Abang redho Siti pergi. Tempat Siti adalah di syurga ". Beberapa kali aku mengucup dirimu. itu merupakan kucupan terakhir dari seorang suami.Terlalu berat rasanya hendak berpisah dengan dirimu. Sejak pemergianmu aku menjadi seorang yang tidak banyak bergurau. Hanya kepada Allah saja tempat aku mengadu.

Rosnah...Kita berkahwin juga bukan atas dasar cinta. Aku masih ingat ketika aku berdoa kepada Allah andaikata aku bertemu jodoh biarlah isteriku mempunyai perwatakan yang sama sepaerti Siti Aishah. Malamnya aku bermimpi aku dan anak-anakku menangkap ikan.
" Ayah...ayah ikan tu jinak. Tangkap ayah ". Kata anak gadisku. Akhirnya aku mengambil penyauk lalu menyauk ikan-ikan itu. Pada waktu malamnya aku ke pasar malam. Aku tidak tahu apa makanan yang harus aku beli. Entah kenapa aku berdiri dihadapan geraimu lalu meminta nasi tomato untuk diriku dan anak-anak padahal sebelum ini aku tidak pernah singgah geraimu. Engkau tersenyum sewaktu menghulurkan nasi kepadaku.

Keesokkan harinya seorang sahabat Siti aishah menaliponku lalu menyebut namamu. Aku tertawa sebab aku tahu sudah tentu engkau menolak diriku kerana telah beberapa orang yang telah engkau tolak sebelum ini. Akhinya aku mengalah dengan sahabat ini lalu mengizinkan mereka merisik dirimu. Engkau memberi tempuh selama seminggu untuk jawapan. Aku tergamam bila diberitahu yang engkau menerima aku untuk menjadi suamimu. Akhirnya kita disatukan. Ini bermakna aku harus berpindah kerumahmu. Saat aku kelaur dari rumahku hatiku terlalu sayu meninggalkan kedua-dua anakku.

Aku sering berkhayal. Aku menjadi seorang yang serius. Aku tahu engkau mneyedari kesemua itu. Kadang-kadang hati aku berkata adakah aku telah membuat keputusan yang betul dengan mengahwinimu. Meninggalkan anak-anakku ketika mereka memerlukan diriku. Kejam sungguh. Aku tahu engkau bermain airmata dengan kelakuanku. Makanku hanya sedikit. Aku tidak pernah meminta agar engkau masak sesuatu untukku. Padaku apa yang engkau masak aku jamah saja.

Aku cemburu bila melihat dirimu bergurau dengan anak-anakmu sedangkan aku terpaksa berjauhan dengan anak-anakku. Apa yang sedang mereka lakukan. Apa yang mereka makan. Semua itu berlegar di fikiranku. Luaran aku ketawa tetapi didalam aku merintih merindui anak-anakku. Berkat kesabaranmu, Semakin lama telah ada sedikit perubahan pada diriku. Aku sudah mula bergurau. itupun kalau aku dapat bertemu dengan anak-anakku.

Kini hampir memasukki 4 tahun kita bersama. Aku benar-benar menyayangimu, menyintaimu. Aku tidak sanggup berpisah denganmu. Aku pun tahu engkau pun demikian juga. kini kita seolah-olahnya sedang bercinta. kita seolah-olahnya baru mengenali hati budi masing-masing. Aku berdoa kepada Allah agar Allah pancarkan kasih sayang di hati kita. Semoga Allah berkati perkahwinan kita. kita bersatu hasil pengorbanan seorang wanita yang bernama Siti Aishah.. Kepada kedua-dua isteriku siti Aishah dan Rosnah. Kamu merupakan isteri yang solehah. kamu mempunyai kesabaran yang begitu kukuh. kamu banyak mengajar aku erti kehidupan yang sebenar. kamu telah mewarnai Warna Kehidupan.

Apa yang layak aku katakan kepada kamu berdua ialah syurga memang layak buat kamu. Pada Syurga Di wajahmu


8 comments:

Thirah said...

terharunya trah..sebuah kehidupan..

Nor Shamilah Ismail said...

ishk betul la..terharu sungguh saya baca ni..alhamdulillah kedua2 isteri En Ariff isteri yg baik & solehah, calun penghuni syurga..insyaa Allah, amiin. Dan mereka beruntung mendapat suami soleh & baik spt En Ariff..Tahniah!

Ariff Budiman said...

Thirah....Terima kasih kerana membaca coretan ini

Ariff Budiman said...

Nor Shamilah Ismail......Terima kasih saya ucapkan. Semoga rumahtangga kami di berkati hasil dari doa puan juga.

Anonymous said...

Saya doakan semuga kisah cinta abadi Pak Ariff ini membawa hingga ke syurga firdaus. Ameen


Ariff Budiman said...

Anonymous...Terharunya saya dengan doa ini. Terima kasih

rakyat malaysia said...

Sy terpanggil ke cni kerana entry pasar kemboja..tp bila sy jelajah kesemua entry lain.sy terkejut bla muncul nama arwah puan.siti aishah..serasa sy pnh terbaca dmana2 mjlh kisahnya..apa pun..takziah utk encik..dan alfatihah buat arwah..n smga kluarga n ank2 encik dlimpahi kasih syg ALLAH. .

Ariff Budiman said...

Rakyat Malaysia.....Ye ke ada ceritanya dalam majalah. Apa pun terima kasih saya ucapakan kerana sudi membaca. Semoga dalam rahmat Allah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...